Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

bab 71

JEMPUTAN makan malam di rumah Syahfina diterima baik oleh Dahlia Arissa dan Tengku Syed Adam. Memandangkan Tengku Syed Muiz sudah nyenyak tidur, pasangan suami isteri itu mengambil keputusan untuk meninggalkan anak kesayangan mereka dengan Tengku Najihah.

"Sayang sure ke area ni rumah Fina?" tanya Tengku Syed Adam kepada Dahlia Arissa yang duduk di sebelahnya. Deretan rumah teres dua tingkat itu diperhatikan sekejap-sekejap. Kalau diperhatikan secara berterusan, takut terbabas pula sebab mata ke kiri dan ke kanan sahaja. Tidak tengok depan.

"Area nilah. Hari tu Lia pernah singgah rumah dia kejap. Ambik kain yang dia beli untuk mummy. Cuma Lia tak berapa ingat simpang dia," jelas Dahlia Arissa. Matanya melilau mencari rumah Syahfina.

"Tu dia!" jerit Dahlia Arissa sambil menunjuk sebuah runah yang jelas tersadai kereta Syahfina di situ. Tengku Syed Adam yang sedang memandu di sebelah sudah terperanjat dengan jeritan kecil isterinya.

"Suka sangat jerit macam tu. Boleh gugur jantung abang ni, tau," omel Tengku Syed Adam. Dadanya diurut dengan tangan kiri.

"Sorry abang," pinta Dahlia Arissa manja lalu melentokkan kepalanya di bahu Tengku Syed Adam. Saat itu kereta Porsche Tengku Syed Adam sudah pun berhenti di hadapan rumah teres dua tingkat milik Syahfina itu.

"Jangan nak bermanja mesra dengan abang kat sini. Takut pulak abang angkut sayang bawak balik rumah sebab dah tak..."

"Jangan nak mulakan!" Cepat sahaja Dahlia Arissa mencatas kata-kata suaminya.

Otak suaminya itu sentiasa laju memproses usikan nakal buatnya. Tengku Syed Adam sudah pun mengekek ketawa. Geli hati melihat Dahlia Arissa yang segera meloloskan diri dari perut kereta. Takut sangat kena sakat.

Syahfina pula sudah pun menunggu di hadapan muka pintu saat mendengar deruan kereta berhenti di hadapan rumahnya. Lebar senyuman di bibirnya melihat Dahlia Arissa dan Tengku Syed Adam. Sudi jugak dia orang ni datang rumah aku, bisik hati kecil Syahfina.

"Assalamualaikum..."

Salam Dahlia Arissa disambut mesra oleh Syahfina. Mereka berdua bersalaman lalu berpelukan. Tengku Syed Adam yang baru keluar dari perut kereta segera menghampiri Dahlia Arissa.

"Jemput masuk," pelawa Syahfina lalu membuka besar pintu utama rumahnya.

"Cantik rumah ni," puji Tengku Syed Adam separuh berbisik ke telinga Dahlia Arissa. Isterinya hanya mengangguk. Memang dia sendiri kagum dengan susun atur rumah Syahfina. Cantik dan kemas. Walaupun rumah itu tidaklah sebesar mana, tetapi amat sesuai diduduki Syahfina seorang diri.

"Kita terus ke meja makan sebab akak ada perkara yang nak beritahu," kata Syahfina yang sudah menuju ke meja makan di ruang tengah.

Di atas meja sudah terhidang ikan siakap tiga rasa, sayur kangkung goreng belacan, telur dadar, sambal belacan, hirisan timun dan yang paling mengancam sudah semestinya tomyam seafood yang masih panas berwap itu. Di sudut meja pula terdapat buah tembikai, betik dan ciku yang sudah dipotong kecil.

"Rasa macam makan dekat restoran Thai pulak dah," ujar Tengku Syed Adam sambil menarik kerusi.

Dahlia Arissa yang sudah duduk itu turut mengiyakan kata-kata suaminya.

"Akak dah lama tak masak, so kalau tak sedap akak nak minta maaf awal-awal," kata Syahfina pula. Dia memang jarang memasak. Dia lebih suka makan di luar.

"Tak apa kak, yang penting presentation masakan akak ni memang cantik," puji Dahlia Arissa sembil mencedok nasi untuk Tengku Syed Adam.

Syahfina hanya tersenyum. Mereka bertiga makan dengan penuh berselera sambil diselangi dengan perbualan yang berkaitan dengan isu semasa. Dalam masa itu juga Syahfina mengambil peluang untuk memberitahu rancangannya dengan Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa. Rancangan untuk memerangkap Damia dan Aunty Syida. Perihal Khalil Asyraf tidak mahu dibicarakan dulu. Biar Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa lihat dan dengar sendiri.

"Akak pasti ke plan ni akan berhasil?" aju Dahlia Arissa yang sudah berminat dengan rancangan Syahfina itu.

Tengku Syed Adam yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut sudah menunggu jawapan Syahfina.

"Insya-Allah. Kita cuba dulu. Kalau tak berhasil, baru akak cerita apa yang akak tahu selama ni... tapi kalau boleh biarlah kau orang berdua dengar dari mulut dia orang sendiri. Lebih puas hati, kan?" jawab Syahfina. Dahlia Arissa memandang suaminya.

"Abang pulak macam mana?" tanya Dahlia Arissa.

"Abang ikut je. Lagipun selama ni abang memang dapat rasakan ada something yang tak kena," balas Tengku Syed Adam.

Syahfina sudah menarik nafas lega. Dia memang berniat mahu membantu Dahlia Arissa dengan suaminya. Biarlah mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi. Yang paling penting mereka berdua tahu daripada mulut Damia, Aunty Syida dan Khalil Asyraf sendiri.

"Baguslah kalau macam tu. Kita cuba je dulu. Berjaya atau tak, kita tolak ke tepi."

"Betul tu dan yang paling penting, kita makan dulu..." sengih Tengku Syed Adam yang sudah menyuakan pinggannya kepada Dahlia Arissa. Minta ditambah nasi.

Dahlia Ariss sudah menggeleng. Tak malu betul tambah nasi dekat rumah orang! kutuk Dahlia Arissa di dalam hati.

"Tambah lagi Adam, Lia. Habiskan semua lauk ni," kata Syahfina pula. Seronok pula bila melihat Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa berselera makan. Mungkin itulah yang dikatakan nikmatnya makan bersama. Serta-merta dia teringat akan keluarganya. Namun kesedihan di dalam hati dibuang jauh. Suatu hari nanti dia pasti akan pulang ke rumah keluarganya. Pasti!













SYAHFINA melambai-lambaikan tangan kepada Dahlia Arissa yang duduk di sebelah Tengku Syed Adam. Rasa sekejap sahaja mereka berjumpa. Hilang sahaja bayang kereta Tengku Syed Adam, Syahfina terus masuk ke dalam rumah. Dia mencapai telefon bimbit lalu menelefon Damia.

"Aku dah nak sampai rumah kau ni." Itulah kata-kara yang terdengar di hujung talian tanpa memberi kesempatan untuk Syahfina memberi salam atau ucapan helo.

"Kau dengan mama kau ke?"

"Haah. Kita orang naik asing dengan Khalil. Dia ada follow dari belakang," beritahu Damia.

"Kalau macam tu, baguslah. Aku tunggu." Syahfina mematikan talian.

Dia duduk di sofa. Tudung di kepala dibetulkan sedikit. Tidak lama kemudian terdengar bunyi kereta di hadapan rumah. Dia dapat melihat Damia keluar bersama Aunty Syida. Sebuah lagi kereta berhenti di hadapan rumahnya. Dan seperti yang dijangka, kereta itu kepunyaan Khalil, apabila lelaki itu sudah pun keluar dari perut kereta. Mereka bertiga masuk ke rumah Syahfina.

"Kau dari mana bertudung-tudung ni?" tanya Damia kepada Syahfina. Dia yang duduk di sofa itu sudah pun menanggalkan tudungnya. Tudung yang dipakainya itu hanyalah untuk mengaburi mata keluarga Tengku Syed Adam.

"Aku baru balik dari pasar malam kejap tadi. Biasalah, aku ni kan baru berlatih nak jadi pelakon macam kau, jadi kenalah bertudung nak keluar. Kalau tak, tak menjadilah lakonan aku ni," sengih Syahfina. Sengaja membuat cerita, sedangkan dia memang sudah berubah.

Damia pula sudah pun tersenyum. Dia tahu Syahfina juga sudah menjadi sepertinya. Berpura-pura menjadi wanita Melayu terakhir.

"Takkan nak sembang kosong je kut, airnya tak ada ke?" seloroh Khalil Asyraf. Sengaja memancing perhatian Syahfina. Sempat juga matanya meliar ke seluruh tubuh Syahfina. Dia memang kenal Syahfina, tetapi kenal macam itu sahaja. Dia tidak menyangka Syahfina sudah semakin cantik dan seksi bila bertudung! Tetapi masih tidak dapat menandingi Dahlia Arissa. Hai... kenapalah perempuan tu payah benar nak ditakluki. Payah benar nak dibeli jiwanya, keluh Khalil Asyraf di dalam hati.

"Tunggu sini. I pergi dapur kejap ambik air," pamit Syahfina lalu menuju ke dapur. Aunty Syida menuruti langkah Syahfina.

"Kamu sorang je duduk rumah ni?" tanya Aunty Syida.

Syahfina yang mengeluarkan air soya dan teh bunga dari dalam peti ais hanya mengangguk. Gelas dicapai sebelum disusun di dalam dulang. Aunty Syida turut membantu Syahfina membawa minuman itu ke hadapan. Di ruang tamu, Syahfina dan Khalil Asyraf sempat juga bermesra. Syahfina menahan debaran di dada. Debaran kerana menahan perasaan marah. Dia tidak suka Khalil dan Damia bercengkerama di dalam rumahnya. Tetapi dia juga tidak mampu menegah sebab takut tembelangnya pecah.

"Isy, sudah-sudahlah tu nak bergesel-gesel. Naik seram aku dibuatnya," tegur Syahfina dengan nada yang berseloroh.

Damia sudah pun tersenyum meleret. Khalil Asyraf hanya tersengih namun tangannya masih lagi melingkari pinggang Damia.

"I tak sangka pulak yang you ni kenal Damia. Kecik je KL ni, kan? Bukan ke you ni nak take over Lia daripada Adam?" sambung Syahfina lagi. Kata-kata itu ditujukan kepada Khalil Asyraf. Tangannya ligat menuang air ke dalam gelas. Sengaja dia membawa dua jenis minuman agar para tetamunya itu senang berbuat pilihan minuman yang mereka suka.

"Memang dia nak take over pun. Lagipun diakan dah angau dekat madu aku tu," Damia pula menjawab dan perkataan madu sengaja ditekankan sedikit.

Khalil Asyraf audah pun tergelak melihat memek muka Damia yang kelihatan menyampah dengan kata-katanya sendiri. Cemburulah tu!

"Dia tu ada full package tahu tak, tak semua perempuan ada apa yang dia ada. She's adorable!" puji Khalil Asyraf terang-terangan. Dia tidak pernah berselindung dengan Damia tentang mana-mana perempuan yang disukainya. Termasuklah Dahlia Arissa.

"Lelaki memang macam tu!" celah Aunty Syida yang duduk di sebelah Syahfina.

Khalil Asyraf tidak ambil pusing dengan apa yang keluar daripada mulut mama Damia itu. Baginya lelaki dan perempuan sama sahaja. Tidak ada beza. Tetapi Dahlia Arissa berbeza daripada perempuan lain. Sangat-sangat berbeza. Kenapalah aku asyik ingat dekat Dahlia aje ni! Getus Khalil Asyraf di dalam hati.

"Apa cerita sebenarnya ni? You ni nakkan Lia tapi dapat Mia pulak. Apa kes?" tanya Syahfina kepada Khalil Asyraf.

Khalil Asyraf sudah pun tergelak. Tangannya dialihkan daripada merangkul Damia. Gelas yang berisi air teh bunga itu dicapai. Diteguk sebelum kembali bersuara.

"I memang nakkan Dahlia, tapi I pun nakkan Mia. Simple."

Damia mencebik. Nak aku sebab aku bagi tubuh aku dekat kau! bisik Damia di dalam hati.

Syahfina melirik pandang Aunty Syida. Orang tua itu jelas sekali tidak kisah dengan apa yang dilakukan oleh anaknya bersama Khalil Asyraf. Dunia orang muda, biasalah tu. Majalah kecantikan yang tersusun rapi di rak berhampiran sofa itu dicapai.

"Tapi kenapa I tak tahu sebelum ni? Tak aci betullah kau orang ni." Syahfina seolah-olah merajuk.

"Janganlah merajuk," pujuk Khalil Asyraf sambil tersenyum memandang Syahfina.

Akhirnya Syahfina tersenyum. Senyuman yang dibuat-buat.

"Tapi apa yang kita buat ni macam tak berhasil je. Memanglah Mia berjaya kahwin dengan Adam, tapi sampai sekarang aunty tengok Adam asyik berkepit dengan Lia. Dahlah bukan main lama lagi kita nak memerangkap Adam dengan Mia pada malam tu," sahut Aunty Syida pula. Malam itu, malam yang sudah merubah kehidupan Tengku Syed Adam sekeluarga terlayar difikirannya apabila Tengku Syed Adam ditangkap bersama Damia di dalam bilik anaknya itu.

"Tuhan pun tolong kita malam tu. Mesti best kan kalau dapat tengok drama pada malam tu, kan? Tengok keadaan Adam dengan Mia yang konon-kononnya terkantoi. Lepas tu tengok Lia yang kecewa dengan laki dia," kata Khali Asyraf lalu cuba membayangkan situasi penuh dramatik itu.

"Habis tu, tak ada siapa ke yang tahu pasal benda ni? Pasal plan kita ni? Bukan apa, kalau dia orang tahu habislah kita semua," Syahfina kembali bersuara.

"Kalau kita berempat tak buka mulut, tak ada siapa yang tahu. Dan yang paling penting pasal anak yang Mia kandung ni," jawab Aunty Syida. Dia memang berharap tidak ada siapa tahu akan muslihat jahat mereka. Biarlah menjadi rahsia sampai bila-bila. Kalau boleh sampai ke liang lahad.

"Tapi mesti doktor boleh sahkan baby tu anak siapa, lepas Mia bersalin nanti," spontan Syahfina berkata. Semua mata tertala pada wajah Syahfina.

"Pasal tu kau tak perlu risau. Ni doktor kat sebelah aku ni akan uruskan semuanya," balas Damia lalu menepuk-nepuk bahu Khalil Asyraf.

"Kiranya betullah ni kau mengandungkan anak Khalil? Bukan anak Adam?" Syahfina bertanya lagi. Inginkan kepastian.

"Kau ni dah kenapa? Dah berbuih dah mulut aku ni cakap ni anak Khalil, bukan anak Adam. Lagipun dia tak pernah sentuh aku, jadi macam mana aku boleh mengandungkan anak dia? Kau ni pun agak-agaklah..." sambung Damia lalu meneguk air soya yang sudah hilang sedikit sejuknya itu.

Pintu rumah Syahfina terkuak secara tiba-tiba. Mereka berempat pantas berpaling. Melihat susuk tubuh Tengku Syed Adam di muka pintu membuatkan wajah Damia pucat lesi. Khalil Asyraf sudah menelan air liur dan tubuh Aunty Syida mula menggigil ketakutan. Hanya Syahfina kelihatan tenang.

Khalil Asyraf sudah pun berdiri. Dia berundur sedikit bila Tengku Syed Adam mula menghampirinya. Kecut perutnya melihat mata Tengku Syed Adam merah menyala. Melalui mata itu sahaja sudah dapat mengesan tahap kemarahan Tengku Syed Adam sudah sampai ke puncaknya.

"So, kau orang semua nilah yang dah menjahanamkan hidup aku dengan Arissa?" Bergetar-getar Tengku Syed Adam menahan perasaan marah di dalam dada. Matanya silih berganti memanah tajam wajah tiga manusia yang cuba porak-perandakan kehidupannya bersama Dahlia Arissa.

Belum sempat Khalil Asyraf menjawab, satu tumbukan singgah di muka doktor muda itu. Terperlosok Khalil ke dinding. Perit pipinya menerima habuan pertama Tengku Syed Adam. Baru hendak bangkit, perut dia pula ditumbuk Tengku Syed Adam. Khalil Asyraf mula mengaduh kesakitan. Melihat keadaan semakin genting, Damia terus menerpa mamanya. Mohon perlindungan. Takut benar dia melihat Tengku Syed Adam yang sudah mula hilang kawalan itu.

"Dengar dulu penjelasan..."

"Kita orang tak perlukan sebarang penjelasan. Kita orang dah dengar semuanya, Abang Khalil. Lia betul-betul tak sangka Abang Khalil sanggup buat macam ni dekat Lia... dekat Adam. Lia betul-betul tak sangka." Dahlia Arissa yang baru masuk itu pula mencelah. Empangan air matanya sudah pecah sejak tadi. Sejak dia dan suaminya mula berdiri di balik daun pintu untuk mendengar segala rahsia yang tersimpan rapi. Sebenarnya, dia dan Tengku Syed Adam tidak terus balik ke rumah, sebaliknya mereka meletakkan kereta jauh sedikit dari rumah Syahfina agar tidak dilihat oleh 'tetamu khas' Syahfina itu. Semua ini telah mereka rancang sewaktu makan malam tadi.

"Ni semua rancangan Fina!" Tiba-tiba Aunty Syida menjerit. Cuba menyalahkan Syahfina.

Mencerlung mata Tengku Syed Adam memandang dua beranak itu. Syahfina hanya mendiamkan diri lalu menghampiri Dahlia Arìssa yang masih berdiri di muka pintu. Gadis itu dipeluk. Kekecewaan jelas terpamer di wajah ayu itu.

"Kalau semua ni rancangan Fina, kenapa kau orang ikut bersubahat sama? Lagi-lagi kau, orang tua! Rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, lagi nak buat benda-benda macam ni? Dasar orang tua yang tak sedar diri!" tempik Tengku Syed Adam lalu melepaskan leher Khalil Asyraf dengan kasar.

Terbatuk-batuk Khalil Asyraf dibuatnya. Tanpa menunggu lama, Khalil Asyraf terus berlari keluar dalam keadaan lintang-pukang. Sebelah tangannya memegang perut dan sebelah lagi memegang pipi. Sebelum dia lunyai dikerjakan Tengku Syed Adam, baik dia selamatkan diri dulu.

Aunty Syida sudah pun menyumpah Khalil Asyraf di dalam hati. Damia pun sudah tidak senang duduk bila Tengku Syed Adam mula menapak dekat dengannya. Dia menyembunyikan wajahnya di dalam pelukan Aunty Syida. Tetapi tanpa diduga, Tengku Syed Adam menarik lengannya 

"Sini Mia! Aku nak buat perhitungan dengan kau pulak," Tengku Syed Adam memaksa Damia berdiri.

Dengan takut-takut, Damia berdiri sambil menundukkan kepala. Air mata jatuh satu persatu. Tetapi sayang, air mata itu tidak memberi kesan kepada Tengku Syed Adam.

"Kau dengar sini baik-baik, Damia. Memandangkan anak yang kau kandung tu anak Khalil, jadi depan mak kau ni jugak aku ceraikan kau dengan talak satu!"

Panar Damia mendengar lafaz cerai yang meluncur laju daripada mulut Tengku Syed Adam itu. Jantungnya seakan-akan terhenti berdenyut.

Saat itu juga Dahlia Arissa memandang wajah suaminya. Terngiang-ngiang suara Tengku Syed Adam melafazkan talak ke atas Damia.

"Tak. Abang tak boleh ceraikan Mia. Mia sayangkan abang. Mia tak boleh hidup tanpa abang..." raung Damia sambil menangis. Dia sudah melutut di kaki Tengku Syed Adam. Tangannya kejap memeluk kaki lelaki itu.

Tengku Syed Adam sudah merengus kasar. Dia membongkok lalu menolak tubuh Damia. Terdorong tubuh Damia ke lantai.

"Nasib baik kau mengandung, kalau tak lunyai kau aku kerjakan!" pekik Tengku Syed Adam bila Damia kelihatan liat benar melepaskan kakinya sebentar tadi.

Aunty Syida segera mendapatkan anaknya.

Tengku Syed Adam menghampiri Dahlia Arissa yang masih kaku di situ. Tangan isterinya dicapai. Sayang, kita balik!












Maaf kalau ada typo :) shaa nak vote shaa

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro