Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

bab 69

GELAK tawa Dahlia Arissa menyakitkan hati Damia yang sedang membaca buku tentang kehamilan di ruang tamu utama. Sesekali terdengar pula usikan Tengku Syed Idris kepada menantunya itu. Tidak lama kemudian terdengar pula suara Tengku Syed Muiz yang ketawa. Ceria sahaja suasana di dapur itu.

Tengku Najihah yang leka menyuap bubur brokoli ke dalam mulut Tengku Syed Muiz turut ketawa apabila cucunya itu sudah pandai membuat memek muka dan gaya tangan. Bila disuruh senyum, cepat sahaja dia tersenyum. Bila disuruh angkat tangan, laju sahaja dia mengangkat tangan. Walaupun umur baru setahun, tetapi Tengku Syed Muiz mula memahami keadaan sekeliling. Keadaan itu membuatkan seluruh isi rumah itu suka melayan Tengku Syed Muiz sehingga meletuskan gelak tawa mereka semua.

"Kenapa tak join dia orang semua dekat dapur?" tegur Tengku Syed Adam yang baru balik dari joging.

Damia yang sedikit terkejut dengan teguran itu pantas menggeleng. Tanpa diduga Tengku Syed Adam melabuhkan punggung di hadapannya. Damia sudah menahan debar di dada. Mimpi apa dia ni duduk berdua-duaan dengan aku macam ni? Kalau tak, laju sahaja dia ke dapur mencari bini pertama kesayangan dia tu, gumam Damia di dalam hati.

"Semalam aku ternampak kau bersembang dengan mama kau. Tapi aku tak tahu pulak dia dah balik sini," kata Tengku Syed Adam sambil mengelap peluh yang masih tersisa di dahi. Dia ingin mengorek rahsia daripada Damia. Harap-harap cara diplomasi ini berkesan.

"Err... mama balik petang kelmarin. Mia pun terkejut jugak sebab mama tak bagitahu pun dia nak balik sini," jawab Damia sambil tersenyum untuk menyembunyikan pergolakkan di dada.

Entah-entah Adam terdengar perbualan aku dengan mama semalam. Matilah macam ni! Bisiknya dalam hati. Air liur ditelan perlahan.

"So, time ni dia kat mana?" tanya Tengku Syed Adam lagi. Tubuhnya disandarkan ke sofa. Damia sudah tidak senang duduk.

"Ada kat rumah dialah. Maksud Mia dekat rumah mama sendiri."

Kali ini dia melihat Tengku Syed Adam mengangguk. Harap-harap tiada lagi soalan daripada suaminya. Air mukanya dikawal sebaik mungkin. Dia tidak mahu menampakkan dirinya sedang diamuk kegelisahan dengan soalan-soalan Tengku Syed Adam sebentar tadi. Ini belum lagi masuk soalan yang lebih serius. Kalau dia tanya soalan yang lebih daripada itu, memang masak aku nak menjawabnya, omel Damia di dalam hati.

"Ada masa nanti, ajak mama kau makan malam dekat sini," ujar Tengku Syed Adam sebelum mengakhiri perbualannya dengan Damia.

Damia hanya mengangguk.

Saat itu juga Dahlia Arissa datang merapati suaminya.

"Mana Muiz?" tanya Tengku Syed Adam lalu menarik tangan Dahlia Arissa. Dahlia Arissa yang tidak sempat mengimbangkan diri terus jatuh terduduk di riba suaminya. Tengku Syed Adam sudah pun tersengih. Suka dengan peluang yang datang bergolek itu.

Damia yang masih berada di situ sudah mengetap bibir.

"Eee... suka sangat macam ni tau," rungut Dahlia Arissa lalu mengalih punggungnya ke sofa.

"Abang tanya tadi mana Muiz?" Tengku Syed Adam bertanya lagi bila isterinya tidak menjawab pertanyaannya sebentar tadi.

"Ada dekat dapur. Baru lepas makan. Lia nak naik atas kejap. Ibu mintak tolong ambikkan passport dia dengan abah kat dalam bilik. Kejap lagi ibu dengan abah nak keluar, renew passport," balas Dahlia Arissa lalu meniti anak tangga untuk menuju ke bilik mertuanya.

Tengku Syed Adam pula menuju ke dapur.

Damia yang sedang makan hati itu hanya ditinggalkan begitu sahaja. Mata Damia sempat singgah ke susuk tubuh Dahlia Arissa yang sudah menyelinap ke dalam bilik mertua mereka itu. Tiba-tiba satu senyuman penuh makna terukir di bibir. Idea jahatnya mula menjajah difikirannya.












SETELAH memastikan tiada sesiapa berada di tingkat atas, Damia dengan pantas masuk ke dalam bilik Tengku Najihah. Matanya meliar memandang bilik tidur mewah itu. Inilah kali pertama dia masuk ke kamar milik Tengku Syed Idris dan Tengku Najihah. Langkahnya dihalakan ke meja solek. Manalah tahu barang yang dicarinya ada di situ walaupun dia tahu Tengku Najihah bukanlah seorang yang cuai dalam menyimpan barang-barang berharga. Setelah diselongkar dengan penuh hati-hati laci meja solek itu, dia beralih pula ke almari. Dan disitulah dia terpandang set barang kemas yang hanya diletakkan di atas susunan lipatan tuala dan kain batik. Senyuman terukir di bibir. Set barang kemas itu dicapai lalu dibawa keluar dari bilik itu. Rasanya set barang kemas itu sudah cukup untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan mamanya.













SELEPAS balik dari Jabatan Imigresen, Tengku Najihah terus masuk ke bilik apabila teringat akan set barang kemasnya yang lupa disimpan di tempat yang selamat. Tengku Syed Idris pula lebih senang duduk di ruang tamu setelah melihat cucunya ada di situ bersama Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa.

"Abang!"

Panggilan Tengku Najihah dari tingkat atas itu mengejutkan mereka. Tengku Syed Idris segera mengangkat muka lalu diarahkan ke suara isterinya yang berada di anak tangga yang paling atas sekali.

"Abang ada nampak tak set barang kemas yang saya pakai malam tadi masa majlis makan malam dekat Hilton tu? Saya rasa saya letak kat atas lipatan tuala tu, tapi bila saya check kejap tadi tak ada pulak. Abang dah tolong simpankan ke?" Bertalu-talu Tengku Najihah bertanya suaminya.

Tengku Syed Idris hanya mengangkat bahu sebagai jawapan yang dia tidak tahu. Tengku Najihah sudah pun merengus.

"Wani! Meh sini, tolong saya kejap," jerit Tengku Najihah sedikit kuat. Bergema ruang rumah mewah itu.

Kak Wani yang sedang bersantai di dapur itu segera mendapatkan majikannya.

Damia yang kebetulan baru keluar dari biliknya merapatkan diri di sofa. Dia mengambil tempat duduk di sebelah bapa mertuanya. Tengku Syed Adam pula dilihat sedang berbaring di sofa sambil kepalanya beralaskan paha Dahlia Arissa.

"Kenapa dengan ibu tu, bah?" tanya Damia sambil matanya melirik pandang pada Tengku Syed Muiz yang sudah terlena di sofa itu. Tanpa sedar dia memegang anak di dalam kandungannya. Tidak lama lagi dia akan melahirkan anak Khalil Asyraf. Ya, anak Khalil. Bukan anak Tengku Syed Adam yang digilainya itu. Damia melepaskan keluhan berat.

"Barang ibu kamu tu hilang. Entah, manalah dia letak. Tulah akibatnya," leter Tengku Syed Idris.

Damia mengangguk tanda faham. Pasti mak mertuanya itu mencari set barang kemas yang dicurinya tadi. Hatinya sudah pun tersenyum.

"Ada siapa-siapa tak dalam rumah ni nampak set barang kemas ibu? Pagi tadi sebelum ibu pergi renew passport, pagi tadi rasanya ibu ada nampak. Tapi bila balik ni, tak ada pulak," tanya Tengku Najihah yang baru turun dari bilik.

Kak Wani yang ada di belakang hanya mendiamkan diri. Takut pula dia yang akan dipersalahkan kerana  dia seorang sahaja yang selalu ada di rumah agam itu.

Tengku Syed Adam yang berbaring beralaskan paha Dahlia Arissa tadi segera duduk tegak di sofa. Wajah ibunya ditatap lama.

"Ibu salah letak kut," kata Tengku Syed Adam.

Dahlia Arissa pula menyandarkan kepalanya di bahu Tengku Syed Adam. Seperti biasa, Damia hanya mampu melihat dengan hati yang panas membahang.

"Eh, tak ada salahnya. Ibu masih ingat tempat terakhir ibu letak. Dekat atas lipatan tuala dengan kain batik tu. Ibu yang letak ibu tahulah." Tengku Najihah menjawab sambil berjalan menuju ke tepi jendela. Pandangannya dibuang jauh ke luar sebelum melangkah ke sofa.

"Entah-entah ada pencuri kut masuk rumah kita?" Tengku Najihah mula serkap jarang. Gerun pula bila difikirkan ada pencuri yang berjaya menyelinap ke dalam rumahnya itu. Tengku Syed Idris sudah pun menggeleng-gelengkan kepala.

"Isy, ke situ pulak awak ni. Kena cari lagi tu. Mana tahu awak tersalah letak ke?" bidas Tengku Syed Idris. Tidak suka akan telahan mengarut isterinya. Takut benda yang tidak pernah jadi, akan terjadi pula. Kata-kata itukan satu doa?

"Tapi tak mustahil jugak, bah. Ibu ingat siapa yang last masuk bilik ibu pagi tadi?" Damia mula mencelah.

Tengku Najihah seakan-akan memikirkan sesuatu. Tiba-tiba matanya memandang wajah Dahlia Arissa.

Tengku Syed Adam yang perasan akan pandangan ibunya itu pantas mencuit Dahlia Arissa yang leka sekali dengan drama di kaca TV. Mentang-mentanglah hero drama itu lakonan Zul Ariffin.

"Ada apa?" tanya Dahlia Arissa tanpa memandang wajah suaminya. Tengku Syed Adam mengetap bibir. Geram melihat isteri kesayangannya itu ralit sekali melihat lakonan Zul Ariffin.

"Handsome sangat Abang Zul Ariffin sayang tu?" sindir Tengku Syed Adam. Tergugat juga dia dengan lelaki yang menjadi pujaan hati Dahlia Arissa itu.

"Takkan dengan Zul Ariffin pun abang nak jealous kut?" usik Dahlia Arissa sambil mengusap lembut lengan suaminya. Berbulu mata Damia melihat adegan itu.

"Tak ada maknanya abang nak jealous. Tu, ibu tu dah pandang semacam je, sayang..." balas Tengku Syed Adam.

Serta-merta Dahlia Arissa menegakkan kepalanya. Wajah Tengku Najihah dipandang.

"Tak mungkinlah!" Itu pula perkataan yang terkeluar daripda mulut Tengku Najihah.

Tengku Syed Idris sudah pun memandang pelik isterinya. Apa yang tak mungkin? Tanyanya di dalam hati.

"Apa yang tak mungkin ni, bu?" soal Tengku Syed Adam.

Damia sudah mengatur skrip di dalam kepala. Dia mahu semua orang di dalam rumah itu curiga pada Dahlia Arissa. Sama ada berjaya atau tidak caranya itu, dia tetap akan mencuba.

"Yalah, Mia tanya siapa yang kali terakhir masuk bilik ibu. Ibu rasa Dahlia yang terakhir masuk pagi tadi sebab Lia yang ambikkan passport ibu dengan abah. Tapi..."

"Ibu macam tuduh Lia je," Dahlia Arissa tiba-tiba mencelah.

Tengku Najihah disimbah oleh perasaan bersalah. Tengku Syed Idris sudah pun menjeling kepadanya. Pasti dia tidak suka menantu kesayangannya itu dituduh sebegitu.

"Eh, bukan itu maksud ibu..."

"Tapikan akak yang last masuk dalam bilik ibu, so tak mustahil akak yang ambik," Damia pula memintas kata-kata Tengku Najihah.

Mencerlung mata Tengku Syed Adam mendengar tuduhan Damia yang sudah berunsur fitnah itu.

Dahlia Arissa turut merenung tajam wajah madunya. Dia tidak menyangka Damia sanggup menuduhnya mencuri. Sudahlah di hadapan ibu bapa mertua mereka!

"Watch your mouth, Damia! Kau ingat Arissa ni terdesak sangat ke sampai nak curi benda dalam rumah ni? Kau tahu tak, barang kemas arwah mama dia pun terlebih banyak. Itu pun dia dah tak terpakai. Jadi kau rasa dia kemaruk sangat ke dengan barang kemas ibu tu?" tempelak Tengku Syed Adam.

Damia sudah pun terkulat-kulat di situ.

"Tak baik kamu tuduh orang lain macam tu, Mia." tegur Tengku Syed Idris pula.

"Sebab tu ibu cakap tak mungkin tadi. Sebab ibu tahu Dahlia tak mungkin ambik barang kemas ibu." Tengku Najihah cuba menjerinihkan suasana.

"Tak pe, bu. Tapi demi Allah, Lia tak ambik pun barang kemas ibu tu," Dahlia Arissa bersuara. Sempat dia mengerling Damia yang sudah pun menundukkan kepala. Mahu sahaja dia menghamburkan perasaan marah kepada madunya itu, tetapi bila mengenangkan kedua-dua ibu bapa mertuanya ada di situ membuatkan dia mematikan hajatnya.

Sabarlah, Lia. Simpan dulu dalam hati, pujuk hati kecil Dahlia Arissa.

"Entah-entah kau yang ambik tak?" tembak Tengku Syed Adam secara tiba-tiba.

Dahlia Arissa sudah tersenyum di dalam hati. Damia kelihatan tersentak. Dadanya berombak laju.

"Err... mana ada!" sanggah Damia.

Tengku Syed Adam sudah pun memandang semacam isteri keduanya itu. Ada garis ketakutan di wajah Damia. Hatinya mula mencurigai sesuatu.

"Yang muka kau pucat semacam tu, kenapa pulak?" serang Tengku Syed Adam lagi.

Pantas Damia memegang kulit mukanya.

Tengku Syed Idris sudah pun menggeleng-gelengkan kepala. Nampak sangat kekalutan Damia. Dahlia Arissa mengambil Tengku Syed Muiz yang mula merengek.

"Kamu ke yang ambik, Damia?" Kali ini Tengku Najihab pula bersuara.

"Tak, tak. Mia tak ambik pun." Gugup Damia menjawab. Terketar ketar suaranya.

Tengku Syed Adam sudah pun berpeluk tubuh. Dia yakin Damia ada kaitan dengan kehilangan set barang kemas ibunya itu. Dahlia Arissa yang mendodoikan Tengku Syed Muiz itu turut diperhatikan. Dan kenapa Dahlia Arissa macam tidak kisah Damia menuduhnya mencuri sebentar tadi?

"Pelikkan? Semua orang dalam rumah ni tak terfikir pun akak yang ambik. Tapi Mia sorang je boleh terfikir akak yang ambik barang ibu tu. Kenapa ya? Atau mungkin sebab Mia memang sengaja nak sabotaj akak? Saja nak jatuhkan nama baik akak dengan tuduhan macam tu?" Tiba-tiba Dahlia Arisaa meluahkan bicara.

"Tapi masalahnya sekarang, akak orang terakhir yang masuk bilik ibu!" balas Damia dalam nada yang sedikit tinggi.

Dahlia Arissa tersenyum sekerat. Tengku Syed Muiz yang sudah terjaga di pangkuan Dahlia Arissa itu diambil oleh Tengku Syed Idris. Belum sempat Dahlia Arissa menjawab, Tengku Syed Idris memintas.

"Jangan nak bergaduh pulak. Nanti apa pulak fikir si Muiz ni. Ni abah baru teringat, kat depan lorong sebelum masuk ke bilik ibu dengan abah tu ada pasang CCTV. Kita tengok dekat CCTV tu je."

Damia tergamam. Sejak bila kat lorong atas ke bilik tu ada CCTV? Damia bersoal jawab di dalam hati. Peluh dingin muka terkeluar daripada tubuhnya.

"Sejak bila ada CCTV dekat situ, bah?" tanya Tengku Syed Adam. Setahunya, CCTV hanya dipasang di sekeliling kawasan luar rumah. Di dalam rumah memang tidak ada.

"Ada. Abah mintak kawan abah pasangkan dua bulan lepas. Tadi lupa pulak abah pasal ni. Nah, ambik kejap Muiz ni, abah nak naik atas. Nak check, siapalah punya kerja ni..." jawab Tengku Syed Idris lalu menyerahkan semula Tengku Syed Muiz kepada Dahlia Arissa.

"Mia yang ambik..."

Semua mata yang ada di situ menghala ke arah Damia yang sudah pun tertunduk kaku itu. Menyirap darah Tengku Syed Adam mendengarnya. Bukan apa, tadi Damia juga yang beria-ia menuduh Dahlia Arissa, tetapi hakikatnya dia sendiri yang mencuri.

Tengku Najihah pula sudah beristighfar panjang manakala Tengku Syed Idris sudah pun sembunyi senyum. Sebenarnya dia hanya mereka-reka cerita tentang CCTV. Tidak ada satu CCTV pun di dalam rumah itu. Dia hanya ingin menguji reaksi si pencuri. Tambahan Damia yang paling mencurigakan antara yang lain. Dan hasilnya Damia sendiri yang mengaku.

"Apa nak jadi dengan kamu ni, Mia? Sampai hati kamu ambik barang kemas ibu. Kalau tak silap, bulan lepas ibu ada hadiahkan kamu barang kemas jugak, kan? Sempena hari jadi kamu. Tapi sekarang kamu tergamak buat buat semua ni pada ibu." Kesal Tengku Najihah dengan sikap menantunya itu. Damia terus berlutut di kaki Tengku Najihah. Mohon simpati.

"Maafkan Mia, bu. Mia terpaksa. Sebab Mia nak tolong mama... itu saja..." pinta Damia.

Dia bukannya bersungguh pun meminta maaf. Hanya ingin memastikan Tengku Najihah tidak benci kepadanya kerana dia tahu hanya Tengku Najihah sahaja yang masih melayannya dengan baik di rumah itu. Kalau mak mertuanya itu tidak ada, pasti sudah lama dia diusir dari situ.

"Perempuan macam kau ni, memang tak layak diberi kemaafan tahu tak? Hidup kalau tak menyusahkan orang tak boleh ke?" marah Tengku Syed Adam.

Damia sudah pun menangis teresak-esak. Berharap agar tangisannya itu dapat meraih perhatian mereka yang ada di situ.

"Kalau tahu diri tu ada masalah, jangan jadi bodoh sombong! Sampai tak mahu mintak tolong kat orang. Tapi aku rasa siapa pulak nak tolong orang macam kau dengan mama kau tu, kan? Sebab tu kau sampai nak jadi pencuri macam ni. No choice. Lepas ni pergi rompak bank pulak. Biar anak yang kau kandung tu ikut perangai kau," sambung Tengku Syed Adam lagi. Belum puas menghamburkan kemarahannya.

Dahlia Arissa cepat-cepat mengangkat punggung sambil mengendong Tengku Syed Muiz. Tidak mahu dia berlama di situ. Tidak mahu anaknya terkesan dengan apa yang berlaku. Walaupun Tengku syed Muiz masih tidak mengerti apa-apa, tetapi Dahlia Arissa tetap mahu pastikan anaknya sentiasa berada di kawasan yang sihat.

"Mia janji, Mia tak akan buat lagi..." rintih Damia perlahan.

Tengku Najihah yang kaya dengan sifat baik hati dan pemaaf itu segera menyentuh bahu Damia. Tidak sanggup Tengku Najihah melihat Damia yang sarat mengandung itu menangis tersedu-sedu di kakinya.

"Dahla, jangan nangis lagi. Nanti effect pulak dekat baby. Kamu tu tunggu masa je lagi nak bersalin. Pasal barang kemas tu, kita lupakan je. Anggap jelah ibu bagi dekat kamu," pujuk Tengku Najihah

Tengku Syed Idris sudah mencebik. Tahu sangat perangai isterinya yang satu itu.

"Ibu ni suka sangat bagi muka dekat perempuan ni!" bidas Tengku Syed Adam lalu meninggalkan ruang tamu itu.

Terpinga-pinga Tengku Najihah melihat anaknya yang sudah hilang di tingkat atas. Suaminya juga sudah mula mengatur langkah. Akhirnya tinggallah Tengku Najihah bersama Damia di situ.



















Vote

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro