bab 62
"KAK, boleh Mia cakap sekejap dengan akak?" tanya Damia sebaik sahaja melihat kelibat Dahlia Arissa yang baru balik dari spa.
Dahlia Arissa hanya mengangguk lalu menuju ke sofa. Damia sudah mula menyusun ayat di dalam kepala. Sedang memikirkan kata-kata yang hendak dilontarkan kepada madunya itu.
"Dahlia nak minum apa-apa tak?" soal Kak Wani.
"Tak apa, kak. Nanti kalau Lia nak minum pandai-pandailah Dahlia nak ambik dekat dekat dapur. Erm, mana Muiz, Kak?"
"Tok abah dengan nenek dia ajak pergi shopping. Nak beli baju baru katanya."
"Abah dengan ibu tu suka sangat manjakan si Muiz tu. Belum sampai setahun lagi dah ajar macam-macam."
"Orang sayang cucu, Lia. Biasalah tu. Akak masuk dalam dulu ya," balas Kak Wani lantas berlalu.
"Ada apa?" soal Dahlia Arissa acuh tak acuh. Damia yang duduk dihadapannya dipandang lama. Mata dengan hatinya berasa sakit apabila terpandang perut Damia yang sudah mula membukit itu. Kesian Muiz terpaksa berkongsi kasih sayang dengan adik tirinya itu, keluh Dahlia Arissa di dalam hati.
"Akak tak patut buat Mia macam ni," sayu sahaja suara Damia. Dahlia Arissa mengerutkan dahi tanda tidak faham maksud sebenar Damia. Tangannya membuka tudung di kepala.
"Apa maksud Mia? Akak tak faham..."
"Err... maksud Mia, akak tak sepatutnya biarkan Abang Adam lebihkan akak sorang je. Mia nikan isteri dia jugak."
Dahlia Arissa melepaskan satu keluhan berat.
"Lagipun akak sendiri yang setuju nak bermadu jadi..."
"Jadi akak perlu beralah dengan Mia?" tukas Dahlia Arissa.
Damia terkedu. Mendengar suara Dahlia Arissa sedikit meninggi membuatkan hatinya cuak tiba-tiba. Sebelum ini dia tidak pernah mendengar suara Dahlia Arissa setinggi itu. Garang juga madunya itu.
"Akak memang rela bermadu tapi akak tak rela nak berkongsi Adam dengan perempuan lain," sambung Dahlia Arissa sedikit mendatar. Itulah hakikatnya yang sebenar.
"Akak tak ikhlas..."
"Mungkin," ringkas balasan Dahlia Arissa.
"Habis tu akak nak Abang Adam terus tanggung dosa akibat tak berlaku adil pada Mia, macam tu?" Kali ini Damia sudah pun tidak dapat mengawal perasaannya lagi. Matanya yang sudah berkaca itu merenung tajam wajah Dahlia Arissa. Nafasnya pula terasa seperti ditahan-tahan
"Apa masalahnya ni?" Entah bila Tengku Syed Adam berdiri di muka pintu, mereka berdua langsung tidak perasan. Langkah Tengku Syed Adam yang kelihatan agak teratur menuju ke sofa dan pastinya tempat duduknya di sisi Dahlia Arissa.
"Tak ada apalah," jawab Damia lalu berlalu. Bengkak hatinya melihat Tengku Syed Adam yang baru duduk di sofa itu terus mencium pipi Dahlia Arissa.
"Mia ada cakap apa-apa ke dekat sayang tadi?" tanya Tengku Syed Adam yang sedikit curiga dengan gelagat Damia. Dahlia Arissa melentokkan kepalanya di bahu Tengku Syed Adam.
"Tak ada apa-apa pun, Abang. Lia nak balik rumah papa. Boleh tak?"
"Bila?"
"Esok."
Tengku Syed Adam mengelus lembut rambut isterinya sambil berfikir sejenak.
"Okey."
Jawapan daripada Tengku Syed Adam itu membuatkan Dahlia Arissa terua mencium pipi suaminya sebagai tanda terima kasih.
"Muiz keluar dengan ibu, abah." Dahlia Arissa kembali bersuara bila Tengku Syed Adam kelihatan ligat mencari sesuatu.
"Ibu dengan abah ni suka sangat bawak si Muiz tu keluar. Kalau anak kita tu dah besar tak apa jugak, ni baru berapa bulan dah usung ke sana sini..." bebel Tengku Syed Adam. Dahlia Arissa sudah tersengih.
"Gaya seorang papa memang dah ada dekat abang. Gaya papa membebel dekat anaknya," usik Dahlia Arissa lalu bangkit daripada sofa. Tiba-tiba terasa tubuhnya melayang. Rupa-rupanya Tengku Syed Adam sudah mencempung dirinya.
"Abang ni malulah kalau orang dalam rumah ni nampak...!"
"Kita mandi sama, okey?" Tengku Syed Adam sudah pun tersengih tanpa mempedulikan kata-kata Dahlia Arissa.
Membulat mata Dahlia Arissa.
Tengku Syed Adam sudah pun tergelak sambil meniti anak tangga.
Di sebalik daun pintu, Damia sudah pun menggigit jari. Argh! Kenapa bukan aku yang patutnya dilayan macam tu? Jeritnya dalam hati.
TENGKUKNYA yang terasa sedikit sakit itu diurut perlahan. Badannya disandarkan pada badan kerusi kulit itu untuk mencari keselesaan. Jam sudah menunjukkan pukul lima, lima puluh minit petang. Sekejap lagi dia perlu pergi ke rumah Tan Sri Mokhtar kerana ada majlis bacaan Yasin di sana.
Mengingatkan hal itu membuatkan Amir Haikal teringat akan Dahlia Arissa. Sudah lama benar dia tidak menatap wajah ayu sepupunya itu. Dalam masa yang sama dia teringat pula akan usul mummynya untuk berkenalan dengan Nabellah. Entah siapa Nabellah itu pun, dia sendiri tidak tahu. Dengan tenaga yang masih bersisa, Amir Haikal mengemas mejanya sebelum meninggalkan pejabat.
DAHLIA ARISSA mengintai dari tingkat atas suasana di tingkat bawah. Selesai solat berjemaah tadi, dia terus naik ke tingkat atas supaya bibik boleh menunaikan solat. Tengku Syed Muiz yang terkebil-kebil matanya itu dibaringkan di atas sofa. Matanya menerawang ke bahagian dapur dan kelihatan Datin Melur berkepit dengan seorang gadis muda. Mungkin sebaya dengannya. Ibu mertuanya, Tengku Najihah masih sibuk melayan tetamu-tetamu yang hadir.
Matanya beralih pula ke ruang tamu utama, kelihatan papanya bersembang dengan rakan-rakan lamanya. Tengku Syed Adam pula sibuk menjemput tetamu untuk makan dan Daniel Amriza leka mengejar Qaisarah yang begitu seronok berlari ke hulur ke hilir. Panggilan Maisarah langsung tidak diendahkan oleh si kecil itu. Akhirnya mata Dahlia Arissa singgah ke wajah Amir Haikal yang duduk di sebelah Dato' Mukriz. Lama wajah abang sepupunya itu diperhati. Masih tampan dan bergaya cuma air muka Amir Haikal sedikit mendung pada malam itu. Mungkin dia penat dengan kerja yang bertimbun, Dahlia Arissa menelah di dalam hati.
"Ha... sini rupanya anak mummy yang sorang ni. Mummy nak kenalkan someone dekat Lia." Ceria sahaja Datin Melur menegur anak saudaranya itu.
"Lia temankan Muiz dekat atas ni. Siapa ni mummy?" tanya Dahlia Arissa lalu menyambut huluran tangan gadis yang dilihatnya tadi. Nampak ayu dan manis sekali.
"Ni Nabella. Panggil Bella. Anak kawan mummy masa belajar dulu. Bella, nilah Dahlia yang aunty cerita tu," Datin Melur mengenalkan Dahlia Arissa kepada Bella.
"Cantiknya anak saudara aunty ni." Lancar sahaja Bella memuji Dahlia Arissa. Tetapi pujian itu memang ikhlas datang daripada hatinya. Dahlia Arissa hanya tersenyum kelat.
"Kalau setakat cantik dekat muka tapi kehidupan tak cantik, tak guna jugak." Tutur Dahlia Arissa penuh makna.
Datin Melur menepuk perlahan bahu Dahlia Arissa. Faham benar dia maksud yang cuba disampaikan oleh anak arwah kakaknya itu.
"Mummy nak turun bawah kejap. Bella sembang je dengan Lia tau!" Ujar Datin Melur lalu meninggalkan mereka berdua.
Bella hanya mengangguk. Sesekali matanya tumpah pada wajah Tengku Muiz. Comel budak ni, pujinya dalam hati.
"Awak tahu kenapa saya ada dekat sini?" tanya Nabilah secara tiba-tiba.
Dahlia Arissa mengangkat wajah lalu menatap wajah Bella yang manis sekali berkebaya hijau pekat yang digandingkan dengan tudung berwarna hijau muda. Lantas dia menggeleng.
"Aunty Melur nak kenalkan saya dengan Abang Amir. Saya ni tahu nama dan cerita Abang Amir je, tapi orangnya saya tak pernah jumpa pun," Nabella berkata jujur. Mudah sungguh gadis itu berterus terang. Dahlia Arissa sekadar mengangguk lalu mengamit Nabella supaya duduk disebelahnya.
"Bella nak tengok Abang Amir yang mana satu? Meh saya tunjukkan." Mesra sahaja Dahlia Arissa meraih lengan Bella. Setelah dapat mengesan kelibat Amir Haikal, pantas Dahlia Arissa membisik ke telinga Bella.
"Nampak tak lelaki yang tengah berdiri depan pintu tu? Yang tengah bercakap dengan telefon. Baju Melayu warna hitam. Nampak?"
Nabilah mengamati lama lelaki berbaju Melayu berwarna hitam itu dan entah macam mana Amir Haikal itu mendongak ke atas. Nabilah panar. Apa yang dia bayangkan sebelum ini lebih daripada apa yang dilihatnya.
Dahlia Arissa melambai tangan kepada Amir Haikal. Dia sudah pun tersenyum apabila Bella melarikan pandangan daripada bertaut dengan Amir Haikal. Siapa sahaja pasti akan terpikat dengan air muka Amir Haikal yang amat mempersona itu. Dia sendiri pernah mengalami perasaan yang sama suatu ketika dahulu.
"Handsome, kan? Tapi bukan setakat handsome je, tapi Abang Amir tu baik tau orangnya," puji Dahlia Arissa. Dia dan Bella duduk semula.
"Mesti dia ramai kawan perempuan, kan? Yalah, orang handsome macam Abang Amir tu mustahil tak ada kekasih."
"Entahlah, Bella tanyalah dia sendiri. Tapi cara dia tengok Bella tadi dia nampak macam terpegun, tau!" Seloroh Dahlia Arissa, tetapi dia memang nampak wajah Amir Haikal kelihatan terpegun ketika melihat mereka berdua tadi.
"Entah-entah dia terpegun dengan awak tak?" sengih Bella lagi. Dahlia Arissa tergelak.
"Nak terpegun apanya lagi Bella kalau saya ni dah ada anak satu. Body pun dah tak hot."
"Tapi seriously, awak nampak macam anak dara. Saya rasa awaklah perempuan yang paling cantik yang ada dekat dalam majlis malam ni," bersungguh-sunggub Bella memuji.
"Dah-dahlah memuji saya ni, Bella. Nanti naik kembang hidung saya ni," jawab Dahlia Arissa. Bibik datang mengambil Tengku Syed Muiz.
"Adam manggil ajak makan," beritahu bibik.
"Okay, terima kasih Rossa. Bella, jom kita makan. Dapat saya kenalkan awak dengan Abang Amir," Dahlia Arissa mengajak Bella makan sekali.
Gadis itu kelihatan malu-malu namun tetap mengikut langkah Dahlia Arissa menuruni anak tangga.
Beberapa tetamu kenalan arwah mamanya sempat menegur Dahlia Arissa. Nasib baik tida ade sesiapa yang berani membuka mulut tentang dirinya yang sudah bermadu. Dia mengambil tempat di sebuah meja yang kelihatan kosong. Bella hanya mengikut dari belakang.
"Bella duduk sini kejap. Saya nak cari suami saya dulu." Dahlia Arissa berkata lantas berlalu. Bayang suaminya tidak kelihatan. Tadi ajak orang makan, tapi ni dia pulak yang ghaib... kata Dahlia Arissa di dalam hati.
Vote
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro