bab 51
AMIR HAIKAL seakan akan tidak percaya dengan berita yang dibawa oleh Daniel Amriza. Tengku Syed Adam dan Dahlia Arissa duduk berasingan? Biar betul!
"Aku tak sangka pulak hubungan dia orang jadi sampai macam ni. Macam mana dengan Lia sekarang?" tanya Amir Haikal ingin tahu. Pertemuan dia dengan Daniel Amriza di restoran itu tidak disengajakan. Dia baru sahaja berjumpa dengan beberapa teman lamanya manakala Daniel Amriza menemani papanya.
"Dia okey. Mungkin pengalaman sebelum ni mematangkan dia kut. Cuma masa malam kejadian tu jelah dia nangis. Teruk jugak keadaan dia masa tu. Lepas tu aku tengok dia macam cool je. Tapi dalam hati dia aku tak tahulah, kan? Lagipun aku dah tak bagi dah Lia jumpa dengan Adam," balas Daniel Amriza sambil mencuri pandang kepada papanya yang sedang bersembang dengan beberapa temannya di meja sebelah.
"Tapi Adam tu masih suami dia, bro. Kau tak boleh halang dia daripada jumpa isteri dia. Lagipun dia orang dah ada anak. Kalau something happened dengan dia orang sekalipun, Adam masih kena jumpa anak dia. Takkan kau nak halang seorang ayah yang nak jumpa dengan anak dia sendiri?"
"Sebab tu aku nak Adam lepaskan Lia!"
"Astaghfirullah al-Azim. Kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Sebagai abang kau kena nasihat adik kau supaya dia pertahankan rumah tangga dia. Kau tak ingat apa yang arwah Akisyah buat kat dia orang dulu? Mungkin sejarah lama berulang lagi. Kau kena ambik iktibar dengan apa yang pernah berlaku selama ni."
Daniel Amriza mengacau-ngacau air kopinya dengan sudu. Kata-kata sepupunya itu memang ada benarnya. Cuma dia sudah tidak sanggup melihat adiknya dilukai oleh Tengku Syed Adam lagi.
"Mungkin ada cerita yang berlaku di sebalik kejadian malam itu. Jangan bertindak terburu-buru, bro. Hati Lia kita kena jaga jugak..." sambung Amir Haikal lagi.
"Kalau dia orang berpisah, kau nak cuba tackle Lia balik tak?"
Amir Haikal terkedu. Soalan Daniel Amriza membuatkan lidahnya kelu. Air tembikai disedut perlahan.
"Mungkin lepas ni jodoh kau dengan adik aku kut," kata Daniel Amriza lalu menepuk bahu sepupunya.
Kata-kata Daniel Amriza dibiarkan berlalu pergi. Dia tidak mahu memberi sebarang balasan.
MELIHAT Tengku Syed Adam masuk ke dalam kereta membuatkan hati Dahlia Arissa meronta-ronta untuk memanggil suaminya semula. Ingin sahaja dia meminta Tengku Syed Adam terus tinggal bersamanya di situ, tetapi bila mengenangkan kembali keputusan yang telah diambilnya membuatkan dia membiarkan kereta Tengku Syed Adam hilang daripada pandangan. Dia tidak mahu kecewa lagi. Dia tidak mahu menangis lagi hanya kerana Tengku Syed Adam walaupun hatinya kuat mengatakan suaminya tidak bersalah, tetapi dia takut untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi. Cukuplah dua kali dia kecewa. Dia tidak mahu ada kali ketiga.
"Nasib baik Abang Amri dengan papa lambat balik, kalau tak..."
"Abang Adam masih suami akak. Harap semua orang dalam rumah ni tak lupa pasal tu," balas Dahlia Arissa lantas berlalu.
Maisarah hanya memerhati dari jauh. Perasaan bersalah mula timbul di dalam hati setelah dia mengeluarkan kata-kata itu.
HUBUNGAN Tengku Syed Adam dan isterinya masih hambar. Cuma sesekali dia akan menjenguk Tengku Syed Muiz di rumah keluarga Dahlia Arissa. Selebihnya Dahlia Arissa sendiri akan membawa anaknya itu ke rumah mereka. Itu pun atas permintaan Tengku Syed Idris dan Tengku Najihah.
"Sampai bila kamu berdua nak macam ni?" tanya Tengku Syed Idris kepada Dahlia Arissa dan Tengku Syed Adam. Ketika itu mereka sedang minum petang di rumah Tengku Syed Idris.
"Sampai Arissa maafkan Adam, bah," jawab Tengku Syed Adam sambil melirik pada isterinya yang sedang menyusukan anak mereka. Tengku Najihah yang baru keluar dari dapur melabuhkan punggung di sisi suaminya.
"Lia, maafkanlah Adam. Lagipun ibu kesian tengok Muiz ni. Takkan dia nak membesar macam ni? Benda dah jadi pun, kan? Lagipun Damia dah tak muncul sekarang. Mana dia pergi dengan mama dia pun ibu tak tahu," pujuk Tengku Najihah lembut.
Dia tahu menantunya masih lagi menyayangi anaknya itu. Ini terbukti bila Dahlia Arissa datang membawa Tengku Syed Muiz ke rumah mereka, menantunya itu akan menyediakan segala keperluan Tengku Syed Adam. Pakaian ke pejabat Tengku Syed Adam digosok rapi, bilik turut dikemas, makanan kegemaran mereka sekeluarga juga disediakan.
"Abah tak nak kamu berdua berterusan macam ni. Sorang ke hulu, sorang ke hilir. Yang jadi mangsanya Muiz ni, hah. Dahlah dia baru nak membesar, tapi environment sekeliling pulak macam ni! Abah tahu kau orang ni masih memerlukan antara satu sama lain," hujah Tengku Syed Idris panjang lebar.
Dahlia Arissa menarik nafas panjang.
Tengku Syed Adam mengambil tempat di sebelah isterinya lalu mengambil anak mereka yang sudah pun terlena. Dia terus menuju ke tingkat atas.
"Ibu tahu Adam banyak buat salah dengan Lia. Tapi ibu mohon sangat Lia bagi satu lagi peluang untuk Adam. Lia tak sayangkan rumah tangga Lia, ke?" sambung Tengku Najihah pula.
Dahlia Arissa hanya mendiamkan diri.
"Kita anggap jelah benda ni dah selesai dekat sini, ya?" Tengku Syed Idris tidak jemu-jemu memujuk menantunya.
"Benda ni tak selesai lagi!"
Serentak mereka bertiga berpaling ke muka pintu. Kelihatan Aunty Syida datang bersama Damia. Jantung Dahlia Arissa berlari laju. Aunty Syida menapak menuju ke arah sofa tempat mereka duduk sejak tadi. Damia masih mematung di muka pintu. Wajahnya kelihatan pucat.
"Abang, akak... Ida nak bagitahu yang Damia mengandung. Mengandungkan anak Adam!"
Dahlia Arissa tergamam. Dunia seakan-akan gelap. Badannya terasa menggigil. Benda yang paling ditakutinya itu benar-benar berlaku. Tengku Syed Idris mengurut dada manakala Tengku Najihah sudah pun menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak percaya.
"Jangan nak main-main, Syida!" bidas Tengku Najihah.
"Kak, Ida tak ada masa nak main-main! Ni tentang anak Ida kak, Ida nak Adam kahwin dengan Mia secepat mungkin," pinta Aunty Syida perlahan.
Dahlia Arissa menahan sebak di dada. Baru sekejap tadi dia mahu memulihkan keadaan setelah dipujuk oleh kedua ibu bapa mertuanya, tetapi sekarang...
"Tolonglah, kak. Saya nak Adam bernikah dengan Mia je. Lepastu kalau dia orang nak bercerai pun Ida tak kisah," rayu Aunty Syida kepada Tengku Najihah.
Melihat Tengku Najihah sudah menangis teresak-esak, dia menuju pula ke arah Dahlia Arissa yang masih kelihatan tergamam itu.
"Lia, aunty mohon sangat dekat Lia untuk izinkan Mia kahwin dengan Adam." Aunty Syida merayu kepada Dahlia Arissa pula.
"Kak, Mia tahu Mia salah. Tapi Abang Adam pun salah jugak. Akak dengan Abang Adam tak perlu bercerai... sebab... sebab Mia sanggup jadi isteri kedua."
Dahlia Arissa sekali lagi tergamam. Kali ini dengan pengakuan Damia sendiri yang mahu menjadi madunya. Dahlia Arissa menggeleng-gelengkan kepala. Air matanya telah tumpah walaupun sudah puas ditahan. Langkahnya diatur menuju ke tingkat atas. Dia perlu keluar dari rumah itu secepat mungkin. Fikirannya bercelaru. Kosong. Terlalu banyak pengakuan dan perkara tak diingini berlaku. Dia penat.
Sampai sahaja di dalam bilik, kelihatan Tengku Syed Adam sedang memujuk anak mereka yang sedang merengek. Tanpa menunggu lama, Dahlia Arissa mengambil Tengku Syed Muiz daripada pangkuan suaminya.
"Sayang, kenapa ni?" tanya Tengku Syed Adam kehairanan.
Dahlia Arissa terus keluar. Tengku Syed Adam mengikut isterinya dari belakang. Namun langkahnya terhenti di tangga pertama apabila terpandang wajah Damia dan Aunty Syida. Ya Allah, dugaan apa lagi yang kau beri kepada hamba-Mu ini? tanya hati kecil Tengku Syed Adam.
"Abah, ibu... Lia balik dulu. Assalamualaikum..." katanya lalu menuju ke muka pintu.
"Sayang!" panggil Tengku Syed Adam. Langkah Dahlia Arissa mati di situ lantas berpaling.
"I izinkan you kahwin dengan Damia tapi dengan syarat you kena lepaskan I dulu," kata Dahlia Arissa lantas berlalu. Laungan suaminya tidak lagi diendahkan.
"Sayang, jangan buat Abang macam ni!" Tengku Syed Adam terus menuruni anak tangga untuk mendapatkan isterinya.
"Damia mengandungkan anak kamu, Adam!" kata Aunty Syida sebaik sahaja Tengku Syed Adam sampai ke anak tangga paling bawah.
Serta-merta langkah Tengku Syed Adam mati di situ. Jantungnya berdegup pantas. Darah terasa naik ke kepala.
"Abah nak kamu kahwin dengan Damia malam Jumaat ni. Faham!" putus Tengku Syed Idris lalu berlalu ke biliknya. Tangannya masih menahan dada yang terasa sakit. Sakit kerana menahan perasaan amarah. Mujurlah dia tidak ada penyakit jantung, kalau tidak mahunya dia pengsan mendengar perkhabaran yang dibawa oleh Syida sebentar tadi.
Tengku Syed Adam sudahpun terduduk di lantai. Rambutnya ditarik-tarik. Kepalanya digeleng beberapa kali. Tanda tidak percaya dengan kata-kata Aunty Syida dan abahnya sebentar tadi.
"Argghhhhh!!!" Jeritannya membuatkan seluruh ruang rumah itu bergema.
Tengku Najihah segera menerpa anaknya apabila Tengku Syed Adam cuba menghentak kepalanya di sisi tangga.
"Mengucap Adam! Mengucap!" jerit ibunya. Tengku Najihah memeluk anak tunggalnya itu. Takut Tengku Syed Adam bertindak di luar kawalan.
"Bu, Adam tak boleh kahwin dengan orang lain. Hati Adam ada dekat Arissa, bu. Adam dah penat dengan semua ni. Adam tak sanggup kehilangan Arissa lagi. Tolong Adam, bu. Adam sayangkan Arissa. Adam tak boleh hilang dia. Adam tak boleh hilang Muiz. Ibu fahamkan?" tangis Tengku Syed Adam. Air mata lelakinya mengalir lagi dan kali ini lebih deras.
"Ibu faham, tapi kamu kena bertanggungjawab ke atas Damia. Ibu pun sayangkan Lia, tapi kamu dah buat kesilapan besar, Adam. Lebih besar daripada kamu tak jadi bertunang dulu."
"Tapi semua tu tak akan jadi kalau perempuan tu tak masuk rumah kita, bu!" jerit Tengku Syed Adam lantas menunding jari pada Damia yang masih berdiri sejak dari tadi.
Aunty Syida mendapatkan anaknya. Takut Tengku Syed Adam membelasah Damia lagi sepertimana yang pernah dilakukan oleh lelaki itu sebelum ini.
"Kalau sebelah pihak je, benda ni tak akan jadi, Adam. Kamu jangan nak lepas tangan pulak," tempelak Aunty Syida.
"Kami balik dulu, kak. Saya tak mintak buat kenduri tujuh hari tujuh malam pun. Cukuplah hanya majlis akad nikah. Nanti akak call saya untuk tetapkan tarikhnya, ya..." sambung Aunty Syida lalu menarik tangan anaknya keluar dari rumah agam itu. Di luar rumah, mereka berdua sudah mula tersenyum kemenangan.
Aku yang buat citer ni aku pulak yang emo, btw, shaa nak vote korang ye :))
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro