bab 39
DAHLIA ARISSA tersenyum senang apabila melihat kereta Tengku Syed Adam masuk ke perkarangan rumah. Tas tangan dicapai. Temu janji dengan doktor setengah jam lagi. Baru sahaja dia hendak melangkah keluar, kelihatan Tengku Syed Adam sudah keluar dari kereta dengan air muka yang kelat. Kenapa lagi ni? Gumam Dahlia Arissa dalam hati.
"Assalamualaikum." Tengku Syed Adam memberi salam kepada isterinya yang masih tercegat di muka pintu. Cuba untuk berlagak biasa.
"Waalaikumussalam. Kenapa muka kelat je ni? Banyak sangat ke kerja dekat office?" Tanya Dahlia Arissa setelah menyalami tangan suaminya.
Tengku Syed Adam mencium dahi Dahlia Arissa. Tenang hatinya apabila melihat wajah isterinya itu. Tetapi ketenangan itu tidak lama setelah dia teringat kembali apa yang berlaku di pejabat sebentar tadi.
"Boleh tahan. Sayang dah makan?" Tanyanya sambil melangkah masuk ke dalam rumah. Melihat sahaja kelibat Tengku Syed Adam, bibik terus membuat minuman.
"Dah, Lia makan dengan mama tadi. Ingatkan abang tak singgah rumah. Abang ni dah makan ke belum?" Soal Dahlia Arissa pula.
Tengku Syed Adam tidak segera menjawab. Sebaliknya dia terus menuju ke bilik mereka. Dahlia Arissa semakin dihimpit dengan perasaan hairan. Dahlah kejap lagi nak jumpa doktor, tapi dia ni macam buat-buat tak tau je... bisik hati kecil Dahlia Arissa. Namun langkahnya tetap dihayun mengikut suaminya dari belakang. Bibik yang baru sahaja siap membancuh air kembali semula ke dapur dengan air tadi apabila melihat ruang tamu audah tiada kelibat mereka suami isteri.
"Abang dah batalkan temu janji sayang petang ni. Kita pergi awal pagi esok ya," beritahu Tengku Syed Adam setelah terdampar di dada katil. Dia perlu tenangkan fikiran.
"Tapi kenapa?" Tanya Dahlia Arissa lalu duduk di birai katil. Menanti jawapan suaminya.
Tengku Syed Adam menarik Dahlia Arissa ke dalam pelukannya. Terasa damai ruang hatinya apabila kehangatan tubuh isterinya meresap ke dalam tubuhnya.
"Abang, Lia tanya ni. Kenapa abang tiba-tiba batalkan appointment tu?"
"Abang tak ada mood nak keluar petang ni."
Dahlia Arissa melepaskan diri daripada pelukan suaminya. Tengku Syed Adam dipandang lama. Pasti ada yang tidak kena. Tapi apa?
"What's going on?" Tanya Dahlia Arissa. Kali ini lebih serius nada suaranya.
Tengku Syed Adam bangkit dari katil. Membuka kemeja dan menggantikannya dengan T-shirt. Dia memang tidak akan kemana-mana petang itu. Seluar turut ditukar. Dahlia Arissa semakin geram dengan reaksi suaminya. Aku tanya, dia buat tak tau je!
"Kalau abang taknak temankan Lia sekalipun, abang cakap dekat Lia... Lia boleh pergi sendiri. Lia boleh drive sendiri. Tapi abang tak payahlah batalkan appointment tu. Ni bukan untuk Lia abang... tapi untuk baby kita."
"Baby kita? Sayang pasti ke tu baby kita?" Tanya Tengku Syed Adam tanpa memandang wajah isterinya. Suaranya masih sama macam tadi. Mendatar sahaja.
Dahlia Arissa tersentak. Ya Allah, apa yang tak kena dengan suami aku ni?
"Apa yang abang merepek ni?" Dia cuba mengawal perasaan. Jangan nak buat hal, Tengku Syed Adam! Marahnya dalam hati.
"Abang cuma tanya, sayang pasti ke tu baby kita?" Tanya Tengku Syed Adam sekali lagi. Walaupun nada suaranya masih mendatar, tetapi penuh dengan sindiran. Dahlia Arissa mengucap panjang. Tangan Tengku Syed Adam ditarik lembut. Mata suaminya ditatap dalam-dalam.
"Abang, Lia tak tahu siapa yang dah racun fikiran abang sampai abang sanggup cakap macam tu dekat Lia. Dengan nama Allah, ini anak kita. Anak kita abang. Takkan abang tak dapat rasa?" Perlahan sahaja suara Dahlia Arissa. Hatinya cukup terkilan bila suaminya sendiri tidak mengaku anak yang dikandungnya itu adalah anak mereka berdua.
Tengku Syed Adam melepaskan satu keluhan berat. Dia sendiri masih keliru dengan kata-kata Syahfina. Tetapi apabila teringat kembali kemesraan Amir Haikal dan isterinya, dia tidak dapat menyangkal kebenaran di sebalik kata-kata Syahfina itu. Tambahan kesudian Dahlia Arissa menerimanya secara tiba-tiba amat mencurigakan.
"Sayang, abang sayangkan sayang. Jadi abang takkan marah kalau sayang mengaku apa yang dah sayang lakukan dekat belakang abang walaupun berat hati abang nak terima. Lagipun setiap manusia pernah buat salah kan? Cuma abang nak sayang jujur je dengan abang. Takkan sayang nak biarkan baby tu lahir tanpa kenal siapa ayah dia yang sebenar?" Tutur Tengku Syed Adam lembut. Dia hanya mahu Dahlia Arissa mengaku. Itu sahaja. Jika benar itu bukan anaknya, dia reda. Tetapi dia tidak akan melepaskan Dahlia Arissa. Dahlia Arissa merupakan 'bunga' yang sentiasa berkembang di dalam hidupnya.
Terasa hendak gugur jantung Dahlia Arissa mendengar apa yang diungkapkan oleh Tengku Syed Adam. Air matanya mula mengalir tanpa dipinta. Perutnya dipegang lama. Sayang, jangan dengar apa yang papa sayang cakap tu tau, bisiknya dalam hati. Hanya untuk anak di dalam kandungannya itu.
"Sampai hati abang cakap macam tu dekat Lia. Kalau abang taknak mengaku Lia ni isteri abang, Dahlia boleh terima lagi... tapi Dahlia tak boleh terima bila abang mula meragui baby dalam kandungan Lia ni. Jahat sangat ke Lia ni sampai Dahlia sanggup tidur dengan lelaki lain? Teruk sangat ke Dahlia ni sampai nak mengandungkan anak orang lain?" Rintih Dahlia Arissa dalam tangisannya.
Tengku Syed Adam memeluk erat Dahlia Arissa. Dahi isterinya dikucup penuh kasih. Dia sayangkan Dahlia Arissa jadi dia akan terima apa sahaja pengakuan Dahlia Arissa walaupun itu akan meragut hatinya sendiri.
"Please sayang, abang merayu pada sayang. Abang tak mintak lain, abang nak sayang mengaku je pada abang yang baby tu anak Amir. Abang janji abang takkan tinggalkan sayang dan baby ni, cuma abang nak sayang jujur pada abang," ujar Tengku Syed Adam lagi. Ya, dia hanya mahu Dahlia Arissa jujur dengannya. Mendengar kata-kata Tengku Syed Adam membuatkan Dahlia Arissa menolak kasar tubuh suaminya. Tengku Syed Adam panar.
"Abang, ni anak abanglah! Anak kita! Sampai hati abang meragui Lia. Abang tak mengaku anak ni dari darah daging abang sendiri! Lia betul-betul tak sangka suami Lia sendiri meragui anak yang Dahlia kandungkan ni. Dahlia betul-betul tak sangka!" Tangis Dahlia Arissa lalu keluar dari bilik.
Tengku Syed Adam terduduk di birai katil. Wajahnya diraup perlahan. Perasaan menyesal timbul di lubuk hatinya.
TANGISAN Dahlia Arissa semakin menjadi-jadi apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Qirah. Kate menepuk-nepuk bahu teman baik mereka itu. Kedatangan Dahlia Arissa di rumah Qirah dengan keadaan yang tidak terurus membuatkan Qirah menelefon Kate. Tidak sampai setengah jam, Kate sudah pun terpacak di hadapan rumah Qirah.
"Dahlah Lia, kesian dekat baby dalam perut tu kalau kau asyik macam ni. Dari petang tadi aku tengok kau menangis je," pujuk Kate.
"Kau jangan layan sangat mamat sengal tu, Lia. Entah hantu bunting manalah yang merasuk dia, sampai jadi macam tu. Nasib baiklah dia tu bukan laki aku. Kalau tak, nak saja aku bagi tamparan wanita dekat dia... Eee... geram betul aku!" Qirah pula menyambung.
Kate sudah pun menjeling Qirah. Dia ni sengaja nak tambahkan sakit hati orang je, bisik Kate apabila mendengar kata-kata Qirah.
"Dia dah tak sayangkan aku lagi ke, Irah?" Tiba-tiba Dahlia Arissa bersuara. Pelukan dileraikan.
Kate dan Qirah berpandangan sesama sendiri. Tidak tahu untuk memberi sebarang jawapan.
"Aku tak tau nak cakap apa dah, Lia. Mungkin ada orang yang bawak mulut dekat dia kut." Akhirnya suara Qirah kedengaran agak lembut. Dahlah api tengah marak, takkanlah aku nak simbah lagi dengan minyak. Qirah memarahi dirinya sendiri.
"Aku setuju dengan Qirah tu. Ada orang dengki dengan kau ni. Entah-entah Syahfina tak? Tak pun Puteri? Minah dua ekor tu mana boleh percaya. Kan dulu kau pernah cakap yang kau ada terjumpa Syahfina dekat klinik? Lepastu dia cakap kau bukannya kandungkan anak Adam tapi anak Amir. Memang sah, Fina yang bawak mulut ni," Kate mula serkap jarang.
"Tak kisahlah siapa yang bawak mulut tu Kate, tapi aku terkilan sangat-sangat sebab dia lebih percayakan orang luar berbanding isteri dia sendiri. Teruk sangat ke aku ni sampai sanggup cakap baby ni bukan anak dia? Aku tak kisah kalau dia tak mengaku aku ni isteri dia, tapi anak ni... Ya Allah, sumpah ni anak dia. Anak Adam!" Dahlia Arissa kembali menghamburkan tangisannya.
Baru sahaja Qirah ingin bersuara, terdengar pula suara orang memberi salam. Siapa pulak yang datang time genting macam ni? Bikin panas betullah! Rungut Qirah lalu membuka daun pintu. Namun mukanya yang masam tadi segera dimaniskan apabila melihat Daniel Amriza sudah tercegat di muka pintu.
"Assalamualaikum Qirah. Dahlia ada datang sini tak? Puas Abang Amri cari tapi tak jumpa. Nak call, tapi dia tak bawak phone pulak. Lagipun bibik cakap tadi dia keluar naik teksi," ujar Daniel Amriza panjang lebar.
Setelah menyambut salam, Qirah terus membawa Daniel Amriza masuk ke dalam rumah. Melihat sahaja kelibat abangnya, membuatkan air mata Dahlia Arissa turun semakin lebat. Pantas tubuh Daniel Amriza diterpa lalu dipeluk erat.
"Abang, Adam dah tak sayangkan Lia. Dia dah tak sayangkan baby ni..." Adu Dahlia Arissa.
Daniel Amriza mengusap lembut belakang adiknya. Nasib baik Maisarah tahu alamat rumah Qirah. Kalau tidak, entah di mana dan bila dia akan ketemu adik tunggalnya itu.
"Adam dah ceritakan semuanya dekat abang. Dahlah, jangan nangis lagi. Mama, papa, Mai, semua dah tunggu Lia. Kita balik ya," pujuk Daniel Amriza lembut.
Qirah dan Kate hanya memerhati. Tidak mahu mengganggu perbualan dua adik beradik itu.
"Tapi, kenapa bukan Adam yang datang pujuk Lia? Kenapa mesti abang? Memang betullah dia dah tak sayangkan Lia. Dia dah buang Liakan, abang?"
"Adam sayangkan Lia. Kalau dia tak sayangkan Lia, dia dah mengamuk masa dengar cerita tu. Entah-entah dia dah ceraikan Lia. Tapi Adam tak buat macam tu, kan? Dia tanya Lia elok-elok. Cuma cara penyampaian dia tu je tak kena. Kita balik ya, sayang..." pujuk Daniel Amriza lagi. Dahlia Arissa menggelengkan kepala.
"Tak! Lia tak nak balik! Sepatutnya dia yang pujuk Lia, jelaskan pada Lia apa sebenarnya terjadi tapi..."
"Tapi dia tak boleh, Dahlia. Dia tak boleh nak datang sini untuk pujuk Lia," celah Daniel Amriza.
"Kenapa tak boleh? Sebab dia memang dah tak sayangkan Lia, kan? Cakap je abang, Lia boleh terima!" Bentak Dahlia Arissa sedikit kuat.
"Sebab Adam kemalangan. Dia accident. Dia ada dekat hospital sekarang ni. "
Kali ini Dahlia Arissa terasa dunianya seakan-akan berhenti. Adam kemalangan?
Kate dan Qirah turut berpandangan sesama sendiri.
Daniel Amriza sekali lagi memeluk adiknya. Memberi kekuatan. Tetapi Dahlia Arissa sudah pun terkulai di dalam pelukannya.
Shaa nk vote korang pls ;((
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro