bab 33
SELEPAS menunaikan solat terawih, Dahlia Arissa terus masuk ke dalam bilik. Kepalanya yang sedikit pening membuatkan dirinya tidak sabar-sabar untuk berehat.
Tengku Syed Adam turut mengekori langkah Dahlia Arissa. Tanpa membuka tudung, isterinya sudah pun berbaring di atas katil. Matanya tertutup rapat.
"Sayang..." Sapa Tengku Syed Adam, terus merapatkan diri kepada Dahlia Arissa. Pipi isterinya dielus lembut. Risau mula datang bertandang bila melihat isterinya itu kelihatan tidak bermaya.
"Kepala Lia tiba-tiba je pening ni," Dahlia Arissa mula mengadu kepada suaminya.
Tanpa menunggu lama, tangan Tengku Syed Adam sudah pun menari-nari di atas dahi Dahlia Arissa.
"Kalau esok masih pening, tak payahlah puasa."
"Esokkan hari last kita puasa. Insya-Allah bangun tidur nanti okeylah ni," jawab Dahlia Arissa dengan mata masih terpejam.
"Okey, tapi kalau kepala sayang masih sakit kita pergi klinik ya?"
Dahlia Arissa tidak mengangguk.
Tengku Syed Adam menuju ke meja solek. Laci ditarik untuk mengambil minyak angin yang selalu diguna oleh Dahlia Arissa. Baru sahaja dia hendak ke katil, telefon bimbitnya sudah pun berlagu nyaring. Minta dijawab.
"Assalamualaikum, abang!" Mesra sahaja suara seorang gadis menyapa dihujung talian. Tengku Syed Adam menarik nafas panjang. Dia duduk di kerusi meja solek. Ada apa lagi dia ni?
"Waalaikumussalam. Ada apa?"
"Saja nak call abang. Kenapa? Tak boleh ke?"
"Abang penat, nak rehat. Okeylah, bye!" Tengku Syed Adam terus memutuskan panggilan. Dia segera menuju ke katil.
"Siapa?" Tanya Dahlia Arissa yang masih belum tidur itu.
"Damia."
Mendengar nama itu membuatkan Dahlia Arissa membuka mata.
Tengku Syed Adam menyapu minyak angin di tepi dahi isterinya. Dahlia Arissa terus merapatkan semula matanya. Pening di kepalanya mematahkan hasratnya untuk menyoal lebih lanjut tentang gadis bernama Damia itu. Tengku Syed Adam meletakkan botol minyak angin di atas meja lampu tidurnya sebelum merebahkan diri disebelah isterinya. Panggilan daripada Damia itu membuatkan dia teringat akan kejadian di pejabat siang tadi.
Ketika Tengku Syed Adam sedang leka menyemak beberapa dokumen penting, pintu bilik pejabatnya ditolak dari luar. Darahnya terus menyirap. Dia cukup pantang ada orang masuk ke biliknya tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu.
"Maaf, Tengku Syed. Saya..." Kelam kabut sahaja Aisya menahan Damia yang merempuh bilik bosnya itu.
"Hai, abang!" Sapa Damia sambil tersenyum manja.
"Awak keluar dulu, Aisya," arah Tengku Syed Adam.
Damia terus duduk dikerusi yang ada di hadapan Tengku Syed Adam. Matanya lekat memandang wajah suami Dahlia Arissa itu. Masih tampan, malah makin tampan.
"Lain kali kalau masuk tu biar beradap sikit!" Tegur Tengku Syed Adam sedikit berang. Sudahlah kerjanya masih banyak, dan masa ini juga dirinya diganggu. Dia perlu menyiapkan semua kerja sebelum bercuti untuk menyambut hari raya.
"Eh, puasa-puasa macam ni tak elok marah-marah." Damia pula menegur Tengku Syed Adam dengan bersahaja. Tengku Syed Adam beristighfar di dalam hati. Tangannya memicit-micit belakang tengkuk. Terasa sedikit lega.
"Ada apa Mia datang ni?" Kali ini suara Tengku Syed Adam kendur sedikit berbanding tadi. Damia melebarkan senyumannya. Dia perlu bertemu dengan lelaki ini setelah semua panggilan yang dibuatnya hanya dijawab acuh tak acuh sahaja.
"Mama cakap ada jumpa abang dekat bazar Ramadan. Betul ke?" Tanya Damia. Tengku Syed Adam menarik nafas panjang.
"Sebab tu je ke Mia datang jumpa abang?"
"Eh, taklah. Sebenarnya Mia nak jemput abang sekeluarga beraya dekat rumah nanti. Yalah, nikan first time beraya dekat Malaysia. Mia dengan mama bukannya ada siapa-siapa pun dekat sini. Harap dengan keluarga abang je. So, Mia harapkan sangat abang dengan keluarga datang," pujuk Damia dengan penuh manja. Masih macam dulu. Suka menarik perhatian Tengku Syed Adam dengan aksi manjanya.
"Insya-Allah." Tengku Syed Adam lantas meneruskan kerjanya. Seolah-olah di bilik itu hanya dia seorang. Damia mendengus kasar. Berkecil hati dengan layanan Tengku Syed Adam.
"Abang ni buat tak tau je dengan apa yang Mia cakap."
Tengku Syed Adam memandang Damia. Pen ditangan diletakkan di atas meja. Darahnya kembali menyirap.
"Kan abang dah cakap tadi Insya-Allah, takkan tu pun Mia tak faham?"
"Mia faham. Faham sangat-sangat. Tapi abang langsung tak bagi perhatian masa Mia bercakap. Penting sangat ke dokumen depan abang tu berbanding dengan Mia ni?" Bentak Damia sambil menunjuk fail yang berada di hadapan Tengku Syed Adam.
"Memang... Memang dokumen ni lagi penting daripada Mia!"
Damia tersentak. Matanya berkaca. Sedih apabila disergah oleh Tengku Syed Adam. Dia datang dengan niat baik, tetapi dilayan seumpama itu pula yang dia dapat.
"Sampai hati abang buat Mia macam ni. Dahlah dekat Malaysia ni abang satu-satunya kawan yang Mia ada. Bila dah ada dekat sini, macam ni pulak abang buat kat Mia. Mia bukannya nak mintak apa-apa pun dari abang," balas Damia yang sudah pun teresak-esak itu.
Tengku Syed Adam diterpa perasaan serba salah. Gadis yang baru sahaja menamatkan pengajian di Bandung itu dipandang lama. Dulu dia memang rapat dengan Damia. Tetapi masa itu dia sudah pun bercinta dengan Dahlia Arissa. Mungkin disebabkan dia tidak mempunyai adik-beradik lain membuatkan kasih sayangnya tertumpah kepada Damia. Dan layanannya selama ini tidak lebih daripada seorang abang dan adik. Cuma Dahlia Arissa tidak pernah tahu akan kewujudan Damia. Bukan ingin berahsia, tetapi takut timbul salah faham.
"Abang tau tak betapa gembiranya hati Mia bila mama bagitau nak pindah sini. Mia terus berdoa supaya masa cepat-cepat berlalu. Mia tak sabar nak jumpa ibu dengan abah abang, dan Mia paling tak sabar nak jumpa abang. Mia... Mia rindukan abang," luah Damia tanpa berselindung.
Tengku Syed Adam tidak merasa apa-apa kerana sebelum ini Damia pernah meluahkan perkara yang sama. Disebabkan sikap berani Damia itu jugalah membuatkan dia tidak mahu menceritakan perihal Damia kepada isterinya. Takut timbul salah faham. Bukan dia tidak tahu perangai Dahlia Arissa yang suka membuat keputusan sendiri tanpa mendengar penjelasan daripadanya.
"Sudah-sudahlah tu, Mia. Bulan puasa macam ni tak elok menangis. Mia pun taukan yang abang dah kahwin? Abang bahagia dengan isteri abang, abang harap Mia faham. Lagipun abang dah anggap Mia macam adik abang sendiri."
"Tapi Mia tak pernah anggap abang macam abang Mia! Mia tau abang dah kahwin. Tapi Mia tau jugak yang abang boleh kahwin lagi satu, kan? Lagi-lagi dengan kedudukan abang sekarang ni, Mia yakin abang mampu. Jadi, apa salahnya kalau abang ambik Mia jadi isteri kedua abang."
Rasa nak pecah dada Tengku Syed Adam mendengarnya. Wajah Dahlia Arissa bermain-main di mindanya. Boleh terlingkup pejabat ni kalau Dahlia Arissa dengar apa yang Damia ungkapkan sebentar tadi.
"Mia sedar tak apa yang Mia cakapkan ni?" Bergetar suara Tengku Syed Adam bertanya.
"Mia sedar, abang."
"Jangan nak merepek, Mia!"
"Mia tak merepek, bang. Mia sayangkan abang. Mia cintakan abang. Mia balik Malaysia sebab abang. Tapi tak apalah, Mia bagi abang masa. Abang fikir baik-baik. Bagi Mia peluang untuk Mia buktikan yang Mia cintakan abang. Untuk jadi isteri abang."
Damia terus berlalu meninggalkan Tengku Syed Adam yang masih dalam kebingungan. Gila! Jeritnya di dalam hati.
"Abang..." Dahlia Arissa menyapa suaminya yang mengelamun jauh. Lunak sahaja suara Dahlia Arissa menyentuh pendengarannya. Senyuman sudah pun terbit di bibir.
"Ada apa, sayang?"
"Jauh abang mengelamun? Dah sampai mana?"
"Tak sampai mana pun sayang, baru sampai kat luar pagar bawah tu," seloroh Tengku Syed Adam sekadar menutup rasa di dalam hati.
Dahlia Arissa tersenyum. Dia bangkit lalu membuka tudung dan disangkut di dalam almari. Eh, tadi sakit kepala. Ni dah okey dah? Gumam Tengku Syed Adam di dalam hati.
"Kepala sayang dah okey ke?"
"Kepala dah okey, pandai abang urut tapi tekak pulak tak okey ni," adu Dahlia Arissa lalu menukar baju tidur.
Tengku Syed Adam menelan air liur apabila melihat isterinya dengan begitu bersahaja menukar pakaian di hadapannya. Dulu masa mula-mula kahwin bukan main malu lagi tukar baju depan aku, tapi sekarang...
"Err... Nak abang urutkan tekak sayang, ke?" Tanya Tengku Syed Adam. Lurus.
Dahlia Arissa sudah pun tergelak. Dia mencapai losyen badan di atas meja solek lalu kembali duduk di birai katil.
"Abang tu agak-agaklah sikit. Mana ada orang urut tekak. Kalau nak urut leher tu ada jugak Lia dengar," ejek Dahlia Arissa sambil tersenyum.
Suaminya itu hanya tersengih. Dahlia Arissa menyapu losyen ke seluruh badannya. Bau wangi di tubuh Dahlia Arissa membuatkan Tengku Syed Adam sudah pun meletakkan kepalanya di atas paha isterinya. Dahlia Arissa tersenyum sambil mengusap lembut rambut Tengku Syed Adam. Manja pulak dia ni malam ni, desis hati kecil Dahlia Arissa.
"Abang, abang perasan tak yang Lia tak datang bulan lagi?"
"Yalah, kan. Dah nak habis puasa tapi sayang dapat jugak puasa. Lagipun abang tau sayang selalunya datang bulan dalam awal dua puluh hari bulan macam tu, kan?"
"Ingat pulak abang, ya?"
"Masa tu abang 'puasa', mestilah abang ingat."
"Abang tu tak ingat lain," jawab Dahlia Arissa lalu menarik muka. Pipinya merah bila mengenangkan maksud 'puasa' yang disebut suaminya tadi. Tengku Syed Adam sudah pun meletuskan tawanya. Dia mengalih kepala ke bantal lalu menarik Dahlia Arissa di dalam pelukannya.
"Dahlah, tak elok merajuk bulan puasa macam ni. Abang rasa baik kita pergi check kat doktor je sayang. Mana tau sayang pregnant?" Kali ini mata Tengku Syed Adam kelihatan bercahaya.
Dahlia Arissa sekadar tersenyum hambar. Bukan dia tidak suka mengandung, tetapi harapan Tengku Syed Adam jelas sekali kelihatan dari sinar matanya. Dia tidak mahu Tengku Syed Adam kecewa jika keputusan nanti negatif.
"Abang, Lia ada beli pregnancy test dekat pharmacy tadi," kata Dahlia Arissa sambil mengusap lembut pipi suaminya.
"So, sayang dah try?"
Dahlia Arissa menggeleng. Tengku Syed Adam mendakap erat tubuh Dahlia Arissa. Dia sendiri tidak pasti dengan apa yang sedang difikirkan oleh isterinya itu.
"Sayang tak ready lagi ke nak ada anak?" Tiba-tiba Tengku Syed Adam bertanya.
"Apa yang abang cakapkan ni? Sejak kita kahwin lagi Lia dah sedia jadi isteri abang dengan mama pada anak-anak kita."
"Anak-anak? Macam ramai je sayang nak bagi anak dekat abang ni? Tak pe, abang terima je. Tapi kita kenalah kerja lebih masa lepas ni,kan sayang?" Usik Tengku Syed Adam.
"Abang ni kan, tak ingat benda lain tau!" Dahlia Arissa sudah pun mencebik.
Tengku Syed Adam ketawa. Dia memang suka mengusik isterinya dengan usikan nakal seumpama itu. Sebab saat itu juga pasti pipi Dahlia Arissa akan berona merah dan sekaligus menyerlahkan lagi kecantikan yang ada pada isterinya itu. Dahlia Arissa memang kelihatan amat menarik apabila dia tersipu malu.
"Dahlah, sayang. Jom tidur. Esok nak bangun sahur. Awal pagi nanti sayang check, tau! Mana tau rezeki kita pada hujung Ramadan ni," ujar Tengku Syed Adam sambil mencium dahi isterinya.
"Tapi tekak sayang ni terasa nak makan anggur hijaulah abang," rengek Dahlia Arissa dengan manja. Kali ini Tengku Syed Adam sudah pun terduduk di atas katil. Dahlia Arissa disapa kehairanan.
"Sah. Memang sah. Sayang mesti mengandung ni. Tengok tu dah nak mengidam anggur hijau pulak. Kejap, abang tengok dalam peti ais ada tak anggur hijau. Kalau tak ada, abang pergi beli kejap. Sayang tunggu tau!"
Belum sempat Tengku Syed Adam turun dari katil, terasa tangannya dipegang oleh Dahlia Arissa.
"Abang, tolong jangan macam ni. Lia terasa nak makan je. Belum tentu Lia mengidam." Lembut sahaja suara Dahlia Arissa.
Tengku Syed Adam duduk semula. Tangan isterinya diraih lalu dikucup penuh kasih. Dia memang teruja jika Dahlia Arissa disahkan mengandung.
"Okey, maafkan abang. Tapi izinkan abang pergi bawah kejap sebab abang nak tengok sama ada, ada lagi ke tak anggur hijau dalam peti ais."
Dahlia Arissa mengangguk. Tengku Syed Adam segera turun ke tingkat bawah. Tidak sampai lima minit, Tengku Syed Adam sudah pun membawa segugus anggur hijau yang diletakkan di dalam mangkuk kaca lut sinar itu.
"Terima kasih, abang," ucap Dahlia Arissa lalu mencium pipi suaminya.
Tengku Syed Adam tersenyum senang. Tidak ada yang lebih bermakna selain daripada senyuman kegembiraan di wajah isterinya itu.
Vote nyah
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro