bab 19
HUBUNGAN Dahlia Arissa dan Amir Haikal sudah pulih sepenuhnya, cuma Dahlia Arissa tidak berani meluahkan apa yang tersirat di dalam hatinya. Tambahan di dalam hatinya masih ada nama Tengku Syed Adam walaupun di mulut dia menidakkan perkara itu. Biar masa sahaja yang menentukannya. Amir Haikal pula semakin lega apabila dia telah meluahkan perasaanya kepada Dahlia Arissa. Sama ada adik sepupunya terima atau tidak, itu belakang kira.
"Mama, Abang Amri confirm ke nak duduk sini terus?" Tanya Dahlia Arissa ketika mereka duduk minum petang di halaman rumah.
"Katanya confirm. Papa pun ada cakap rumah yang dia nak hadiahkan dekat Amri tu dah siap sepenuhnya," jawab Puan Sri Melati. Kek coklat yang dibawa bibik sebentar tadi dimasukkan sedikit ke dalam mulut. Sedap walaupun sedikit manis.
"Kenapa tak nak duduk dekat rumah ni je?" tanyanya lagi. Puan Sri Melati tersenyum.
"Amri dengan Maisarah nak hidup berdikari. Papa dengan mama tak kisah asalkan mereka berdua bahagia. Lepas tu dapat anak cepat-cepat," jelas Puan Sri Melati. Bayangan cucu-cucu mula bermain di seluruh benak fikirannya. Dia juga kadang-kadang cemburu apabila melihat beberapa orang teman sebayanya yang sudah sibuk bercerita tentang cucu masing-masing.
"Kalau macam tu, makin sunyilah rumah ni, kan ma?"
"Sunyi? Selagi Lia ada dekat dalam rumah ni, mama rasa rumah ni tak akan sunyi kut. Tengok semalam, haru-biru rumah ni kejap masa papa kena kejar dengan Lia bila papa usik Lia makin tembam."
Dahlia Arissa tertawa. Jelas keriangan di wajahnya.
"Papa tu lah, main sedap mulut dia je cakap Lia dah makin tembam. Kalau cakap Lia ni makin comel ke, cute ke, boleh jugak diterima. Ni tak, cakap Lia makin tembam pulak," rungut Dahlia Arissa. Serta-merta dia memegang pipinya. Betullah, macam dah tembam semacam je pipi aku ni ke perasaan aku je? Bisiknya dalam hati.
"Papa tu bergurau jelah. Berat Lia kan masih sama lagi? Hah, tu kenapa sampai cubit pipi tu pulak? Nak buang lemak dekat pipi tu ke?" Tegur Puan Sri Melati.
Dahlia Arissa tersenyum malu. Jelas kelihatan kedua-dua lesung pipitnya. Anak perempuannya itu memang kelihatan cantik dan manis sekali apabila mengukir senyuman.
"Kan bagus kalau lemak dekat pipi ni boleh kurangkan sikit."
"Macam-macam je Lia ni tau. Spa macam mana? Rasanya lama dah mama tak pergi sana."
"Mestilah makin okey. Ni Dahlia Arissalah, ma. Anak perempuan mama yang paling pandai dan cantik dekat dunia ni. Anak perempuan mama yang lain mana ada macam Lia ni," katanya sambil ketawa.
"Eh, dia ni macamlah mama ada ramai anak perempuan. Yang ni sorang je pun bukan main susah nak dijaga." Jawab mamanya selamba.
"Lupa pulak yang Lia just ada Abang Amri sorang je, kan? Okey, okey... sebenarnya, spa mama tu makin ramai customer. Lagipun, kan kita ada bagi discount untuk staf papa dengan staf Abang Amir. Hujung minggu macam ni lagilah tak menang tangan dibuatnya spa tu. Nasib baik mama tak wajibkan Lia pergi spa hujung minggu. Kalau tak, tak ada life lah hidup Lia ni. Yang ada just sos life dekat dapur tu, hah!" Semakin galak Dahlia Arissa ketawa.
"Apa yang seronok sangat ni ma? Lia?" Tegur Amir Haikal yang baru sahaja balik dari pertandingan boling anjuran syarikatnya.
"Tak ada apalah. Yang Amir ni awal pulak baliknya? Dah habis tournament ke?" Tanya Puan Sei Melati lalu memotong kek coklat dan disuakan kepada Amir Haikal.
"Malam karang baru habis, ma. Amir malas nak tunggu lama-lama dekat sana. Kalau dah nak habis nanti, baru Amir gerak balik pergi sana sebab nak sampaikan hadiah," beritahu Amir Haikal. Tangannya mencapai horlicks suam yang dihantar oleh Maisarah.
"Mama Sri, ayam bakar tu dah siap masak ke belum, ya? Tadi Mai dengan bibik tengok macam dah masak, cuma tak berani nak keluarkan dulu dari oven, takut tak masak," tanya Maisarah kepada Puan Sri Melati.
Tanpa menunggu lama, Puan Sri Melati beriringan dengan Maisarah untuk masuk ke dalam rumah. Aroma ayam bakar itu mula menusuk ke hidung masing-masing.
"Dahlia tak keluar ke hari ni?" Tanya Amir Haikal kepada Dahlia Arissa.
"Pagi tadi je teman papa main golf kejap. Bukan abang cakap nak ajak Kak Fina makan malam dekat sini ke, malam karang?" Dahlia Arissa mula bertanya. Matanya dihalakan ke wajah Amir Haikal.
"Pembetulan, bukan abang yang ajak tapi mama."
"Eleh, yalah tu. Dah masuk tiga minggu abang dah tak jumpa dia, kan? Takkan tak rindu kut?" Pancing Dahlia Arissa.
"Papa mana? Tak nampak pun dari tadi?" Tanya Amir Haikal, cuba mengalih topik perbincangan.
"Saja abang nak masuk trafik jammed, kan? Soalan Lia bukannya abang nak jawab. Tu hah, papa ada dalam bilik bacaan dia," jawab Dahlia Arissa sambil menarik muka. Amir Haikal sudah pun tergelak.
"Dahlia ni, perangai tu dah serupa macam budak-budak dah abang tengok. Sikit-sikit nak tarik muka dia tu. Tapi tak apa, barulah muka tu nampak comel sikit," usik Amir Haikal bersama dengan tawanya. Lama juga dia tidak menyakat gadis itu.
"Abang!"
"Okey, okey... Sorry! Sebenarnya, macam tak ada perasaan rindu pun dalam hati abang ni. Lagipun, abang masih tak dapat nak maafkan apa yang dia dah buat dekat Lia masa dekat hospital hari tu. Kalau Amri tahu hal sebenar, entah apa yang dia akan buat dekat abang dengan Fina."
"Dahlah, benda dah lepas. Lia pun dah malas nak ingat pasal benda tu lagi. Dalam hal ni, Lia pun salah jugak," akui Dahlia Arissa perlahan. Amir Haikal tidak menjawab sebaliknya dia menatap jam di pergelangan tangan.
"Abang nak masuk bilik, nak solat. Lia dah solat ke belum ni?" Tanya Amir Haikal.
"Cuti," jawab Dahlia Arissa sambil tersenyum malu.
Amir Haikal hanya mengangguk lalu berlalu.
Dahlia Arissa melepaskan keluhan berat. Berdepan dengan Amir Haikal membuatkan dia terasa seperti mendera perasaanya sendiri. Walaupun dia sendiri mengakui dalam diam dia mencintai abang sepupunya itu, tetapi status Amir Haikal membuatkan dia berfikir banyak kali. Tegakah dia merampas tunang Syahfina itu?
Tak! Dia bukan perempuan seperti itu. Dia tidak mahu membina kebahagiaan di atas air mata insan lain. Tidak sama sekali. Bayangan Tengku Syed Adam menyapa benaknya. Dia lagi! Dahlia Arissa mengeluh berat.
KEDATANGAN Tengku Syed Adam pada malam itu amat mengejutkan Dahlia Arissa. Kali terakhir dia berjumpa dengan tunang tak jadinya itu semasa dia terlantar di hospital. Seperti biasa, Tan Sri Mokhtar dan Puan Sri Melati akan menyambut baik kehadiran tetamu mereka. Tambahan yang datang itu merupakan anak kepada kawan baik mereka sendiri. Namun, mereka berdua terus naik ke tingkat atas apabila melihat Dahlia Arissa sudah berada di ruang tamu utama itu.
"I ada janji dengan you ke malam ni?" Tanya Dahlia Arissa sejurus terpandang wajah Tengku Syed Adam
Tengku Syed Adam hanya menggeleng. Maisarah datang membawa minuman dan kek cawan.
"So, kenapa you datang?" Soal Dahlia Arissa lagi. Tidak puas hati. Tengku Syed Adam mengambil kek cawan lalu dicubit sedikit sebelum dimasukkan ke dalam mulut. Eh, dia ni? Selamba katak dia je tak jawab soalan aku. Dah lah makan tak pelawa aku sekali. Tak patut, tak patut!
"Sedap cup cake ni. Pandai mama you buat," puji Tengku Syed Adam. Laju sahaja dia makan.
"Memang sedap pun, tapi yang pelik bin ajaib bin hairannya, macam mana you tau mama I yang buat? Kalau I yang buat macam mana? Tak pun Rossa dekat dapur tu yang buat."
"Ala, mama you kan baik dengan I. Takkan you lupa kut?" Kali ini Tengku Syed Adam memandang Dahlia Arissa. Rambut Dahlia Arissa yang masih basah itu menarik perhatiannya. Seksi!
"You ada apa-apa affair dengan mama I ke?" Dahlia Arissa mula bertanya. Mukanya menjadi lebih serius. Mamat ni mana boleh percaya sangat. Dah tak dapat aku, mama aku pun dia nak rembat ke?
"Jangan nak menyimpang jauh sangat fikiran you tu. Petang tadi my mum ada called mama you. Tu yang mama you ada bagitau I yang dia ada buat cup cake. Lepas tu mama you jemput kita orang makan dekat sini tapi my mum dengan my dad ada hal, so I yang jadi wakil." Terang Tengku Syed Adam panjang lebar.
"Ya ke? Tapi kenapa mama I tak bagitau I pun? Dia orang dekat rumah ni suka macam ni tau!" Omel Dahlia Arissa. Tangannya mencapai cawan berperisa coklat itu. Disuapkan sedikit ke dalam mulut.
"I miss you, Rissa!" Ucap Tengku Syed Adam agak perlahan secara tiba-tiba.
Dahlia Arissa hanya mencuri pandang ke arah Tengku Syed Adam. Jiwang pulak dia malam ni. Dah lah buat muka romantik macam tu. Pakai pun bukan main smart lagi. Sengaja nak goda aku lah tu. Maaf bin sorry. I tak tergoda pun! Bidas hati kecil Dahlia Arissa. Tetapi, nun di dasar hati, dia mula terkesan dengan kata-kata Tengku Syed Adam itu.
"I dah berbaik dengan Abang Amri. You tau tak?" Beritahu Tengku Syed Adam. Wajah Dahlia Arissa berkerut seribu. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba berbaik?
"Bila masa you berbaik dengan abang I ni? Abang Amri tak cakap apa-apa pun dekat I?" Balas Dahlia Arissa seperti tidak percaya.
"Minggu lepas I pergi Singapura. So I terjumpa dengan abang you. Yang I tak sangka pulak company abah I ada deal dengan company Abang Amri, jadi lepas meeting tu Abang Amri ajak pergi minum. And I teruslah minta maaf dekat dia pasal apa yang dah berlaku. Alhamdulillah, Abang Amri cakap masa dekat hospital hari tu dia dah nak cakap pasal benda ni cuma tak sempat," cerita Tengku Syed Adam.
Dahlia Arissa menggeleng-gelengkan kepala. Nak kena basuh Abang Amri ni!
"Macam dalam mimpi je Abang Amri dah maafkan you. Tapi you jangan ingat I pun lembut hati macam Abang Amri tu tau, sebab I still lagi mogok daripada maafkan you!"
"Ada pulak main mogok-mogok macam tu! Siapa yang ajar ni?" Tegur Tan Sri Mokhtar yang entah berapa lama sudah berdiri di belakang tempat duduk mereka berdua.
Dahlia Arissa segera berpaling sambil menutup mulut. Tengku Syed Adam sudah pun tersengih.
"Mana Abang Amir dengan Kak Fina ni, pa? Dah pukul berapa dah ni. Lia dah lapar tahap kebulur dah ni. Tinggal tunggu nak pengsan je lagi," omel Dahlia Arissa. Dia memang lapar.
Maisarah sudah mula meletakkan makanan di atas meja. Harum semerbak aroma lauk-pauk itu sudah cukup menambah tahap kelaparan penghuni di rumah banglo mewah itu ke tahap maksima.
"Kalau dah lambat sangat dia orang tu sampai, baik kita makan dulu bang." Cadang Puan Sri Melati yang baru keluar dari dapur.
Dahlia Arissa sudah pun berdiri mendengar cadangan mamanya. Lantas kaki dihalakan ke meja makan.
"Tu pun dia orang dah sampai." Beritahu Tan Sri Mokhtar apabila melihat kereta Amir Haikal masuk ke perkarangan rumah.
Puan Sri Melati segera ke pintu utama. Begitu juga dengan Tan Sri Mokhtar. Tengku Syed Adam pula masih duduk di sofa menghabiskan air Milo yang sudah suam itu.
Amir Haikal terkejut apabila melihat kelibat Tengku Syed Adam ada di situ. Syahfina pula bersalaman dengan Puan Sri Melati. Namun matanya sempat mencuri pandang kepada Dahlia Arissa. Peristiwa lalu hadir kembali.
"Mari sini makan. Lia dah tunggu dah tu. Dah lapar katanya. Adam, kenapa duduk dekat situ lagi? Kita makan sama-sama. Lama dah tak makan ramai-ramai macam ni." Pelawa Tan Sri Mokhtar sambil menggamit Tengku Syed Adam.
Semua yang ada dekat situ sudah mengambil tempat masing-masing dan seperti diduga, Tengku Syed Adam duduk disebelah Dahlia Arissa. Namun itu bukanlah menjadi masalah besar buat Dahlia Arissa tetapi yang menjadi masalah besar adalah kehadiran Syahfina pada malam itu. Tanpa sedar dia menyentuh dahinya. Walaupun tidak meninggalkan sebarang parut tetapi ia tetap meninggalkan bekas di dalam hatinya.
KHALIL ASYRAF membaca blog milik Dahlia Arissa setelah dia tidak berjaya mencari akaun Facebook gadis itu. Entri terakhir di blog Dahlia Arissa berkaitan dengan pertemuannya dengan teman baiknya Qirah di hospital.
"Abang tak tidur lagi?" Tegur Puteri yang sudah pun berada di belakang Khalil Asyraf. Bahu suaminya itu di sentuh.
"Err... Kejap lagi. Budak-budak dah tidur?" Tanyanya mengawal perasaan di dalam dada. Namun soalan itu tidak dijawab oleh Puteri sebaliknya isterinya leka memerhati skrin lap-top miliknya itu.
"Abang masih lagi ikut perkembangan dia ni ke?" Tanya Puteri sedikit keras. Perasaan cemburu mula merasuk jiwa.
"Eh, mana ada! Abang saja je nak tengok blog dia," dalih Khalil Asyraf. Tidak mahu isterinya tahu tentang apa yang tersirat di lubuk hatinya.
"Abang, Puteri taulah Lia tu cantik. Pandai bergaya, bijak. Tapi, abang tu jangan lupa yang abang tu dah punya isteri. Dah ada anak-anak."
"Ya, abang tau. Abang tak pernah terfikir pun nak menduakan sayang," bohong Khalil Asyraf lagi.
Dia tidak mahu Puteri syak wasangka kepadanya kerana sejak mereka berkahwin, dia masih ligat menjalinkan hubungan sulit dengan beberapa orang gadis lain dan gadis yang diburunya selepas ini ialah Dahlia Arissa. Dia juga berharap agar Dahlia Arissa jatuh ke dalam pelukannya seperti yang telah dia lakukan kepada gadis-gadis lain.
"Dah lah tengok muka dia tu, tak pasal-pasal nanti muka dia yang abang bawak masuk mimpi," sindir Puteri dengan maksud yang cukup mendalam.
Khalil Asyraf segera mengikut arahan isterinya. Tidak mahu memanjangkan leteran isterinya yang sudah melangkah menuju ke katil.
Vote ;((
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro