Bab 9
BALIK ke kampung dengan alasan nak mengambil berkat emak sebelum menduduki peperiksaan akhir semester pertama. Aku tahu, aku berlakon lagak anak mithali. Tapi, bila dah sampai ke kampung, aku kembali dengan perangai menyakitkan hati emak.
Melepak di luar sampai ke senja. Orang dah bersiap-siap nak melaungkan azan maghrib, aku baru nak menjejak kaki balik ke rumah. Emak memang bising tak kira. Lagi pula dia dah tahu perihal aku tak pernah tolong mak su sepanjang persinggahan aku di sana. Kantoi!
Tapi, itu sudah dijangka. Dan aku juga tak berapa nak kesah. Kalau emak dah tahu, lagi baguslah. Langsung tak ada rasa bersalah. Kalau emak tahu monolog dalaman aku ini, entah berapa hari dia nak menangis pula mengenangkan perangai aku macam buluh yang sudah tidak mampu dilenturkan.
Aku melangkah masuk ke dalam rumah dengan muka selamba. Emak dah bercekak pinggang dengan batang penyapu di sebelah. Situasi itu memang agak menyeramkan, tapi aku cuba meredakan perasaan dan berlagak biasa.
"Hang ni kan, Wawa... Nak kata budak kecik, tak sangat dah. Ini apa yang merayap sampai ke maghrib baru nak balik rumah?" Emak dah mula marah.
"Wawa saja ambil angin kampung, mak. Segarkan otak, senang nak jawab periksa," jawabku selamba. Aku macam kurang peka, wajah emak memang dah memerah.
Tanpa sempat aku mengelak, batang penyapu singgah ke betis aku yang dibaluti seluar trek. Terjerit aku di situ. Terus Dahlia pun datang jadi pahlawan yang menyelamatkan aku daripada kekejaman Puan Salimah. Kenapa aku kena 'belasah' ni?
"Mak, awat yang duk pukul dia pulak?" Dahlia terus menolak bahu aku lembut. Aku faham isyarat itu. Laju aku berlari masuk ke bilik. Emak dah bising dari ruang tamu.
"Mak ingat dia pi belajaq tu, nanti insaflah... Ini tak, sama jugak perangai. Tak berubah sikit pun. Mak su hang tu baik punya duk list kat mak perangai tak semenggah Si Wawa ni! Sakit pula telinga mak ni duk dengaq."
Itu adalah bicara emak dengan Dahlia. Tapi sampai ke bilik kuatnya. Bergegar juga gegendang telinga aku. Power tidak terkata volume suara emak saat ini. Gaya dah macam nak buat pengumuman dekat satu kampung mengenai perangai aku yang malas tahap babun. Mungkin babun pun lagi rajin daripada aku.
"Alah... Wawa tu bukan pemalas mana sangat pun. Mak ni, janganlah nak marah dia sangat. Nanti dia berubahlah..." Dahlia membela aku.
Aku tersenyum, terharu. Betapa aku bersyukur dikurniakan kakak sebaik dia. Terus aku mengesat kelopak mata. Padahal air mata pun tak ada. Drama saja lebih!
"Sebab hang duk support dia, tu yang dia naik kepala!"
Sekali, Dahlia pun kena sound dengan mak.
"Lepas ni, mak tak mau dah duk tengok, hang duk tolong basuh kain baju dia, kemas bilik dia, tolong duk buat bagi ayaq... Biaq dia belajaq buat sendiri!"
Arahan mandatori emak kepada Dahlia, yang turut membuatkan aku tercekik dalam bilik. Semacam ekstrem pula aku mendengarnya. Kalau nak ubah pun relaks-relaks la, mak... Perkara ini boleh dibawa berbincang lagi.
Tapi buat masa ini, aku hanya mampu berbincang dengan hati sendiri. Janganlah nak berani bermulut lancang dan melawan bait kata emak saat ini.
Nampak gaya, malam ni tak keluar biliklah aku. Aku risau penyapu emak tu, mendarat dekat badan aku pula. Tapi... Hakikatnya emak tak pernah sekejam itu. Walaupun salah laku aku terhadap emak dah terlalu banyak kalau hendak disenaraikan.
Tidak mahu memanjangkan lagi senarai tabiat buruk yang sudah mencetuskan kemarahan emak, aku segera mencapai tuala pada penyangkut. T-shirt dan seluar tidur aku capai dari almari dan laju menapak ke bilik air.
Tapi tersilap timing, dowh! Emak lalu sebelah aku. Tanpa sempat aku mengelak, telinga aku dipulas laju.
"Aduh, mak... Wawa mohon berjuta kemaafan daripada mak! Janji akan cuba memperbaiki diri lepas ni..." ucapku bersungguh-sungguh.
"Tapi tak boleh nak gerenti." Mulut aku gatal sangat menyambung lagi.
Makin kuat emak memulas telinga aku.
"Hang ni kan, Wawa... Cubalah sesekali bagi mak rasa bangga bila hang singgah rumah pak su tu. Sakit telinga mak duk dengaq mak su hang membebel macam karangan sekolah." Emak sudah menjatuhkan tangan dan beralih pula pada bahu aku. Wajah emak nampak sayu. Aduh... Kesiannya mak aku.
"Mak tau hang tu pemalas... Tapi biaq mak sorang saja tau perangai hang tu. Janganlah nak pi heboh kat semua orang, sakit telinga mak ni..." Emak membebel lagi. Tapi suara emak sudah mengendur. Aku tahu, emak pun dah letih nak menegur.
"Wawa akan cuba untuk insaf, mak." Aku ucap dengan azam, kononnya nak insaf segera. Aku tarik nafas panjang sebelum melangkah beberapa tapak menjauhi emak.
"Tapi tak boleh nak laksana dengan kadar segeralah, mak..." sambungku dan terus berlari laju ke tandas.
"Wawa!" Volume suara emak meninggi semula.
Gedebuk!
"Aduh, mak!" Aku mula memicit hujung jari kaki. Sakit.
"Balasan untuk hang, Allah bagi depan mata. Itulah, selalu ingkar cakap mak. Padan muka!" Muka emak nampak puas melihat aku tersungkur di depan pintu tandas. Tanpa memberi sebarang pertolongan, emak terus berlalu ke depan.
Tanpa sebarang bunyi, aku picit kaki seketika. Tidak mahu melayan sakit lama-lama, aku bangun dan meneruskan niat untuk mandi. Selesai mandi, aku bersolat. Lepas tu, aku bangun pergi ke ruang tamu, itu pun sebab Dahlia paksa aku pergi bersalam dengan emak.
"Hang jangan nak buat ketegaq, Wawa. Dah la nak periksa, pi minta maaf dekat mak. Mahu tak lulus, menangis hang nanti," nasihat Dahlia dengan bicara lembutnya.
Betul juga cakap dia tu. Aku ini, nak buat dosa dengan emak pun waktu-waktu kritikal macam ini juga. Rasa bersalah menghurung hati. Aku tahu, aku selalu buat emak stres.
Langkah aku terhenti di depan emak yang menghadap al-Quran. Bibirnya turut berhenti membaca. Mata yang sarat dengan rasa letih itu memandang aku. Aku tahu, emak penat. Emak sudah terlalu penat mendidik aku dari kecil. Makin penat rasanya kalau aku terus-menerus dengan sikap pentingkan diri aku ini.
"Wawa minta maaf, mak... Doakan Wawa dapat jawab periksa elok-elok." Aku capai tangan emak dan cium dengan penuh kasih.
Emak balas semula dengan sebuah ciuman di pipi aku.
"Emak selalu doakan untuk hangpa semua... Semoga anak-anak mak akan diberikan kehidupan yang diberkati Allah, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Emak juga selalu doa supaya hangpa akan jadi anak-anak yang solehah, yang boleh doakan untuk emak dan abah pulak nanti." Sebaris ayat emak, benar-benar membuatkan perasaan aku terentap.
Aku memang teruk!
HUJAN lebat malam itu. Riuh kedengaran bunyi air hujan berdentum di bumbung rumah. Aku melangkah ke ruang beranda dan mula memasang sila. Jam sudah menginjak ke angka satu pagi. Tapi mata aku tak mahu lelap. Nota ringkas yang aku sediakan beberapa minggu lalu, sekadar dipandang sepi. Pandangan aku lebih berminat pada titisan air hujan yang membasahi bumi. Menghadirkan satu perasaan tenang dalam hati.
Nikmat yang aku terima dalam hidup ini, terlalu banyak. Andai sahaja aku sedar dan hargai dengan sebaiknya. Tapi, apa yang aku lakukan adalah sebaliknya. Entah kenapa, aku terlalu 'keras'. Bukan aku tak faham maksud emak tapi aku degil. Susahnya!
Apabila dapat peluang melayan perasaan sendiri, seakan ada suara hati yang memberi nasihat kepada diri. Aku tak boleh terus menyusahkan jiwa emak dengan perangai tak semenggah aku. Langkah awal yang perlu diambil ialah...
"Jangan pi dah rumah pak su. Lepak dalam bilik, layan Running Man lagi bagus," ucapku yakin. Senyuman aku melebar. Otak aku memang sangat geliga.
Tiba-tiba terasa bahuku dipaut lembut. Makin melebar senyumanku. Macam aku tak tahu siapa itu. Dengan senyuman aku berpaling ke sebelah.
Namun, hatiku diserang rasa terperanjat. Mata aku membulat. Serentak itu, tangan aku laju tertolak 'makhluk' di sebelah. Mulut aku juga tidak tertahan, menjerit nama emak.
Tapi sekejap sahaja, aku tersedar akan realiti sebenar. Makhluk yang aku tolak itu bukanlah makhluk asing, tetapi ia adalah makhluk yang banyak berjasa dalam hidup aku. Alamak!
Dengan rasa bersalah, aku capai segera tangan Dahlia. Buat naya saja kalau dia tercedera. Sudahlah bakal bergelar pengantin kakak aku ini.
"Dahlia... Wei, okey tak ni?" soalku cemas.
Berkerut-kerut dahi Dahlia. Menahan sakit mungkin. Aduh, aku sedar, aku tertolak si bunga seorang ini dengan kuat.
"Lia... Okey tak ni?" soalku lagi. Risau pula aku. Kalau rosak mana-mana part tangan Dahlia, siapa yang nak buat kerja dapur dengan mak?
Oh, mulia sungguh hati hang, Wawa! Itu juga yang menjadi kerisauan utama pada saat kakak hang jatuh tergolek sekarang ini.
BERKERUT-kerut dahi Dahlia apabila tangan emak cekap mengurut lengannya yang terseliuh itu. Aku mengetap bibir, rasa bersalah tahap gila-gila. Memang sah emak kehilangan kakitangan yang begitu berdedikasi dan bertanggungjawab memastikan dapur rumah berasap setiap hari.
Kalau nak harapkan aku? Memang akan berasap juga... Tapi sebab terbakarlah.
"Wawa, tolong ambil bandage dalam laci almari mak," arah emak.
Tanpa banyak songeh, aku bangun dan pergi ambil. Jasmin senyap saja duduk di atas sofa lepas solat subuh tadi. Aku saja yang kecut perut sebab dah menyebabkan keadaan tangan Dahlia lost function buat sementara waktu.
Bandage aku serahkan pada emak. Cekap juga emak membalut lengan Dahlia selepas siap diurut. Mujur sekadar terseliuh. Kalau patah, naya aku!
"Dahlia... Sorry. Aku tak sengaja," ucapku untuk kesekian kali. Dahlia tersenyum manis meredakan kegusaran dalam hati aku.
"Sikit ja ni, Wawa. Aku boleh lagi buat kerja rumah, kalau itu yang hang risaukan," jawab Dahlia dengan penuh ketenangan.
"Hah, elok sangatlah! Dalam keadaan tangan berbalut macam ni pun, hang masih nak bagi muka kat Wawa ni." Emak sempat melontar kata berbisa itu sebelum masuk ke dapur.
Aku pura-pura tak mendengar dan khusyuk memandang balutan pada tangan Dahlia. Kalaulah...
"Hang awat tiba-tiba pakai bedak sejuk pulak? Dengan baju kelawar gedabak tu, terkejut aku," gumamku perlahan. Takut nak merungut kuat-kuat, silap-silap emak baling penyapu pula dekat aku.
"Mana aku nak tau, hang akan terkejut. Selalu nampak gagah aja. Perempuan juga rupanya..." Dahlia tersenyum berpuas hati dengan ayatnya.
"Amboi... Perli aku!" Aku terus buat gaya hendak melompat ke arah Dahlia. Dan perfect timing, emak muncul semula dari dapur.
"Hah, eloklah... Bagi rosak sebelah tangan lagi. Lepas tu, Wawa bolehlah masuk dapur tolong emak. Memang dah bercita-cita lama kan nak belajar memasak? Mak pun gembira sangat, Wawa." Sinis gila ayat Puan Salimah.
Memang kesat saja air liur yang aku telan sekarang ini.
"Belajar memasak ya, mak? Mungkin cuti semester nanti kut. Sekejap lagi Wawa nak kena balik asrama dah." Laju sungguh aku nak melarikan diri dari masalah.
Reaksi emak, bercekak pinggang dengan pandangan seolah-olah hendak menelan aku. Aku sengih walaupun jiwa mulai gentar dengan pandangan itu. I am sorry, everybody!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro