Bab 8
MARKAH kerja kursus sudah dilekatkan depan bilik pensyarah. Memandangkan kelas tutorial aku dibatalkan, aku pun dengan rajinnya menggerakkan kaki naik ke bilik pensyarah. Pejam celik, hampir selesai satu semester. Dah aku masih tak faham apa yang aku belajar. Itu adalah antara perangai teruk Wawa! Dan mungkin semua pelajar lain yang sama spesies dengan aku juga.
Aku masuk ke dalam bangunan Pusat Pengajian Komunikasi. Terasa lelah dengan pendakian singkat di bukit dari bangunan Balai Media. Laju saja kaki aku terseret ke sofa yang diletakkan di ruang itu. Spontan air cooler aku hidupkan. Ini memang dah macam rumah sendiri. Self service semuanya.
Sambil menghilangkan penat, aku capai surat khabar yang sedia terletak di atas meja kopi. Bukan rajin pun nak membaca akhbar, tapi dah masuk kursus komunikasi ni, aku terpaksa mewajibkan diri menyelak akhbar biarpun tak mahu membaca. Teruk lagi perangai!
Sedang aku berpura-pura rajin di situ, kedengaran bunyi mesej masuk ke telefon bimbit aku.
Sorang aje, Mawar?
Sebaris mesej yang hampir membuatkan jantung aku melompat. Alamak! Dia ada dekat sini ke?
"Lama berfikir... Nak balas ke mesej tu?"
Aku sengih dengan terpaksa. Rupa-rupanya, Mawardi dah mengambil tempat di hadapan aku. Mati kutu tidak tahu hendak berbual mengenai apa, lalu aku zipkan dengan ketat bibir aku. Biarlah kalau dia nak bercakap, pandai-pandailah aku angguk kalau perlu.
"Macam mana study?" soalnya setelah beberapa minit sunyi sepi antara kami.
Aku fikir, dia pun mesti mati kutu, tak tahu nak bercakap apa dengan aku. Dan aku pun tak faham, apa hal yang aku susah sangat nak berbual dengan lelaki yang seorang ini?
Aku boleh saja nak berkawan dengan dia macam kawan-kawan sekuliah aku yang lain. Tapi, tak boleh. Rasa tak selesa. Lagi-lagi apabila dia tersenyum, hati aku jadi gelisah. Tapi, aku pasti... Itu semua belum sampai tahap terjatuh cinta.
Eceh! Kalau bagi peluang aku berfalsafah, memang sentiasa nak hebat saja!
"Mawar..."
"Wawa..." Aku potong laju.
Ya, itu antara sebabnya aku tak boleh bercakap dengan dia. Sebab digelarkan diri aku dengan sesuatu yang tak macam aku. Mawar? Jauh sangat tu. Mawar itu punya definisi yang sangat istimewa dalam hidup aku. Seperti yang pernah diungkapkan oleh arwah abah. Mawar itu cantik, berduri namun mempunyai kekuatannya sendiri. Dan aku... Sangat jauh untuk menjadi mawar seumpama itu.
"Panggil Wawa ajelah... Tak payahlah nak Mawar sangat. Aku bukan mawar pun," jawabku selamba. Cuba untuk menghilangkan gemuruh yang mulai bertapak dalam jiwa muda-mudi aku ini.
"Mawar aje untuk aku..." balasnya tersenyum.
Pada mulanya aku nak menjeling, geram. Tapi bila dia senyum, aku rasa kalah. Terbalas juga senyuman dia. Namun hanya untuk seketika, aku mengeluh kecil. Wajah manis Mawardi yang sentiasa tersenyum itu aku renung seketika. Tak boleh lama sangat, bahaya! Walhal yang sekejap ini pun dah sah-sah berdosa. Insaflah, Wawa!
"Mawar yang ada dalam pandangan hang ni... Hanya satu peratus daripada dunia sebenar dia. Hang kena kenal Wawa, sebelum nak bermadah mawar dengan aku." Ayat yang paling jujur aku bagi pada dia.
Mawardi tersenyum saja. Bosanlah pula!
Dia tak ada reaksi lain ke untuk balas ayat aku? Atau dia tak tahu apa itu face reaction?
"Bila aku dah kenal dengan Mawar, takkan aku tak dapat kenal dengan Wawa. Kenapa? Mawar dengan Wawa, dua dunia yang berbeza ke?" soalnya.
"Sangat berbeza..." balasku tanpa bertangguh walaupun aku sendiri tidak mengerti, kenapa aku terlalu degil hendak membezakan Wawa dan Mawar? Walhal dua-dua pun nama aku.
Aku meletakkan semula surat khabar ke atas meja kopi di ruang itu. Wajah Mawardi yang menantikan ayat seterusnya, aku perhatikan seketika.
"Aku gerak dulu..." Aku terus bergerak meninggalkan Mawardi yang masih duduk di situ.
Mawar. Hati aku juga menyeru.
Mawar itu mempunyai seribu satu kenangan dalam hati aku. Kenangan yang membawa memori aku mengingati arwah abah. Satu-satunya lelaki yang mempunyai kedudukan istimewa dalam hati aku sehingga akhir hayat nanti. Nukilan arwah abah untuk mengambarkan indahnya sekuntum mawar itu adalah yang paling istimewa dalam hidup aku.
Mawar itu cantik,
secantik seorang Wardah,
yang mampu menjadi penawar hati yang duka.
Adakalanya ia berbisa juga,
namun, biarlah bisa kerana menjaga maruah dirinya,
biarlah indah di mata yang memahaminya sahaja.
Mawar itu dijadikan cantik,
namun berduri.
Ia punya maksud hanya buat yang mengerti,
cantiknya bukan untuk disanjungi,
durinya bukan untuk digeruni,
kedua-duanya untuk membentuk peribadi.
agar diri dihormati dek indahnya pekerti.
Mawar itu bukan untuk menjadi hiasan taman,
lantas menjadi pujian segenap mulut manusia.
Ia untuk menghiasi taman hati yang suci,
biar dirimu mahal dan tersembunyi,
agar kamu mengerti nikmat menjadi seorang mawar agama,
yang menjadi kebanggaan hati abah dan bonda.
Sentiasa kasih padamu,
Abah.
Bagaimanapun, aku masih kesal tidak mampu membentuk diri menjadi seorang mawar seperti yang diimpikan oleh abah.
"Mawar itu cantik, secantik Wardah." Ayat Mawardi pula mengetuk minda aku. Ayat yang pernah dituturkan oleh lelaki itu beberapa minggu yang lalu. Kononnya penjelasan untuk memanggil aku sebagai Mawar.
Cantik? Huh... Apa definisi cantik yang cuba Mawardi sampaikan sebenarnya? Sedangkan dia belum tahu tahap 'kecantikan' aku.
"Cantik tu bukan sekadar rupa saja. Tapi cantik tu adalah peribadi kita. Walaupun rupa adalah benda pertama yang manusia akan nampak, yang menghidupkan bahagia hanya melalui peribadi yang mulia. Tapi... Kalau cakap emak ni satu pun hang tak mau dengaq... Cantik macam mana pun tak gunalah, Wawa..." Berdentum-dentum suara emak menusuk ke telinga aku.
Dan ayat itu yang membuatkan aku sedar, aku memang sangat tak 'cantik'. Oleh itu, lenyapkan ajelah segala angan-angan untuk menjadi 'mawar' kepada Si Mawardi tu. Lagi baik kalau aku fokuskan diri untuk jadi 'mawar' seperti yang diharapkan oleh arwah abah kepada bonda yang bersusah payah mengandung dan membesarkan aku. Dapat juga pahala anak solehah di situ...
Baiknya aku... Sobs! Terharu dengan diri sendiri!
AKU balik ke rumah pak su hujung minggu itu. Kebetulan Fasha yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia juga pulang ke rumah. Ada kawanlah aku. Tak adalah seram sejuk sangat bila kena melayan soalan daripada mak su mengenai perihal ilmu kedapuran yang sangat menyeramkan itu.
Aku mengambil tempat di sisi Fasha, konon nak buat rajin menolong di dapur. Sekali lagi, aku tolong tengok saja. Tolong juga...
"Wawa bila exam?" soal mak su sambil tangannya lincah memasukkan bawang ke dalam kuali. Tangan itu mula mengambil sudip dan mengacau.
"Lagi tiga minggu, mak su..." balasku.
Pandangan aku beralih pula pada Fasha yang sibuk memotong buah epal, jambu dan lai. Nak buat salad buah katanya. Macam biasa, aku langsung tak berkeinginan untuk buat-buat rajin dan menolong dia. Sekadar meminjamkan mata dan melihat gerak tangannya yang kemas melakukan potongan dadu pada buah.
"Wawa tak rasa nak menolong ke?"
Soalan mak su menusuk bagai sembilu ke dalam hati aku. Terus aku berdebar. Apabila mulut mak su dah berbunyi dengan attitude anak-dara-pemalas aku ini, mesti petang nanti aku bakal menerima panggilan daripada emak. Mak su dan Puan Salimah, kalau bab nak sound Wawa, semangat depa mesti sentiasa berkobar-kobar.
"Eh, tak payahlah, Wawa. Hang pi tolong kutip kain baju dekat luar tu. Pagi-pagi lagi aku dah sidai. Dah kering agaknya... Cuaca panas elok hari ni." Fasha mengenyitkan matanya pada aku. Bagus punya tolong cover line.
Fuh... Lega rasanya!
Ini lagi seorang kakak mithali. Baik hati sungguh bagi muka dekat adik perempuan pemalas macam aku ini.
Nasib baiklah!
Laju saja aku mengangkat punggung dan terus keluar dari dapur. Bergerak pula ke ampaian di depan rumah. Pintu pagar terbuka luas. Pada awalnya hampir aku hendak terlupa dan nak buat biasa, keluar macam dekat rumah emak. Tak bertutup kepala, itu akulah!
Tapi mengenangkan ugutan emak yang selalu dikaitkan dengan seksa kubur arwah abah, aku insafkan hati seketika. Buat baik tak rugi, siap dapat pahala. Buat jahat sudahlah tak menguntungkan, dapat dosa pula. Baik juga aku ni sebenarnya.
Ughhh... Bab nak beriak, takabbur ni pun aku tak mahu kalah!
Selesai menyarungkan tudung segera, aku keluar dari rumah. Cuba juga meringankan tulang aku yang dah memberat tahap kritikal ini. Kain di ampaian aku sentuh dulu sebelum mengutipnya. Malas nak buat dua, tiga kerja. Sebab aku memang dah sedia pemalas orangnya. Aku kutip mana yang betul-betul kering saja. Ini yang orang cakap, dalam malas... Ada rajinnya.
Eceh!!! Nak muntah aku baca pujian untuk diri-sendiri. Padahal itu memang cara paling afdal untuk mengutip kain pun.
Sedang aku dengan tekad menjadi anak dara rajin buat seketika, aku disapa oleh satu suara. Siapa? Tak susah nak meneka rasanya.
"Lama tak nampak hang, Wawa. Sibuk ke?" Ramah dia menegur. Macam kami dah berkawan lama. Padahal perbualan kami setakat yang sekali itu sahaja.
Aku pandang dia. Kemas dengan T-shirt berkolar dan berseluar jean. Macam baru bersiap nak keluar. Dating mungkin. Jawapan klise yang singgah dalam otak aku. Asal bersiap pada hari minggu, mesti on date.
"Hang ni tak ada mulut ke nak menjawab soalan aku?" Johan tiba-tiba macam nak marah. Tapi reaksi wajah dia sekadar nak menyindir sahaja.
"Tanya nama tak jawab. Ini tanya sibuk ke tidak pun tak jawab. Ke hang memang tak boleh bercakap?" soalnya dengan soalan yang pelik itu.
"Tak adalah... Aku cuma malas nak jawab soalan hang," jawab aku selamba. Dan aku sangat berpuas hati dengan jawapan yang aku tuturkan itu.
Bagaimanapun, Si Johan seakan tidak menyenangi ketenangan yang bertapak dalam jiwa aku. Mata aku mula menangkap senyuman yang mula menyenget di wajahnya. Ah, sudah... Sekali pandang macam okey, dua kali pandang... Macam psiko.
"Dasar pemalas!" ucap Johan dengan riak wajah yang puas.
Aku tersentak.
What?! Mata aku terus terpanah tepat pada wajah Si Johan. Macam badak saja cakap aku ni pemalas. Tapi... Betullah aku pemalas. Macam mana dia tahu? Ada CCTV ke dalam rumah pak su dan aku tak tahu?
"Kenapa cakap aku pemalas?" soalku. Sekarang ni aku dah bertekad nak cari gaduh dengan Johan walaupun secara rasminya kami sekadar tahu nama masing-masing sahaja.
Johan pandang aku. Senyum macam nak memerli. Bibirnya dijuihkan pada aku. Anak mata aku mula bergerak ke kiri dan kanan, laju. Apahal Si Johan ni?
"Orang pemalas aje pakai tudung terbalik, lepas tu tanda harga pun tak buang. Itu dah bukan dasar aje pemalas. Satu badan pemalas!" Berdentum-dentum ayat pemalas dihamburkan dari mulut Johan.
Terkebil-kebil aku seketika. Selama ini aku mendengar ayat pemalas daripada mulut emak saja. Sekarang ni...
Johan?! Eee...
"Sibuklah, cakap orang pemalas pulak!" Aku kalut menuturkan ayat cover line.
Memang dah terserlah kemalasan tahap dewa aku di hadapan manusia yang aku tak kenal sangat. Tak rasa malu banyak sangat, tapi adalah sikit. Huh... Normal rupa-rupanya aku ini. Apabila diperli, ada rasa malu bertapak dalam hati. Tapi untuk insaf... Wawa masih belum cukup sedar diri.
Cepat-cepat aku mengutip kain baju yang berbaki. Memalukan!
Tapi, Johan ketawa.
"Awat gelak pulak?" marahku. Makin tebal rasanya muka aku. Jelingan percuma aku hadiahkan kepada dia. Terus aku berpaling dan melangkah masuk ke dalam rumah. Selesai meletakkan kain di atas sofa, aku intai semula di luar.
Dia masih di situ. Bersandar pada dinding koridor. Tersenyum penuh makna. Menyampah pula aku melihatnya.
"Wawa..." Johan memanggil semula apabila aku nak berpaling. Dengan separuh jiwa aku balas juga pandangannya bertanya kenapa.
"Jangan terasa sangat dengan aku." Dia tersenyum seolah-olah meredakan perasaan aku yang sudah tercuit dengan teguran terbukanya itu.
"Dan jangan malas selalu," tambahnya sebelum berlalu.
Terjegil biji mata aku. Bibir kuketap kuat. Geram. Ciskek punya mamat. Ada juga yang nak kena baling penyapu dengan aku!
Aku mengambil tempat duduk di atas sofa dengan mulut yang tidak berhenti terkumat-kamit menyumpah Johan. Tapi dalam hati tertanya, kenapa aku nak kena bengang gila-gila dengan dia? Padahal, apa yang disebut itu bukannya aku tak sedar. Pemalas. Itu memang sangat Wawa...
Eee... Tapi tak kira. Aku tetap rasa nak marah juga!
"Dah kenapa hang ni, Wawa?" soal Fasha yang mengambil tempat di sebelah aku.
Mungkin dia sudah selesai tugasannya di dapur, fikirku. Aku lihat, Fasha mencapai alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen. Walaupun siaran televisyen pada masa itu sedang menayangkan program kegemaran aku iaitu Jalan-jalan Cari Makan, tapi mood aku sudah ke laut.
Wawa yang poyo, ya aku tahu!
Bosan hendak melayan siaran televisyen, aku capai surat khabar yang pak su beli awal pagi tadi. Nampaklah aku masih berniat untuk menyibukkan diri dengan aktiviti berilmiah seperti mengambil tahu hal dunia ini.
Laju aku menyelak helaian akhbar, sekadar membaca tajuk-tajuk berita.
Hampir dikelar leher, warga emas trauma.
Perghhh! Tajuk berita sekarang ini, memang bikin gempak saja. Ngeri pula aku hendak membacanya. Laju tangan aku menyelak muka surat sebelah. Hakikatnya, mana ada aku membaca. Sekadar scanning saja.
"Eh, bacalah berita tu..." Tiba-tiba Fasha menahan.
"News ni, Johan yang tulis... Hebat, kan?" Bersemangat Fasha mengkhabarkan informasi berkaitan jiran sebelah rumah mereka.
Aku mencebik. Tak adalah hebat mana! Orang lain pun ada yang menulis berita juga, gumamku dalam hati. Tapi sepasang mata aku berlari pada byline iaitu nama si penulis berita yang tersusun aksaranya di bawah headline atau bahasa mudahnya tajuk berita.
Johan Kashfi Ghazali
Lalu mata aku berlari juga pada barisan ayat laporan berita itu tanpa dipaksa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro