Bab 7
AKU dah lambat. Bukan lambat sikit-sikit, tapi dah terlalu lambat! Memang menempah nahas sungguhlah. Sudahlah ada pembentangan duo, aku dengan Naurah hari ni. Laju aku berlari sebaik sahaja komuter kampus berhenti di perhentian bas berdepan dengan blok Balai Media.
Memang aku tak kira, berbaju kurung ke, apa ke, asalkan aku tak terlepas untuk membentang menjelang giliran aku. Mahu terpotong markah, sepuluh peratus kut. Menangis tak berirama dibuatnya aku dengan Naurah di penghujung semester nanti.
Masuk saja ke dalam kelas Doktor Aria, semua mata tertumpu dekat aku. Macam klimaks drama sangat!
"Minta maaf, saya lambat." Sebaris ayat itu aku ucap sambil menunduk hormat. Dah bersalah kan, takkan nak berdabik dada pula? Mohon maaf sajalah, asal boleh masuk dalam kelas.
Doktor Aria mengangguk sahaja. Tidak berkata apa sebab matanya fokus pada kumpulan pertama pembentangan. Aku segera mendapatkan kerusi kosong tepi Naurah. Aku dah nampak wajah Naurah yang sikit lagi nak sama dengan singa betina kelaparan. Habis kelas nanti, mesti dia dah bersiap sedia nak menerkam aku.
Aku tersengih sambil cakap maaf.
"Sorry... Wei, aku terlupa." Aku tarik senyum sampai ke telinga, dengan harapan Naurah akan cair. Namun, dia buat tak peduli. Kemudian tangannya terus menghulur sekeping post-it note kepada aku. Dahi aku berkerut. Spontan, kepala aku berpusing mencari sesuatu dan akhirnya berhenti betul-betul di belakang tempat duduk aku.
Dia! Bersiap sedia dengan senyum di bibirnya.
Aku menjeling terus, tunjuk jual mahal! Gedik menjual mahal, tapi bibir aku pun turut menggedik melirik senyum nipis apabila mata kembali fokus ke depan. Memang nampak gaya aku ni dah teringin sangat nak makan penampar Puan Salimah! Mengenangkan hakikat itu, aku menyedarkan diri kembali.
Namun, hati disapa rasa pelik. Apa makhluk tu buat dalam kelas ni? Dia follow semua kelas aku ke? Sampai tahap itu ke dia minat dengan aku? Glamor sungguh hang ni Wardah... Sejak-sejak bergelar siswi undergrad ini.
Sedang aku sibuk fikirkan Mawardi, Naurah menarik lengan aku. Menyedarkan diri aku mengenai giliran pembentangan untuk kami berdua sudah sampai masanya. Memang rasa gugup jugalah sikit sebab ada sepasang mata sedang memerhati. Tapi, aku tepis juga pandangan yang jelas cuba membeli jiwaku itu.
Aku kena fokus kalau tak mahu kena batang penyapu dengan emak! Datang sini nak belajar. Tapi nampaknya progress pelajaran tidak seberapa, benda lain yang nampak lebih rancak.
Mulut aku mula menerangkan mengikut nota ringkas yang telah aku sediakan sepanjang malam tadi. Pada asalnya berlatih bagai nak rak. Tapi sudahnya, aku baca slide saja. Gemuruh nak buat pembentangan satu hal. Yang si makhluk Mawardi tu, dah macam tak ada tempat lain nak dipandang. Ke muka aku juga dilabuhkan matanya.
Lemah jiwa!
Dan bila tamat giliran aku membentang dan pas giliran kepada Naurah, baru terasa boleh menghembuskan nafas lega. Tapi, kesudahannya tak berapa nak lega jugalah. Sebab komen daripada Doktor Aira buat nafas aku sesak. Mungkin Naurah juga!
"For the second group, add all the details with relevant supporting facts into your final report. The presentation wasn't explaining the reading that has been given. Submit the report at my room by Friday noon."
Hampir tersembul biji mata aku mendengar sebaris arahan daripada Doktor Aira yang cantik biarpun serius ketika itu. Friday? Mungkin Doktor Aira terlupa, ayatnya itu membawa maksud dua hari dari sekarang. Aku menjulingkan biji mata. Menjeling sedikit pada Naurah yang turut tergamam tidak mampu berkata apa-apa.
"Aku rasa, dia nak sebut next Friday tu. Dia terlupalah tu nak tambah perkataan next." Husnozon gila! Aku cuba memujuk diri sendiri dan tersenyum memandang Naurah.
"Wawa... Fake sangat senyuman tu. Please..." Naurah tayang muka menyampah.
"Nampaknya tak tidur dua malamlah kita ni..." Naurah menyambung lagi dengan dukacitanya.
Aku juga hampa. Baru plan malam ni nak layan episod Running Man yang aku baru download. Sungguh langsung tiada tanda-tanda untuk aku menginsafkan diri. Terfikir nak melayan video lebih daripada nak mengadakan sesi ulang kaji.
Aku pandang Naurah yang sudah berwajah cemberut. Aku tarik senyum nipis.
"Jomlah... Pekena kuetiau goreng dekat Subaidah, dipercayai mampu mengurangkan stres." Aku bangun berdiri dengan semangatnya apabila memikirkan soal makan.
Mata Naurah makin membulat.
"Hang jangan, Wawa! Sejak masuk USM ni, berat aku dah naik berkilo-kilo dah. Subaidah? Lupakan ajelah..." Naurah menolak.
Dan aku rasa dia sekadar main-main sahaja. Mana mungkin dia tak temankan aku makan. Tak makan benda berat, yang ringan-ringan masih boleh ditelan.
"Kalau hang tak teman aku, dengan siapa lagi aku nak date tea-time?" soalku dengan penuh harapan.
"Saya kan ada..."
Mulut aku terdiam sendiri. Dia sudah mengambil tempat di atas bangku hadapan aku. Matanya jatuh pada wajah aku. Hairan betul. Apa yang suka sangat tengok dekat muka anak dara orang ni? Tahu dek Puan Salimah dekat kampung tu, mahu kena korek biji mata mamat ni.
Tiba-tiba... Dia tersenyum pula. Hampir kalah jiwa muda aku melihat senyuman itu. Sudahlah sunyi sepi suasana dalam bilik ini. Tiba-tiba... Macam memang sengaja memberi laluan kepada scene seumpama ini.
Aku menelan liur. Terasa gabra. Mana Naurah ni? Tak menyampuk pula? Perlahan aku berpaling ke sebelah dan terkedu seketika.
"Bila dia keluar?" Spontan aku menyoal si dia.
"Tadi lagi... Tak sedar ke?" Soalnya dengan senyuman nakal.
Muka aku terasa panas. Seriously, this is not so Wawa, I tell you! Apa bendalah pipi nak memanas dengan situasi macam ni?! Cubalah bagi kerjasama yang baik dan jangan lakukan percubaan memalukan tuannya begini.
Malu dengan diri sendiri. Aku capai beg dan terus keluar. Lupakan sajalah hasrat nak berkuetiau goreng di Subaidah. Esok-esok ajelah.
"DAN hang tak patut tinggalkan aku duduk berdua dengan mamat tu!" bebelku.
Jemari mula mengetuk papan kekunci laju. Laporan nak kena hantar lusa. Jangan buat main. Mata laju mencari fakta dalam buku, otak juga laju merangka ayat. Apabila dah terdesak dan mengejar masa, semua kerja pun boleh berjalan dengan pantas.
Miracle sangat!
Tapi itulah hakikat. Selagi tak ada tekanan, satu kerja pun takkan jalan. Work under pressure sangat membantu untuk pelajar macam aku mempamerkan kerajinan luar biasa. Apabila dah kena mengejar deadline, masing-masing dah tak nampak rupa pemalas. Memang layak dapat award pelajar cemerlang untuk semester ini.
"Naurah!!!" Sempat lagi aku menyeru panjang nama Naurah. Senyap sangat. Bebelan aku pun tidak dilayan.
"Aku tinggalkan ajelah. Cuba memberi ruang dan peluang. Hang tak nampak ke, macam mana dia berminat nak berkenalan dengan hang?" Naurah menjeling.
Serentak itu dahi aku berkerut.
"Aku tak faham... Apa faedahnya dia nak berkenalan dengan aku?" Serius aku memikir. Tak jumpa jawapan. Aku pandang semula wajah Naurah.
"People said that love is blind," balas Naurah dengan wajah yang tidak berperasaan.
"Jadi?" Aku menjongketkan kening pada Naurah. Langsung tak faham apa yang dia nak sampaikan. Sebab mengikut kiraan lojik akal, aku juga tidak menemukan sebarang alasan relevan untuk menjawab persoalan, kenapa Mawardi tu duk over 'Mawar' dengan aku?
"Jadinya... Dia suka hanglah. Simple. Kalau hang suka dia, cakaplah suka. Kalau tak suka, cakaplah tak suka. Dia pun nak try test line aje agaknya. Tapi aku tengok daripada respons hang yang macam ni punya lembab, memang bertahun jugalah kut dia kena menunggu walaupun belum tentu hang bagi jawapan macam apa yang dia nak." Naurah memberi komen selamba sambil kembali menaip sesuatu.
Aku pandang Naurah dengan wajah kelam. Bukan aku tak faham. Tapi aku tak rasa apa-apa. Tak rasa thrill pun nak berkenalan dengan lelaki tu. Melainkan dia ada sebuah senyuman yang benar-benar memikat kalbu. Fuhhh... Tanpa aku sedari, jiwa aku pun dah masuk kelab puitis.
Buk!!!
Sebiji bantal empat segi milik Naurah mengenai dahi aku. Hampir aku melenting tapi tertelan suara itu apabila ditikam dengan sepasang mata garang milik Naurah.
"Cakap tak faham, tapi berangan bukan main lagi. Sudahlah tu... Siapkan laporan dulu kalau ya pun nak bercinta. Aku tak faham ni, nak kena cari contoh berkaitan yang macam mana lagi." Dahi Naurah berkerut.
Dan aku tahu dia serius tak faham dari mana perlu dicedok contoh berkaitan tajuk yang kami dapat ni.
Dominasi dan paradigma komunikasi: Cabaran dalam negara dunia ketiga.
Dengar tajuk pun aku nak pengsan. Apatah lagi perlu dihuraikan.
"Buka ajelah buku yang banyak-banyak dekat depan mata hang tu, Naurah. Cedok aje mana-mana idea yang nampak berkaitan. Hakikatnya, aku pun dah mati idea fikir nak menggoreng fakta yang dah macam auta ni." Aku mengeluh.
Itulah masalah utama kami. Dan aku rasa, itulah masalah utama pelajar lain. Kami masuk kelas dan mencerap. Tapi mencerap tu sekadar hafalan dan bukan pemahaman. Bila tak faham, susahlah nak jelaskan semula. Bila dah stuck nak siapkan tugasan, mulalah rasa fed up. Entah bila masa nak insaf walaupun dah sedar dengan kesilapan cara belajar yang macam itu.
"Wawa..."
Aku pandang wajah Naurah semula. Aku nampak wajah itu seakan-akan bercahaya. Entah idea apalah yang muncul dalam minda dia.
"Cuba minta tolong Mawardi... Dia kan spesies yang menghadam buku dari kulit ke kulit. Mesti dia tau macam mana nak terangkan topik ni," cadang Naurah dengan bahagianya.
Aku mula menjeling dan dia perasan perubahan riak wajah aku.
"Aku bukan apa... Ini semua untuk kebaikan markah kita jugak." Ditambah pula ayat sadis itu.
"Aku dah desperate sangat ni tak tahu nak fikir apa," sambungnya lagi dengan wajah yang sayu.
Memikirkan hakikat itu, aku pun risau jugalah. Jangan buat main. Aku dengar ada kumpulan sebelum ni kena baiki semula laporan akhir yang mereka hantar, sebab khabarnya, laporan tu tak melayakkan mereka mendapat sebarang markah. Kecut perut mendengarnya.
"Sebab assignment saja tau..." balasku lemah sambil mencapai telefon bimbit di sebelah.
"Sebab assignment la... Aku pun tak suruh hang pi menikah dengan dia." Naurah perli selamba.
Eee... Aku cekik juga anak Pak Cik Borhan ni! Terus tak jadi aku nak meneruskan niat menuntut ilmu dengan Mawardi tu. Tapi, keputusan itu lagi bagus sebenarnya daripada memberi laluan kepada bibit-bibit pertemuan SMS yang lain.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro