Bab 5
AKU menguap besar saat take five diumumkan. Sememangnya aku sudah tidak betah untuk menahan keinginan mata yang ingin terlelap seketika. Mengantuk yang maha dahsyat. Entah kenapa, asalkan perkara harian yang memerlukan aku masuk ke dewan kuliah, pastinya mengantuk tidak terkira. Aku tahu sangat, sindrom itu bukan melanda aku seorang saja.
"Wawa... Nah!"
Gula-gula Halls dihulurkan kepada aku. Tanpa menolak rezeki, aku terus capai satu. Masuk ke dalam mulut dan mencair dengan rasa manis itu. Wajah sahabat di sebelah aku pandang sebentar. Naurah memandang aku sambil menjongketkan keningnya sebelah.
Aku menjeling geram.
"Tahulah kening lawa macam Kak Ziana. Tak perlulah nak show off berlebih-lebihan dekat aku..." balasku sambil tangan spontan dibawa ke kening. Aku naikkan sebelah kening secara manual dengan bantuan si jari telunjuk.
Naurah terus ketawa. Layan sungguh dia dengan lawak kurang cerdik aku ini. Mendengarkan tawa itu, mata aku terus terbuka luas. Puas rasanya bila dapat segarkan mata seketika. Tapi, itu semua sememangnya tidak akan bertahan lama. Aku tahu sangat.
"Wawa... Nak dengar cerita tak?" Naurah menyoal sambil menconteng kertas A4 di atas failnya.
Saat itu, Doktor Hamidah sudah kembali memegang mikrofon, hendak kembali menyambung kuliah. Tetapi, aku bukanlah pelajar yang baik tahap giga. Bila pensyarah mengajar, aku senyap gila? Itu memang bukan Wawalah!
"Cerita apanya?" soalku kembali, memberi respons kepada Naurah.
Sebagai jawapan, aku menerima sekeping post-it note. Tiada sebarang perkataan yang tertulis di atasnya. Melainkan lakaran sekuntum bunga mawar yang begitu indah.
"Mawar..." Naurah berbisik. Bibirnya tersengih. Keningnya kembali menaik.
"Mawar?" soalku kembali.
Nota kecil itu aku tatap lagi. Tak faham! Melihat Naurah yang tersengih sorang-sorang, lagi aku pening. Nak soal kuat-kuat, aku dah nampak jelingan mata Doktor Hamidah beberapa kali sudah jatuh ke wajahku. Mungkin nampak sangat yang aku tak fokus dengan kuliahnya.
"Mawar..." Naurah berbisik lagi.
"Mawar apanya?" soalku geram. Menggigit bibir menzahirkan rasa itu. Namun, bila aku pandang semula ke hadapan, aku tahu semuanya sudah tidak serupa. Namaku diseru. Dan situasi itu paling aku tak suka.
"Mungkin Wardah boleh share dengan semua, how does two ways communication works better to the audience?"
"Memang aku tau sangat kan..." gumamku. Dan Doktor Hamidah masih setia menanti jawapanku. Entah macam manalah dia boleh ingat namaku, sedangkan aku sudah berusaha sehabis boleh untuk kelihatan halimunan di dalam kuliahnya. Halimunan yang aku maksudkan di sini adalah, kurang bertanya soalan dan tidak memberikan respons kepada sebarang pertanyaan dalam kuliah.
"Wardah... Semua menunggu ni."
Tunggulah sampai esok pagi!
Tanganku cepat saja menyelak buku rujukan dan salinan Power Point yang sempat aku print tadi. Tapi print saja nak buat apa kalau aku tak baca? Kesimpulannya, soalan yang diberikan Doktor Hamidah, aku tak dapat jawab juga. Malunya!!!
"Anyone else who like to share your view while waiting for your friend looking for the factual answer?"
Dush!!!
Rasa macam kena tampar dua pipi serentak. Mata Doktor Hamidah macam helang. Nampak saja dia aku menyelak buku ini. Sudahnya, aku tutup saja terus. Bukan malas nak jawab, tapi aku dah dengar nama orang lain disebut.
"Okey, go on, Mawardi..." Doktor Hamidah tersenyum memandang makhluk yang tidak sama jantina dengan aku itu.
Mendengar jawapan yang dikemukakan, tahulah aku, itu adalah spesies makhluk yang tak tidur malam sebab mengulang kaji pelajaran. Bukan macam aku. Kalau datang kelas dengan bermata panda, bermakna layan videolah tu!
Kalau mak tahu yang aku selalu buang masa macam ini, mesti kecewa rasanya. Terinsaf sekejap rasanya sebab banyak main-main daripada fokus untuk belajar. Oh, Wawa... Tolonglah banggakan mak!
Okey, sebab nak banggakan mak, mulai saat ini aku kena fokus berjihad mencari ilmu. Terus dapat semangat untuk tumpukan sepenuh perhatian pada sesi kuliah Doktor Hamidah. Tapi, sayangnya... Niat baik aku seolah-olah dicemburui.
"Jumpa lagi minggu depan. Soalan tutorial, saya akan upload dalam e-learning," ucap Dr Hamidah sebelum mengakhiri kuliah.
"Aku baru dapat hidayah untuk fokus dalam kelas. Kenapa dah habis pulak?" luahku kepada Naurah yang sudah siap berkemas beg. Dia lagi ekspres daripada aku.
"Itu bukan pertama kali, Wawa..." Selamba Naurah memerli.
Ciskek punya kawan!
Naurah sudah berdiri mendahului aku. Beg sandangnya tersilang elok pada tubuh. Cepat saja aku mengemas dan terus bangun. Tetapi Naurah masih tidak berganjak. Aku tengok saja muka dia, tapi dia terus tersengih macam kerang tak wangi.
"Mawar..." Dia sebut lagi.
"Apa yang mawarnya?"
"Hanglah..." Naurah menyengih.
Aku blur. Mawar?
"Mawar..." Sekali lagi Naurah menyebut. Aku dah naik bengang. Eh, tapi... Kenapa suara Naurah, tak macam Naurah?
"Mawar..."
Dan baru aku sedar, itu memang bukan Naurah. Tapi hairan...
Apa makhluk berjantina lelaki yang aku tak kenal ini mahu daripada aku? Siap menyeru panggilan Mawar berkali-kali, sampai aku naik jemu.
Nama aku Wardah dan mungkin dia tak tahu itu. Atau mungkin dia tersilap orang. Atau mungkin, dia memang dah bersedia nak 'makan' penampar sulung daripada anak dara Puan Salimah ni. Mungkin... Banyak kemungkinan yang boleh dijadikan hipotesis awal di situ.
"Berdiri apa lagi, Naurah. Jalanlah!" Aku mengarah apabila Naurah terus terpacak gaya patung Francis Light dekat Padang Kota. Mungkin dia pun sudah bercita-cita untuk menjadi salah satu tugu dalam negara Malaysia. Biarpun tak menyumbang apa-apa kepada catatan sejarah negara.
"Wardi nak jumpa hang..."
"Dia bukan nak jumpa aku. Dia nak jumpa Mawar mana entah. Bukan aku... Dah, jom!" Aku tolak bahu Naurah, memaksa dia untuk melangkah. Sambil itu, mata aku mula menjeling ke belakang. Si dia yang bernama Wardi itu masih terpacak dengan bibir yang sudah cantik tersenyum. Bibir itu menyeru...
"Mawar..."
Terkelu aku seketika. Mawar?
"Sorry la, bro! Aku bukan Mawar... Hang dah silap orang ni. Mungkin boleh dapatkan informasi yang lebih tepat tentang Mawar hang tu sebelum menyerbu orang lain macam ni."
Tak menanti lama, aku paksa Naurah berjalan segera. Keluar meninggalkan dewan kuliah I yang sejuknya sampai mencengkam segala urat di tubuh. Hujung hidung pun seakan-akan membeku. Tanpa memandang ke belakang, aku berjalan laju. Nak balik asrama dan nak tidur. Itu lagi penting daripada menyerabutkan kepala dengan panggilan Mawar yang aku tak tahu.
SEKEPING demi sekeping nota kecil yang tidak bernama itu aku cucukkan pada sebatang lidi yang diletakkan atas meja belajar aku. Malas nak simpan, tapi tak sampai hati pula nak buang. Bila dicucuk begini, rasa kurang sikit rasa bersalah aku. Kononnya!
Setelah berminggu-minggu menerima kuntuman lukisan bunga mawar itu, baru aku jelas dengan misteri di sebalik lukisan itu.
Mawar itu rupa-rupanya aku. Wardah. Mawar.
Aku kulum senyum galak tanpa sedar. Indahnya bila ada orang sanggup buang masa lukiskan gambar yang cantik untuk mendeskripsikan diri ini. Alahai... Macam nak tampar aje bila fikirkan aku pun boleh tersampuk pra-sindrom jiwang. Tapi tak sampai hati nak tampar sebab muka sendiri pula.
Ke aku patut tampar lelaki itu? Apa ke namanya? Wardi? Mawardi? Dengan slumber rock dia aje, dikatanya Mawar tu gabungan nama kami berdua. Mungkin dia berkata begitu sebab dia tak tahu, aku alergi sikit untuk nak feeling yang begitu-begitu. Menyampah pula aku!
Bila diceritakan kepada Naurah, lagilah tidak membantu. Hujahnya seakan-akan memberi dorongan kepada jiwa muda aku untuk berkenalan dengan lelaki, yang aku baru sedar kewujudannya dalam kelas kuliah itu.
Sebenarnya, Mawardi itu senior aku, tapi dia sengaja mengulang subjek tahun satu untuk membaiki pointer, kata Si Naurahlah. Aku tak ambil port pula dengan semua tu.
Perkara penting buat masa ini, ialah... Balik ke rumah pak su. Emak asyik telefon saja sejak seminggu lalu, bagi arahan tu dekat aku. Sementelah, aku pun memang free sangat setiap hujung minggu, jadi mudah sahaja hendak bersetuju.
Sebelum bersiap, aku sempat menjeling sekilas pada katil teman sebilik aku yang sentiasa invisible itu. Sudahlah jarang bercakap dengan aku, jarang juga melekat di bilik sampaikan naik boring aku menunggu dia balik setiap hujung minggu. Mati kutu jugak aku dibuatnya kalau asyik nak menghadap movie saja setiap kali bersantai di bilik.
Alasan aku ini memang tak boleh blah betullah!
Serentak itu, telefon aku berbunyi. Pesanan ringkas daripada pak su.
Pak su dah nak sampai.
Sepantas kilat aku mencapai baldi, nak mandi!
Sudah aku pesan pada pak su, kalau sudah bergerak dari rumah, tolong mesej aku. Rupa-rupanya mesej yang disampaikan melalui penulisan ringkas itu, banyak betul melahirkan salah faham. Sudah hendak sampai, baru diberitahu. Kelam-kabut jugalah aku mandi dan bersiap ala slumber rock!
Tercungap-cungap aku berjalan mendekati kereta pak su disebabkan bersiap dengan kelajuan maksimum tanpa henti.
"Mandi kambing ke?" Soalan pertama daripada pak su apabila aku muncul di depannya dalam keadaan termengah-mengah. Gaya macam lari maraton berpuluh kilometer. Padahal penat sebab mandi tak berapa nak basah.
"Ada la sikit kambingnya... Tapi tetap bersabun, pak su." Pak su ketawa sakan dengan jawapan aku, walaupun aku tak melawak sebenarnya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro