Bab 3
TELEVISYEN terpasang kuat. Siapa lagi yang menonton kalau bukan aku? Si makhluk yang diberi nama Wardah oleh bonda dan arwah ayahanda aku. Dan aku yang tak bersopan ini dengan senang hatinya minta nama itu diringkaskan dengan panggilan Wawa seawal usia 5 tahun. Emak pun, reda dengan permintaan itu.
Sambil melayan siaran Running Man di RTM 2, aku kunyah kerepek pisang tanduk yang Dahlia buat. Dan kerepek ini memang sangat rangup dan enak sekali, tentunya sebab sentuhan air tangan Dahlia. Kalau aku yang sentuh, mahu hangus semuanya. Sekali dengan dapur-dapur emak akan hilang rupa.
Aku capai lagi sekeping dan terus kunyah. Sekeping lagi. Dan lagi...
Memang sedap sangat ni. Sambil layan televisyen seorang diri, memang seronok sungguh. Macam aku pula mem besar dalam rumah.
Tapi sebelum sempat aku berkhayal lebih jauh, tangan aku sudah diketuk dengan senduk kayu. Sedap dan berbisa. Bila pandangan beralih ke kiri, nampak pula rupa emak serupa hendak menelan aku aje. Terus aku tersengih lebar.
"Bahagianya hidup dia. Bangun pagi lewat. Kerja rumah satu apa pun tak pernah buat. Ini dah rupa permaisuri tunggu dayang hidangkan makanan..." Sinis ayat emak.
Aku terus memanjangkan sengihan. Sebetulnya, aku tak ada sebarang fakta untuk defend diri sendiri daripada tuduhan berasas yang dibunyikan oleh emak itu. Memang aku pemalas dan aku sedar hakikat itu.
"Macam manalah hang ni bila pi belajaq nanti? Entah-entah, tiap minggu mak kena mai basuh baju hang dekat asrama." Emak bersungut sendiri.
Aku pun tak tahu kenapa yang emak risau sampai ke tahap itu. Rasanya, hidup aku masih mampu terurus seandainya ditakdirkan untuk jauh seketika daripada emak. Walaupun aku susah nak bangun pagi dan malas nak basuh baju sendiri.
"Mak tak payahlah nak risau sangat... Wawa dengaq dekat area universiti tu ada banyak dobi." Laju aku menjawab. Kepala sudah berencana dengan bermacam cara. Mesin basuh ada merata. Apa susah?!
Untuk jawapan yang penuh dengan ciri kemalasan itu, telinga aku dipulas kuat. Aku tahan bibir supaya tidak mengaduh. Penangan jemari emak, sangat berbisa. Walaupun aku secara peribadinya merasakan, tak ada apa yang salah pun kalau aku hendak menghantar baju ke dobi untuk dibasuh.
"Cubalah bawak berubah bila dah pergi belajaq nanti. Jangan duk ingat nak terus malas macam ni. Risau mak pikiaq pasal hang, Wawa..." Sekali emak bersungut perlahan.
Aku kematian idea. Sudah hilang akal bagaimana sewajarnya aku bereaksi dalam situasi yang agak melodrama bagi emak di petang hari ini. Emak dah kerap sangat menyebut risau memikirkan diri aku. Seolah-olah dia tidak yakin langsung untuk lepaskan aku pergi belajar oversea. Oversea sangat kan!
Padahal kena seberang Jambatan Pulau Pinang aje pun. Alahai emak ni. Penang aje kut. Bukannya Sabah atau Sarawak.
"Dah mula kemas barang?" Emak bertanya sambil mengambil tempat di sisi aku. Sesekali dia pun mencapai kerepek pisang tanduk yang sedap lagi rangup itu.
"Mak, daftarnya bulan depan. Bukan minggu depan. Sehari sebelum berangkat pun Dahlia boleh tolong kemaskan." Aku bersuara bangga. Masih berniat hendak mengambil kesempatan terhadap kebaikan yang sering ditaburkan oleh kakak aku, si gadis yang sentiasa ringan tulang menolong aku.
Tidak sedar juga, jawapan itu mula menaikkan darah emak dan yang menjadi mangsa adalah telinga aku. Sekali lagi menerima balasan atas terlanjur bicara mempamerkan kemalasan diri tahap paling teratas itu. Rasanya, sudah terlalu kronik tahap malas aku ini. Sampaikan berat badan pun naik berkilo-kilo sejak aku mula melepak di rumah saja beberapa minggu lalu.
Jamal sudah ke Kelantan, meneruskan hasrat ibunya yang inginkan dia mengaji pondok. Junaidi pula, awal-awal lagi sudah menerima tawaran untuk ke luar negara. Rasna dah terbang ke Sabah, pulang ke kampung halaman dan sememangnya dia akan sambung pelajaran di sana. Tinggallah aku... Di sini, sambil mengira hari untuk masuk ke universiti.
"Mak harap sangatlah, lepas dah masuk universiti, hang pandailah nak mengurus diri. Umur hang pun bukan muda lagi. Tengok Si Jasmin, walaupun dia muda tapi semua kerja dia reti. Pikiaq hang ni, hati mak jadi risau betoi. Boleh ke hang ni nak pi duduk Penang tu, Wawa?" Emak menyoal dengan serius.
Aku tahu emak tak melawak. Dan aku pun tak boleh bagi jawapan gaya meminta penampar. Lantas aku cuba untuk memberikan jawapan yang dapat meredakan kegusaran dalam hati emak.
"Pak su kan ada sana? Apa-apa masalah, Wawa pi ajalah rumah dia. Mak tak perlu risaulah." Aku tersenyum lebar. Bangga dengan jawapan matang itu. Tapi bangga yang aku rasakan tidak dapat bertahan lama bila mendengar keluhan daripada bibir emak.
"Kalau hang pi rumah pak su, lagilah mak risau. Habis satu kerabat nanti tau, mak ada anak dara pemalas sorang."
Disappointed terus aku dengar jawapan emak yang begitu.
Sekurang-kurangnya emak patut berbangga, emak ada dua orang lagi anak yang rajin. 1 nisbah 2, itu bukan satu masalah. Lebih daripada seimbang jadinya. Tetapi hendak dijelaskan kepada emak, baik tak usah. Susunan ayat aku untuk membela sikap malas diri sendiri hanya akan menyebabkan emak naik darah lagi. Silap-silap emak kena mula telan ubat darah tinggi pula.
Aku pun tak mahu itu terjadi. Biarlah segalanya lancar sebelum aku daftar masuk ke Universiti Sains Malaysia tu.
Wah... Aku dah tak sabar! Makin ligat kepala otak aku bekerja memikirkan aktiviti outdoor yang akan aku lakukan tanpa pengetahuan emak. Muehehehe... Dasar anak kurang solehah! Langsung tak ada tokoh untuk jadi contoh anak-anak bangsa.
DAHLIA sedang mengemas almari semasa aku melangkah masuk ke dalam bilik dia. Apa yang dikemaskan pun, aku tak tahulah. Walhal, dalam pusingan 360 darjah secara rawak dalam bilik itu, langsung mata helang aku tak dapat nak mengesan sebarang susunan tidak kemas. Terlebih kemas pun, aku rasa rimas.
"Dahlia... Mak suruh buatkan kopi." Seusai menyampaikan amanat itu, aku terus berbaring di atas tilam yang berbungkus sarung bercorak bunga mawar merah.
Mawar. Itu Wardah. Mawar berduri, terpelihara daripada sentuhan tangan yang cuba merosakkannya. Ayat itu selalu diungkapkan oleh arwah abah. Aku tahu, dia bukan saja-saja memilih nama sekuntum bunga yang seringkali menjadi simbol ekspresi cinta manusia di luar sana. Nama yang diberikan itu untuk aku corakkan diri sebaiknya.
Tapi aku... Mawar yang berbisa. Bak kata emak, bila aku selalu mempamerkan perangai ting tong sentiasa. Bikin hati tua itu sentiasa resah. Bimbang jika dia tidak mampu menyempurnakan amanat akhir arwah abah yang ingin melihat aku menjadi mawar penyeri agama dunia akhirat.
Tazkirah sebegini memang sentiasa muncul dalam diri. Tapi kalau disuruh mengikut nasihat emak, banyak sungguh bunyi.
Sedang aku berbicara sendiri, tidak sedar Dahlia sudah masuk kembali ke dalam bilik. Siap dengan dua gelas Milo di tangan. Ini yang aku sayang sangat dengan kakak aku. Bertindak tanpa arahan yang menguntungkan perut aku. Hehehe...
"Pandai hang, Wawa... Mak suruh hang buat kopi, hang menyusup mai masuk bilik aku." Dahlia kononnya hendak marah.
Tapi tengok muka dia, memang tak ada kaliber nak jadi guru disiplin langsung. Sebab dia lebih banyak mewarisi genetik arwah abah. Sentiasa lembut dalam bicara mahupun tindak-tanduknya.
Aku? Of course mewarisi genetik Puan Salimah kita! Sebab itu aku dengan emak selalu bercanggah pendapat sebab masing-masing keras kepala. Tak nak mengalah walaupun selalunya aku terlebih sedar, aku yang buat salah.
"Wawa..." Dahlia tolak bahu sikit bila ayatnya aku biar tidak berbalas. Aku tarik sengih nipis.
"Alah... Macam tak biasa. Kalau aku yang buat pun, belum tentu mak boleh minum dengan selamat. Aku pun tak yakin, kopi tu akan sedap macam yang hang bancuh." Aku membeli sikit jiwa Dahlia dengan pujian. Tapi, itu fakta. Tiada dusta.
Dahlia ini pakej menantu idaman terbaik. Memikirkan itu, aku bangga juga. Sebab dah banyak mak cik dalam kampung ini merisik-risik tentang kakak aku ini. Memang calon suami berderet beratur nak masuk meminang dia. Bak kata orang dulu-dulu, sekali petik sepuluh yang datang tau. Jangan main-main...
Memikirkan topik kegemaran ramai itu, aku melirik mata pada Dahlia.
"Apa dah jadi dengan cerita minggu sudah?" soalku nakal. Aku jongketkan kening, hendak mengusik Dahlia. Aku suka tengok bila Si Dahlia ini tersipu-sipu malu. Terserlah keayuan gitu.
Dahlia tersenyum, malu-malu. Aku tahan ketawa daripada meletus. Walaupun suka, tapi aku tak sanggup nak tengok lama-lama. Terasa kelakar dengan reaksi Dahlia. Gayanya sudah sama seperti gadis-gadis Melayu dalam cerita dahulu kala.
Bila ditanya persetujuan, dikulum senyum sebagai jawapan. Itu yang emak-emak suka sangat dengan tagline 'senyum tandanya setuju'. Oh, sungguh... Aku tak setuju dengan tagline lapuk itu!
"Mak dah jawab bagi pihak aku..." jawabnya meleret. Tersenyum lagi sambil tertunduk menekur tikar minyak, malu-malu. Macam aku pula si bakal suami di sini. Confuse pula aku.
Oh, Dahlia... Please! Tersilap reaksi ke apa ni?!
"Mak tolong jawab bagi pihak hang? Mak ka yang nak kahwin?" Soalku selamba. Nak perli sebenarnya. Apa pula, emak kena tolong jawabkan? Yang akan berkahwin itu dia, tapi bercakap dengan si bakal suami itu pun tak pernah. Main setuju saja. Suruh lihat gambar pun, ditolak.
Nasib, aku sempat juga curi pandang wajah bakal suami Si Dahlia ini masa keluarga mereka datang bertandang ke rumah tempoh hari. Dahlia yang memang terkenal dengan sifat pemalu itu, bersembunyi di balik dinding. Konon malu sangat, sampai rupa bakal suami pun tak mahu kenal!
"Apa ni, Wawa? Mestilah mak yang kena tolong cakap. Malu la aku kalau kena cakap sendiri," jawab Dahlia dan kembali tersipu-sipu lagi.
"Aku macam terperasan, dia macam jongang sikit la, Lia... Hang tak kesah ka nanti anak-anak buah aku mewarisi part tu?" Wajah aku serius. Hendak melihat reaksi Dahlia, biarpun omongan aku itu jauh sekali menyimpang daripada kebenaran.
"Eh, masa aku tengok tu, elok aje..." jawab Dahlia dengan yakinnya. Dan aku nampak benar riak wajah Dahlia yang sangat tak boleh blah.
"Bila masa hang tengok?" soalku hairan. Si mak cik yang sentiasa malu mengalahkan pohon semalu ini, sukar benar untuk aku percaya, dia sudah menilik wajah bakal suaminya tanpa pengetahuan aku? It just not so Dahlia, I tell you!
Perlahan-lahan Dahlia mengeluarkan sesuatu dari rak bajunya. Dengan senyuman tersipu-sipu malu, Dahlia menyuakan sekeping foto bersaiz 8R kepada aku. Mujur tidak tergolek sepasang mata milikku.
"Hang memang dahsyat, Lia. Tanpa pengetahuan aku, senyap-senyap hang simpan gambar Abang Zulhisyam segedabak ni."
Aku pandang wajah Dahlia dengan rasa tidak percaya.
"Rasanya, hang tak payah simpan dah gambar ni. Tak elok pandang lama-lama. Hilang seri pengantin nanti." Selamba aku mengambil gambar itu dan bergerak keluar dari bilik Dahlia. Tapi, tidak sampai berapa langkah pun... Suara Dahlia sudah mematikan langkah aku.
Rengekan manja yang menyebukan deria pendengaran aku. Nasib baik aku tak termuntah dengan gelagat terbaru kakak aku itu.
"Wawa... Gambar tu..." Permintaan Dahlia tersekat. Aku tahu, dia mahu. Tapi malu.
"Malu-malu... Tapi mahu," usikku seraya meletakkan gambar bersaiz gedabak itu kembali di sisi Dahlia.
"Malu bukan tak mahu, malu bagi yang perlu."
Aku menjuihkan bibir tanda tidak setuju. Ternyata, Dahlia sangat old school dan ia sangat tak masuk dengan jiwa ranggi aku ini.
"Sekarang mungkin hang tak faham, Wawa. Tapi bila sampai masa hang nanti, baru hang akan tau macam mana rasanya malu tu."
Dahlia memberi keterangan ikhlas yang aku rasa tidak perlu. Bibirku terukir senyuman nipis memandang Dahlia yang kembali tersipu-sipu sambil melepaskan pandangan manja pada sekeping gambar milik bakal suaminya itu. Perlahan aku melangkah keluar dari bilik itu, meninggalkan Dahlia menyulam mimpi indah untuk kehidupan yang bakal ditempuhinya.
Bila menjenguk kepala ke ruang tamu, emak masih berteleku di hadapan mesin jahit. Meneliti hasil jahitan kain langsir yang ditempah oleh penghulu tempoh hari. Katanya, untuk digunakan di dewan orang ramai.
Bibirku melirik senyum kelat. Aku tahu emak penat. Malah terlalu penat mengejar rezeki untuk membesarkan anak-anaknya ini. Ditambah dengan perangai gila-gila aku yang selalu buat emak pening.
Wawa minta maaf, mak.
Bibirku berbicara tanpa suara.
Bagaikan mendengar suara itu, kepala emak terdongak. Redup mata itu memandang wajah aku, seolah-olah ingin menyuarakan sesuatu. Jeda antara kami seketika.
Sebelum... Telinga aku bergegar.
"Masuk tidur la, Wawa oiii!"
Tu dia. Sekali keluar vokal mantap Puan Salimah. Mencicit aku lari masuk ke dalam kamar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro