Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 14

RUMAH emak semakin sibuk dalam tempoh seminggu sebelum aku hendak balik semula ke universiti. Terasa sekejap sangat bercuti. Namun lagi sekejap sahaja, aku harus melepaskan penyokong utama aku iaitu Dahlia untuk pergi berkhidmat dengan orang lain pula. Biarpun aku masih belum lepas ujian menggoreng telur dan memasak nasi seperti yang diharapkan oleh emak, namun tarikh kahwin Dahlia tak dapat ditunda hanya dengan alasan aku belum menguasai ilmu kedapuran.

Padahal bukan tak boleh kuasai, tapi malas nak belajar. Itu saja kesimpulannya.

Aku termenung seketika melihat semua mak cik sibuk merewang. Ada yang memotong bawang, mengupas ubi, menumis cili dan membersihkan ayam. Aku ternampak juga kelibat Jasmin di celah-celah kelompok mak cik-mak cik di rumah emak aku itu. Tak kuasa pula aku nak tumpang join sekaki. Bukan kerja yang masuk dengan jiwa aku pun.

Bosan duduk di situ, aku bangkit ke depan pula. Semua abang-abang sepupu dan pak cik sedang membantu memasang tiga buah kanopi di depan rumah. Laju pula kaki aku nak pergi tolong angkat kerusi meja. Kerja macam ni tak pula merimaskan jiwa raga. Lepas susun, dah siap kerja.

Sedang aku bersenang-lenang menyusun kerusi, terasa telinga aku dipulas kuat. Ops! Tak perlu dengar emak membebel pun, aku dah tahu salah apa. Tak dapat nak mempertahankan diri sendiri, kaki aku menurut sahaja langkah emak yang terus menarik telinga aku sambil berjalan masuk ke dalam rumah.

"Tudung tak pakai. Lepas tu sibuk tolong buat kerja laki. Padahal banyak lagi kerja dekat dalam rumah yang hang boleh tolong. Saja nak menaikkan darah mak, kan?" Sempat lagi emak bagi tembakan ayat sedas tepat pada muka aku. Dan sempat juga dia tarik tudung segera dan dicampakkan ke kepala aku. Gurau kasar betul emak ni!

Macam tak biasa tengok aku berdiri luar rumah free hair macam ni. Bukan buat salah apa pun. Sempat lagi aku bermonolog mempertahankan dosa diri sendiri dan meletakkan ke tepi tudung yang emak berikan itu. Tiada niat pula aku nak bertudung dalam keadaan panas macam ni. Tapi, rasa yang tidak-tidak itu singgah sebentar sahaja sebelum terasa ada 'bilah' yang lebih tajam menusuk hati.

"Bila mak suruh buat kerja rumah, Wawa tak nak ikut... Tak apa lagi. Tapi bila mak tegoq bab agama dan bab aurat tapi itu pun Wawa tak nak ikut juga, bersedialah, Wawa... Sama-sama kita tanggung dosa dan kena seksa dalam neraka. Entah berapa juta tahun pula kita kena menetap dalam sana. Panas dunia yang sikit ni pun belum tertahan... Hang nak ajak mak jadi geng dalam sana pulak. Kesian lagi dekat arwah abah hang... Entah macam mana pula dia nak menjawab dalam kubur tu? Entah apa seksa yang dia kena tanggung sebab mak gagal didik anak mak laksanakan perintah agama." Emak buat ayat sayu yang sememangnya buat aku rasa bersalah serta-merta.

Terus aku sarung tudung ke kepala tanpa banyak kata.

"Buat kebaikan tu niatkan hati ikhlas sebab nak jadi hamba Allah yang taat. Walaupun mak tak berapa pandai bab agama, tapi mak rasa segala yang wajib tu, mak dah ajarkan pada semua anak-anak mak. Biar tak berat sebelah dalam neraca timbangan nanti. Kalau Wawa rasa tetap tak mau ikut, rasa rimas nak buat itu dan ini walaupun benda tu dah digariskan dalam hukum Allah, terpulanglah... Lagipun hidayah tu, Allah yang bagi. Mak mampu nasihat aja."

Skop perbincangan emak meluas sampai masuk bab hidayah pula. Sedar dengan diri yang pemalas dan lalai bukan saja bab kerja rumah, tapi termasuk bab agama... Aku tundukkan kepala, capai tangan emak dan cium seketika.

"Ni drama pagi raya dah kenapa?" Bagus punya emak perli aku sebab aku selalu katakan adegan bersalam dan cium tangan sebagai drama pagi raya.

"Minta maaf siap-siap sebab ajal tak mengenal masa dan usia." Ayat insaf sangat. Insaf berapa peratus, aku belum pasti.

"Sedar pun. Kalau dah tau ajal tak mengenal masa dan usia, bawa-bawa bertaubat dan berubah. Wawa bukan budak-budak lagi. Dan boleh fikir mana yang baik dan buruk."

Aku mengangguk saja. Gaya anak paling solehah walaupun tidak terbias aura itu di wajah dari sudut mana sekalipun.

"Dah, pi tolong Kak Nani susun bunga telur."

Again, emak tak lupa mengeluarkan arahan yang sangat bosan buat pendengaran telinga aku. Susun bunga telur? No way! Susun kerusi dan meja lagi seronok rasanya. Dan dengan andaian itu, kaki aku mula menghala ke luar rumah.

"Jangan nak ingkar arahan mak."

Kaki aku bagai digam sebelum berpaling dengan sengihan tawar di wajah.

"Wawa nak supervise kerja dekat luar aja, mak. Nak masuk tolong susun bunga telur la ni. Walaupun dah tau... Kerja tu sangat boring." Sempat juga aku komen. Dasar tak pernah insaf.

LENGAN baju yang besar ini sangat merimaskan. Entah fesyen baju apa yang emak jahitkan ini. Langsung tidak selari dengan paksi jiwa brutal aku. Ditambah dengan fesyen kain kembang, berkedut-kedut dan sedikit labuh itu, semakin membosankan. Fesyen pakaian ini hanya menyekat dan membataskan pergerakan aku. Macam mana nak buat kerja kalau macam ni?

Biarpun ayat itu mungkin kedengaran poyo sebab hakikatnya aku pemalas nak mampus. Tapi, itu adalah fakta yang aku simpulkan selepas dua jam berlalu setelah aku dipaksa menyarungkan baju berwarna pink ini. Fakta warna pink, itu lagi satu... Menggelikan tekak dan bulu mata.

Ini belum masuk aku jelaskan bahagian tudung di atas kepala. Dengan maniknya, dengan kerawangnya. Bertegas pula emak suruh Jasmin hiaskan aku, sampaikan tercucuk jarum peniti dekat kulit kepala.

Huh! Aku terpaksa menelan segala fakta rimas itu hanya kerana ini adalah hari bahagia buat Dahlia. Malas hendak terus bersungut, aku meneruskan kerja kerana majlis masih berlangsung dan orang masih ramai berkunjung.

Sedang aku dengan rajinnya mengutip bekas basuh tangan untuk mengosongkan air, terasa ada tangan asing yang menarik tudung aku dari belakang. Sepantas kilat aku terrespons dengan membaling air bekas cuci tangan itu.

"Weh, Wawa!!! Spoil la hang ni."

Suara itu. Lelaki ting tong ni buat apa dekat sini?

Mata aku tak berkelip pula melihat Johan dan kemeja putihnya yang menjadi lebih 'cantik' hasil teknik balingan air semula jadi itu. Padan muka, siapa suruh main acah-acah dengan tudung aku? Nasib tak berubah latitud dan longitud. Bukan aku tahu nak betulkan.

Lagi satu, perlu ke dia pakai baju putih untuk datang makan kenduri? Kan dah terpamer segala kotoran degil yang mungkin hanya akan tertanggal dengan menggunakan sabun pencuci berkuasa tinggi.

"Kalau ya pun teruja sangat nak sambut kedatangan aku, tak payahlah simbah pakai air basuh tangan ni. Dah terkurang darjah kehandsomeman aku." Johan marah. Lepas tu tak tinggal dengan perangai riak takabbur dia itu untuk memuji diri sendiri.

Aku mencebik.

"Dah memang salah hang, kenapa nak marahkan aku? Siapa suruh main tarik tudung pulak? Ikutkan hati, aku sidekick juga tangan hang tu."

"Nampak macam awek cun sangat, aku nak usyar la. Rupa-rupanya hang... Patut rasa berdebu aje dalam mata. Pandangan palsu rupa-rupanya. Dapat hidayah untuk jadi ayu ke?" sindirnya.

Tak sedar diri yang dia dah lencun dengan air sisa basuh tangan, sempat lagi dia hendak memanjangkan perbualan tentang topik tak munasabah dengan aku sekarang ini.

Malas hendak mempedulikan si mamat ting tong itu, aku terus menyambung kerja. Panggilan Johan aku tak pedulikan. Pandai-pandailah dia nak menukar baju ke, beli baju baru ke, nak mencuci sendiri ke, nak hantar dobi ke. Itu semua bukan urusan aku.

Tapi, memilih untuk tidak masuk campur dengan urusan Johan adalah kesalahan terbesar yang aku dah buat hari ini. Masalah menjadi lebih rumit apabila makhluk asing itu dengan selambanya meminta pertolongan daripada emak. Mentang-mentanglah depa dua dah kamceng. Aku pula yang menjadi mangsa keadaan.

"Wawa... Tolong ambil baju dalam almari mak. Kesian Johan ni, baru aja dia nak berlama sikit, Wawa dah kotorkan baju dia pulak. Ambil baju T-shirt arwah abah yang dalam beg kertas tu." Emak pun bukan main mengibarkan bendera di sebelah Johan. Mahu tak mahu, aku kena juga menurut.

"Tunggu sini..." arahku pada Johan di tengah dapur. Itu saja kawasan yang lengang seketika buat masa ini. Sebab orang lain semua sedang sibuk di bahagian laman rumah. Aku segera mendapatkan salah satu T-shirt arwah abah yang masih emak simpan. Dan masih kelihatan baru juga. Laju kaki aku melangkah semula ke dapur.

Saat itu, aku terus terasa sakit hati.

Ditambah dengan senyuman yang terukir di bibir Johan, membuatkan aku rasa macam nak koyakkan saja mulut dia tu.

T-shirt arwah abah yang aku pegang itu, aku baling tepat ke wajah Johan. Dia terkejut, tetapi sekejap saja, kemudian dia ketawa pula. Lelaki sewel ini serius sangat berkaliber menaikkan takat didih darah aku.

"Kalau dah ada baju salin tu, tak perlulah nak menyusahkan hidup aku," bentakku.

"Saja... Nak tengok usaha hang untuk berkhidmat pada aku," ucapnya selamba. Tersenyum-senyum pula.

Sudahlah aku rimas dengan baju kurung moden yang tersarung di tubuh ini. Tak cukup dengan rasa rimas itu, Si Johan pula cuba menambahkan perasa yang tidak kena pada masa. Dia ingat senyuman dekat muka dia tu lawa sangat sampai boleh menghiburkan hati aku?

Never.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro