BAB 12
AKU tak sangka pula Johan memang datang ke asrama sebab nak menjemput aku. Sejak bila dia melantik diri sendiri untuk jadi pemandu tak berbayar yang berkhidmat di bawah seliaan pak su? Aku tak pasti akan hal itu. Yang pastinya, aku menyampah sangat bila kena ikut semua arahan dia tanpa sebarang kompromi.
Namun, dalam pada aku tidak berhenti-henti bersangka buruk dengan Johan, aku menerima panggilan daripada Fasha. Katanya pak su kena bawa mak su ke hospital. Dan Johan yang sedang menyibuk di rumah pak su pada ketika itu, dengan terlebih baiknya menawarkan diri untuk berbudi dengan aku.
Mengenangkan storyline yang tak berapa seronok didengari itu, aku mencebik sendiri. Menyampah.
"Tak payah nak tayang muka menyampah sangat. Orang dah berbudi tu, cubalah berbahasa sikit. Ini tak, muka tak mengenang budi betul!" perlinya.
Aku terus memuncung dan memeluk tubuh di tempat duduk sebelah ini. Ikutkan hati, aku layan saja dia macam drebar. Tapi, disebabkan ada rasa perikemanusiaan sedikit, aku duduk di hadapan. Lagipun, ini kereta dia. Takkan aku nak berlagak serupa manusia lupa daratan pula?
"Awat yang nampak berangin sangat? Exam susah sangat ke? Share la dengan saya, awak..." Dia mengusik pula. Dan hujung kata, saya dan awak itu yang diucapkan dengan nada manja. Boleh membawa kepada risiko muntah. Aku segera menelan liur.
"Awak..." sambungnya lagi.
"Eee... Jangan nak cakap geli-geli sangatlah. Berbulu telinga aku nak dengar. Exam okey aje. Hang tu bawa kereta senyap-senyap boleh tak? Sudahlah bawa perlahan macam siput," komenku. Tak padan dengan menumpang kereta orang.
"Excuse me, puteri pemalas, kalau tuan kereta kena saman sebab bawa laju, awak boleh tolong bayarkan?"
Sekali lagi, aku kena perli.
"Bencilah cakap dengan hang ni." Aku berpaling ke luar tingkap. Sejurus itu, telinga aku menangkap bunyi tawa yang berima.
"Jangan nak comel sangatlah, Wawa. Nanti aku terjatuh pulak." Johan mengucapkan sambil diselangi dengan bunyi tawanya.
Aku senyap, tidak membalas.
"Tak nak tanya, jatuh apa?" soalnya dengan wajah serius pula. Alahai, tak bertanya pun satu masalah.
"Tahu dah... Jatuh gaung. Dah, tak payah nak cakap banyak, bawa aje kereta. Kalau bosan, boleh hidupkan radio. Kalau bosan lagi, hang tukar tempat dengan aku, bagi aku pandu." Macam bagus sangat aku memberi cadangan, walhal lesen kereta pun tak ada. Pegang stereng pun belum tentu confident. Mujur Johan senyum saja. Aku jadi lega.
Selepas itu, sepi di antara kami sebelum telefon Johan berbunyi. Cekap Johan menghentikan kereta di bahu jalan. Mungkin dia terlupa nak bawa earphone. Dijawabnya telefon itu sambil memandang ke arah aku yang sama melihat ke arahnya.
"Sekarang ke, bos?" soal Johan.
Wajahnya serius mendengar. Tiba-tiba dia keluarkan arahan pada aku untuk menyalin alamat yang diberikan sebelum talian dimatikan. Cepat-cepat aku menaip pada telefon bimbit.
"Nak kena buat apa?" soalku bingung. Tapi aku nampak dia macam berkejar masa.
"Kalau hang ada kerja, tak apa. Aku turun naik bas dari sini. Barang tak apa, nanti boleh ambil kemudian." Aku cuba memberi cadangan. Tapi reaksi muka Si Johan ini, memang macam tak nak terima sebarang cadangan daripada aku saja.
"Nak ikut aku pergi kerja tak? Sekejap aje... Jom!" ajaknya dengan wajah teruja.
Aku tergelak. Lucu melihat wajah Johan yang bersemangat sangat.
"Apa hal aku nak ikut hang pergi kerja pulak? Malaslah..." Aku menolak.
"Tak payah nak malas sangatlah, Wawa... Jom, ikut aku. Nanti aku bagi tahu dengan pak su hang, kita pergi dating kejap," ucapnya dengan muka serius.
"Johan!!!" jeritku kuat.
"Aku belum pekaklah, Wawa. Kalau hang rasa dating tu extreme sangat, kita cakaplah pergi cari makan, baby..." balasnya nakal.
Aku menjelirkan lidah. Nak muntah.
Tapi, Johan... Melawaknya pada waktu yang sesuai saja. Setibanya kami di kawasan perumahan mengikut alamat yang diberikan oleh bos Johan tadi, lelaki muda itu terus menjalankan tugasnya tanpa teragak-agak.
Aku sekadar menunggu dalam kereta, memerhatikan sekumpulan penduduk di kawasan perumahan itu yang berkumpul di tengah padang. Di bawah panas matahari yang terik pula tu. Aku respek betullah! Sanggup semua manusia ini berpanas begini untuk menunggu liputan berita.
Pandangan aku beralih mencari Johan yang sibuk menemu ramah mak cik dan pak cik di situ. Ada juga sekumpulan wartawan lain bersama, aku meneka saja sebab ada lagi beberapa orang yang sibuk menyoal dan menulis. Apa yang disoal itu, aku tak tahu dan tidak mahu menyibukkan diri dengan tugasan Johan di luar sana.
Selesai berbual, aku nampak Johan merakam gambar pula. Penduduk di situ berkumpul sambil menunjukkan beberapa keping kertas. Aku makin bingung. Tidak faham dengan situasi kerja Johan, biarpun nampak mudah, tapi entah apa yang serius sangat sampaikan ada mak cik yang terjerit-jerit dengan reaksi wajah bengis.
Sekembalinya Johan ke dalam kereta, baru aku lega. Mulut dah terasa nak bertanya macam-macam. Tapi belum sempat aku bertanya, Johan terlebih dahulu membuat permintaan.
"Aku nak hantar story ni dulu. Jom, teman aku dekat kedai makan sekejap. Aku janji, takkan melebihi sejam. Kalau hang lapar, makanlah nasi bungkus tu dulu. Aku memang beli untuk hang pun."
"Okey..." Aku bersetuju tanpa banyak soal. Teringatkan wajah bengis mak cik tadi, terus terasa betapa pentingnya berita yang perlu dikarang oleh Johan sebentar lagi.
"Kenapa tu tadi?" soalku ingin tahu.
"Biasalah, bila suatu kawasan dah membangun, pemaju akan spot tempat tu. Kawasan ni pun termasuk antara kawasan yang berpotensi, jadi penduduk ni semua, tinggal dekat kampung bersebelahan pangsapuri yang pemaju nak dirikan. Kesimpulannya, pemaju nak bayar duit dan minta semua manusia dekat sini kosongkan tempat," terang Johan dengan mudah.
"Habis tu, depa kena halau ke?" Aku jadi risau pula.
Johan tergelak.
"Wawa... Ini bukan dramalah. Nak mengosongkan kawasan untuk dibangunkan, akan memakan masa. Sekarang ni, penduduk nak hantar aduan minta naikkan jumlah wang tuntutan. Hang ingat depa senang-senang nak keluar? Biarpun bukan tanah depa, tapi rumah bina pakai duit sendiri kut."
"Ada mak cik tu tadi, muka garang betul," komenku. Spontan teringat semula mak cik yang overreaction tu.
"Mahu tak garang, gambar kena real, babe. Nak mengadu takkan nak tunjuk muka gembira pula? Tak kena dengan news yang aku nak tulis nanti," terangnya padaku.
"Tapi, satu ajelah... Media hanya boleh tolong sampaikan aje. Sama ada perkara ni diambil perhatian atau tidak... Tak ada siapa pun boleh teka. Realitinya, duit mampu beli segalanya..." sambung Johan sebelum terus memandu.
"Susah ke jadi wartawan ni?" soalku ingin tahu.
"Tak susah. Niat kena betul. Selalu ingatkan diri sendiri, semua pekerjaan yang kita buat bukan untuk dinilai oleh manusia, tapi oleh Allah yang menciptakan kita dan memberi amanah kehidupan untuk dilaksanakan. Menulis ni boleh jadi baik dan buruk dalam masa yang sama. Pada asalnya memang tak susah, tapi jangan sampai pekerjaan tu menyusahkan diri sendiri. Walaupun hang bekerja di bawah arahan sesebuah syarikat, perkara yang penting ialah hang tahu matlamat penulisan hang. Menulis bukan untuk mencetuskan fitnah, tapi menulis untuk mendatangkan kebaikan kepada masyarakat awam. Hang nak ambil major kewartawanan ke?" Johan menyoal aku pula.
Tanpa berfikir panjang, aku menjongketkan bahu. Tak tahulah.
"Kerjanya memang sentiasa di bawah matahari terik ke?" Itu pula yang aku risaukan. Tak matang betul!
Johan gelak besar.
"Kalau hang fikir nak kerja duduk dalam air cond sentiasa, hang tersilap pilih bidang agaknya. Aku ni pun masih belajar, Wawa. Bila masuk praktikal, baru kenal apa tu dunia kewartawanan. Bekerja tak tentu masa. Ada hari-hari yang sibuk. Ada hari-hari yang lapang. Ada hari-hari dapat story pening kepala. Ada hari yang boleh relaks gila. Cuba dulu, baru tahu macam mana. Tapi kalau untuk kaum hawa ni, aku nasihatkan fikir masak-masak dulu... Kerja tak tentu masa, tambah pula banyak cabarannya bila bekerja dalam persekitaran yang terlalu bebas pergaulan antara lelaki dan perempuan."
"Macam hang dengan aku sekarang ni, terlalu bebas jugak, kan?" soalku selamba.
Johan menjegilkan mata. Sudah hilang sekelip mata aura ustaz-tempoh-pendek yang dimainkan sebentar tadi.
"Situasi bebas yang aku cakapkan ni, lebih bebas daripada jarak kedudukan hang dengan aku dalam kereta ni," Balasnya dengan jelingan geram.
Aku mencebik saja dan mengakui kata-katanya sekadar dalam hati. Aku nampak dengan jelas situasi yang mereka alami tadi. Kedudukan antara lelaki dan perempuan, sememangnya tiada jarak pun yang memisahkannya.
"Pokoknya, berminat nak jadi wartawan ke?" soalnya kembali.
"Macam tak best aje..." Aku sudah membuat kesimpulan.
"Terpulang... Hang boleh pilih apa-apa yang rasa serasi dengan diri hang. Setiap kerjaya tu ada kelebihannya. Tapi, sangat tak baik kalau kita rasa nak mengkritik sesuatu bidang tugas tu tanpa mengetahui macam mana seseorang itu bertugas." Johan mula serius kembali.
"Aku tak mengkritiklah. Aku berfikir aje," balasku sambil menganalisa semula ayat yang aku ucapkan tadi. Rasanya memang tiada sebarang unsur kritikan.
"Bukan aku menuduh hang, aku cuma nak perbetulkan persepsi orang yang ada sesetengahnya suka berpandangan negatif dengan kerjaya ni walaupun pada dasarnya mereka tak tahu apa-apa pun. Itu kan tak adil bagi individu macam wartawan yang sesetengahnya kena berdepan dengan sumber banyak songeh untuk siapkan sesuatu berita, kena tahan bebelan daripada bos yang sesetengahnya ikutkan polisi 'kebebasan' menulis negara, lepas dah siap, dah publish, alih-alih dia kena kutuk dengan pembaca yang langsung tak tahu apa yang ada di sebalik tabir penghasilan sesebuah berita tu... Penat lelah seorang wartawan mencari bahan dan menghasilkan berita yang berkualiti terkubur macam tu saja, yang orang nampak hanyalah kesalahan," jelasnya lagi.
Aku tersengih hambar. Terasa tepu pula.
"Aku rasa hang dah bercakap dengan banyak. Mungkin boleh simpan topik-topik serius macam ni untuk perbincangan pada masa akan datang pula." Aku cuba melawak. Tapi fokusnya untuk drop the subject. Tak larat nak mendengar. Dah macam masuk kuliah kewartawanan pula.
"Kesimpulannya, hang nak spend time dengan aku lagilah ni. Mengaku ajelah, Wawa... Janganlah nak malu sangat dengan aku." Johan tersengih sambil mengusik aku.
Eee... Menyesal aku cakap macam tu! Pandai betul memutar belitkan fakta. Betul ke dia ni wartawan? Atau sebenarnya loyar yang lompat masuk ke dalam dunia kewartawanan? Confuse dibuatnya!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro