Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 11

SEAWAL jam tiga pagi, mata aku tercelik sendiri. Saat pandangan ditebarkan ke sekeliling bilik, aku nampak Auni awal-awal lagi dah berteleku dekat meja belajarnya.

Auni juga ada paper hari ini. Sama macam aku juga. Kertas peperiksaan ketiga di menara gading. Aku dah rasa macam sikit lagi nak jadi sardin dalam tin.

Baru tahu susahnya kehidupan di universiti, itu pun hanya disedari apabila musim peperiksaan menjelma. Mulalah kepala otak aku yang sedia pemalas ini memasang impian untuk segera menamatkan pengajian dan menghabiskan masa melepak di rumah emak. Betapa tak gunanya cita-cita yang cuba aku semai sekarang ini.

"Aku kacau hang tidur ke, Wawa?" Soalan daripada si pendiam Auni menyentakkan lamunan pendek aku pagi ini. Terus aku tersenyum dengan muka natural beauty di pagi hari.

"Tak adalah, aku pun ingat nak bangun... Nak ulang baca sikit. Thanks nyalakan lampu, Auni." Aku terus bangun dan mencapai tuala. Mandi? Agak-agaklah. Kalau terjaga pagi-pagi buta begini, gosok gigi pun belum tentu, apatah lagi hendak mandi.

Usai menyelesaikan hajat di tandas asrama ini, aku mula berlari anak untuk sampai ke bilik. Keadaan di luar sana sunyi sepi. Dan aku tahu, aku ini sekadar nampak 'keras' di luaran saja. Dalaman rapuh juga. Kalau terdengar bunyi pelik-pelik, meremang jugalah. Tapi itu bukan dasar perempuan ya, itu adalah dasar manusia yang suka takutkan pada khayalan minda. Padahal takut itu hanya layak diletakkan pada Dia Yang Esa.

Nampak tak aura ustazah yang berpotensi muncul dalam jiwa aku pada situasi begini? So proud of myself!

"Hang berlari ke, Wawa?" Auni sudah bersiap sedia hendak menyoal aku sebaik sahaja aku melangkah masuk bilik. Pastinya dia sudah mendengar bunyi bising yang dihasilkan oleh selipar tandas aku itu sepanjang aku berlari tadi.

Malas nak menipu, aku mengangguk jujur. Auni tersenyum nipis dan menggeleng melihat aku. Entah apa yang difikirkan oleh gadis itu, aku rasa tak perlu dipanjang lebarkan cerita. Yang penting, misi aku pagi hari ini. Nak menghafal nota-nota berbaki. Kecut perut juga apabila memikirkan apa yang akan aku 'goreng' dalam kertas jawapan kalau jawapan pun tak tahu.

"Nak air panas tak, Wawa?" soal Auni apabila aku dah elok bersila di atas katil sambil memegang nota.

Mata aku terus bersinar-sinar. Ini lagi seorang insan yang Allah utuskan untuk menjaga kebajikan perut aku. Auni memang sangat baik hati dalam hal itu, walaupun dia masih kurang berkomunikasi dengan aku. Kalau yang penting-penting, selalulah. Kalau sekadar hendak bergosip itu, memang tidaklah. Betapa baiknya Auni dan betapa buruknya perangai aku sampai terfikir nak mengajar dia kaedah dan cara bergosip. Rasa nak insaf sekarang juga!

"Kalau hang nak buatkan, aku takkan pernah kata tidak, wahai Auni." Aku tersengih gembira. Ibu jari aku angkat tanda setuju. Tidak menunggu lama. Auni sudah kembali dengan jug kecil yang berisi Milo panas untuk dia dan aku.

Auni menuangkan Milo untuk aku ke dalam mug di atas meja. Lantas dihulurkan kepada aku. Namun belum sempat aku capai, dia sudah menarik kembali huluran itu.

"Hang dah gosok gigi belum?" soal Auni dengan pandangan curiga.

Aku geleng selamba sebelum mencapai dan menghirup Milo panas yang Auni bancuh itu. Pandangan tergamam Auni itu, tidak aku ambil serius sangat.

"Relaks, Auni. Gigi aje pun..." balasku mengelat. Melihat Auni membulatkan biji matanya itu, membuatkan aku tertawa dua harakat.

"Teruklah Wawa ni. Janganlah malas sangat sampaikan tak nak gosok gigi pula," komen Auni sebelum kembali menghadap notanya.

Aku pula sudah melopong tidak percaya. Sudahlah itu merupakan komen paling panjang yang pernah aku dengar daripada mulut Si Auni itu. Paling aku tak percaya, dia komen cakap aku malas? Auni... Sampai hatimu. Sentap dengan komen jujur Auni!

Terus aku menyelak nota. Hendak menyahkan perkataan malas daripada kepala otak buat masa yang singkat ini. Walhal perkara yang lebih penting patut aku buat adalah, menyahkan sifat malas itu daripada menghuni dalam badan aku buat selama-lamanya.

Nanti-nantilah... fikirku dan meneruskan pembacaan.

Ralit membaca untuk kertas Asas Psikologi yang khabarnya jawapan semua dalam bentuk objektif, sudah kedengaran azan dari Masjid USM. Sekejap sangat dah masuk waktu subuh. Tapi aku masih belum selesai membaca. Inilah bahana, semua kerja nak selesaikan last minute saja. Memang hampeh jadinya.

Auni pun dah masuk ke dalam bilik dengan rambut yang basah. Awal sangat dia mandi. Aku pun ikut segera mencapai tuala dan pergi mandi. Gosok gigi tak lupa. Biarpun pemalas, belum pernah lagi aku terlupa gosok gigi sebelum pergi ke kelas. Kalau mandi kambing tu, dah terlalu biasa sangat. Kelas awal pagi, tak pernah sah kalau tak terlajak tidur. Rasanya perangai itu bukan sahaja dimiliki oleh aku, tapi dimiliki oleh sekalian makhluk bernama pelajar di sini. Lebih spesifik, pelajar pemalas macam aku.

Selesai mandi, aku segera mengerjakan solat. Nampak pula Auni khusyuk mengaji. Hati aku pun mula nak insaf seketika. Aku capai juga mathurat yang pernah Dahlia kirimkan masa aku mula mendaftar di universiti dulu. Baca beberapa ayat untuk mohon ketenangan. Aku tahu, di samping menghidapi 'penyakit' malas kronik, aku juga kronik dengan kurang amalan-amalan yang perlu dilaksanakan sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Kalaulah emak tahu realiti keadaan aku dekat asrama ini, pasti mengamuk teruk. Lagipun, emak dah pernah pesan, belajar itu kewajipan tapi yang lebih wajib mengerjakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Aku ingat semua pesanan itu, tapi disebabkan jiwa yang tidak mudah dilentur ini, keinsafan dalam diri agak lambat menyapa.

Aku sedar, aku adalah idola paling ting tong untuk adik-adik yang baru hendak mengenali kehidupan di luar sana.

Ting tong!

Bunyi mesej dari telefon bimbit aku. Cis, macam mengeyakan sangat kenyataan monolog dalaman aku itu. Menyampah!

Aku capai telefon usai meletakkan mathurat di atas rak dan membaca sebaris mesej di skrin telefon itu hanya membuatkan diri aku semakin dibanjiri dengan perasaan menyampah.

Jawab exam elok-elok. Jangan asyik nak menembak aje. Hang tu bukan layak pun kalau nak masuk berkhidmat untuk barisan pertahanan negara. -Johan

Eee... Sejak aku dipaksa bagi nombor telefon kepada dia, memang peti simpanan mesej aku penuh dengan mesej berbau sampah begini. Bukan reti nak cakap elok-elok sikit. Asyik nak mengutuk aku saja tidak kira siang atau malam. Menyesal pula aku berbudi bahasa.

Macam bercakap dengan cermin aje... -Wawa

Aku tersengih lebar. Dia lupa nak mencermin diri agaknya. Mengata orang tak agak-agak. Dan selepas aku membalas mesej itu, Johan menyepi terus. Aku lega. Buat menghabiskan kredit telefon yang ditaja oleh emak saja kalau disia-siakan bertengkar dengan mamat ting tong yang tidak berkepentingan dalam hidup aku itu.

"Wawa... Dah nak pukul tujuh pagi. Tak nak siap lagi ke?" soal Auni tiba-tiba.

Terkejut terus aku dibuatnya. Rasa macam baru jam 6.30 pagi tadi. Kenapa cepat sangat? Rasa macam tak habis baca lagi? Sempat ke nak mengulang baca lagi beberapa muka surat ni? Ingat ke tidak apa yang aku dah pernah baca dalam topik-topik sebelum ni?

Dan untuk semua persoalan itu, aku berpasrah. Aku keluar dari bilik dengan langkah kanan selepas mohon restu emak dalam telefon. Rasa bersemangat secara automatik. Macam baru lepas makan tonik. Over, kan? Aku tahu.

Aku jalan kaki saja dari asrama ke dewan peperiksaan utama berhadapan padang kawad USM. Sampai ke pintu dewan, mata aku terus mencari senarai kedudukan dalam dewan. Lepas tu, cepat-cepat salin atas tangan. Bukan apa, sebab hari pertama peperiksaan, aku tersilap duduk dekat atas bangku orang lain. Memalukan betul!

Memang hidup aku sentiasa tak terkecuali dengan fenomena memalukan diri yang sebegitu rupa. Macam terlalu meriah sangat. Sampaikan muka aku pun terasa kebal sendiri.

"Awal sampai, mak cik?" Satu suara memerli.

Dan suara 'kembar tak seiras' aku menyapa. Aku menjeling sedas pada Naurah. Aku datang awal pun salah, lambat pun salah. Itu pun satu isu untuk dibincangkan ke waktu aku berdebar-debar memikirkan cukup 'peluru' ke tidak untuk menembak di dalam sana.

"Fokus semacam aje hang ni? Sebab dah ada tonik sekali ke?" soal Naurah. Sekejap-sekejap dikenyitkan matanya.

"Hang ada sakit mata tiba-tiba ke? Awat yang terkenyit-kenyit macam miang keladi ni?" Pipi Naurah aku tepuk perlahan.

Sebagai jawapan, mulutnya memuncung semula. Baru sahaja aku hendak kalih ke belakang, pintu dewan sudah dibuka. Laju juga aku membuka langkah ke dalam dewan peperiksaan dan mencari nombor meja di hujung kiri dewan. Lepas melabuhkan punggung, automatik kepala aku berpaling ke belakang.

Terus freeze.

Adakah ini cinta?

"Good luck, Mawar," ucapnya dengan senyuman.

Mujur aku tak terpengsan atas kertas peperiksaan ni. Tanpa sebarang reaksi, cepat-cepat aku berpaling ke depan. Dengan gelabahnya aku letakkan kad pelajar, kad pengenalan dan slip peperiksaan atas meja.

Dalam masa yang sama, otak aku ligat memikirkan fakta bila masa pula yang Si Mawardi ini mengambil kertas Asas Psikologi? Aku tak pernah ternampak pula dia dalam kelas kuliah itu? Misteri sungguh...

"Mawar, tak nak cakap yang sama dengan aku ke?" Mersik suara itu dari belakang.

"Mawar..." dipanggilnya lagi sekali.

"Ma..."

"Okey, good luck too." Cepat-cepat aku sebut tanpa pandang ke wajah Mawardi. Aku dah rimas mendengar dia memanggil aku Mawar berulang kali. Tiba-tiba ada suara latar pula dari meja sebelah. Tak perlu tengok pun, dah tahu siapa yang berbesar hati menyumbangkan suara latar. Naurah.

"Adakah ini cinta?" Naurah tanya. Dan aku rasa Mawardi pun dengar. Berdehem-dehem pula dia memberi respons. Tak padan duduk dalam dewan peperiksaan.

Adakah ini cinta? soal hatiku.

Cuba jawab sambil membayangkan batang penyapu dekat rumah emak. Aku akan temui jawapan yang jujur. Pasti sangat! Terus berubah haluan otak aku untuk fokus jawab kertas soalan di depan mata.

SELESAI kertas peperiksaan terakhir untuk semester satu. Kertas Pengantar Komunikasi Massa yang aku rasa dijawab macam nak main masak-masak. Teruk betul perangai.

Walhal, aku sudah diingatkan oleh emak supaya jangan nak main-main sangat. Dah dapat peluang belajar di menara gading, kena manfaatkan betul-betul. Ada banyak lagi orang yang mengidamkan peluang ini. Itu sedikit summary daripada kata-kata emak malam semalam.

Aku dengar sambil menekup telinga kiri. Sebab tak mahu nasihat itu berlalu pergi seolah-olah ditiup angin. Bukan boleh percaya sangat dengan aku ini. Aku sendiri pun tak percaya dengan diri sendiri, apatah lagi emak. Memang patut sangat emak memilih untuk selalu membebel pada aku.

Eh, bukan membebel... Menyemai kasih sayang.

Sambil menunggu kertas diambil, aku berpaling ke meja sebelah. Sama macam peperiksaan psikologi minggu lepas, Naurah dapat bersebelahan dengan aku. Dan di belakang aku ini...

"Mawar..." bisiknya.

Tak menyempat aku nak menerangkan siapa. Aku mengeraskan diri, pura-pura tidak mendengar sebab kertas peperiksaan baru sedang dipungut. Selesai saja kertas aku diambil, terasa kerusi plastik yang aku duduk itu ditarik dari belakang.

"Mawar..."

Aku mencebik sambil melihat permukaan meja. Mawar? Tak sukalah! Walaupun aku suka tengok muka si pemanggil itu. Opsss...

"Mawar..." Dipanggil lagi.

Kali ini aku terus berpaling. Mata aku terus freeze pada figura yang sedang menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangannya. Sambil matanya dilayarkan tepat ke dalam anak mata aku. Dalam imaginasi terus membayangkan kelopak bunga mawar ditabur dari atas.

"Ehemmm... Mungkin boleh cari lokasi yang lebih sesuai untuk buat adegan mata bersabung mata macam ni." Suara Naurah menegur.

Bahu aku ditepuk kuat. Terus mata aku berkelip beberapa kali. Cuba menyedarkan diri yang menjadi tak sedar diri buat beberapa ketika sebentar tadi.

Aku bangun dan mengambil bekas pensel serta barang-barang aku yang lain. Hati dan akal memang dah bersatu menyeru aku keluar dari dewan itu. Tapi kaki ini buat-buat tak faham arahan. Boleh pula aku tunggu dia datang sebelah dan baru hendak jalan keluar berdua.

"Mawar balik terus ke?" soal Mawardi kuat sedikit dalam keadaan dewan peperiksaan yang begitu riuh itu.

"Balik rumah pak cik. Esok balik rumah mak."

Dan dia senyum mendengar laporan pendek aku itu.

"Jom, makan sekali dekat kafe. Nak tak?" soalnya teruja.

"Tak nak." Terus aku jawab tanpa berfikir panjang.

Wajah Mawardi berubah riak. Ah, peduli apa aku. Dia mana tahu keadaan jantung aku kala ini. Agak merimaskan kalau hendak makan dalam keadaan degupan jantung yang tak berapa best ni.

"Janganlah cakap tak nak... Bukan selalu, Mawar. Lepas ni entah bila boleh jumpa dengan Mawar lagi. Please..." Dia memujuk pula. Macam aku ini budak-budak.

Aku menggeleng.

"Aku tak nak. Selagi hang asyik panggil aku Mawar... Aku tak nak," jawabku serius.

"Okey, Wardah... Jom, makan dengan aku. Please..." Mawardi mengajak lagi dengan wajah yang lebih sendu. Aku tersenyum nipis. Tapi...

"Sorry la... Pak cik aku dah janji datang awal. Lain kali, mungkin." Aku menolak juga. Sama juga seperti aku menolak degupan yang tidak kutahu rentak apa.

"Lain kali tu akan ada ke untuk aku, Mawar?"

Soalan itu aku jawab dengan jongketan di bahu. Malas betul hendak memikirkan persoalan kompleks begitu. Lagi-lagi membabitkan soalan yang ada makna pendua. Tak payah fikir lagi baguslah.

Aku melangkah tanpa menunggu Mawardi kali ini. Kaki aku cepat saja hendak menuju ke asrama. Barang sudah awal lagi aku simpan dalam stor asrama. Baju pun aku dah kemaskan dalam beg. Biarpun nampak janggal sangat hendak berkata Wawa mengemas baju, tapi hakikatnya, aku boleh juga mengemas rupa-rupanya. Baru tahu. Baru sedar diri.

"Wawa..." Sedang aku hendak melintas jalan, namaku dipanggil.

Apabila berpaling, aku nampak sengihan nakal Johan dengan tangannya yang sibuk menayangkan dua bungkus makanan pada aku. Terlopong aku seketika di situ.

Tapi ada juga persoalan tak lojik yang menyapa minda.

Adakah ini cinta?

Eee... Aku lebih rela rewind semula langkah ke dewan peperiksaan supaya babak ini boleh dipadamkan segera.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro