Bab 1
Prolog
NENO. Neno. Neno.
Bergema bunyi itu dalam kepala aku. Berpusing-pusing sekejap kepala hendak mencari punca dan arah datangnya siren yang agak sebati dengan kehidupan aku ini.
Bunyi itu menandakan kecemasan. Bunyi itu juga melambangkan peluang keemasan. Malang orang lain, kadang-kadang menjadi punca pencarian rezeki bagi aku. Oh, maaf. Mungkin kedengaran kejam dan tidak berperikemanusiaan, tapi itu adalah norma pekerjaan yang aku jalani.
Bad news is a good news.
Aku menoleh lagi sambil tangan mula mengoyak minyak motor. Panas terik di atas kepala, aku malas nak peduli. Bau busuk dekat badan, usah ditanya. Aku keluar sedari jam 7.00 pagi dan sudah bermandi peluh melebihi kiraan jari yang aku miliki.
Bagaikan tarikan magnet, aku nampak kenderaan gergasi berwarna merah itu membelah laju di depan mata. Aku pun... Apa lagi, pecut jugalah! Rezeki perlu dikejar. Itu polisi hidup yang wajar diamalkan oleh semua belia masa kini.
Sedang aku asyik mengejar jentera bomba tu, aku sampai tak perasan lampu isyarat sudah bertukar merah.
Alamak!!!
Tangan aku segera menekan brek. Serentak itu juga brek kaki ditekan. Eh, tapi skuter tak ada brek kaki la pula! Jemmm seketika otak aku saat ini.
Tapi jem yang dialami otak aku sekarang ni tidak mampu menghalang aku dan motor untuk gagal mengimbangkan diri.
Srettt...
Terbaring aku cantik di atas jalan raya. Menjadi tontotan umum dan... Si ting tong yang sentiasa wujud dalam mana-mana skop kehidupan aku!
Terbuka luas biji mata aku. Part ni yang aku tak berapa nak berkenan.
"Hahaha..." Dan ketawanya bergema kuat tanpa sedikit pun rasa kemanusiaan untuk membantu aku. Hantu betul!
Dan itulah nasib yang sepadan dengan hang, Wawa.
Bab 1
BASIKAL yang arwah abah belikan lebih lima tahun dulu, aku kayuh dengan laju. Kalau tengok keadaan basikal ini dan gaya 'memandu' aku, memang dah wajib untuk tercabut skru satu per satu. Mujur, berkat servis dan penjagaan mantap daripada aku... Eh, bukan... Kakak aku, Si Dahlia, basikal ini masih mampu bergerak dengan halaju macam ni. Hebat tak?
Kalau tak hebat pun, ya kan aje. Ini kisah aku. Takkan orang lain nak membantah pula, betul tak?
Kembali kepada topik asal, aku sebenarnya dalam perjalanan ke jalan besar. Biasalah, hujung minggu. Budak-budak sini selalu ajak 'merempit' basikal. Mak memanglah tak bagi aku join sekaki sebabnya itu aktiviti budak laki-laki, kata emaklah. Tapi, dah namanya Wawa... Mak tak bagi join sekaki? Lagilah aku tergedik-gedik nak join dengan dua kaki sekali!
Srettt... Aku berhetikan basikal di depan kawan-kawan aku.
"Lembab la hang ni, Wawa..." Jamal terus bersuara dengan ayat puaka. Geram betul aku bila dipanggil lembab.
"Lembab... Lembab... Jangan cakap. Silap-silap lebam bijik mata hang. Kan aku dah sampai ni. Awal lima minit lagi. Nak apa lagi?" Angin satu badan dah aku ni.
"Aku dah kata, tak payah duk ajak budak perempuan ni. Mulut macam murai, sampai aja dah mula bising."
Mulut puaka lagi. Menyumpah aku sebagai murai. Siapa lagi kalau bukan Si Suhail. Aku tampar jugak sedas dia ni. Mulut dia lagi murai daripada aku. Tak sedar! Kalau dalam kelas tu, dia yang juara pot pet pot pet berbanding perempuan.
Mulut aku terjuih. Malas nak berlawan kata. Cukup kalau aku dapat jadi juara race hari ni. Biar aku jadi ratu basikal cabuk menewaskan jejaka-jejaka bermulut gagak ini. Suka sangat bercakap tak agak-agak!
"Sudahlah... Wawa, ambil tempat hang. Nak mula dah ni. Nanti mak hang sampai sini, lain pula cerita. Sekali dengan kami tak dapat race pusing kampung."
Oh, fakta itu, aku pun boleh berpeluh.
"Cepatlah... Risau jugak aku."
Cepat-cepat aku dapatkan tempat. Kain baju kurung yang aku pakai, diselak sampai lutut dan diikat di pinggang. Nasib aku pakai seluar panjang, kalau tak... Mengamuk juga mak dekat rumah tu. Silap-silap diparang kaki aku sebab nak sangat menayang kepala lutut!
"Ke garisan..."
Tangan aku mula memegang hendal basikal dengan erat.
"Sedia..."
Hati mula berdebar. Hesy... Seakan-akan ada satu perasaan yang tidak berapa enak. Apakah ia petanda aku akan kalah?
Mata mula mengerling ke kiri dan kanan. Aku hembuskan nafas lega dan kembali melabuhkan pandangan ke hadapan. Prinsip hidup aku sejak kecil lagi, hidup kena sentiasa pandang jauh ke hadapan.
Belum mula, jangan fikir kalah.
Jiwa lemah, pasti merana.
Kuat semangat, baru boleh berjaya.
Chait!
Bab berfalsampah ni, memang aku agak over tak terkira.
"Mu..." Suara itu kuat menekan.
Aku terus tajamkan pandangan. Sebelum ada satu lagi pandangan tajam mencantas semangat aku yang berkobar-kobar.
"Balik hang, sekarang!!!"
Oh, my mother!
KEADAAN begitu sunyi sekali. Yang aku boleh dengar sekarang hanyalah bunyi pisau berlaga dengan papan pemotong. Bunyi yang begitu ngeri seakan-akan drama pembunuhan bersiri. Risau aku.
"Elok sangatlah duk buat perangai lagu tu. Dah macam anak jantan dah aku tengok!" bebel mak aku.
Itu baru intro, perenggan kedua dan ketiga pasti lebih pedas. Kesimpulannya pasti lebih gempak.
Oh, lupa nak kenalkan pada uolsss. Ini mak aku. Bonda yang melahirkan aku ke dunia ini, bertahun dahulu. Dialah yang bekerja keras menjaga aku, kakak dan adik perempuan aku lepas abah meninggal dunia.
Mak diberi nama Salimah. Orang kampung panggil dia Mak Mah. Tapi mak aku sendiri bahasakan diri dia, Saloma. Hobi harian dia, berkaraoke dalam rumah. Telinga aku dengan adik-beradik inilah yang jadi pendengar percuma. Merdu atau tak, kena tadah telinga!
"Hang ni, Wawa... Cuba bawak berubah. Kawan dengan budak-budak perempuan sikit. Ini tak, yang laki tu jugak dicari. Tak cukup dengan tu, duk pi merempit macam samseng kampung pulak."
Emak hempas papan pemotong kuat-kuat bila aku diam, tunduk menghadap lantai. Tersentak aku. Tapi kepala masih 90 darjah menunduk ke tikar minyak. Kalau emak mengamuk, jangan buat pasal nak membalas. Sebab aku dah ada pengalaman, emak ikat aku dekat tangga, tak bagi aku masuk ke dalam rumah sampai waktu subuh. Ngeri!
"Patutlah kain baju kurung hang asyik terbelah sampai ke lutut, sebab duk selalu ikut budak-budak laki tu pergi racing, ya kan? Eloklah... Orang jahit baju nak suruh tutup aurat, dia belah sampai ke lutut. Hah, elok sangat. Tambah seksa untuk abah hangpa dalam kuboq tu!" Suara emak berdentum.
Zap!
Macam kena rentap jantung aku. Emak mula sebut tentang arwah abah pula. Aku jadi lagi bersalah. Kejadian yang sebenar-benarnya berlaku adalah, kain itu terkoyak sendiri sebab aku nak kayuh basikal laju-laju. Bukan salah aku kalau kain itu terkoyak sendiri. Kain tu yang tak tahan lasak nak buat macam mana...
"Mak... Bukan Wawa yang koyak, kain tu yang terkoyak sendiri. Tapi tak apalah... Dahlia boleh tolong jahitkan semula." Aku balas sambil menayang muka tak bersalah. Mata aku mencari Dahlia pula.
Aku sengih lebar tengok Dahlia yang sopan duduk tepi mak. Tolong mengupas bawang sama. Memang ciri-ciri anak mithali semua ada dekat dia. Sama macam Jasmin, adik yang muda empat tahun daripada aku. Mereka berdua ini memang sentiasa menyejukkan hati emak.
Bukan macam aku. Kalau tak huru-hara rumah ini dengan suara emak sehari, memang aku takkan tenteram rasanya.
"Hah... Elok sangatlah! Dahlia tolong jahitkan. Yang hang tu, tak reti-reti nak belajaq jahit sendiri? Hang pun anak perempuan mak jugak... Tapi satu kerja pun tak pernah buat. Masuk dapur, lagi tak payah cerita. Hang masuk aja, mesti ada benda yang terbakaq. Huru-hara... Tau dak?" Emak jerit lagi.
Aku sengih dengan perasaan tidak bersalah. Kesimpulannya, aku memang tak minat dengan aktiviti indoor macam itu. Yang outdoor barulah best.
Eh, bercakap mengenai outdoor, aku baru teringat sesuatu yang perlu dikhabarkan pada emak. Dan aku pun, tak pernah nak kira timing elok atau tidak untuk sampaikan sesuatu berita kepada mak. Main belasah aje.
"Mak, esok Wawa nak ikut Jamal. Nak pi hiking."
Gedebuk!
"Aduh!" Aku terus gosok bahu. Sakit.
Emak main kasar, baling bawang besar.
"Hang jangan nak berani-berani keluaq rumah esok. Hang keluaq jugak, aku tambat hang dalam reban ayam!"
Emak terus berlalu masuk ke dapur. Aku mencebik, tak peduli. Aku cakap pun, bukan gaya hendak meminta izin. Tapi sekadar memberi informasi. Dan kena tambat dalam reban ayam? Okeylah tu. Terjamin juga keselamatan aku dengan ayam-ayam emak aku tu.
Aku tersengih sendiri. Saat itu juga Dahlia menyeru nama aku. Seakan-akan dapat menghidu niat yang berlegar dalam hati ini.
"Hang jangan, Wa..." Dia memberi amaran seperti selalu. Dengan muka dia yang sentiasa ayu itu.
Aku mendabik dada.
"Jangan risaulah. Macam tak biasa dengan mak. Lagipun reban ayam aje pun... Bukan kandang rimau." Aku gelak sendiri. Dahlia menggeleng kepala dengan wajah yang mempamerkan seribu kerisauan.
Tahu sangat dah apa yang berlegar dalam kepala kakak sulung aku itu. Pasti resah memikirkan alasan untuk menyelamatkan adik kesayangannya ini daripada kena ikat dalam reban ayam mak.
Aku pula... Tetap selamba dengan tekad untuk menjalankan aktiviti pagi esok. Tapi... Ada masalah kecil dengan perancangan itu, boleh ke aku bangun awal pagi esok?
Satu keraguan yang sangat berasas!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro