Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Setahun kemudian.

Maria menghela nafas panjang. Setiap kali tahun baru datang bertamu, berbondong-bondong penghuni bandar keluar menyambut kedatangan tahun baru dengan bunga api. Riuh dan padat. Macam sekoloni semut mendapat habuan seketul gula. Kerlipan bunga api yang kembang di langit malam terbias di atas aspal siar kaki. Dia tiada hati langsung mahu mendongak langit dan menikmati warna-warni bunga api yang bersinar bagai magis di udara.

Sakit kepala yang dirasai sejak waktu kerja tadi masih belum surut. Malah semakin kuat denyutnya mengetuk dinding kepala. Dia terduduk serta-merta di tembok longkang di laluan siar kaki tersebut apabila rasa loya memenuhi anak tekak. Perut menolak jus gastrik bercampur makanan siang separa hadam ke mulut lalu dia memuntahkan semuanya ke dalam longkang. Berkali-kali. Perut terasa kejang dan tekak terasa perit.

Dia membetulkan duduk di atas tembok sambil tangannya memicit-micit pelipis. Bau hanyir longkang menambahkan sakit kepalanya. Orang yang lalu-lalang tidak peduli langsung. Masing-masing dengan hal masing-masing. Agaknya kalau dia mati di tepi jalan sekalipun, orang akan tetap lalu-lalang tanpa peduli walaupun sedikit rasa belas. Dia sudah serupa seperti seorang yang sedang mabuk arak yang teruk. Orang-orang yang lalu-lalang sekadar memerhati dan senyum sumbing. Dia membalas pandangan mereka dengan renungan tajam.

Ah! Orang ramai lebih fikir perut sendiri. Seperti yang terjadi hari ini. Orang lain dengan wewenang mempergunakan dia demi kepentingan diri sendiri. Dia telah kalah. Bagai terasa tenaganya telah disedut keluar dari setiap rongga tubuhnya. Malah turut sama menyedut kewarasannya. Kosong dan kontang.

Dia bangkit setelah berasa sedikit lega. Walau kepala masih berdenyut, rasa loya sudah semakin sirna. Dia membuang pandang ke dalam longkang. Bagaimana agaknya kalau dia 'terjatuh' ke dalam longkang yang tohor, gelap dan hanyir airnya itu?

Siapa yang peduli?

Bunga api masih tetap juga berkembang dengan sinar magisnya di angkasa. Orang-orang masih tetap memilih untuk mendongak ke angkasa dan mengagumi sinarnya. Warna-warnanya yang berkilauan. Bentuknya yang meriah.

Siapa yang mahu menunduk, melihat sisi lain kegelapan malam?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro