
PROLOG
Hembusan bayu laut terasa hangat, sehangat tubuhnya dalam menanti detik untuk masuk ke dalam bangunan usang di pesisiran laut itu. Jantungnya berdetak hebat, selari dengan otaknya yang sedari tadi tidak boleh berhenti berfikir dek hatinya terdetik sesuatu yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Dari jarak 10 meter, matanya menangkap figura target yang mesti diselamatkan pada malam itu. Seorang remaja berusia dalam lingkungan 17 tahun, tubuhnya diikat kemas di kerusi dengan kepalanya diserkup dengan kain hitam. Remaja itu adalah anak Menteri Pertahanan yang diculik sejak dua hari lepas. Insiden penculikan yang tidak diwarwarkan kepada umum demi menjaga kesejahteraan mental umat sejagat.
Takkan anak Menteri Pertahanan pun boleh kena culik? Lemah! Kalaulah sistem pertahanan negara kita lemah begini, macam mana kita nak lawan anasir luar?
Itulah yang Dato' Sri Mutakhir jelaskan kepada pihak atasan, yang membuatkan mereka inilah si jargon daripada empat beradik pihak keselamatan negara akhirnya ditugaskan untuk misi berprofil tinggi. Misi yang membuatkan Team Shadow daripada 404 Special Force yang keanggotaannya terdiri daripada gabungan tentera darat, udara, dan laut serta pihak polis akhirnya beroperasi semula setelah tiga bulan "berehat" daripada menjalankan misi penuh ekstrem.
"Alpha, clear!" Suara Aries kedengaran dalam earpiece, menunjukkan kawasan dalaman bangunan selamat.
Leo menaikkan siaga. Perasaannya semakin berasa tidak enak kerana sedari tadi nalurinya berbisik bahawa semua ini perangkap. Masakan tiada seorang pun pengganas yang berkawal di bangunan ini? Namun, perasaannya dibenam rapat ke kerak bumi dek Scorpio yang bertindak sebagai sniper yang berada di bangunan sebelah memberi isyarat supaya masuk ke dalam.
"All clear." Itulah yang dikata oleh Scorpio dan dia tiada alasan untuk membantah. Tidak ada bukti yang membenarkan telahannya.
"Roger, pasukan masuk." Leo menyahut dengan menekan helm taktikalnya.
Pantas lima batang tubuh lengkap berpakaian taktikal hitam lengkap bersenjata menyusup masuk ke dalam bangunan. Pergerakan mereka tangkas dan senyap. Langsung tiada bunyi. Yang ada cuma bayang-bayang hitam bergerak pantas menuju ke arah target.
Dalam satu barisan tersusun, Leo berada dalam posisi paling belakang. Senjatanya diangkat penuh waspada, sinar matanya tajam meneliti dalam gelap. Cahaya rembulan yang samar-samar menerobos masuk ke dalam bangunan sedikit sebanyak membantu, walau hakikatnya hanya sepuluh peratus sahaja untuk mengesan sebarang objek atau serbuan tidak diingini.
Saat ini, perasaan tidak enak kembali menggeruh dalam diri. Keadaan terlalu senyap dan ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Pantas dia cuba bersuara, ingin menzahirkan rasanya kepada Scorpio yang turut sama bertindak sebagai ketuanya dalam operasi pada malam itu. Namun, hasratnya terbantut lagi apabila tiba-tiba Libra yang berada di posisi paling hadapan mengangkat tangan.
Leo memicingkan mata, melihat ke arah yang dimaksudkan. Nampaknya, Libra juga mungkin berasa sepertinya apabila melihat figura remaja itu tidak bergerak. Remaja yang berikat kaki dan tangan, bajunya koyak rabak dan penuh dengan kesan lebam, luka dan darah kering kelihatan terkulai layu di kerusi.
"Target di lokasi," kata Libra.
"Confirm target?" balas Leo.
"Negatif, tunggu pengesahan," jawab Cancer.
Identiti remaja itu perlu dikenal pasti sebelum mereka meneruskan operasi menyelamat. Sama seperti Libra yang syak bahawa semua ini mungkin perangkap, Cancer turut memilih untuk mengesahkan terlebih dahulu identiti remaja itu. Mereka semua tahu bahawa operasi ini bukanlah mudah, jadi semua ini perlu menjadi indikator agar tiada satu pun nyawa bakal melayang.
"Proceed." Suara garau Scorpio bergema di gegendang telinga.
Cancer, Aries, dan Libra yang berada di hadapan Leo saling berpandangan sesama sendiri. Sejujurnya, mereka sepakat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Tapi sesuatu itu, mereka tidak pasti. Hanya saja batin menjerit supaya hentikan saja operasi pada malam ini sebelum segala-galanya terlambat.
"Saya rasa ini perangkap," kata Leo, yakin.
"Kau atau aku ketua operasi ni, Leo?" Suara Scorpio kedengaran lagi, marah apabila arahannya seakan dibantah oleh anak bilis yang kurang pengalaman bertempur tidak sepertinya.
Leo mendengus geram, berang dengan sikap keras kepala Scorpio. Mentang-mentang pangkat tinggi, sesuka hati saja mengatur orang. Kalau berani sangat, datang sajalah sini. Jadi sniper bersembunyi di atas bangunan sebelah, buat apa? Biar kalau mati, mati semua. Habis cerita!
"Sahkan target," arah Scorpio.
Mendengar arahan itu, Libra berpaling kepada Leo yang berada di belakang. Dapat dilihat olehnya gerak tubuh lelaki itu seakan marah dengan arahan Scorpio. Namun, untuk melawan, dia tiada bukti yang menunjukkan bahawa ini adalah perangkap. Segala kemungkinan sudah pun diambil kira dan diperiksa dengan teliti.
Tiada sebarang ancaman di sekitar kawasan ini.
Malas mahu bertekak dengan Scorpio, Libra memberi isyarat kepada Leo supaya mengikut arahan lelaki itu. Leo pula dengan penuh rasa sebal terpaksa menurut arahan. Siapalah dia dalam misi ini? Hanya seorang tentera elit terpilih yang baru masuk ke dalam Team Shadow.
Dengan penuh waspada, Libra mendekati remaja yang diam tidak berkutik. Tangannya dihulur ke pergelangan tangan remaja itu untuk memeriksa nadi dan mengesahkan identiti. Namun, belum pun sempat tangannya menyentuh kulit remaja tersebut, tiba-tiba satu bunyi "klik" memecah keheningan.
Saat itu, detak jantung semua orang yang berada di situ seakan berhenti.
"Lari!" jerit Libra.
Namun, segalanya sudah terlambat. Mereka tidak boleh lari. Malaikat maut sudah memunculkan diri. Saat ini, hanya lafaz syahadah mampu dilafaz sebelum akhirnya, nyawa mereka ditarik saat tubuh dihentam oleh ledakan api.
BOMMM!
Gelombang letupan meluru keluar, membawa sekali api yang menjulang tinggi di udara. Dinding bangunan pecah berkecai, kaca dan serpihan besi berserakan di udara dan mendarat rakus seperti bilah pedang mencucuk isi bumi. Suhu panas berapi mengitari suasana, sekali dengan debu kasar menenggelamkan kawasan sekeliling.
Leo menyaksikan keadaan itu dengan penuh rasa sakit. Telinganya tuli, pandangannya seakan buta, dan tubuhnya seperti dirobek-robek oleh kesakitan maha dahsyat yang perlahan-lahan merenggut kesedarannya.
Letupan besar yang memecah keheningan malam menerbangkan tubuhnya terpelanting keluar dari bangunan, mengakibatkan tubuhnya menghentam tanah dengan hunjaman cukup kuat. Seakan hancur tubuhnya dirasakan. Darah merah likat memancut-mancut keluar dari lukanya yang terdedah.
Sakitnya... teramat...!
"Li... Lib..." Lidahnya kelu. Leo gagal mengucap nama sahabatnya yang rentung, dan api masih menjilat rakus pakaiannya.
Air matanya mengalir lebat. Pandangannya menangkap tubuh Aries di sebalik timbunan batu panas. Tubuh Cancer pula nun terpelanting jauh di sebelah, dengan besi panjang mencucuk dada. Tiada harapan untuk rakan sepasukannya hidup. Semuanya sudah kembali ke pangkuan Ilahi.
'Scorpio...' Saat itu, Leo teringat kepada ketuanya.
Allah... segala-galanya amat menyakitkan. Namun, dia tidak mahu mengalah. Sedaya upaya dia mencuba untuk bangun, namun gagal. Tubuhnya terlalu sakit untuk digerakkan walau sekadar menggerakkan jari. Pendengarannya berdegung dan nafasnya sesak.
Dalam separa sedar, Leo cuba lagi untuk menggerakkan kepalanya. Pandangannya dihalakan ke bangunan sebelah. Dapat dilihat oleh pandangan kelamnya beberapa batang tubuh sedang bergelut di atas sana. Salah seorang daripada mereka adalah Scorpio, yang akhirnya lelaki itu terkulai layu akibat ditikam bertalu-talu.
"Sc... Scorp... pio..." Leo menghela nafas berat, lelah dan penuh darah yang keluar dari hidungnya.
Sebelum pandangan gelap sepenuhnya, terpapar di matanya tubuh Scorpio dilambung-lambung di udara sebelum diusung dan dibuang ke laut oleh sekumpulan manusia yang menyerang. Ya Tuhan, betapa kejamnya dunia sekarang.
Dari kejauhan, bunyi siren menyentuh gegendang telinganya. Leo melorekkan senyuman kecil di hujung bibir, berharap semoga nyawanya masih panjang. Dia masih ada perhitungan yang masih belum selesai dengan dalang di sebalik kejadian bermandi darah ini.
Ps: Terima kasih sudi baca. Maaf tak best dan ayat entah apa-apa. Saya sedang berlatih menulis karya kreatif semula ni. Huhu.
Sabtu, 22.02.25, 6.35 petang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro