BAB 9
Pelan B dimulakan dengan Zafran menilai semula situasi terkini dengan lebih terperinci. Untuk itu, mereka berpatah balik semula ke pintu kecemasan bagi mengelakkan kehadiran mereka disedari oleh pihak musuh.
Setelah melihat kembali blueprint bangunan hospital atau lebih tepatnya kedudukan mereka berada sekarang di skrin telefon, dia berpaling kepada Ariana yang sedari tadi menanti keputusannya dengan sabar. Tanpa membuang masa, pantas dia menjelaskan situasi terkini.
"Wad pediatrik hospital ni terbahagi kepada dua. Satu untuk kanak-kanak lelaki dan satu lagi kanak-kanak perempuan punya. Yang kita tengok tadi tu wad kanak-kanak perempuan." Zafran berhenti seketika lalu matanya meliar ke sebelah kiri.
"Wad kanak-kanak lelaki berada di sebelah kiri kaunter jururawat. Situasi kita pula, kita sendiri tak tahu keadaan sebenar di wad tu macam mana. Aku rasa tak sedap hati bila kita tak dengar apa-apa bunyi kat dalam tu," jedanya sambil mengusap dagu.
Kata-kata Zafran itu ada benarnya juga. Saat ini barulah Ariana perasan yang dia juga tidak mendengar sebarang suara tangisan kanak-kanak lelaki. Situasi itu sangat pelik dan dia yakin sesuatu yang buruk telah berlaku di situ. Terus pandangannya dihala semula kepada Zafran. Dia ingin mendengar lagi buah fikiran lelaki itu.
"Ada dua kemungkinan. Satu, semua kanak-kanak itu ditampal mulut dengan sellotape dan kedua, mereka diberi ubat tidur," kata Zafran.
Saat ini dia menolak jauh kemungkinan ketiga, iaitu mungkin kanak-kanak itu semua telah mati. Dia sudah kehilangan Ayyash dan dia tidak mahu Ayyash juniornya juga pergi daripadanya. Dia tidak sanggup untuk menghadapi kehilangan kali kedua.
"Kalau nak tahu, kita kena gerak ke sanalah," sahut Ariana.
Zafran mengangguk. Dia perlu melihat keadaan wad kanak-kanak lelaki dahulu, kemudian barulah selamatkan kanak-kanak perempuan yang masih ditawan. Hatinya menyuruh begitu. Lagipun, setakat ini keadaan masih terkawal dengan mereka itu tidak diapa-apakan.
"Ada CCTV. Payah nak lepas ni," kata Ariana sambil kepalanya terjenguk-jenguk kepada CCTV yang sesekali bergerak ke kiri, kanan, atas dan bawah. Kamera pengawasan 360 darjah itu adalah bala bagi mereka.
"Tak susah pun." Tanpa sempat Ariana berkata apa-apa, pantas Zafran bergerak ke arah bertentangan dengan halaan CCTV.
Pada hemat kiraannya, CCTV itu bergerak selang 30 saat pada setiap arah. Jadi, masa 30 saat itu digunakan sebaik mungkin dengan pantas dia melekapkan satu kotak leper berbentuk empat segi tepat ke bawah CCTV. Seterusnya, sepantas kilat dia kembali semula ke tempat asal.
"Apa tu? Aku ingat tu bekas kau letak skru," tanya Ariana dengan ekspresi muka berkerut-kerut.
"Alat penghenti real time video. Tapi berkesan dalam masa 30 minit aje. Lepas tu CCTV akan kembali normal. Jadi kita kena cepat selamatkan budak-budak ni sebelum musuh sedar yang kita hijack CCTV," jelas Zafran.
Penjelasan itu tidaklah sukar untuk dihadamkan oleh Ariana. Cuma saja tatkala ini dia semakin yakin dengan intuisinya bahawa lelaki itu sama sepertinya. Seseorang yang berada dalam line keselamatan negara.
"Okey, dah boleh gerak," kata Zafran seraya memberi isyarat kepada Ariana agar mengikut rapat dengannya, dan perempuan itu patuh tanpa banyak bunyi.
CCTV mula memaparkan video statik berulang sebaik sahaja dia mengaktifkan alat tadi dengan alat kawalan jauh. Bermula pada detik sekarang, paparan video akan berulang menunjukkan keadaan seperti biasa di wad ini. Pergerakan mereka di sini tidak akan ditangkap oleh kamera pengawasan.
'Satu, dua... empat.' Sambil berjalan penuh senyap dan waspada tetapi laju, tajam matanya membilang semula jumlah musuh yang berada di wad kanak-kanak perempuan. Ada empat orang semuanya.
Kiraan itu disimpan kemas dulu ke dalam benaknya. Kemudian, tanpa bertangguh, pantas dia bergerak ke wad kanak-kanak lelaki. Sebaik sahaja sampai, pantas mereka mengintai di celah pintu. Ternyata kejutan yang menyapa tatkala saat itu, tiada seorang pun manusia di situ!
'Ke mana semua orang?' Ariana melontarkan pertanyaan senyap kepada Zafran melalui isyarat mata.
'Tak tahu.' Zafran menjawab dengan mengangkat bahu.
"Kalau macam tu, kita bereskan yang ada sajaah dulu," kata Ariana.
"Okey," balas Zafran lalu mereka berdua bergerak semula ke wad kanak-kanak perempuan.
Sampai sahaja di situ, mereka mendapati keadaan masih seperti tadi. Kanak-kanak masih menangis dan pihak musuh masih menggertak dan mengugut anak-anak malang itu.
Musuh berada dalam formasi tiga penjuru. Wad kanak-kanak yang berbentuk segi empat sama tetapi dipisahkan dengan tiga bahagian iaitu pertama wad biasa, kedua wad separa kritikal dan ketiga wad kritikal masing-masing dijaga oleh seorang pengganas kecuali wad biasa yang terdapat dua pengganas di dalamnya.
"Seorang sedang merokok, seorang sedang guna phone. Kau bereskan musuh yang tu dulu. Bila kau dah settle, aku pula akan masuk dan kasi senyap si jahanam yang tengah ugut budak-budak tu," beritahu Zafran dengan isyarat jari telunjuk ke arah musuh.
Mendengar itu, Ariana mengangguk. Mudah saja tugasnya kerana kedudukan musuh yang sedang menggunakan telefon membelakanginya. Manakala yang sedang merokok pula, mungkin agak susah tapi sikit sajalah susahnya.
"No hal." Dengan keyakinan jitu, dia segera mengorak langkah senyap.
Semua kanak-kanak yang ditawan ditempatkan sekelompok di wad biasa yang kedudukannya berada paling hujung. Musuh yang sedang menggunakan telefon berada di wad kritikal, iaitu yang paling dekat dengannya. Itulah sebabnya juga target pertamanya adalah musuh yang sedang menggunakan telefon, yang mungkin juga tengah melayan video kerana nampak ralit benar dengan telefonnya.
"Ehem." Ariana memberi salam kepada si musuh dengan deheman dari belakang.
Mendengar deheman Ariana, si musuh tersentak. Pantas refleks tubuhnya cuba bertindak mencapai senjata yang diletakkan di tepi. Namun, Ariana bukan lawan yang mudah.Tahu-tahu saja leher dan bahu kanannya berasa kejang menggila sebelum sempat dia mencapai senapang.
Dengan terkial-kial, dia mencapai pasu bunga yang berada di sisi. Kepala Ariana menjadi targetnya, namun dia tidak tahu tindakannya terlebih dahulu dibaca oleh perempuan itu. Buat kesekian kalinya lagi hari ini, nasib malang menimpanya apabila perempuan itu bertindak menyambar lengan kirinya dan memulasnya ke belakang sehingga terdengar bunyi tulang terkehel.
"Ar..." Tanpa sempat dia menjerit, tekaknya terlebih dahulu menerima benaman buku lima. Terus jeritannya tersekat di kerongkong kerana rasa sakit yang melumpuhkan.
"Best? Ada rasa nak mati tak?" tanya Ariana sambil tersengih-sengih.
"Jangan risau, kau takkan mati pun," sengihnya lagi seraya menampar pula pipi musuhnya dengan sekuat hati.
Tamparan itu meninggalkan kesan lima jari di pipi. Puas hatinya melihat musuh di depannya itu lembik bagai kain buruk. Tapi, dia belum puas mengganas. Seksaan itu masih ringan jika dibandingkan dengan trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak perempuan yang ibu bapanya dibunuh oleh lelaki itu.
"Kau akan rasa macam mana orang yang kau dah bunuh tu rasa," bisik Ariana lalu tanpa bertangguh, pantas dia membenamkan test pen ke paha dan tulang rusuk lawannya dengan gerakan sepantas kilat dan bertalu-talu.
"Arghh..." Tubuh si musuh terus terlorot ke lantai dengan kondisi nyawa-nyawa ikan. Kesakitan maha hebat seakan memamah rakus nyawanya.
Melihat itu, Ariana menggeleng seraya menyepak perlahan betis lawannya. Itulah nasib yang diterima bagi sesiapa sahaja yang cuba cari pasal dengannya, terutama sekali penjahat yang mengancam keselamatan negara.
Sebelum itu, sempat dia melihat buat kesekian kalinya lagi wajah musuh malang yang tewas tanpa sempat melawan. Bahkan, tidak berpeluang pun untuk membuka mulut meminta pertolongan.
"Kesian. Sepatutnya kalau nak tengok ultraman, duduk sajalah kat rumah elok-elok. Datang ke sini buat apa? Lumpuh terus kau!" gelengnya lagi seraya mengerling kepada skrin telefon pintar yang masih menayangkan babak pertarungan antara ultraman dengan raksasa.
"Selesai yang pertama..." Dia menyapu kesan darah di test pennya lalu bergerak pula ke wad separa kritikal.
Sampai di sana, pemandangan yang menyapa matanya adalah figura seorang lelaki berambut panjang diikat gaya ekor kuda sedang menikmati hisapan batang rokok sambil pandangan dihala ke bawah. Entah apa yang menarik di sana, tidaklah dia tahu. Yang dia pasti, keadaan akan menjadi lebih menarik kalau dia menyerang lelaki itu dengan teknik lain pula.
Bosan pula rasanya asyik tikam menggunakan test pen saja. Macam tak ada teknik lain padahal skil bergasaknya kemain banyak. Kalau tak, tak adalah dia menang pelbagai jenis perlawanan seni bela diri sampai tahap kalau masuk sukan Olimpik pun, pasti dia pemenang pingat emas!
'Berlagak betul aku.' Terus Ariana tergelak perlahan.
'Tapi berlagak-berlagak aku pun...' Ariana menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan.
"Well, aku tak kosong." Ekspresi jahat mula terlakar di wajahnya.
Ps: Ganas sangat ke chapter ni? Perlu kurangkan level ganas tu tak?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro