Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 7

Ariana kekal membatu dalam posisinya, sedang menunggu isyarat "move forward" daripada Zafran. Dia tidak berani bergerak kerana jelas di matanya, beberapa orang lelaki berpakaian serba hitam sedang berkawal di bilik simpanan ubat. Beberapa orang ahli farmasi dan jururawat diikat di kerusi.

Setelah beberapa detik, barulah lelaki itu mengangkat tangan kanannya ke paras bahu, dan jari telunjuk lurus menunjuk ke hadapan. Dengan gerakan tegas, dia menghayun tangannya ke depan dan ke belakang, memberi arahan senyap kepada Ariana untuk bergerak ke hadapan tanpa bunyi.

'Macam ahli pasukan khas,' detik hati Ariana.

'Tapi takkanlah kan? Mustahillah.' Hatinya pula menidakkan.

'Tapi kalau tengok body...' Dia mengerdip-ngerdipkan matanya beberapa kali.

'Ini bukan masa nak tengok body orang, Ariana Sofea!' Pantas dia membuang fikiran itu jauh ke kerak bumi.

Fokus! Dia mesti fokus! Lantas tanpa membuang masa, dia segera merangkak mengikuti rangkakan lelaki itu dengan gerakan berhati-hati dan penuh senyap. Semoga kehadiran mereka tidak disedarilah, setidak-tidaknya hingga sampai ke control room.

******

Reaper, ketua pengganas yang memakai pakaian serba hitam dengan kelengkapan militari tersarung di segenap tubuh melihat dengan teliti paparan kamera litar tertutup (CCTV). Dari tadi lagi hatinya tidak tenang,  isyarat sesuatu yang tidak beres dengan pelannya.

Semua tawanan yang dikumpulkan setempat di setiap bilik menjadi pusat perhatiannya. Anggotanya yang seramai 50 orang; lengkap bersenjata seperti kelihatan sedang berlegar-legar di tempat yang ditugaskan. Masing-masing sedang mengawal ketat tawanan mereka.

"Bos, semua doktor cukup termasuk yang dah jadi mayat. Jururawat pun, juga staf hospital yang lain." Grunt, orang kanannya berbisik kepadanya setelah mendapat maklumat daripada setiap ketua kumpulan kecil yang ditugaskan untuk mengumpulkan tawanan di satu-satu tempat.

"Cuma dua orang dari Jabatan Kecemasan dan 10 orang lagi dari jabatan lain tiada dalam senarai. Ikutkan rekod, mereka tak masuk kerja hari ni. Cuti," katanya lagi.

Reaper mengangguk, faham dengan makluman tersebut. Ternyata 12 orang itu terselamat daripada nasib malang hari ini. Tapi tak apa, biarkan saja. Motifnya menawan hospital bukanlah untuk membunuh doktor atau orang awam. Dia ada tujuan lain dan targetnya sedang terlantar di hospital.

Adakah dia kejam kerana menyasarkan manusia yang sedang sakit? Taklah. Targetnya bukan orang biasa-biasa. Orang itu memegang "kunci" pembebasan ketuanya. Sekali dia memberi arahan, maka ketuanya akan terlepas. Itulah misinya menawan hospital ini.

"Macam mana dengan keadaan kat luar? Pasti polis dah kepung hospital ni kan?" tanya Reaper dengan senyuman tersembunyi di sebalik topeng muka penuh bercorak syaitan merah.

"Ya. Pihak media pun bersesak-sesak kat luar. Famous kita. Hahaha," gelak Grunt.

"Memang itu pun tujuan aku. Bagus! Grunt, aku ada tugas baru untuk kau," kata Reaper seraya mengisyaratkan supaya orang suruhannya mendekat kepadanya.

"Kat dalam hospital ni ada tikus. Cari sampai dapat dan jangan kasi chance," bisik Reaper.

Mendengar arahan itu, mata Grunt membulat. Dia yakin seratus peratus dia sudah menangkap semua orang. Ternyata tikus ini licik juga ya. Mampu terlepas dari radarnya.

"Okey," jawab Grunt sambil giginya dikacip rapat. Maruahnya sebagai pencabut nyawa manusia sudah tercalar!

"Oh ya, aku nak kau bawa tikus tu ke sini. Tiba-tiba pula rasa nak berkenalan dengan mereka," arah Reaper sambil tergelak-gelak.

Grunt mengangguk, faham dengan maksud bosnya. Berkenalan? Huh! Lebih kepada mahu menikam dan mencincang daging mayat saja sebenarnya. Kemudian memberi makan mentah-mentah kepada anak buahnya yang lain. Alasannya, untuk mendapat tenaga super. Padahal mereka puak kanibal dan itulah hakikatnya!

Melihat bayang Grunt menghilang di sebalik pintu, Reaper tersengih lagi. Kalau buruan Grunt berjaya, dapat makan besar mereka. Saat ini, benaknya tertanya-tanya sebesar apakah tikus tersebut. Namun, dia yakin tikus itu dapat memenuhi temboloknya yang kejam.

Lagi hebat skil tikus itu melarikan diri, lagi tinggi kualitinya. Ah, dia sudah tidak sabar-sabar mahu berkenalan dengan tikus itu. Harap-harapnya, tikus itu menepati cita rasanya. Dia mahu berlawan barang sekali dua secara one on one dengan tikus itu demi melepaskan gian membelasah orang!

"Kau nak lari ke mana hah, tikus sial?" Reaper ketawa lagi.

******

Mereka kini sudah melepasi bilik bedah 1 dan 2. Ariana dan Zafran hanya mampu menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada arwah pesakit yang mati di atas meja bedah kerana doktor dan jururawat bertugas telah ditawan sepenuhnya. Bunyi "beep" mendatar mengesahkan kematian seorang pesakit lelaki yang berusia kira-kira 50 tahun.

Ada pun nasib seorang doktor, mungkin ketua yang mengetuai operasi pembedahan itu tidak diketahui dengan jelas. Doktor itu kelihatan terbaring di lantai dengan lautan darah membanjiri lantai. Mereka yakin yang doktor itu ditembak saat cuba mempertahankan pesakit.

Ternyata kejahatan pengganas ini lain daripada yang lain. Dengan pesakit pun mahu mencari pasal juga. Pesakit yang sepatutnya boleh diselamatkan malah meninggal dunia pula ketika dibedah akibat perbuatan mereka.

"Ringan aje tangan aku nak sembelih keparat-keparat tu!" Ariana mengepal penumbuk.

Berair matanya melihat kondisi pesakit. Dia kenal pesakit yang terbaring kaku di meja bedah itu. Namanya Pak Abu, pesakit kanser hati tahap tiga. Dia seorang yang ceria dan sentiasa bertasbih tidak kira masa. Mulutnya sentiasa basah dengan zikir dan selawat.

Mereka para doktor dan jururawat selalu diberi tazkirah percuma oleh Pak Abu. Ayat yang paling mereka ingat ialah, "Buatlah kerja dengan ikhlas kerana Allah. Kerja yang dilakukan kerana Allah adalah ibadah. Nak-nak lagi kamu semua ni kerjanya menyelamatkan nyawa pesakit. Kamu kena tahu yang pekerjaan ni kerja mulia, jadi buatlah kerana Allah."

Panjang lagi tazkirah atau lebih kepada pedoman hidup sebenarnya diberi oleh pak cik itu. Ajaibnya, tak ada pula mereka terganggu dengan tazkirah-tazkirah sebegitu. Malah, terasa segala penat lelah bekerja bagaikan sirna begitu sahaja tatkala mereka mendengar pak cik itu melantunkan zikir penenang hati yang selalu dibaca dengan perlahan.

"Sabar," balas Zafran.

Dia juga turut terkesan dengan pemandangan itu. Tapi partner bidang terjunnya ini tidak boleh dibiarkan tenggelam dalam amarah. Nanti kerja mereka tergendala. Memang tak salah untuk berasa sedih tapi keadaan sekarang tidak mengizinkan.

"Kau bolehlah cakap sabar sebab kau tak kenal pak cik tu. Aku ni yang dah berbulan-bulan selalu bercakap dengan dia, gelak ketawa sekali dengan dia..." Ariana mengetap bibir.

Sedih dan marah bersatu dalam hati. Pak Abu sudah seperti ayahnya. Hanya dia yang melayannya seperti ayah melayan anak. Pak cik-pak cik lain? Tak sebanding dengan Pak Abu.

"Aku faham perasaan kau dan aku pernah rasa lebih daripada tu!" tegas Zafran. Matanya tajam menikam mata Ariana.

Kehilangan Ayyash, call sign: Libra serta rakan-rakannya yang lain; Aries dan Cancer dalam insiden pengeboman pada lima tahun dahulu memberi trauma hebat kepadanya. Turut tidak ketinggalan Scorpio yang dicampak ke laut oleh pengganas, juga mendatangkan kesan kepadanya.

Insiden itulah yang membentuk dirinya hari ini. Dan dia tidak mahu nasib yang sama menimpa partner sementaranya pada saat ini. Dia mesti pastikan mereka berdua serta tawanan yang lain selamat.

"Jahat! Kau semua tunggulah, mampus aku kerjakan seekor-seekor!" Ariana menyapu kasar air matanya. Lantas, pandangannya ditala kepada Zafran.

"Emosi aku tak stabil sekarang. Tukar formasi. Kau lead, aku ikut," kata Ariana dengan tegas.

Ps: Hope u guys enjoy this story hehe. Ramadan mubarak everyone. Selamat berpuasa. 🥰

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro