
BAB 6
"Tunggu apa lagi? Cepatlah turun!" gesa Zafran.
Eh? Oh. Okey. Cepat-cepat Ariana melompat ke bawah. Sambil itu, tidak lepas matanya daripada memerhatikan gerak-geri lelaki itu. Terlalu misterius sehingga melonjakkan rasa ingin tahunya.
"Aku selalu terjun macam tu. Saja asah skil akrobatik. Dulu cita-cita nak jadi ahli sukan parkour." Zafran yang menyedari lirikan mata perempuan itu kepadanya terus melontarkan ayat selindung.
"Oh, patutlah..." Ariana tersengih malu.
"Kenapa terjun kat bilik ni? Tak ada apa pun kat sini selain penyapu, batang mop..." Ariana menyebut satu per satu benda yang di dalam stor penyimpanan barang cucian.
Zafran terus tertawa sinis tatkala mendengar soalan Ariana. Helo, kata ejen perisikan. Takkan tak tahu yang segala bentuk alat pencucian pun boleh dijadikan senjata? Batang mop misalnya, boleh dijadikan senjata tajam bak lembing kalau dipatah dua. Itu pun tak boleh fikir ke? Alahai, lemah!
Tapi, itu bukan tujuan utamanya ke situ. Tanpa menjawab soalan Ariana, pantas dia membuka pintu almari yang dikhaskan untuk menyimpan baju tukang cuci. Kemudian, laju tangannya menyelak barisan baju itu ke tepi. Terserlah di matanya satu punat kecil yang hampir tidak nampak di mata kasar dek dikaburi dengan warna yang sama dengan warna almari.
"Button?" Ariana mendekatkan dirinya pada Zafran.
"Ruang rahsia," balas Zafran seraya menekan punat tersebut.
Sebaik sahaja punat itu ditekan, terbuka satu ruang kecil. Di dalamnya, terdapat satu peti besi berteknologi tinggi. Perlukan pin keselamatan enam digit yang nombor setiap pinnya berbeza pada setiap kali cubaan untuk membuka peti besi itu. Maknanya, pemilik peti besi itu perlu mengingati tiga set nombor pin keselamatan.
"Renyah tapi berbaloi. Payah kalau nak pecahkan peti besi macam ni," komen Ariana sambil matanya tetap terpaku pada peti besi itu.
"Kau ni siapa sebenarnya hah?" Akhirnya, terluah jua soalan sama yang entah ke berapa kali.
Syaknya semakin menjadi-jadi. Bermula dengan lelaki itu langsung tidak takut dengan ancaman pistol, siap boleh bernegosiasi lagi dengannya. Kemudian, boleh melompat turun dari ruang ventilasi dengan mudah dan tangkas. Badannya bak getah, elastik dan tiada bunyi. Akhir sekali inilah, peti besi.
Lelaki itu bukan orang biasa kalau sudah ke tahap mampu membuka peti besi rahsia. Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan. Dia yakin dengan perkara itu. Seratus peratus yakin, tiada ragu dan tiada syak lagi!
"Technician biasa je. Peti besi ni tempat aku letak barang-barang aku. Tu tengoklah kalau tak percaya." Zafran memuncungkan bibir ke peti besi.
Mata Ariana segera melorot ke arah isi peti besi. Memang betul pun! Tiada apa yang istimewa di dalam peti itu selain daripada alat-alat untuk membaiki pendingin hawa. Cuma adalah satu atau dua alat lain yang dia tidak pernah tengok sebelum ini. Yang satu macam spanar tapi berbentuk G, yang lain pula macam pemutar skru tapi berbentuk pen.
"Spanar G ni aku nak hancurkan kepala orang. Nah, test pen ni pula untuk kau. Tikam je leher pengganas tu, habis cerita," kata Zafran seraya menghulurkan test pen atau yang Ariana kenal pemutar skru tapi bentuknya macam pen.
"Dahsyat otak kau." Ariana menggeleng tatkala mendengar ayat brutal itu keluar dari mulut Zafran.
"Kalau lembik macam jeli, kau yang akan mati dulu," balas Zafran.
Ada betulnya juga. Terus Ariana mengangguk kepala, setuju dengan kata-kata lelaki itu. Musuh mereka sekarang ialah pengganas yang mengebom bangunan hospital sebagai tanda bahawa hospital ini telah ditawan dan kini dijadikan teritori.
'Eh kejap, apa hal kau mudah betul setuju dengan kata-kata dia?' Pantas Ariana berhenti mengangguk. Fokusnya ditala semula kepada Zafran yang sedang melibas angin dengan spanar G.
'Mantap gila.' Takjub pula jadinya tatkala dia melihat gerakan kemas Zaf. Dia suka melihat pertunjukan percuma itu.
"Tak pernah tengok orang libas udara ke? Jakunnya kau." Zafran segera berhenti melibas ke udara apabila melihat wajah teruja Ariana.
Hailah anak orang. Kut ya pun excited tengok, tak payahlah sampai ternganga. Masuk habuk kang susah pula nak kena sedut gas nebulizer. Tak pasal-pasal dapat asma percuma.
"Erk! Ha... ha..." Ariana cover malu. Pantas dia berdeham lalu cepat-cepat berpaling menghadap pintu.
Jakun pun jakunlah, kesah apa dia? Yang penting syok tengok gerakan pantas lagi kemas begitu. Rasa macam pernah nampak dulu pihak tentera pasukan khas buat dulu ketika hari pertunjukan. Dia suka melihat aksi itu dan itulah juga sebab kenapa dia menyertai pasukan keselamatan di bawah agensi perisikan negara.
"Sekarang kita dah ada senjata yang tak keluarkan bunyi. Boleh kita proceed?" tanya Ariana dengan mukanya masih dihadapkan ke pintu.
Sejujurnya apabila sampai ke sini dan melihat "senjata" yang diberikan oleh Zafran, barulah dia faham gerak fikir lelaki itu. Yalah jika diingat balik, bukan ke bodoh tindakan melepaskan tembakan? Nanti kedudukan mereka terbongkar.
"Memang itu pun yang kita kena buat sekarang. Jalan bawah tak boleh guna, jadi kita kena merangkak semula di dalam ruang ventilasi," jawab Zafran seraya dengan tangkas melompat naik dengan menjadikan almari tadi sebagai tempat pemijak.
Ariana juga tanpa membuang masa terus mengikut jejak Zafran. Pergerakannya juga pantas seperti lelaki itu. Sepertinya mereka berdua adalah kombinasi yang sempurna dalam tugasan sebegini. Tersengih dalam diam jadinya Ariana apabila tiba-tiba saja otaknya berfikir begitu.
"Untuk ke control room, kita kena lepasi bilik bedah 1 dan 2, lepas tu bergerak ke tangga kecemasan. Kat sini kalau kena serang, pastikan kasi full blow kat pengganas tu. Jangan bagi muka kalau nak selamat," suruh Ariana.
"Okey." Sepatah saja Zafran menjawab.
Dia memang sedia tahu apa tindakan yang perlu diambil, cuma saja dia buat-buat tidak tahu untuk menguji perempuan muda itu. Lagipun, baginya, tak perlu baginya untuk tunjuk hero. Nanti apabila keadaan betul-betul terdesak barulah dia akan masuk campur.
Tak rugi pun berpura-pura, kan? Lagipun, dia orang awam saja di mata perempuan itu.
"Eh kejap. Kau cakap peti besi tu untuk simpan barang-barang kau. Tapi kenapa sampai kena guna peti besi canggih macam tu?" Tiba-tiba, Ariana melontarkan soalan. Rangkakannya turut terhenti saat soalan itu keluar dari mulutnya.
Mendengar soalan tersebut, Zafran turut berhenti merangkak. Yalah, nak jawab apa ya? Sebenarnya, semua alat di dalam peti besi itu merupakan alat multifungsi. Spanar G contohnya, luarannya nampak macam spanar biasa tapi setelah dimodifikasi, ia boleh menjadi senjata tajam. Ada ruang khas di dalam batang spanar untuk menyimpan pisau boleh laras.
Peti besi itu milik arwah Ayyash. Sebelumnya dia bekerja sebagai juruteknik sambilan di hospital yang baru sahaja 10 tahun beroperasi itu. Pengarah hospital tahu identiti lelaki itu, jadi dalam masa yang sama Ayyash turut menyelia pasukan sekuriti hospital.
Arwah Ayyash seorang yang sangat baik. Sejak dulu dialah satu-satunya teman rapatnya. Ke hulu ke hilir ke sana ke mari, terjun sungai, lompat pagar sekolah, dan lain-lain hal semua dilakukan bersama. Macam belangkas. Kena marah dengan ayah masing-masing pun sama-sama juga. Nakalnya tak boleh bawa bincang!
Segala rahsia Ayyash dia tahu dan begitulah sebaliknya. Peti besi ini salah satunya. Dan beberapa bulan sebelum meninggal, ketika itu mereka berada di hospital kerana Ayden jatuh sakit lagi, Ayyash beritahu guna aje "senjata" ini kalau keadaan terdesak.
Namun, sejak Ayyash meninggal, Zafran langsung tidak menyentuh sebarang barang peninggalan lelaki itu. Trauma, sedih, dan rasa bersalah masih menghantui. Dia masih belum bersedia untuk "berjumpa" semula dengan Ayyash. Memori itu terlalu menyakitkan.
"Eh eh, mengelamun pula. Tak nak bagi tahu tak apa, tak penting pun. Aku bukan busybody nak tahu hal orang," kata Ariana lalu membuat isyarat teruskan merangkak.
Zafran hanya mampu tersenyum pahit. Memang dia tidak bersedia untuk berkongsi dengan siapa-siapa ceritanya. Biarlah rahsia. Apabila hatinya terbuka untuk menjelaskan keadaan, barulah dia akan berterus terang. Lagipun, misi mereka lebih menuntut perhatian. Masa sedang memburu mereka. Dan Ariana bukan siapa-siapa baginya.
"Freeze." Zafran mengangkat tangan dengan buku limanya dikepal erat.
Isyarat itu bererti berhenti bergerak kerana ada ancaman di hadapan. Sekali lagi Ariana terlongo melihat tindakan Zafran yang berada di depannya. Gerak tubuh lelaki itu yang berada dalam kedudukan mode tempur seperti yang biasa dia lihat dalam latihan militari sekali lagi membuatnya ragu-ragu. Betul ke lelaki ni orang awam? Atau polis undercover sebenarnya?
Ps: Done! Banyak betul teka-teki untuk Ariana haha 😂
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro