
BAB 4
Zafran mengangkat kedua-dua belah tangan, tanda menyerah diri kepada si empunya suara. Intuisinya mengatakan keadaan tidak berbahaya, cuma saja orang di belakangnya sekadar ingin menakut-nakutkannya sahaja.
Dari mana entah datangnya keyakinan itu, dia pun tak tahu. Sebab si pengacu pistol itu seorang perempuan, mungkin? Tapi, tidaklah dia menurunkan siaganya seratus peratus. Cuma saja dia berlagak natural seolah-olah ancaman itu bukanlah membuatkannya kecut seperti yang dikehendaki oleh musuhnya itu.
Perlahan-lahan, dia memutar tubuh ke belakang, sedang musuh di belakangnya kekal tidak berganjak dalam posisi sebelah lutut di lantai. Kedua-duanya dalam keadaan bersiaga, menanti detik untuk bertindak jika salah seorang daripada mereka memulakan langkah.
"Siapa kau? Apa kau buat kat atas ni? Kau orang mereka?" Seorang perempuan berpakaian scrub bilik bedah kekal mengacu pistol ke dahi Zafran yang kini sedang berhadapan dengannya di ruang ventilasi yang sempit.
Zafran tidak menjawab soalan itu bahkan perlahan-lahan tangannya merayap ke poket seluar. Tindakannya mengundang syak mendalam, dan musuh di depannya semakin mengetatkan acuan pistol dalam genggaman ke kepalanya.
"Kau jangan buat hal. Angkat tangan!" Garang sekali si perempuan memerintah.
Melihat itu, Zafran mencebik. Tapi, memang taklah dia nak ikut mana-mana arahan. Arahan itu diabaikan dan dengan pantas tangannya menarik pemutar skru bersaiz kecil dari poket seluar.
"Acah garang," bisik Zafran, sinis.
Puas hatinya apabila melihat perubahan raut wajah perempuan itu apabila melihat objek yang dikeluarkan dari poket seluar. Mesti dia berfikir yang bukan-bukan kan? Maaf, dia, seorang Zafran sudah tidak berminat lagi untuk memutuskan nyawa manusia.
"Benda tu pun boleh dijadikan senjata. Letak kat bawah," arah Ariana.
Lelaki yang berpakaian smart casual di hadapannya sekarang ini sangat mengganggu ketenangannya. Intuisinya mengatakan bahawa musuh di hadapannya bukan biasa-biasa. Tiada langsung riak gentar terlakar di wajah seperti kebiasaan orang awam bereaksi apabila diacu pistol di kepala. Mungkin dia salah seorang daripada pengganas yang sedang menyerang hospital. Yakin!
Mendengar arahan itu, Zafran mengherot senyuman sinis. Perempuan yang memakai baju scrub itu ada pistol di tangan dengan cara memegang pistol nampak seperti profesional, dan dia boleh melompat naik ke ruang ventilasi. Nampaknya, identiti si dia itu juga boleh dipersoalkan. Mungkin dia bukan petugas kesihatan.
"Atas dasar apa aku kena ikut arahan kau?" balas Zafran.
"Cis..!" Ariana bertambah siaga. Bibirnya diketap rapat. Matanya tajam menikam mata si musuh.
"Aku juruteknik yang sedang selenggara ruang ventilasi masa orang-orang tu bom dan serbu bangunan. Aku takut mati, jadi aku lari sembunyi kat sini," jelas Zafran, akhirnya.
Dia tipu aje sebenarnya. Juruteknik? Hmm...
Mendengar kata-kata lelaki di depannya, Ariana mengangkat kening. Tapi, siaganya tetap tidak diturunkan. Boleh jadi lelaki itu menipu kerana dunia ini banyak penipuan. Boleh jadi dia ditugaskan untuk mematikan sistem ventilasi.
"Aku tak percaya," balas Ariana.
Maaf, tugasnya sebagai ejen perisikan sentiasa membuatkan dia berada dalam mode bersiaga dan tidak mudah percaya kepada orang. Sedangkan dia sendiri boleh menyamar, apatah lagi orang lain.
"Terserah," kata Zafran seraya mengangkat bahu.
"Sekarang, ke tepi. Kau ni mengganggu kerja aku ajelah."
Tanpa sempat Ariana berkelip mata, tahu-tahu saja tubuhnya ditolak ke tepi. Langsung otaknya tidak sempat memproses pergerakan pantas lelaki itu. Gerakannya terlalu cepat dan senyap.
"Hei kau! Berhenti!" jerit Ariana, tapi nadanya terkawal. Nak mati katak ke kalau jerit kuat-kuat?
"Diamlah kau. Bising je." Zafran menoleh ke belakang dengan muka geram, sambil jari telunjuk dihala ke bibir. Bingit betul perempuan ni!
"Kau pengganas kan? Berhenti! Berhenti aku kata! Mana ada orang nak baiki lagi masa-masa kecemasan macam ni!" Ariana masih berdegil. Pistolnya kembali dihala kepada lelaki itu.
Tidak pernah dia bereaksi begini sebelum ini. Cis, sangat tidak profesional! Adakah kerana lelaki itu orang pertama yang berani melawan arahannya?
Boleh jadi juga. Dia rasa tercabar!
"Cik kak, muka aku ni nampak macam pengganas ke? Kalau muka kau tu yalah, nampak jahat macam setan," balas Zafran.
"Kau pernah tengok setan ke?" Ariana bengang. Mukanya yang cantik bak bidadari ini dikatakan macam syaitan?
"Pernah. Kaulah setan tu," balas Zafran.
Puas hatinya apabila melihat wajah perempuan muda di depannya itu bertukar merah. Tolonglah jangan dicabar dia, si kepala batu Zafran al-Haq. Dan paling penting, dia benci masanya diheret untuk perkara tidak penting. Dia perlu merangka pelan untuk selamatkan orang ramai, bukannya bertekak di ruang ventilasi ini. Buang masa sajalah!
"Dasar anak orang," sumpah Ariana.
"Mestilah anak orang, takkan anak kambing pula." Sengaja Zafran menjawab, hatinya puas.
Senyuman sinis diberi kepada Ariana, dan perempuan itu menyambut salam kemenangan tersebut dengan wajah jengkel. Pantas pistol disisip semula ke dalam gun holster di pinggang yang terlindung dengan baju skrub yang agak besar.
"Kau dah tak nak tahu siapa aku?" Zafran menarik pula senyuman mengejek.
"Tak perlu," cebir Ariana.
Setelah meneliti dan mendeduksi sendiri profil nyata lelaki bertubuh sigap di hadapannya, rasanya tidak perlu untuk dia memanjangkan kes. Figura di hadapannya ini dirasa terlalu banyak muslihat. Harapnya bukan musibatlah.
Mendengar jawapan balas Ariana, Zafran tersengih sendiri. Tahu pun mengalah, ya? Ininya tak, memekak aje kerjanya. Tak reti tengok keadaan ke? Suasana punyalah kecoh di bawah, boleh pula mereka berdua berperang di atas. Macam budak-budak.
Sepatutnya dalam keadaan ini, mereka perlu bekerjasama untuk keluar dengan selamat dari hospital ini dan dapatkan bantuan segera, bukannya saling bertikam lidah kau siapa aku siapa. Hal identiti settle lain kalilah, bukannya susah pun.
Dari amatannya, dia tahu yang perempuan itu bukan sekadar petugas kesihatan biasa. Mungkin itulah ejen perisikan lapangan yang dihantar bertugas di hospital ini untuk mencari maklumat virus yang dicampur aduk di dalam makmal hospital.
Ini Zafranlah. Dia sentiasa tahu setiap kes besar yang menjadi pusat perhatian Menteri Pertahanan. Dia juga tahu progress terkini setiap kes. Bukanlah dia suka menyibuk hal orang, tapi dia merupakan penasihat utama Dato' Mutakhir sebelum diminta menjadi pengawal peribadi supaya kedudukan mereka lebih rapat daripada biasa.
Apabila menjadi penasihat utama, dia selalu dipanggil berbincang sekali dengan pegawai atasan setiap badan keselamatan negara. Bermula dengan polis sampailah tentera, juga agensi perisikan negara. Buah fikirannya menjadi timbang tara atas setiap keputusan yang bakal diambil.
"Jadi, apa pelan kau lepas ni?" tanya Ariana sekali gus menyepaikan fikiran Zafran.
"Entah. Aku kan juruteknik aje. Tak sama macam kau orang cerdik pandai," jawab Zafran dengan selamba.
Jawapan Zafran memang mengundang geram dalam diri Ariana. Menyirap darahnya dirasakan. Namun, disabarkan dirinya kerana ada betulnya juga kata-kata lelaki itu. Dia ejen perisikan yang bertugas sebagai doktor, lelaki itu pula sekadar juruteknik yang hanya reti bermain dengan barangan elektronik.
Taraf pendidikan mereka tak sama dan semestinya tahap kepakaran mereka juga berbeza. Jadi, menjadi tugasnya untuk melindungi lelaki itu, si orang awam yang secara tidak sengaja terperangkap dalam kekacauan tidak terduga.
"Doktor, doktor!" Tiba-tiba, kedengaran panggilan berupa bisikan.
Mendengar suara tersebut, terus dia menoleh ke belakang. Ternyata Badrul yang memanggil. Lelaki itu berada di persimpangan ruang ventilasi yang menghubungkan bilik bedah dengan ruang pesakit luar.
Zafran turut tidak terkecuali menoleh ke arah bisikan itu. Tahulah dia yang Ariana merupakan seorang doktor dan mungkin lelaki yang memanggil juga adalah doktor. Cuma saja lelaki itu wajahnya nampak macam budak intern.
Pandangannya bersabung dengan doktor pelatih itu. Doktor itu kelihatan terkejut, namun tidak gelabah. Ekspresinya biasa-biasa saja seolah-olah dia itu temannya yang sudah lama kenal. Pada saat ini, tahulah Zafran yang doktor itu adalah partner perempuan di hadapannya itu.
"Apa?" sahut Ariana, juga dengan nada rendah.
"Aku ada walkie-talkie. Ni aje alat yang boleh hubungkan kita dengan 'dunia luar'. Itu pun kalau alat ni tak kena rampaslah," ujar Badrul seraya menghulurkan walkie-talkie itu kepada Ariana.
"Nice. Thanks," pantas Ariana menyambut huluran itu lalu berpaling kepada lelaki di belakangnya.
"Kita dua kena kerjasama. Nama kau apa? Aku Ariana," tanya Ariana.
"Zaf." Ringkas saja jawapan Zafran.
"Okey Zaf. Keadaan di bawah sangat bahaya. Kau kena dengar arahan aku kalau nak selamat," kata Ariana dengan nada penuh autoriti.
Mendengar kata-kata Ariana, terus Zafran tertawa kecil. Kemudian, ekspresinya drastik berubah kepada riak serius sehingga membuatkan Ariana menelan air liur tatkala perasan dengan perubahan itu. Aura lelaki itu sangat menggerunkan.
"Maaf, aku tak suka ikut arahan," kata Zafran dengan pandangan tajam menikam.
Ps: Done! Terima kasih sudi baca. Love you. ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro