Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 34

Seiring dengan pergerakan Shadows yang mula naik ke bangunan hospital dan berpecah di lokasi target, Zafran berjalan penuh waspada ke arah Ariana ditempatkan. Namun, walaupun dia tahu di mana perempuan itu berada, dia tidak boleh semberono ke sana tanpa strategi.

Semakin hampir ke sana, semakin ramai pengganas yang berjaga. Seolah-olah, tempat perempuan itu ditawan adalah tempat paling panas dan memerlukan pengawasan berkali lipat daripada tempat lain. Ini semua pasti tidak lain dan tidak bukan Reaper menganggap dia akan ke situ dengan kepala gilanya.

"Sorry, Reaper. Teruskan ajelah dengan anggapan tu. Aku dah cakap kan aku ni taklah bengap sangat nak jatuh semula ke dalam perangkap kau buat kali kedua," gumam Zafran perlahan sambil menyentuh simbol-simbol yang dilukis di dinding.

Simbol tersebut dilukis dengan warna hampir tidak kelihatan. Pudar. Bentuknya ada dilukis bulat, segi empat, segi tiga, heksagon, pentangon dan oktagon. Lakaran geometri tersebut adalah tanda daripada Eren yang menunjukkan bilangan musuh di satu-satu tempat.

Segi empat bermaksud bangunan. Bentuk berbucu lain pula menunjukkan bilangan musuh. Ada pun bulat, ia merujuk kepada kolam buatan di tepi bangunan lima tingkat  bersebelahan taman rekreasi hospital.

"Thanks, Eren." Matanya tepat menghala ke arah seorang pengganas paling kecil yang berada dalam kelompok pengganas lain yang sedang membuat rondaan.

“Zaf, laluan kau clear. Hex dah sapu bersih semua CCTV kawasan sektor D hingga F. Kau boleh gerak." Suara Pisces masuk dalam alat komunikasi di telinganya.

Copy.” Dia membalas, pendek.

Sapu bersih bermaksud sekarang ini, tiada langsung kamera baik yang nampak di mata kasar atau tersembunyi sedang beroperasi melainkan bodycam mereka sendiri yang dipantau oleh pusat kawalan. Nampaknya, anggota baharu yang dipanggil Hex juga setanding dengan arwah Cancer yang merupakan ahli siber mereka. Bagus!

Zafran meneruskan langkah dengan berpandukan lakaran Eren. Tapi kali ini, dia tidak menggunakan laluan darat. Bukan sebab kamera pun, tapi saja nak tunjuk aksi parkour. Gatal tubuh pula nak berlagak seperti ninja. Sudahnya, dia bergerak ke tempat Ariana melalui  bumbung, berlari dan melompat dari satu bangunan ke satu bangunan dengan penuh senyap seperti bayang-bayang.

Kelebihan masuk sukan parkour yang diminati sejak kecil membolehkan dia bergerak begini. Memang dia tidak menipu pun apabila beritahu Ariana yang cita-citanya mahu menjadi atlet sukan ekstrem itu. Cuma saja takdir berkata sebaliknya apabila kalah dalam pemilihan ke peringkat olimpik dalam kategori bawah usia 15 tahun kerana kecederaan di buku lali sehari sebelum hari pemilihan.

Tapi itulah, dia kan Zafran al-Haq. Tak adanya dia nak putus asa awal. Tidak berjaya di situ, dia cuba lagi untuk masuk ke kejohanan parkour olimpik bawah 18 tahun. Tapi disebabkan terlibat dengan insiden rompakan bank ketika singgah di ATM untuk mengambil wang dan terlewat sampai ke pertandingan pemilihan, terpaksalah dia mengucapkan selamat tinggal kepada cita-citanya.

Dengan lafaz bismillah, dia dan cita-citanya ingin menjadi jaguh sukan parkour secara rasminya... putus!

Namun, benarlah seperti firman Allah SWT, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik buatmu", ilmu parkour itulah yang menyelamatkannya berkali-kali di medan perang. Baik medan latihan mahupun medan sebenar, fizikalnya yang lasak hasil daripada latihan sukan parkour selama bertahun-tahun itulah yang sedikit sebanyak memudahkan hidupnya sebagai pegawai tentera.

Tuk!

Langkahnya berhenti di sebatang paip. Tapak but taktikalnya mendarat senyap di permukaan konkrit. Nafasnya tenang, mata fokus. Nun jauh di bawah, matanya menangkap kelibat dua orang musuh yang berjaga di setiap tingkat. Cuma saja di tingkat lima, iaitu tingkat paling atas yang terdapat laluan koridor bersambung di antaranya dijaga oleh tiga orang.

“Let’s finish this,” bisiknya seraya melompat turun dengan penuh senyap.

Dia mendarat kemas di ke lantai koridor lalu bersembunyi di sebalik tiang. Jelas di matanya, Ariana sedang diikat di tiang. Mulutnya disumbat dengan kain. Ikatan tersebut nampak ketat dan hampir mustahil untuk perempuan itu melepaskan diri.

Turut berikat sama di sisi Ariana adalah seorang kanak-kanak lelaki. Kanak-kanak tadi, yang sebelum ini mereka cuba selamatkan. Walhal, itu perangkap yang disediakan khas buat mereka. Dan apa tujuan mereka meletakkan sekali lagi kanak-kanak itu bersama Ariana, dia tidak tahu tapi hatinya positif mengatakan yang kanak-kanak itu adalah cagaran.

Zafran mencerap seluruh situasi. Segala bahaya dan risiko mendatang, dia congak siap-siap dalam kepala. Akhirnya, satu keputusan diambil setelah melihat keadaan berpihak kepadanya, apatah lagi apabila melihat musuh berada dalam keadaan leka dan tidak menyedari kehadirannya di situ.

Terdapat tiga orang musuh sedang mengawal Ariana dan kanak-kanak itu. Mereka berada dalam posisi tiga penjuru. Musuh yang berada paling hampir dengan perempuan itu sedang menepuk-nepuk telefon dan membebel, berang barangkali kenapa telefonnya tiba-tiba tidak berfungsi.

Musuh kedua pula yang berada di sudut sisi Ariana sedang merenung jauh ke bawah. Mungkin sedang asyik melihat tasik buatan atau yang warga hospital ini panggil sebagai kolam pusat rekreasi yang indah apabila disinari cahaya sang kunang-kunang. Akhir sekali musuh ketiga sedang melayan asap rokok di tangga, yang kedudukannya di belakang perempuan itu.

Kesemua posisi musuh ditanda kemas dalam fikiran. Lantas, dengan gerakan senyap tanpa sebarang bunyi hatta bunyi nafas sekalipun, pantas dia menghalakan muncung pistol yang dilengkapi peredam ke arah musuh yang sedang menepuk-nepuk telefon. Saat tembakan dilepaskan, peluru menembusi tepat ke jantung target.Terus telefon di tangan terjatuh ke lantai dan musuh rebah ke bumi.

"Kut ya pun nak tidur, janganlah tidur kat sini. Hoi, bangun. Dasar pemalas. Tahu main game aje!" Musuh yang sedang merokok mencebik, melihat sekilas lalu kembali menyedut dalam puntung rokoknya.

Mendengar itu, Zafran menarik senyuman senget. Sekarang, perhatiannya beralih pula kepada target yang sedang melayan perasaan. Tapi, agak susah baginya kerana kedudukan lelaki itu membuatkannya kekok untuk menembak dengan tangan dominan. Pilihan terbaik adalah memunculkan diri atau menggunakan kaedah gamble, iaitu melepaskan tembakan dengan menggunakan tangan kiri.

"We'll see sama ada skil aku dah berkarat ke belum," gumam Zafran perlahan seraya mengejapkan fokus.

Target locked. All set.

Bang!

Darah memercik keluar dari belakang tubuh musuh kedua yang serta merta rebah ke lantai. Pemandangan saat itu seperti melihat air sirap yang terpercik keluar dari gelas saat air batu dimasukkan secara kasar ke dalamnya. Dan ini juga bererti pengganas yang sedang merokok menyedari kehadirannya di situ.

"H..."

Bang!

Tanpa sempat penjahat itu cuba membuka mulut, satu butir peluru terlebih dahulu mendarat di tengah kepalanya. Terus dia tumbang ke lantai dengan mata terbeliak luas dengan puntung rokok masih terlekat di bibir. Nyawanya pergi ke alam sana dengan penuh hina saat belum sempat bertaubat atas beribu jenis kesalahan, yang mana kesalahan terbarunya adalah cuba mencabul kehormatan Ariana.

Hening.

Tiga orang pengganas mati di tangannya. Tapi dia tidak menyesal kerana ketiga-tiga orang itu memang pendosa yang patut mati. Mereka bertiga telah membunuh ramai tawanan dan dia nampak semua itu sebelum ini. Dia cam wajah-wajah durjana tersebut. Ditambah dengan kekasaran kepada Ariana, lagilah mereka patut mati.

Zafran melepaskan keluhan lalu kembali memasukkan pistolnya ke pinggang. Kemudian, dia mematikan bodycam di baju taktikalnya. Dia tidak mahu pusat kawalan melihat aurat Ariana yang terdedah walau sehelai rambut sekalipun. Baginya, walaupun Ariana bukanlah siapa-siapa dalam hidupnya, dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga aurat perempuan itu daripada dipandang oleh lelaki lain.

Tanpa berlengah, dia berjalan ke arah Ariana. Kain tudung yang menutupi rambut perempuan itu sudah terbang entah ke mana akibat direntap oleh tiga orang pengganas tadi. Cuma saja badannya masih dilindungi kerana baju taktikal milik musuh yang dipakai sedari tadi menyusahkan mereka untuk membukanya. Ditambah pula dengan sifatnya yang melawan, syukur mahkotanya masih terjaga.

Zafran tidak menyaksikan secara langsung segala yang dilakukan oleh pengganas itu. Dia tahu nasib yang menimpa Ariana melalui simbol lukisan terbaru Eren, yang berupa emoji wanita menangis dan tiga emoji lelaki ketawa. Tapi, dia tahu Ariana sejenis yang keras hati. Jadi apabila lukisan itu menunjukkan emoji perempuan menangis, dia tahu sendiri yang Ariana sedang tidak berdaya dan cuba diapa-apakan.

Tatkala sampai di sini, segala telahannya terjawab. Memang benar Ariana cuba diapa-apakan. Buktinya, keadaan perempuan itu kelihatan sememeh dan tidak terurus. Namun, nasibnya masih baik ketika itu kerana ketiga-tiga penjahat tersebut tidak  meneruskan niat buruk. Mungkin berhenti seketika bagi menahan senak akibat diterajang tepat di kawasan alat sulit masing-masing ketika Ariana melawan habis-habisan sebelum mereka mengikatnya di tiang.

"Kau okey?" tanya Zafran, perlahan.

Anak matanya dilarikan daripada memandang aurat Ariana yang terdedah, namun tangannya laju membuka ikatan tali di tubuh perempuan itu dengan menggunakan pisau. Dalam beberapa saat, ikatan Ariana terlerai. Begitu juga kanak-kanak yang masih pengsan akibat ketakutan luar biasa yang menimpanya hari ini.

"Kau lambat," balas Ariana, pendek.

Matanya melorot ke wajah Zafran yang tenang meletakkan kanak-kanak itu ke lantai. Kemudian, lelaki itu hilang sebentar dan dalam beberapa minit, keluar dengan membawa kain selimut berwarna putih. Dalam diam, walaupun pelik dengan tindakan lelaki itu, Ariana sabar menanti tindakan Zafran yang seterusnya.

"Nah," kata Zafran. Tapi matanya tetap tidak memandang Ariana.

Dia menghulurkan kain selimut yang sudah dicarik agar berbentuk empat segi kepada Ariana. Bolehlah kain bersih yang diambil dari loker penyimpanan cadar, selimut dan sarung bantal di wad sebelah itu dijadikan kain tudung. Paling tidak, walaupun tidak sempurna dan cantik, aurat perempuan itu tetap terjaga.

"Terima kasih." Ariana menyambut huluran itu dengan senyuman terukir di bibir. Sungguh, entah kenapa hatinya tergetus indah dengan tindakan lelaki itu.

Dalam beberapa saat, Ariana selesai memakai kain tudung kain selimutnya. Walaupun tidak sempurna kerana hanya ada satu pin sahaja, yang itu pun nasib baik kerana ada di dalam poket seluar, dia sudah amat bersyukur tudungnya tidak akan mudah tercabut nanti. Ekor tudung pula boleh dipintal di depan saja.

"Dah, siap. Kau dah boleh pandang aku," kata Ariana.

Zafran menyambut kata-kata itu dengan perlahan-lahan menoleh ke arah Ariana. Masih  banyak benda yang perlu dia lakukan bersama perempuan itu. Namun, saat mata mereka bertentangan, di bawah suluhan lampu spotlight hospital yang menerangi kawasan itu setiap satu minit, dia dapat melihat dengan jelas wajah perempuan itu berkerut saat membalas pandangannya.

"Kau..." Mata Ariana terpaku pada wajah Zafran.

"Apa?" Zafran membalas pandangan Ariana dengan senyuman di sebalik kain hitam yang menutupi separuh wajahnya, yang membuatkan matanya kelihatan bersinar dan seolah sedang tersenyum.

Saat itu, entah kenapa jantung Ariana berdegup kencang. Ada getar aneh yang pernah dia rasa ketika tujuh tahun lalu saat diselamatkan oleh seseorang yang bentuk dan sinar matanya hampir sama seperti ini. Tapi itu mustahil… kan?

"Kau ni siapa sebenarnya? Boleh tak kau jujur dengan aku?" Mata Ariana tidak lepas memandang mata Zafran.

Memorinya bagai terpacu pada sesuatu, yang samar-samar pada ingatannya. Dia seperti kenal dengan mata itu, tapi hatinya ragu-ragu. Mana mungkin Zafran ini orang sama yang menyelamatkannya di Sudan, kan? Walaupun mata itu amat mirip, tapi gaya mereka jauh berbeza. Bagai langit dengan bumi. Sudahnya, Ariana benamkan saja rasa itu ke sudut hati paling dalam. Nanti-nantilah.

“Kau tembak tiga orang dalam masa dua saat. Kau bukan orang awam. Jangan nak kencing aku.” Akhirnya, dengan lambat-lambat, Ariana meluahkan persoalan yang ditahan sejak tengah hari lagi.

"Aku... macam kau nampaklah. Cuma orang awam yang tahu sikit-sikit pasal ni," jawab Zafran. Dia masih berselindung dengan identitinya.

"Aku tak percaya. Kau bukan orang awam," kata Ariana, tegas.

"So what? Tak ada masalah pun kalau aku orang awam, kan?" Zafran mengangkat bahu.

"Kalau kau orang awam, maknanya aku bertanggungjawab atas nyawa kau," tegas Ariana.

Sungguh, dia benar-benar maksudkan itu. Melindungi orang awam adalah tanggungjawabnya, yang dilafazkan dalam ikrar sebagai ejen perisikan. Walaupun tugasnya adalah melindungi orang awam dengan kepakaran perubatan, tetap saja dia berasa seperti terpanggil untuk melindungi orang dengan kelebihan lain yang dimiliki.

"Tak payah susah-susah. Kalau aku mati sekalipun, aku jamin aku takkan heret kau kat akhirat." Zafran mengangkat tangan tangan, gaya berikrar penuh semangat di depan Ariana.

"Kau memang something, Zafran al-Haq." Ariana memandang Zafran, lama.

Zafran membalas pandangan itu dengan sengihan. Sepertinya dia berjaya membuatkan perempuan itu beralah dengan keputusannya ingin merahsiakan identiti. Dan sungguh, dia tidak menipu. Status dirinya sekarang memang orang awam. Dia bukan lagi tentera, tapi pengawal peribadi menteri pertahanan alias penasihat taktikal badan ketenteraan. Itu identitinya.

"Oi oi... hormatlah kami yang single ni. Kemain off cam tapi audio tak tutup. Aku jealous ni." Tiba-tiba, suara Pisces kedengaran di telinga.

"Tulah kau. Orang suruh cari bini tak nak. Itulah inilah alasan," pangkah Aquarius di talian.

"Kau apa tahu, Aqua? Abe Pis kita ni memilih. Nak yang muka macam pakai cat Nippon Paint putih satu tin besar," selar pula Virgo.

"Hei, elok sikit eh cakap. Kau pun apa kurangnya Virgo? At least Abe Pis kita ni baik sikit daripada kau yang suka test market," bidas Gemini.

"Bisinglah kau orang ni. Biar ajelah chance kat Leo cari cinta sejati. Kan, Leo?" Suara Sagitarius pula mencelah.

"Kau tak apalah Sagi, dah ada awek. Apa nama dia... Dr. Imratul Nadra? Untunglah  dapat doktor PhD, researcher pula tu. Hmm... tiba-tiba aku rasa nak buat part time Grab juga. Mana tahu sangkut seorang macam Sagi." Giliran Capricorn menambah perencah.

"Budak-budak, dah-dah. Fokus! Leo, abaikan mereka. Pergi cepat. Bawa sekali awek kau tu. Kali ni biar jadi, kahwin terus. Tak payah nak confess apa dah. Lima tahun dah kami tunggu undangan nasi minyak kau, tahu?" Taurus si abang long yang sudah 10 tahun berkahwin bersuara lantang.

Pecah ketawa mereka para Shadow lama bertujuh, meninggalkan Zafran terpinga-pinga sendiri. Tak faham kenapa tiba-tiba pula dirinya dikaitkan dengan awek, confess, dan nasi minyak. Apa sebenarnya maksud para sahabatnya itu?

Lantas, dengan dahi berkerut, dia mengangkat bahu. Biar sajalah usikan para buddies itu. Mereka itu memang, tak sah kalau tak membahan orang. Ada saja modal mereka tiap kali bertemu mata. Maklumlah bukan selalu dapat bertemu dan melakukan operasi bersama.

Zafran kembali menumpahkan pandangannya kepada Ariana yang turut memandangnya dengan pandangan pelik. Mungkin perempuan itu hairan apabila melihat dia menyentuh earpiece, juga ada peralatan taktikal lain yang sebelum ini tiada padanya. Nak kata milik pengganas, peralatan itu semuanya canggih dan baru.

"Jadi, apa kau nak buat lepas ni?" tanya Ariana.

Dia berharap semoga ada jalan penyelesaian segera dari pihak keselamatan negara. Sungguh jiwanya resah kerana saat ini, dia tidak nampak satu pun kelibat polis atau tentera masuk ke dalam hospital. Semakin lama masa terheret, lagilah terancam keselamatan para tawanan.

"Entah." Sepatah saja jawapan Zafran.

"Hmm." Ariana melepaskan keluhan.

Punah harapan. Dia sepatutnya sedar yang lelaki itu bukan orang luar biasa. Hanya orang awam. Lelaki itu hanya ada skil berlawan dan skil itu digunakan untuk membantunya melawan kejahatan. Sudahnya, Ariana menjatuhkan bahu. Reda dengan nasibnya yang terpaksa bergerak sendiri dalam kekacauan ini.

Nak harapkan Badrul? Aduhai, ke mana entah lelaki itu. Dari tadi tak nampak batang hidung. Langsung tidak membantunya saat susah. Ke Badrul pun sudah kena tawan dengan pengganas? Takkanlah kan...

"Jomlah pergi dari sini. Sejuk," kata Ariana, perlahan.

"Tapi nampaknya, kita masih tak boleh pergi," balas Zafran seraya membuat isyarat diam.

Sunyi menyelubungi. Hanya bunyi angin malam dan degupan jantung masing-masing kedengaran jelas saat tiba-tiba, telinga mereka menangkap bunyi batang besi diseret perlahan menaiki tangga. Tatkala itu, pantas kedua-duanya berubah daripada mod siaga kepada mod tempur.

Tap... Tap... Tap...

Zafran menelan liur yang terasa kesat di kerongkong. Bunyi besi terus mendekat, disertai detap tapak kasut yang bergerak seiring dengan heretan logam. Tapi, gaya pemilik yang melangkah itu bukan sembarangan langkah. Dia kenal irama langkah itu, bunyi detapan yang pernah menemaninya dalam banyak misi. Juga, bau minyak wangi itu...

"Lib... ra?" Ketawa Zafran tiba-tiba meletus. Tapi dalam masa dua saat, mimik wajahnya kembali beku.

Berdiri di depannya kini adalah Ayyash, sahabat baiknya yang telah mati pada lima tahun lalu!

Ps: Happy tak? Reunion bestnerakafriend 😌

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro