BAB 33
Khemah kawalan taktikal itu senyap. Hanya bunyi ketikan papan kekunci dan audio peralatan elektronik sahaja kedengaran. Mereka yang bertugas di situ fokus pada kerja, mata menatap skrin dan mulut melaporkan pergerakan terkini di hospital yang ditawan.
Komander Alias berdiri tegak di hadapan skrin digital. Berdiri di sampingnya pula pegawai memerintah tertinggi dari angkatan tentera darat, laut, dan udara serta polis yang baru sampai. Kelima-lima mereka berwajah serius, fokus ditala kepada anak buah masing-masing yang sedang berjuang.
Di skrin, dua baris paparan visual dari bodycam anggota Shadow 404 berkelip stabil. Satu barisan bergerak dari bumbung bangunan hospital memasuki ruang ventilasi, dan satu lagi masih menanti di perimeter bawah tanah. Anggota seramai 12 orang yang ditugaskan ke situ berada dalam posisi masing-masing.
"Team Alpha, gerak ke sasaran. Unlock pintu saluran dalam masa 10 minit," katanya dengan tenang kepada pasukan satu.
“Team Bravo, tunggu isyarat. Pastikan perimeter kekal bersih.” Arahannya beralih pula kepada pasukan dua.
Pasukan satu, atau Team Alpha diketuai oleh Sagitarius ditugaskan untuk melakukan insertion udara. Bersamanya adalah anggota asal Team Shadow 404 iaitu Gemini, Pisces, Virgo, dan Aquarius. Mereka akan masuk ke dalam hospital bagi membuka pintu kunci saluran pembentungan bawah tanah.
Pasukan dua, atau Team Bravo pula diketuai oleh Taurus. Pasukan yang ditugaskan untuk menyusup masuk ke hospital melalui jalan darat itu juga disertai oleh Capricorn yang juga anggota asal Team Shadow 404 serta lima orang anggota baru pasukan tersebut. Mereka semua akan masuk sebaik sahaja Team Alpha membuka laluan saluran pembentungan.
Komander Alias menarik nafas panjang lalu menghembus perlahan. Dia tidak perlu mengulang arahan. Pasukan bayang-bayang itu tahu apa yang mereka perlu lakukan. Mereka dilatih bukan untuk bertempur secara membabi buta, tapi mengatur gerak seperti catur. Licin, bijak dan berstrategi. Dan kini, kesemua bidak tersebut berada di tempat yang betul.
Paparan skrin menunjukkan pergerakan Sagitarius bersama pasukannya di rooftop yang sedang masuk ke dalam ruang ventilasi setelah berpamitan dengan seorang lelaki. Siapa lagi kalau bukan Leo.
Komander Alias kenal sangat dengan susuk anak muda berusia 34 tahun yang disayanginya bagai anak sendiri itu. Si kepala batu dan otak tidak terjangka, jalan fikir dan gerak langkahnya selalu out of the box.
"Aku hantar 12 orang, jadi pastikan balik 12 orang. Tapi aku nak orang ke-13 tu balik bersama. Faham?" Terngiang-ngiang di telinga arahannya sendiri kepada anggota Team Shadow 404 tadi.
Benar, dia mahu tiada siapa pun kehilangan nyawa pada malam ini termasuklah Leo walaupun anak muda itu bukan sebahagian daripada mereka lagi. Dan dia juga yakin anggota asal pasukan tersebut juga turut berharap sama sepertinya apabila melibatkan Leo.
Pandangan Komander Alias tumpah pula ke skrin yang memaparkan pergerakan Team Bravo. Taurus dan Capricorn bersama anggota baru iaitu Specter, Grim, Hex, Vex, dan Blitz kelihatan sedang bersedia di perimeter. Sama seperti anggota lama, anggota baru yang masih hijau itu juga kelihatan seperti bayang-bayang.
Tajam, senyap dan membunuh.
Ada pun sebab kenapa mereka berlima itu tidak memakai call sign zodiak bagi menggantikan Aries, Libra, Pisces, Scorpio dan Leo yang secara lahiriahnya bukan lagi berada dalam pasukan, itu adalah keputusan mereka sendiri. Mereka menghormati legenda berlima dan tidak mahu mengambil nama tersebut yang dihormati oleh seluruh komando.
Komander Alias menghela nafas, kemudian memusatkan pula pandangannya ke pelan digital bangunan di hadapan. Bilik x-ray yang dijadikan Zon Delta terkunci pada pandangannya. Di situlah tadinya Dr. Ariana ditawan dan kini, gadis itu dibawa ke koridor berkembar yang terletak di antara bangunan sayap kanan dan sayap kiri.
Saat ini, dia yakin Zafran sedang berusaha menyelamatkan gadis itu. Dia tidak tahu sama ada anak muda itu sudah ingat atau belum siapa gerangan partner barunya itu, tapi dia yakin hati yang pernah bertaut dalam diam takkan pernah lupa walau memori menyapu bersih wajah Ariana hingga tiada langsung sisa ingatan yang tertinggal.
"Tuan, saya tertarik dengan Dr. Ariana Sofea. Jadi, saya rekomen dia sebagai spy doctor."
Komander Alias tersenyum. Teringat dia dengan perbualan bersama Zafran ketika misi di Sudan. Ketika itu, anak muda tersebut baru saja selesai menjalankan operasi. Tugasnya bersama dua orang anggota Team Shadow 404 lain adalah melindungi para petugas kesihatan yang dihantar dalam misi kemanusiaan di situ.
Zafran ketika mengucapkan kata rekomendasi terhadap permintaan ketua badan perisikan negara yang ingin merekrut ahli baharu yang terdiri daripada petugas kesihatan kelihatan lain macam benar gayanya! Mata anak muda itu kelihatan bersinar indah, seolah-olah sedang dilamun cinta. Padahal dia itu beku dengan perempuan kalah ais kutub.
Sejak hari itu, Zafran selalu melihat dari jauh gadis itu. Namun, ia bukanlah bermakna anak muda itu pengecut, tidak berani luahkan rasa hati kepada empunya diri. Cuma saja masa tidak mengizinkan. Selama dua tahun dia hanya memandang dari jauh disebabkan tugasnya sebagai anggota Team Shadow 404 sangatlah sibuk.
Untuk menjadi komando pasukan elit tersebut, setiap daripada anggota perlu menjalani latihan ketenteraan semaksimum mungkin. Baik di dalam negara atau di luar negara, mereka 12 orang sentiasa sibuk menjalani latihan dan operasi bersama pasukan elit dari negara lain.
Masa untuk bersama keluarga boleh dikatakan hampir tiada. Jarang-jarang sekali baru dapat memunculkan diri di hadapan anak isteri setelah berbulan-bulan meninggalkan mereka di rumah. Siapa yang mahu menjadi isteri mereka perlulah kental zahir dan batin. Harus gagah menelusuri onak duri tanpa suami di sisi.
Zafran tidak mahu hal itu terjadi kepada perempuan yang dia sayangi. Kerana itulah dia lebih rela membujang. Keputusannya tiada siapa yang takwil kerana boleh dikatakan ramai dalam kalangan mereka sama sepertinya. Lagipun, rata-rata daripada mereka jenis gila kerja. Ditambah dengan kerjaya ini sangat berisiko, lagilah mereka tidak mahu mendirikan rumah tangga.
'Zaf, semoga kau dapat ingat siapa Ariana dalam hidup kau. Paling penting, kau pernah suka dia dalam diam. Hanya saja insiden tu...' Komander Alias melepaskan nafas berat.
Matanya dipusatkan kembali ke pelan digital bangunan di hadapan. Kenangan lama dahulu dibuang jauh dari kotak memori, enggan membiarkan insiden lima tahun lalu yang mengorbankan ingatan Zafran kepada Ariana terpacul kembali ke relung masa kini.
Dia sedih, sungguh! Saat anak muda itu terbuka hati mahu melamar gadis yang diminati dalam diam itulah insiden tersebut berlaku. Insiden yang menimbulkan kesan mendalam kepada seluruh warga badan keselamatan negara, dan paling perit buat Zafran sendiri untuk menerima kenyataan.
"Ehem." Komander Alias berdeham, sengaja mengusir jauh sebak yang mula bertandang. Fikirannya terganggu.
Dia menekan ikon kecil pada peta, yang menunjukkan nyalaan berwarna merah. Itu adalah lorong sempit menuju ke ruang pembentungan bawah tanah. Dan... itulah titik penting misi pada malam ini. Apabila pintu pembentung dibuka, kesemua anggota mereka secara rasminya berjaya masuk dan memulakan operasi menyelamat.
"Timing is a key," katanya dengan nada rendah.
"Kita bagi mereka rasa macam kita tengah ikut rentak mereka. Padahal, semua ni dah dalam kiraan kita sejak awal satu jam pertama." Nadanya menaik. Tegas.
Senyuman nipis terukir di bibir, yang tidak datang dari keyakinan kosong tetapi pengalaman luas seorang lelaki yang pernah kalah, bangkit semula, dan membina pasukan yang tidak mengenal gentar. Komander hanyalah sekadar panggilan mesra. Dia sebenarnya adalah Jeneral Alias Ghafar, pengasas Team Shadow 404 Special Force!
Di skrin, muncul satu notifikasi berwarna hijau. Team Alpha sudah hampir sampai ke bahagian pintu pembentungan bawah tanah setelah berperang dengan beberapa orang pengganas yang menyekat laluan. Sama seperti slogan mereka, para pengganas tersebut tumbang tanpa bunyi dengan sekali gerakan balas. Dan... ini juga bermakna tugas penting akan segera bermula.
"Libra, ya?" gumamnya perlahan.
"Mainlah puas-puas. Sebab apabila Shadows mula menari, kau semua akan lenyap tanpa sempat menjerit." Senyuman sinis dan nyalaan api membara di wajahnya.
******
Team Alpha kini berada di lokasi target. Aqeel, Virgo, Pisces, Aquarius dan Gemini kini berdiri tepat di lantai berhampiran satu penutup besi yang menutupi longkang. Itulah sebenarnya jalan masuk untuk ke saluran pembentung bawah tanah. Tiada sebarang CCTV di situ. CCTV yang lain pula telah digodam oleh Pisces siap-siap sebelum sampai di situ tadi.
Buat seketika, Aqeel melirikkan matanya ke arah lima orang musuh yang senyap tidak berkutik di satu sudut dinding ruangan parkir hospital yang sepenuhnya dikunci dengan bidai besi automatik. Kelima-lima pengganas itu dikumpulkan di satu sudut, terikat kemas dengan rantai besi.
"Dah." Gemini menepuk-nepuk tangannya bagi membuang kesan minyak besi yang berasa melekat di tangan. Dia baru saja selesai mengikat penyangak-penyangak tersebut.
Aqeel mengulum senyum. Tergeletek hatinya melihat lagak Gemini yang sesekali mengacah mahu menibai lagi para pengganas yang setiap satu dipukul curi oleh mereka. Lagak seperti bayang-bayang, tiada seorang pun menyedari kehadiran senyap mereka dari belakang. Sekali pukul, terus KO tanpa sempat menjerit.
"Musuh kita adalah Black Hawk. Jadi, kita akan gunakan formasi roket." Aqeel berdiri mendepani rakannya yang berempat.
"Virgo dan Pisces, kau berdua jadi ekor. Aquarius dan Gemini pula jadi badan. Kau semua akan cover aku yang jadi kepala," kata Aqeel.
Mereka berempat mengangguk patuh dengan arahan tersebut. Dengan senyap, dalam mod gempur, mereka segera masuk ke posisi masing-masing. Virgo dan Pisces menunggu di luar saluran pembentungan, berjaga sementara rakan mereka yang bertiga masuk ke dalam saluran.
Saluran itu tidak terlalu panjang, hanya kira-kira 150 meter sahaja untuk sampai ke pintu. Namun, untuk keselamatan, Aquarius dan Gemini yang bertindak sebagai badan pertama dan kedua dalam formasi roket turun dulu ke bawah untuk "membersihkan" laluan untuk Aqeel. Setelah itu, barulah Aqeel akan maju ke depan dan membuka pintu.
Keadaan lapang. Tiada musuh yang menghampiri atau berada di dalam saluran pembetung yang sempit muat-muat seorang lelaki dewasa sahaja berada di situ. Lantas, tanpa membuang masa, Aqeel menyelit antara Gemini dan Aquarius yang melenturkan tubuh bak ahli gimnastik lalu bergerak ke pintu.
Melalui cermin mata infra-red, Aqeel meneliti dulu keadaan pintu tersebut. Kemudian, dia menyentuh perlahan permukaan pintu pembetung bawah tanah itu. Keras dan sejuk, serta permukaan kasar dan kesat turut terasa di jarinya yang memakai sarung tangan penuh. Itu adalah tanda bahawa pintu sudah berkarat dan lama tidak dibuka.
Saluran pembentungan bawah tanah itu menghubungkan hospital dengan pusat rawatan air yang terletak kira-kira satu kilometer dari sini. Kerana itulah tadi, terdapat lebih kurang lima orang pengganas berjaga di sini bagi mengelakkan pasukan keselamatan negara masuk ke hospital melalui saluran pembentungan bawah tanah yang terletak di pusat rawatan air.
"Taurus, status perimeter?" tanya Aqeel kepada Taurus yang berada di sebalik pintu.
"All clear. Kami juga dah berada dalam formasi," balas Taurus. Suaranya kedengaran jelas melalui alat telekomunikasi masing-masing.
Aqeel mengangguk, kemudian dia melutut di hadapan panel kunci. Tangannya pantas membuka penutup logam kecil di sisi pintu. Kelihatan jelas skru semuanya berkarat dan bau pelapuk besi turut menyengat. Tapi itu bukan masalah besar baginya.
Tanpa melengahkan masa, dia mengeluarkan satu set pembuka khas, yang merupakan kombinasi antara spanar mini dan gerudi tangan. Kemudian, dengan tangan yang stabil, dia membuka sistem mekanikal pintu yang direka khas untuk tahan gempa bumi.
Klik.
Dua skru mula longgar dan tercabut. Seterusnya, skru-skru dan bolt lain turut menerima nasib yang sama. Akhirnya, dalam masa dua minit, kerjanya membuka pintu pembentung selesai jua. Dan tatkala dia menolak daun pintu, terpapar di matanya figura Taurus. Capricorn dan lima anggota Team Shadow 404 yang lain tidak kelihatan kerana masing-masing masih berada di posisi yang ditetapkan.
"Jemputlah masuk wahai abang-abang komando kacak si para pencabut nyawa sekalian," ucap Aqeel dengan senang hati.
Mendengar kata-kata itu, Taurus tergelak. Sagitarius yang muda setahun daripadanya ini pun sebenarnya dua kali lima saja dengan Leo. Bezanya, lelaki itu carum insurans mulut. Cuma lupa nak renew barangkali. Okeylah daripada Leo yang langsung tak nak protect mulut dengan insurans.
Bebas katanya.
"Terima kasihlah, adik ketua." Taurus layankan saja ulah Aqeel.
Aqeel turut tergelak. Kemudian, dia berundur lalu mengisyaratkan supaya Gemini dan Pisces bergerak keluar dari saluran pembentung. Kini, mereka 12 orang berubah kepada formasi kala jengking pula dengan Virgo dan Pisces bertindak sebagai kaki depan, iaitu mereka tetap berjaga di atas manakala yang lain bergerak dalam satu barisan senyap dan penuh waspada dalam gelap.
Dalam formasi tersebut, Aqeel bersama Gemini dan Pisces serta pasangan kembar Vex dan Hex berjalan mara ke depan dengan senjata diangkat ke depan. Manakala, Taurus dan Capricorn serta Grim, Blitz dan Specter berjalan mengundur ke belakang dengan senjata turut diacu bagi persediaan jika tiba-tiba ada serbuan pihak musuh.
Dalam beberapa minit, satu demi satu mereka naik ke atas. Malam ini, anggota Shadow secara rasminya masuk ke dalam hospital. Dan apabila mereka masuk, tidak ada satu pun musuh boleh keluar dari sini tanpa cedera di mana-mana.
Mereka masuk bukan untuk berunding atau memberi amaran tetapi untuk menamatkan semuanya. Dan malam ini, mereka tidak datang hanya sebagai penyelamat tawanan, tapi penghukum kepada anasir jahat yang cuba mencabul kehormatan negara.
'Malam ini, bukan hanya nyawa musuh yang bakal melayang tapi diri kami juga. Namun demi maruah negara, kami bersedia untuk mempertaruhkan nyawa.' Aqeel memandang tajam ke hadapan.
Kerana amanah yang diberikan kepadanya, dia akan berusaha menjalankan operasi ini sebaik mungkin. Segala harapan negara terpikul di pundaknya sebagai ketua Team Shadow 404 baharu yang menggantikan DSP Malik atau Scorpio, iaitu ketua mereka yang gugur pada lima tahun lalu dalam operasi berdarah.
Tengoklah wahai sang durjana, Team Shadow 404 sudah tiba!
Ps: Terima kasih atas komen dan doa kalian dalam bab2 sebelum ni. Tahu tak? Semua tu saya baca dan simpan dalam sudut hati paling istimewa. Maaf saya tak sempat balas satu per satu. Tapi percayalah, setiap jejak yang kalian tinggalkan tu buatkan saya rasa penat lelah ni sangat dihargai. Dan yang paling penting, saya tak rasa keseorangan dalam cerita ini.
Saya sayang awak semua ♥️.
Angel_k20.
18.4.2025.
11 malam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro