Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 30

Wajah Eren yang kelihatan pucat seperti mayat ditenung dengan rasa geli hati. Namun, wajah Zafran kekal serius. Sikit pun tak terlintas nak ketawa. Tatapannya masih tajam macam nak telan orang hidup-hidup.

Dia mentargetkan budak itu sebagai alat untuk membantunya mengawal pergerakan orang atasan kumpulan Black Hawk, selain daripada mengetahui rutin kawalan dan mendapatkan maklumat awal jika kumpulan tersebut terbau kehadirannya di mana-mana nanti. Namun, tujuan utamanya adalah untuk mengenal pasti tempat Ariana disembunyikan.

Eren masih terlalu muda dan tidak banyak pengalaman dalam ketenteraan. Anak muda itu masih setahun jagung, budak hingusan lagi dalam dunia ketenteraan yang maha mencabar. Maka, itu adalah poin bonus untuk dia mengawal Eren.

Sejak tadi lagi matanya mengunci pergerakan budak itu. Setelah menganalisis keadaan dan menimbang tara segala kelebihan dan risiko dengan sebaik mungkin, barulah dia mendekati dan menggunakan teknik manipulasi untuk mengawal budak itu.

Daripada amatannya sebelum ini, Eren sejenis yang mudah emosi dan berat mulut. Tidak bercakap banyak seperti tentera-tentera lain. Jalannya selalu di belakang. Budak itu seolah-olah tidak diterima dalam kumpulan serigala tersebut.

Namun, sejauh mana hakikat kebenarannya, tidaklah dia tahu. Apa yang dia tahu, deduksi awalnya terhadap budak itu benar belaka apabila melihat tindak balas Eren yang sangat takut kepadanya. Malah, terlajak takut tahap trauma naik ke otak apabila mendengar perkataan Leo disebut.

Entah fakta apalah yang disumbat ke dalam otak itu mengenai Leo. Tapi, tak apa. Bagus juga. Mudah kerjanya nanti. Itu adalah kelebihan tinggi buat Zafran.

"Ehem!" dehamnya.

Eren mengengsot rapat ke pintu. Tubuhnya semakin menggeletar hebat. Bayangan kematian menari-nari di mata. Melihat Leo merapatinya dengan pandangan tajam nak makan orang membuatkan nafasnya semakin terputus-putus. Tercungap-cungap dia cuba menggapai oksigen yang seolah-olah enggan memasuki paru-paru.

"Bangun," arah Zafran sepatah ayat.

Nada suaranya tenang tapi dia tahu nadanya cukup untuk membuatkan Eren menyangka nyawanya sudah di hujung tanduk. Namun, arahannya tetap dipatuhi oleh budak itu.

Perlahan-lahan Eren bangun dan berdiri dengan muka ditunduk rapat ke bawah. Lututnya bergoyang, jari jemari tangannya tidak berhenti menggeletar. Pasti kesan dibaling pisau ke pintu masih menghantui fikiran budak itu.

Zafran mencabut pisau yang terpacak kukuh di pintu dengan satu gerakan licin, senyap dan sempurna. Sempat dia melirik gerak anak mata Eren yang turut bergerak seiring tatkala dia mencabut pisau itu.

Nampak sangat tengah panik macam rusa tersesat di dalam lorong gelap. Malah, dia yakin budak itu semakin menjadi-jadi kecut perut dan gelabahnya apabila kini, dia menjentik pula hujung mata pisau lalu meletakkannya di dagu anak muda itu.

"Aku akan lepaskan kau kalau kau jadi orang aku." Senyumannya menenangkan.

"Kalau tak, kau sendiri tahu yang aku ni bukannya jenis suka bagi amaran dua kali. Mampus!" Senyumannya berubah bengis dan matanya menyala ganas.

Eren menelan air liur. Kata-kata itu bukan tawaran tapi paksaan. Dia faham maksud lelaki itu. Leo mahu dia membelot kepada pasukannya dan menjadi informan. 

"Kau nak... nak aku buat apa?" Takut-takut, Eren menentang pandangan Zafran. Tapi tidak lama. Pantas dia menunduk kembali apabila pandangan kejam lelaki itu lebih mendominasi. Perutnya terasa carik.

Mendengar soalan itu, Zafran tersenyum seraya menepuk perlahan pipi Eren sebanyak dua kali. Kemudian, dengan suara rendah, dia berbisik kepada budak itu rancangannya. Semestinya dia menyampaikan instruksinya dengan nada penuh dramatik dan stres bagi menambahkan rasa takut budak itu kepadanya.

Dia kan Leo. Memanipulasi orang adalah salah satu kepakaran terbaiknya. 

"Mainkan peranan kau elok-elok, Eren. Aku tengok dari jauh." Ayatnya diakhiri dengan tepukan keras di bahu budak itu, tanda ia bukan sekadar arahan tapi peringatan keras.

Matanya bersinar tajam. Dalam diam, dia baru sahaja menyuntik virus ke dalam sistem musuh. Kali ini, biar musuh pula merasai air tangannya yang penuh seni membunuh.

Namun, demi melicinkan operasinya, dia perlu lakukan satu hal lagi kepada budak itu. Terus dia menyentuh tangan kiri Eren lalu menarik keluar jam hitam matte di pergelangan tangan budak itu. Jam yang boleh membaca biometrik denyutan jantung dan tapak tangan pemakai itu ditenung sekilas sebelum dia memprogramkan semula fungsinya dengan menyambung signal ke telefon pintar musuh yang sempat dirampas olehnya sebelum ini.

"Kita akan berhubung dengan jam ni. Kalau kau nampak perempuan tu, tekan simbol 'panic' tiga kali berturut-turut." Zafran memakaikan semula jam tangan itu ke pergelangan tangan kiri Eren.

"Aku tahu setiap pergerakan kau. Jadi lebih baik kau tak payah cuba lari daripada aku. Aku tahu kat mana nak cari kau dan saat tu, ucap selamat tinggal sajalah kat dunia ni," kata Zafran dengan senyuman tetap tersungging di bibir.

"Oh ya. Last sebelum aku lepaskan kau pergi. Well, kau kena tahu satu benda." Zafran menyilang tangan ke dada dengan pandangannya tepat ke muka Eren.

"Aku tak kejam," katanya dengan nada rendah.

Mendengar kata-kata itu, Eren mengangkat muka. Bibirnya bergetar. Dia ingin bersuara tapi suaranya tidak keluar. Efek ketakutan kepada lelaki itu masih belum hilang. Wajah yang sekejap kelihatan baik dan sekejap kelihatan seperti malaikat maut itu membuatkan tahap percayanya tidak mencapai 100 peratus. Ragu-ragunya kepada lelaki itu setinggi gunung dan seluas lautan yang mengairi satu per tiga bumi.

"Aku boleh plead kepada negara supaya ringankan hukuman kau instead of tembak mati. Dan of course dengan syarat. Kau tolong aku, aku tolong kau. Win win situation." Matanya bertembung dengan anak mata Eren yang turut memandangnya dengan pandangan takut-takut seperti tadi.

"Umur aku belum cukup 18 tahun. Lagi 10 bulan baru cukup. Kau boleh jamin aku selamat?" Lambat-lambat, Eren bersuara.

"Semestinya. Insya-Allah." Sengaja Zafran menambah perkataan insya-Allah kerana semuanya atas izin Allah. Dia akan berusaha menyelamatkan Eren daripada hukuman menceroboh negara ini jika budak itu benar-benar bekerjasama dengannya.

"Baiklah." Eren menarik nafas panjang. Ketakutannya kepada lelaki itu berkurangan sedikit selepas mendengar perkataan "insya-Allah" keluar dari mulutnya. 

Dia selalu mendengar perkataan itu disebut-sebut oleh jiran tetangganya dan sungguh, perkataan itu selalu membuatkan dia berasa tenang walaupun dia bukan Muslim. Ketika itu, kawasan perkampungan yang bercampur dengan orang Islam itu masih ada. Belum dibom oleh musuh. Tapi tiga tahun lalu, perkampungan itu lenyap sepenuhnya. Black Hawk mengambil alih dan itulah sebabnya kenapa dia menjadi sebahagian daripada tentera upahan tersebut.

Eren, dia adalah survivor dan dipaksa menjadi askar tanpa rela.

"Dah, pergilah. Untuk beritahu hal lain kat aku, kau boleh tinggalkan contengan di dinding. Tapi kalau kau dalam bahaya, tanggalkan topeng kau. Aku akan selamatkan kau sepantas kilat." Akhirnya, Zafran benar-benar melepaskan Eren.

Kata-kata Zafran ibarat sinar mentari kepada Eren. Saat itu, tatkala memandang sekali lagi wajah lelaki itu, perasaan takut dan tidak percayanya tidak lagi melingkari hati. Apa yang tinggal cumalah harapan, iaitu harapan agar dirinya dapat keluar dari belenggu Black Hawk yang memusnahkan perkampungan sekali gus membunuh ibu, ayah, dan adik perempuannya yang baru lahir.

Terus... dengan senyuman dicarik nipis, Eren mengangguk perlahan kepada Zafran lalu keluar dari situ dengan azam baru, iaitu dia akan berusaha membantu lelaki itu sebaik mungkin. Dia memilih untuk percaya kepada seseorang yang mengungkapkan perkataan yang menyebabkan arwah ibu dan ayahnya memeluk Islam.

*****

"Allah..." Dunia Zafran semakin berpusing.

Sejak tadi dia berasa pening tapi demi tunjuk kuat dan tidak mahu merosakkan pelan, dia bertahan di hadapan Eren. Kini setelah budak itu keluar, peningnya tidak mampu dikawal lagi. Berdirinya goyah. Terus dia terlorot ke lantai, dengan meja di sisi menjadi penahan agar kepalanya tidak terhantuk ke lantai.

"Dah kenapa dengan aku? Takkan adrenaline crash lagi?" Zafran mengurut kepala. Pandangannya sekejap kabur, sekejap berpecah-pecah. Nafasnya juga semakin pendek-pendek.

Dalam kesakitan, pantas dia berfikir apa penyebab utama dia menjadi begini. Namun malang, otaknya seakan beku. Dia gagal menemui jawapan sehinggalah tiba-tiba, dia berasa perutnya sebu.

Tatkala itu, barulah dia teringat yang dia tidak menjamah sebarang makanan pun lagi sejak semalam. Seleranya hilang setelah kucing kesayangannya hilang. Puas dia cari tapi tetap tidak jumpa.

Sekarang, patut saja dia menjadi begini. Ditambah dengan sejak pagi lagi dia menggunakan terlalu banyak tenaga, lagilah tubuhnya memberi signal begitu. Tenaganya hilang total.

Tapi kalau difikir balik, tidak sepatutnya dia berasa pening sebegitu rupa kerana jika diikutkan perkiraan, dia sudah menerima dua kali IV drip dan ubat. Jadi sebab sebenarnya, apa?

"Tak guna. Time nilah jadi macam ni..." Zafran membuka mata. Keluhan terlepas dari bibirnya.

Pelipisnya diurut perlahan sambil matanya dihala ke sekeliling. Dia perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikan tubuhnya ke kondisi asal. Jangan pitam, jangan pengsan. Kerjanya masih belum selesai dan dia masih belum boleh berehat. Hinggalah pada akhirnya, pandangannya terkunci pada meja tempat dia bersandar. 

Uhuk! Uhuk!

Dia terbatuk kecil. Dengan kudrat yang semakin hilang, dia menggagahkan diri untuk mengengsot dan membuka laci meja. Laci paling bawah, kosong. Laci kedua pula dipenuhi dengan fail. Dan akhirnya laci paling atas...

"Syukur." Zafran melepaskan nafas lega.

Tanpa bertangguh, dia segera mencapai satu paket energy bar dan air kotak glukos di dalam laci itu. Hanya itu yang ada. Dia perlu mengisi perut dan kembalikan semula tenaganya yang hilang.

Energy bar dikunyah tanpa rasa dan air glukos pula diteguk laju. Namun malang, itu tidak mencukupi. Badannya masih berasa berat dan peningnya tidak berkurangan. Seolah-olah, ada sesuatu yang lain yang membuatkan dia pening sebegitu rupa.

Badannya kian berpeluh. Renik peluh mengitari tubuh sampaikan baju yang dipakainya turut lencun bermandi peluh walaupun bilik itu berhawa dingin. Pada saat itu, tiba-tiba saja dia berasa gatal di lengan kanan berhampiran pelipat siku. Rasanya macam baru lepas digigit oleh nyamuk.

Gatal pelik itu membuatkan Zafran menggaru perlahan lengannya. Namun, rasa pedih membuatkan dia segera berhenti menggaru lalu menarik hujung lengan baju t-shirt yang disingsing ke bawah siku. Tatkala itulah, darahnya berderau. 

Terdapat sedikit bengkakan di lengannya. Tapi, itu bukan penyebab yang membuatkan darahnya kering. Kesan tusukan dua batang jarum di situ yang menjadikan otaknya ligat berfikir apa sebenarnya yang berlaku sepanjang dia tidak sedarkan diri kerana seingatnya, kedua-dua IV drip yang diberi kepadanya disalurkan melalui branula di kekura tangan, bukannya di lengan!

"Damn. Pasti mereka ambil darah masa aku tak sedar!" Zafran menggenggam lengan.

Syaknya jelas. Badannya menjadi lemah luar biasa tanpa sebab yang jelas. Simptom hypovolemia juga menyerang, antaranya pening, berpeluh, nafas menjadi laju, dan pitam. Itu adalah kesan darah diambil secara berlebihan. Tapi untuk apa mereka mengambil darahnya, dia tidak tahu.

"Tak guna," desis Zafran dalam lemah.

Semakin lama dia berasa semakin hanyut. Kantuk maha hebat mula menguasai. Itu adalah isyarat tubuhnya menjerit minta diselamatkan.

"Tak boleh jadi..." Dengan tubuh menggigil, dia bangkit perlahan-lahan. Semangatnya dipaksa agar melawan setiap denyutan tubuh yang merayu untuk rebah.

Dia tidak boleh lemah. Manja bukan pilihan. Lantas, dengan langkah longlai, dia memaksa kakinya bergerak. Almari kabinet yang terletak bertentangan dengannya menjadi tujuan. Dia harus menyelongkar almari itu bagi melihat apa yang ada di dalamnya untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Dalam mata separa kabur dan dunia berpusing-pusing, dia membuka satu demi pintu almari. Akhirnya, dia menjumpai satu kit kecemasan bersaiz 40x30 cm. Kit yang bertanda palang merah itu terus diambil lalu diletakkan di atas meja.

Dengan tangan menggigil kecil, dia membuka kit itu. Senyuman kelegaan terlakar di wajahnya tatkala melihat isi kandungan kit tersebut. Ada satu pek saline penuh, tiub IV, alcohol swab, jarum branula steril, turniquet, dan tabung oksigen mudah alih. Cukup untuk dia menyambung hayat yang hampir berpindah alam.

"Let's do this," katanya dalam nada perlahan, bergetar tapi penuh tekad.

Dengan langkah goyah, dia menggantungkan pek saline di kayu penyangkut baju. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya si kerusi. Kit kecemasan ditarik merapatinya, seterusnya dia mengoyak alcohol swab dan mengoleskannya ke bawah pelipat lengan bagi membersihkan kawasan yang bakal ditusuk sebentar lagi.

Sekarang, dia akan mengaplikasikan self-IV insertion in combat situation. Ternyata akhirnya dia akan guna juga teknik yang pernah diajar dalam medan, walaupun hakikatnya itulah benda yang paling dia berharap takkan pernah kena buat sepanjang hayat.

Buat seketika, dia merenung jarum. Halkumnya bergerak-gerak. Hatinya bergetar. Peluh semakin lebat merenik. Teragak-agak dia ingin mencucuk diri sendiri. Namun, setelah beberapa saat, dia menghela nafas panjang.

'Kalau kau tak buat sekarang, kau akan tumbang. Cucuk ajelah. Tak sakit pun,' pujuk hatinya sendiri.

Zafran mengalah. Lantas, dia menarik nafas dalam-dalam bagi menenangkan diri. Kemudian, dengan penuh fokus, dia menyuntik jarum ke dalam salur darah di bawah lengan. Terasa sedikit pedih, tapi berbaloi apabila melihat flush darah merah mengalir masuk ke dalam tiub plastik kecil di branula. Itu tanda jarum masuk tepat ke dalam vena.

"Alhamdulillah..." bisiknya rendah, lega.

Dia segera menyambungkan tiub branula ke wayar drip yang sebelum ini disambung siap-siap ke beg saline. Dalam beberapa detik, titik-titik cecair bening mula mengalir ke dalam tubuhnya, satu demi satu, masuk ke salur darah.

Dingin air dan sedikit tekanan mulai terasa di sepanjang lengan. Namun, itu normal. Air mula memenuhi tubuhnya yang kering dan kehausan darah sejak beberapa jam lalu.

Zafran menyandar ke kerusi. Nafas dihela panjang-panjang. Peluh masih membasahi dahi tapi sekurang-kurangnya, kepalanya tidak lagi berpusing hebat seperti tadi. Cuma saja helaan nafasnya masih terasa berat, tanda oksigen dalam darah belum cukup sepenuhnya.

Tanpa melengahnya masa, dia mencapai tabung oksigen mudah alih lalu melekapkan corongnya ke muka. Dingin oksigen menyusup masuk ke dalam rongga hidung, terus ke paru-paru yang ketat sedari tadi pada setiap helaan nafas. Perlahan-lahan, dia kembali stabil.

Lima minit berlalu. Tapi dalam dunianya, lima minit itu ibarat pertarungan dengan maut sendiri.

'Kau memang cari pasal, Reaper...' getus hatinya perlahan.

Biarpun dia tidak tahu sebanyak mana darahnya dicuri oleh lelaki itu, dia yakin jumlahnya bukanlah 450 ml. Mustahil kehilangan 450 ml darah membuatkan tubuhnya lembik sebegitu rupa. Dia pasti kerana sebelum ini, dia pernah menderma darah tapi tidak pernah berasa seteruk ini.

Matanya terpejam seketika. Nafas ditarik lagi perlahan-lahan melalui corong oksigen.

'Kau lupa satu benda…' Tubuh Zafran masih lemah tapi jiwanya belum rebah. Belum dan takkan sesekali tersungkur di kaki lelaki itu.

Dia membuka mata. Perlahan-lahan, satu senyuman terlakar di sebalik corong oksigen yang masih melekap di muka. Tapi, bukan senyuman lega yang terpamer. Senyuman sinis bersulam dendam berdarah kini memenuhi wajah.

“Kau tak pandai matematik," gelaknya perlahan seraya kembali memejam mata.

Matanya tertutup, tapi otaknya ligat menyusun strategi ampuh bagi melawan balik kumpulan pengganas itu. Jika sebelum ini Reaper menguasai keadaan, kali ini dia perlu menterbalikkan keadaan. Nasib Ariana dan tawanan lain bergantung kepadanya.

"Aku hanya perlukan 10 minit. Semoga kau dah bersedia untuk sambut mimpi ngeri daripada aku, Reaper," gelaknya lagi seraya memandang tajam penutup ruang ventilasi.

Satu minit... dua minit...

Ps: Done! Enjoy story ni? Tekanlah tanda ⭐ tu. 😄

Ps: Macam biasa kalau jumpa kesalahan ejaan, beritahu tau. Sy hargai sangat2 kesudian kalian point out kesilapan sy huhu thank youuu ♥️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro