Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

Bunyi detikan itu semakin kuat, sekuat degupan jantung Zafran ketika ini. Dalam keadaan itu, dia memilih untuk bertenang. Boleh jadi itu bukan bunyi detikan bom tapi alarm jam tangan. Namun, dia juga tidak mahu menolak kemungkinan ancaman bom.

Zafran segera menutup pili singki lalu melakukan inspection, iaitu mencari dengan teliti arah punca bunyi. Dia membuka satu per satu pintu tandas termasuklah bilik penyimpanan barang cucian, dan ternyata memang langsung tiada objek mencurigakan.

Pandangannya terarah pula ke siling. Ada  bahagian kecil siling yang boleh dibuka. Dia tahu bahagian itu sebenarnya ruang ventilasi. Orang boleh masuk atau meletakkan barang di ruangan itu.

Matanya diliarkan ke sekeliling bagi mencari benda yang membolehkannya naik ke ruangan itu. Tapi sayang, tiada. Sudahnya, terpaksalah dia melompat ke atas dengan menjadikan pam tandas sebagai pemijak. Tubuhnya kemudian dilantun gaya cicak melekap ke dinding pembahagi ruangan tandas sebelum tangan kirinya mencapai pembahagi itu, sementara tangan kanan menolak penutup ruang ventilasi.

Berjaya!

Penutup ventilasi berjaya dibuka. Lantas, dengan tubuh yang sentiasa fit dan ringan untuk tugasan ekstrem, dia melompat naik ke ruangan ventilasi. Sekali lagi matanya tajam memerhati, mencari sebarang objek tidak diingini yang mungkin ada di situ. Tapi sama, hasilnya tiada pun objek mencurigakan.

"Kat mana bunyi tu?" Zafran menyoal dirinya sendiri.

Setelah berpuas hati dengan pencarian itu, pantas dia turun semula ke bawah. Namun, belum pun sempat kakinya mencecah pembahagi tandas, tiba-tiba kedengaran suara seorang kanak-kanak menjerit kesukaan.

"Ibu, ada spiderman!"

Dang! Hampir saja Zafran tergelincir dek terkejut dengan jeritan itu. Kemain kuat suara, boleh dengar satu hospital gamaknya. Budak ini tertelan mikrofon ke apa? Lagi membuatkannya geram bercampur malu ialah beberapa orang lelaki yang masuk ke tandas turut terjenguk-jenguk melihatnya.

'Tak pasal-pasal femes.' Hati Zafran sebal sendiri.

Dengan muka poker face ditayang kepada semua, Zafran terus keluar dari tandas seolah-olah tiada apa yang berlaku. Pandangan hairan mata yang melihat turut diabaikan. Alah, bukannya dia buat salah pun. Dia cuma jadi "spiderman". Lahhh sangat!

'Tapi bunyi tu bunyi apa sebenarnya? Dari mana datangnya bunyi tu?' Zafran tertanya-tanya.

Mukanya berkerut. Pandangannya dihalakan pula ke sekeliling luar tandas. Segala tempat yang dirasakan berkemungkinan menjadi tempat sorokan objek kecil dan besar, semua dia periksa. Natijahnya, sekali lagi dia dipandang-pandang oleh orang yang lalu-lalang. Tatkala itu, hanya sengihan tidak bersalah mampu dia berikan kepada orang yang melihat.

"Sayangnya lahai. Muka elok tapi otak miring." Beberapa orang mak-mak yang bersisihan dengannya menggeleng, bersimpati dengan nasib Zafran. Tidak kurang juga yang mencebik dan menarik anak gadis mereka menjauh daripadanya.

Melihat itu, Zafran menarik senyuman nipis. Biarlah, dia tak kisah. Katalah gajah harimau sekalipun, lantak saja. Tak terkesan pun. Bukannya dia tidak terbiasa kena nista begitu. Dia sudah lali sampaikan hatinya  cukup kebal untuk terima makian.

"Hah, jumpa pun. Pager rupanya." Zafran menarik nafas lega apabila akhirnya, telinganya mendeteksi bunyi detikan itu datangnya daripada pager di dalam pasu, yang terselit di sebalik batang pokok bunga hiasan yang rimbun daunnya.

'Tapi kenapa boleh ada di dalam pasu pula? Tak pernah dibuat orang.' Zafran mengerutkan muka.

Kakinya diorak mendekati pasu bunga tersebut. Namun, saat itu, tiba-tiba saja matanya menjadi silau, seolah-olah ada cahaya yang melewati pandangannya. Ketika itu juga matanya menangkap tali halus lut sinar seperti tali tangsi diikat di pager itu, dengan panjangnya merentangi ruang koridor. Kalaulah sesiapa saja melalui kawasan itu, pastinya...

"Ibu, uncle spiderman tadi kat situ. Uncle...!" Dengan penuh riang, kanak-kanak yang memanggilnya sebagai spiderman ketika di tandas tadi berlari ke arahnya.

Saat itu, matanya Zafran membulat. Otaknya terus memutar memori lima tahun lalu. Kerana rentangan tali tangsi di tengah jalan seperti itulah nyawa Ayyash dan pasukannya melayang. Tali tangsi itulah punca yang menyebabkan anak Dato' Mutakhir turut maut!

"Jangan datang!" pekik Zafran.

Tapi terlambat. Kanak-kanak itu tersadung tali tangsi yang tidak nampak di mata kasar dan terus tersungkur. Dagunya terhentak ke lantai dan ketika itu jugalah tangisannya berhamburan. Berdarah-darah dagunya.

"Ya Allah..." Ibu kanak-kanak itu segera mendapatkan anaknya lalu membawanya pergi dari situ.

Tatkala ini, tubuh Zafran beku sekejap sebelum perlahan-lahan kembali normal. Syukur tiada apa pun yang berlaku apabila kanak-kanak itu tersadung tali tangsi. Mungkin dia yang terlalu paranoid hinggakan berfikir bukan-bukan. Mungkin juga traumanya masih belum benar-benar sembuh.

"Ya Tuhan..." Zafran menghela nafas panjang.

Namun, belum pun nafasnya dihembus keluar, tiba-tiba bunyi letupan besar menggegarkan suasana. Bukan sekali, bahkan berkali-kali hingga sebahagian bumbung bangunan terus runtuh. Asap dan debu panas menyeruak masuk ke dalam hospital, dengan sisa api yang menjilat rakut sebahagian batu dan dinding pecah turut bertaburan di lantai.

"Allah!"

Jerit pekik manusia bersimpang-siur singgah di pendengaran. Aduhan sakit silih berganti dengan raungan dan teriakan umat manusia yang terkena malapetaka itu. Lagi membuatkan keadaan bertambah panik dan huru-hara apabila beberapa orang manusia berpakaian hitam lengkap bersenjata tiba-tiba menerobos masuk ke dalam hospital melalui lubang yang terhasil akibat dibom.

Keadaan semakin parah apabila ketika itu juga, tiba-tiba keseluruhan bekalan elektrik terputus. Zafran yakin ini perbuatan manusia-manusia laknat itu. Lagak mereka masuk ke sini seperti monyet, menjerit-jerit dan mengilai-ngilai sambil mengacukan senjata kepada orang ramai. Yang mana cuba melawan, mereka tembak terus tanpa belas kasihan.

Dalam keadaan itu, Zafran segera merangkak mencari tempat perlindungan.  Dirinya harus dipastikan selamat sebelum dia cuba menyelamatkan orang lain. Ruangan ventilasi tadi menjadi arah tujuannya. Setelah berjaya naik, dia membuka telefon pintarnya lalu cuba menghubungi pihak berkuasa. Tapi malang, telefonnya tiada liputan.

'EMP jammer.' Zafran mendesis, marah dengan keadaan itu.

Keluhan berat dilepaskan. Apa yang dia boleh buat dalam keadaan ini? Walaupun EMP jammer yang digunakan oleh musuh ini nampaknya hanya menggunakan kekuatan kecil kerana telefon pintarnya tidak rosak tapi cuma kehilangan signal, tetap saja dia tidak mampu berhubung dengan pihak polis untuk meminta bantuan segera.

"Turun! Jalan cepatlah sial! Bodoh gila." Kata-kata makian kedengaran berselang-seli dengan jeritan ketakutan apabila bedilan dilepaskan ke udara.

'Tak boleh jadi ni.' Zafran menggigit bibir.

Dia perlu buat sesuatu untuk keluar dari sini. Ketika ini, satu idea muncul dalam fikiran. Pantas dia merangkak melalui ruangan ventilasi yang sempit itu menuju ke bilik-bilik lain. Dia perlu mencari bilik yang ada tingkap supaya dia dapat menyusup keluar dari situ.

Namun, malang lagi baginya apabila setelah dicari-cari, semua tingkap bertutup dengan bidai besi automatik. Pasti bidai itu diaktifkan oleh para musuh untuk mengelakkan sesiapa sahaja daripada terjun bangunan dari tingkap. Lagi meruncingkan keadaan, semua pintu besar dan kecil turut diturunkan bidai besi.

"Tak ada jalan keluar." Zafran mengepal penumbuk.

Tatkala itu, otaknya dikerah agar berfikir lagi. Macam mana nak keluar dari situ? Jika dilihat-lihat lagi, pintu rintangan api juga tidak boleh digunakan kerana ada musuh yang berjaga di setiap pintu. Cari mati namanya kalau nak berlawan tanpa senjata. Kalau seorang bolehlah, ini beramai-ramai?

Malaikat maut hulur salam.

Bukannya dia tidak mahir dalam close combat. Bukan. Tapi ketumbukan musuh terlalu ramai. Staminanya akan terganggu bahkan mungkin dia yang akan pancit awal kalau berlawan tanpa pelan yang kukuh. Jadi, dia perlu merangka strategi yang ampuh untuk berlawan dengan para penjenayah ini. Tenaganya mesti digunakan sebaik mungkin.

Zafran segera membuka fail blueprint hospital. Sebelum memberi kata putus untuk menjadi pengawal peribadi Dato' Mutakhir tadi, sebelumnya dia sudah pun menimbang tara baik buruk keputusannya dengan mengambil kira segala kemungkinan yang akan berlaku jika memegang jawatan ini.

Antara hal yang menjadi subjek penelitiannya adalah escape plan jika Dato' Mutakhir diserang di hospital. Kerana itulah dia sudah pun melihat sepintas lalu laluan di dalam bangunan baharu hospital yang serba canggih ini dari sudut sekuriti.

Tapi sayangnya kecanggihan itu memakan diri. Susah nak cari jalan keluar apabila pintu dan tingkap disetkan automatik tertutup jika terjadi sebarang pencerobohan. Contohnya seperti sekarang inilah. Siapa agaknya jurutera pembinaan bangunan ini? Siapa pulalah yang approved sekuriti mengarut sebegini? Senak otak Zafran memikirkannya.

"Secret control room...?" Zafran menghela nafas.

Semoga berjayalah pelannya. Namun, belum pun sempat dia merangkak ke tempat yang dikehendaki, tiba-tiba kedengaran bunyi picu ditarik dan satu objek diletakkan di belakang kepalanya.

"Kau nak ke mana, hah?" kata seseorang di belakang.

Ps: Done! Hope much better daripada sebelumnya..😭

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro