
BAB 29
Reaper menyambut deklarasi perang daripada Zafran dengan hati lapang. Perasaannya biasa-biasa saja. Memang sejak tadi lagi dia dapat mengagak yang lelaki itu akan terlepas.
Komando, kan? Kalau ujian sekecil itu pun tak boleh hadap, lebih baik jangan sandang nama komando langsung. Buat malu saja. Seseorang komando telah dilatih untuk menghadapi detik ekstrem dalam hidup. Jadi, tidak dapat tidak, mereka mestilah kuat dari segala segi.
"Tahniah, Leo." Reaper ketawa perlahan.
Bahunya terhinggut-hinggut menahan rasa geli yang menggeletek hatinya. Lucu melihat gaya lelaki itu mengisytiharkan perang. Macam budak-budak pula. Langsung tak profesional. Apa barang buat isyarat macam kanak-kanak main police entry?
"Grunt, bawa dua orang tu ke sini," arahnya pula kepada Grunt yang setia di sisi.
Tanpa berlengah, Grunt segera keluar dari bilik kawalan lalu bergegas mendapatkan dua orang askar upahan mereka yang baru sahaja dikerjakan oleh Leo. Dengan bantuan dua orang anak buah yang bersamanya, pantas dia membawa dua tubuh itu kembali ke bilik kawalan.
"Bos." Grunt mendudukkan dua orang itu di kerusi.
Lelaki pertama dan kedua masih lagi sakit-sakit dan tidak mampu membalas apatah lagi melawan pegangan kasar Grunt dan anak buahnya. Mereka terpaksa pasrah apabila didudukkan dengan kepala di bawah dan kaki di atas.
"Aku dah pesan, kan?" Reaper menjatuhkan sebelah lututnya ke lantai lalu melalukan mata pisaunya ke wajah lelaki pertama dan kedua saling berganti.
"M... maaf, bos!" Dengan terketar-ketar, lelaki pertama memohon maaf atas kesilapannya.
"Ak... aku pun!" Lelaki kedua menelan air liur berkali-kali. Berkilat-kilat cahaya pisau terpantul di matanya.
Kedua-duanya saat ini, perut masing-masing memulas hebat. Dapat dirasakan oleh mereka kehadiran malaikat pencabut nyawa di situ. Waktu kematian semakin hampir dan sungguh, mereka belum bersedia untuk mati!
Reaper melihat pemandangan di hadapan matanya dengan perasaan membara hebat. Sakit hati dan marah silih berganti atas ketidakkompetenan anak buahnya menjaga Zafran.
Otak mana otak? Walhal tadi dia sudah beritahu yang Leo itu lelaki yang sangat berbahaya. Bahaya manusia itu sama tahap dengan radioaktif.
Jangan buat silap! Namun telinga masing-masing pekak badak agaknya. Tuli. Bodoh tahap lembu pun lagi bijak daripada mereka.
Takkan tak boleh tengok yang lelaki itu tidak cedera pun masa kena tembak di dada? Leo itu cuma pengsan, bukannya mati. Setakat pengsan dan cedera ringan takkan boleh sebabkan cardiac arrest!
'Bodoh! Takkan lakonan biasa pun tak boleh kesan? Leo tu radioaktif, bukannya rookie!' Sebalnya menjulang setinggi Gunung Everest.
"Aku malas cakap banyak. Masa untuk mati."
Reaper memejam matanya buat beberapa ketika. Nafas panjang ditarik lalu dihembus perlahan. Kemudian, dia membuka mata. Lantas, dengan ekspresi tiada perasaan, pantas dia mengerat urat leher dua orang itu sekali jalan.
Zap!
Darah memercik mengena mukanya yang dilitupi topeng syaitan. Darah memancut-mancut keluar dari leher mangsanya. Serentak kedua-dua mangsa mengeluarkan bunyi menggeruh dan badan mereka menggelepar sebelum perlahan-lahan, masing-masing diam tidak berkutik.
Reaper memandang pemandangan mengerikan di depan matanya dengan pandangan kosong. Kemudian, dia ketawa. Mula-mula perlahan dan semakin lama semakin melengking nadanya. Seolah-olah, membunuh itu adalah kepuasan baginya.
"Grunt, malam ni kita makan special." Dia berpaling kepada Grunt sambil menjilat darah di pisau.
"Baik, bos." Grunt menunduk sedikit lalu segera memberi isyarat kepada anak buahnya supaya membawa keluar mayat itu dari situ.
Makan malam special bermaksud semua tentera mereka akan makan daging rakan setugas yang dibunuh oleh ketua mereka. Itu adalah peringatan keras kepada para tentera agar jaga nyawa masing-masing. Jangan buat silap kalau tidak mahu menerima nasib yang sama dengan rakan mereka.
"Ada apa-apa lagi aku perlu buat? tanyanya pula.
"Awasi Leo." Reaper menjatuhkan semula pandangannya ke rakaman video deklarasi perang oleh Leo. Dan saat itu...
"Arghhh jahanam!" Reaper menendang meja.
Api kemarahannya yang sedari tadi ditekan sehabis kuat meletus jua akhirnya. Ternyata rasa hati yang dibalut kemas dengan sabar dan dipujuk agar relaks tidak lagi berjaya menahan amarahnya.
Turun naik dadanya menahan marah. Tangannya dikepal erat hingga menampakkan urat tangannya yang kasar. Sakit hatinya semakin berganda-ganda tatkala melihat rakaman wajah sinis Zafran di skrin CCTV.
Wajah lelaki itu masih seperti dulu malah lagi menyerlah cop mohor troublemaker di muka. Jikalau dulu perangai Zafran sudah berada di tahap fatal chaos, kini tahapnya menaik ke ultimate disaster. Buktinya, sekarang.
Setelah membuat isytihar perang, lelaki itu menembak CCTV rahsia yang dipasang di pendeteksi asap. Maka, setakat itu sajalah dia boleh melihat jejak lelaki itu di situ. Lagi sial, sekarang dia tidak lagi dapat melihat ke mana lagi Zafran pergi kerana satu demi satu CCTV sekitar ditembak oleh lelaki itu.
'Sial!' kutuk Reaper.
Nafasnya turun naik dengan nafasnya. Dengusannya semakin menjadi-jadi. Cekakan di pinggang semakin kejap dan gedikan kakinya semakin laju menghentak lantai. Kawalan tenangnya hampir habis disebabkan lelaki tak guna itu!
"Kau isytihar perang dengan aku? Huh! Aku jamin esok kau akan mengemis nak mati cepat!" Reaper memandang skrin dengan mata merah menyala.
"Buka semua CCTV. Cari dia sampai dapat!" arahnya pula kepada petugas bilik kawalan sambil mendengus geram lagi. Kemudian, dia menekan walkie-talkie lalu memberi arahan terbaru kepada anak buahnya.
"Libra, Code Black. Bawa perempuan tu ke zon Delta. Kita akan jadikan dia cagaran."
Reaper mengepal kejap walkie-talkie di tangan. Tekaknya yang kering berasa semakin haus tapi dia tidak mahu meneguk air. Dia mahukan darah dan darah itu mesti milik Leo, seterunya sejak azali dalam pasukan Team Shadow 404!
"Bawa ke sini darah dia." Reaper menjeling keras kepada seorang anak buahnya yang berada paling hampir dengan peti sejuk mudah alih.
Menurut perintah, pantas si anak buah segera menghulurkan satu pek darah berisi padu 450 ml kepada Reaper. Bertanda di situ "O", menandakan darah di dalam pek darah itu adalah jenis O. Dan... tertera juga di situ tanda "Leo".
"Darah kau panas, Leo. Sedap. Hahaha." Sambil menyedut darah di dalam pek, Reaper tergelak sendiri.
"Sayang betul kau terlepas awal. Kau inilah, langsung tak bagi chance untuk aku ambil lagi darah kau. Huh!" Dia mengeluh sendiri.
Matanya dilirik ke arah peti sejuk. Tinggal satu pek saja lagi darah Zafran. Ini bermakna dia sempat mengambil 900 ml atau bersamaan dua pain darah sahaja. Mana cukup untuk dia melegakan rasa haus darah.
Ini semua sebab anak buah tak guna berdua itu punya pasallah. Kalaulah mereka cerdik sikit dengan tidak termakan lakonan lelaki itu, pasti malam ini dia dapat mengeluarkan dua pek lagi darah lelaki itu. Buat stok minuman darah, kan seronok begitu?
"Tak guna!" Reaper melempar pek darah yang sudah kosong ke dalam tong sampah. Sakit hatinya berganda-ganda!
Kali ini dia takkan sekadar calarkan lelaki itu. Dia akan koyakkan Leo dari dalam secara perlahan-lahan sampai lelaki itu sendiri minta hentikan segala seksaan. Tunggu sajalah!
*****
Bang!
CCTV terakhir yang berada dalam radar matanya berjaya ditembak dari jarak jauh dengan pistol yang dilengkapi peredam bunyi. Mengikut perkiraannya, sudah 17 buah CCTV dia jahanamkan. Sekarang, jalan untuknya bergerak di kawasan sekitar lebih mudah tanpa kamera pengawasan yang mengganggu langkah.
Misi utama, cari Ariana yang ditawan oleh Libra. Tapi, dia tidak boleh bertindak tergopoh-gapah. Tindakan tanpa pelan kukuh dan sistematik hanya akan menjerumuskan dirinya ke tangan musuh sementelah buat masa sekarang, mereka lebih menguasai keadaan.
Buat seketika, Zafran berdiri statik di tempat persembunyiannya. Beberapa orang pengganas sedang berjaga di sepanjang koridor di setiap tingkat bangunan wad psikiatri. Dia tidak mahu menimbulkan kekecohan, jadi dia perlu bergerak sesenyap mungkin. Dan... dia juga tahu dia perlu mengelak daripada ditangkap oleh mata helang pesakit jiwa di situ.
Bunyi hilai tawa dan jerit pekik serta lolongan tidak ketahuan para pesakit kedengaran bersahut-sahutan. Suara-suara itulah yang menenggelamkan bunyi letupan CCTV. Angin yang bertiup kencang petang itu seolah-olah ingin membawa khabar air dari langit akan turun pada malam nanti pula membawa jauh bau hangit CCTV yang meletup.
Nun di tingkat empat, kelihatan dua orang pengganas sedang berkejaran menangkap seorang lelaki gila yang terlepas dari wad. Pelik jugalah kenapa mereka tidak tembak saja lelaki itu, tapi dia biarkan. Mungkin penjahat-penjahat itu ada agenda lain untuk pesakit-pesakit ini.
"Satu... dua... tiga..." Zafran membilang satu demi satu penjahat yang berada di depannya dengan senyuman tipis terlakar di bibir.
Pistol di tangannya diangkat ke paras dagu, iaitu posisi close quarters battle (CQB) untuk low visibility stealth approach. Matanya tajam, fokus tidak berganjak. Posisi itu lebih memudahkannya untuk terus melepaskan tembakan jika musuh menyedari kehadirannya di belakang.
Kemudian, dia mengaktifkan mod serangan senyap. Profil rendah tapi impak maksimum. Tetapan CQB dikunci. Zon maut dikenal pasti.
Laluan selamat. Bergerak sekarang!
Dengan tapakan perlahan tanpa bunyi, iaitu tumit didahulukan sebelum jari kaki mencecah lantai, dia bergerak pantas menuju ke arah lelaki bertiga itu. Teknik berjalan stealth yang diajar dalam latihan taktikal diaplikasikan sebaik mungkin. Targetnya adalah lelaki yang berada paling belakang di antara pengganas bertiga.
Klik.
"Gotcha you," bisik Zafran.
Muncung pistol berada tepat di kepala target. Dia sengaja menggunakan pistol di tangan kiri supaya pistol di tangan dominannya bebas untuk menekan picu jika dua pengganas lain berpaling ke belakang.
Pengganas itu berhenti melangkah dengan kedua-dua belah tangannya diangkat ke atas. Dua pengganas yang sedang rancak bersembang tidak menyedari rakan mereka sedang berada dalam kesusahan dan terus berjalan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
"Ikut aku kalau nak selamat," kata Zafran seraya berundur ke belakang.
Si mangsa tidak melawan. Dia lebih takutkan kematian. Apatah lagi, orang yang berada di belakangnya sekarang bukan calang-calang lawan. Masakan tidak, dia langsung tidak menyedari kehadiran lelaki itu walaupun siaganya setinggi langit.
Zafran membawa mangsanya ke dalam sebuah bilik doktor yang tertera nama Dr. Ismail Harun. Bilik konsultasi itu kosong tanpa penghuni. Namun, sebelum melangkah masuk ke dalam, sempat dia menuangkan minyak masak yang dicuri dari kafe hospital ke lantai. Biar siapa-siapa yang cuba menerjah masuk ke situ tergelincir terus.
"Buka baju." Dengan muncung pistol tetap dihala ke arah musuh, dia menyuruh pengganas itu membuka baju.
"Hah?" Pengganas muda yang berusia dalam lingkungan 18 tahun itu terkebil-kebil apabila mendengar suruhan tersebut.
"Baju kalis pelurulah sengal. Kau ingat aku gay ke?" Zafran menarik nafas panjang. Geram pula dengan muka blur budak itu.
"Oh, ya! Ya!" Cepat-cepat pengganas itu menanggalkan baju kalis pelurunya lalu meletakkannya di lantai.
Gugup. Itu yang dirasakan olehnya tatkala melihat wajah lelaki yang mengacukan pistol ke arahnya. Apatah lagi, sekarang ini dia tidak mempunyai sebarang senjata untuk melawan. Senapang yang sentiasa disandang di dadanya telah dirampas oleh seorang pesakit gila tadi. Pesakit itulah yang sedang dikejar oleh rakan-rakannya di tingkat empat.
"Walkie-talkie, earpiece, dan semua alat komunikasi kau pun. Letak kat bawah," arah Zafran lagi.
Menurut arahan, pantas pengganas itu meletakkan segala yang ada padanya di lantai. Yang tinggal cuma dirinya sehelai sepinggang. Sumpah dia tidak mampu untuk tidak mengikut arahan lelaki itu. Aura lelaki yang pada agakannya berusia dalam pertengahan 30-an itu sungguh membuatkan dia kecut perut tahap nak terkencing di dalam seluar!
"Berdiri kat bucu dinding. Jangan gerak kalau aku kata jangan gerak. Seinci kau gerak, berlubang kepala kau." Zafran mengangkat tangan kiri, jari telunjuk dan tengah dihala ke matanya kemudian dihala kepada si mangsa. Itu adalah isyarat keras bahawa dia memerhati segala tindakan musuhnya.
Mendengar kata-kata itu, cepat-cepat si musuh mengangguk lalu bergegas berdiri di tempat yang disuruh. Terpesir saja matanya melihat lelaki yang bertubuh sigap itu menyarung baju kalis peluru ke tubuh dan mengambil segala jenis peralatan komunikasinya yang diletakkan di lantai.
Dalam beberapa minit, lelaki beraura singa di hadapannya itu kini lengkap berpakaian seperti anggota Black Hawk. Cuma saja lelaki itu tidak memakai topeng muka syaitan seperti mereka. Separuh wajahnya hanya ditutup dengan kain hitam, sedang rambutnya dibiar bebas tanpa sebarang penutup.
Aura lelaki itu... lain macam! Kecut perut pedalnya memandang mata nan tajam itu.
"Nama kau apa?" tanya Zafran sambil memeriksa pistol lalu meletakkannya di gun holster di paha.
"Eren." Sepatah saja jawapan dibalas oleh pengganas itu.
"Sejak bila lagi kau masuk dalam Black Hawk?" tanya Zafran lagi.
"Masa umur 15 tahun," jawab Eren takut-takut. Tidak berani untuk tidak menjawab tatkala perasan pandangan tajam lelaki itu di cermin.
"Siapa ketua kau?" Zafran berpaling lalu berjalan merapati Eren.
"Err..." Eren pandang ke bawah. Takut untuk bertemu mata dengan lelaki itu.
"Nama aku Leo. Kalau kau jawab elok soalan aku, kau bebas. Kalau tak, anggap ini hari terakhir kau hidup," gelak Zafran seraya mengangkat wajah Eren dengan mata pisau.
Mata mereka bertembung. Zafran dengan sinar tajam menikam, manakala Eren dengan ketakutan maha dahsyat terserlah. Perutnya bergulung. Tidak pernah lagi dia merasai ketakutan sebegini hebat sepanjang hidupnya.
Halkum Eren bergerak-gerak, bibirnya menggeletar. Bertemu dengan lelaki bernama Leo ibarat hukuman mati kepadanya. Leo adalah malaikat maut. Itu yang didengarinya tadi secara tidak sengaja ketika sedang membuat rondaan. Kata rakan setugasnya, Leo sudah menumpaskan berpuluh-puluh orang mereka.
"Re... Reaper. Dia... dia bos," jawab Eren tergagap-gagap.
"Apa tujuan dia tawan hospital ni?" korek Zafran lagi.
"Vir... virus nBRA. Men... menteri pertahanan." Perut Eren semakin bergelora. Berkali-kali dia meneguk air liur. Kerongkongnya berasa kering kontang.
"Kenapa dia targetkan aku?" Zafran perasan ketakutan anak muda itu tapi dia tetap meneruskan interogasi tidak rasminya.
"T... tt... tak tahu." Eren menggeleng. Peluh sejuk merenik keluar dari dahinya.
"Betul tak tahu?" Zafran mengherotkan senyuman sinis.
Pandangan semakin tajam menikam wajah Eren sehingga membuatkan anak muda itu rebah ke lantai dengan tubuh menggeletar hebat. Menggigil badannya. Gigi berlaga sesama sendiri seolah-olah sedang berada di tempat sejuk di bawah paras beku.
"Siapa suruh kau kencing pula? Pengotor!" cebik Zafran seraya menjauh sedikit dari Eren. Bau air kencing menyengat hidung.
"Sumpah aku tak tahu. Aku tahu sikit-sikit aje pasal operasi ni," rayu Eren sampai menangis-nangis.
"Tapi... aku terdengar dia cakap 'Aku tak boleh lupa Leo'. Aku dengar dia cakap kat monitor. Sungguh!" kata Eren dengan suara tertahan-tahan.
Zafran menarik nafas panjang lalu menghembus perlahan. Tak pasal pula dia kena layan drama air mata. Black Hawk inilah, sudah tak ada lelaki dewasa ke untuk dihantar ke misi berskala besar begini? Ininya tak, ambil budak tak cukup umur. Sudahlah lembik, manja pula!
"Dah, pergilah. Aku lepaskan kau." Zafran mengangguk, tanda supaya boleh keluar dari situ. Wajahnya kelihatan bersahaja.
Melihat itu, perlahan-lahan Eren bangun daripada jelepoknya. Lantas, dengan kaki terketar-ketar, dia menapak ke muka pintu. Namun, belum pun sempat dia memegang tombol pintu, tiba-tiba satu desiran angin kencang kedengaran dari belakang dan tanpa sempat dia berkelip mata, sebilah pisau terpacak kukuh tepat di atas tombol pintu.
"Kau ingat aku ni baik sangat ke nak lepaskan kau, hah?" Zafran menayangkan sengihan kejam.
"Jangan mimpi, budak!" Ketawa meledak.
Kaki Eren automatik lembik seperti jeli. Terus dia terlorot ke pintu, terkepung antara tombak kematian dan wajah lelaki yang langsung tak kenal simpati.
Nampaknya, riwayatnya bakal direnggut pergi hari ini. Malaikat maut bernama Leo sedang menanti masa paling tepat untuk mencabut nyawanya!
Ps: Reaper dan Zafran dua-dua psiko. So, u alls masih suka Zafran ke? 😌😂
Ps: Saya tulis dengan rushing. Biasalah hari kerja, kena bahagi masa dengan tugas hakiki. Kalau awak nampak saya silap eja atau jumpa apa2 kesalahan, beritahu tau. Saya dah tak nampak kat mana silap. Penat. Huhu. Thank u in advance! ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro