Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 27

Tidak menunggu lama, dalam beberapa minit sahaja selepas Leo masuk ke dalam kem, tiba-tiba beberapa letupan besar menggegarkan suasana. Bercempera para askar musuh melarikan diri sambil sesetengah daripada mereka bergegas ke kawasan yang dibom.

"Jahanam!" Beberapa sumpah seranah turut kedengaran.

Dalam kekalutan, dia dapat melihat beberapa orang musuh sibuk melihat ke telefon masing-masing dengan muka bengang. Saat itu, terdetik di hatinya apa sebenarnya yang Leo lakukan kepada musuh sebelum mengebom pusat kawalan kem.

Aqeel sempat menolak seorang musuh yang paling hampir berada dengannya dan melirik ke arah mesej yang terpapar di telefon selular milik lelaki itu yang terjatuh di tanah. Terus dia tergelak keras melihat isinya. Aduhai, Leo! Lelaki itu memang something betullah. Gila betul otaknya. Malah, gila bukan level biasa. Level sabotaj psikologi tahap penjahat pun terlondeh kain.

Ayat "Sayang, jom kita putus" dalam bahasa Inggeris yang terpapar di skrin benar-benar menggeletekkan hatinya. Bukan satu bahkan berbelas-belas mesej sebegitu masuk ke peti mesej. Mana taknya para musuh bengang berkali lipat dan semuanya terus keluar bagi mencari orang yang buat onar.

Tindakan Leo itu sebenarnya membuatkan musuh percaya yang mereka bukan sekadar diserang secara fizikal bahkan talian komunikasi mereka turut dipintas. Hal ini menimbulkan ilusi yang mereka pasti sedang diserang oleh satu batalion pasukan, bukannya hanya tiga orang.

Kalaulah musuh itu tahu yang mereka diperdayakan oleh Leo seorang yang menyusup masuk ke dalam kem, yang memintas talian dan mengebom bangunan, agaknya apa jadi ya? Tergelak lagi Aqeel apabila mengenangkan tindakan Leo, sambil tangan dan kakinya ligat membanting satu demi satu musuh yang semakin ramai menargetkannya pula.

Namun, gelak itu tidak lama. Bunyi dentuman letupan sekali lagi menggegarkan suasana yang sedia riuh. Getaran tanah akibat hentaman bom terasa hingga ke tulang belakang. Serpihan zink melayang di udara, betul-betul di atas kepalanya. Api menjulang di udara dari menara pemantauan kem musuh.

"Astaghfirullah, Leo!" Aqeel tercungap-cungap. Bukan sebab penat berlawan tapi otaknya tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Mantap, buddy! Leo hancurkan kem musuh macam raksasa dalam siri Ultraman pijak bangunan dengan kakinya yang lebar dan ekor melibas ganas. Pijak, libas, ranap. Habis hancur bumi dikerjakannya. Leo dan raksasa tak ada beza, dua-dua ganas tak boleh bawa bincang.

BOMM!

Satu lagi letupan meletus, kali ini dari arah bangunan logistik musuh. Jeritan semakin menggila. Sebahagian musuh berlari lintang-pukang, sebahagian lagi tergamam, tak tahu sama ada nak lawan atau lari. 

Mereka semua terdesak, takut dan panik tapi instict sebagai tentera upahan terlatih tidak membenarkan mereka lari. Kaki mereka terpasak kukuh ke tanah tapi minda dan anggota badan beku sebekunya. Apatah lagi, satu demi satu rakan mereka tumbang menyembah bumi tatkala itu, peluru bersimpang siur menuju ke arah mereka.

Dalam kekalutan, satu jeritan panik bergema di radio musuh, "Komander! Kami diserang dari pelbagai arah! Ada pencerobohan besar-besaran! Kami... kami dikepung! Ini serangan penuh! Fallback, fallback!"

Mendengar itu, Aqeel tergelak lagi. Ya Tuhan, bodoh rupanya musuh-musuh ini. Kata tentera upahan terlatih? Rasanya yang terlatih cuma lutut. Otak entah jatuh ke mana masa latihan. Sebab itulah otak mereka letak kat lutut, bukannya di kepala. Sia-sia saja tubuh tegap tapi minda di bawah tapak kaki. Bodoh piang punya orang. Bengap!

"Aku cakap betul kan kau semua memang bodoh?" Aqeel membenamkan sikunya ke rusuk seorang musuh yang cuba menyelinap dari kanan dan dalam satu gerakan pantas tanpa belas, dia menumbuk hidung dan memberi fatal blow ke tempat lelaki paling tak sanggup rasa. 

Three shot, mampus!

Bunyi tembakan masih lagi berselang-seli di telinga. Dia yakin Taurus dengan taktik tembakan gerilanya sedang menyerang habis-habisan musuh yang cuba mencarinya di sebalik dedaun hijau dan koko ranting. Saat itu, dia berura-ura mahu pergi membantu Taurus tapi satu bunyi nyaring daripada alat pembesar suara tiba-tiba membantutkan niatnya.

"Love hurts, doesn't it?"

Suara wanita. Lembut dan lunak tapi menyakitkan ego lelaki-lelaki bersenjata yang sedang bertempur. Suasana sekeliling tiba-tiba berubah sunyi, seperti semua orang  sedang cuba faham apa yang baru sahaja mereka dengar. Bahkan tembakan juga turut terhenti seketika.

"Kita dah tak ada harapan. Aku pilih abang bomba I love you piu-piu oh my heart. Goodbye darling muahhh." Suara itu disusuli dengan gelak halus dan kemudian, senyap.

Tergamam lagi semuanya sampailah tiba-tiba, satu jerkahan kedengaran.

"Siapa hack sistem? Cari bedebah tu!" Tempikan bergema seiring dengan tembakan kembali dilepaskan ke serata arah.

Lagi intens serangan membabi buta pihak musuh. Aqeel yang sedang tergelak dalam diam mendengar kata-kata ayat cinta basi daripada Leo yang menggunakan suara ubah suai turut terpaksa bergerak pantas mencari tempat perlindungan.

Lelaki itulah, bukan main lagi berjiwang karat. Geli telinga dia mendengarnya. Rasa nak cabut terus!

'Kalaulah perang ni ada anugerah Oscar, confirm mamat tu menang Anugerah Pensabotaj Taktikal Terbaik. Kahkahkah!' Tergeleng lagi dia dalam ketawa sambil badan pantas merempuh dua musuh yang masih tercari-cari arah suara cinta yang menyakitkan tadi. Namun sayang, kali ini musuhnya lebih kuat daripada biasa.

"Tak guna!" Dua orang itu serentak bangun dari pembaringan dan terus menyerang. Tumbukan dilepaskan deras; satu dari kiri dan satu dari kanan.

Melihat itu, pantas dia berundur selangkah sebelum cuba membuat low kick kiri ke betis musuh, iaitu taktik standard komando untuk menjatuhkan imbangan. Tapi kali ni, tidak menjadi. Musuh yang seperti dirasuk darah dan malu itu lagaknya bagai gajah naik minyak. Sepakan Aqeel tidak cukup kuat dan natijahnya, tumbukan bertalu-talu cuba singgah di pipinya.

Dia mengelak tapi musuh lebih pantas. Tanpa memberinya peluang untuk mempertahankan diri, tumbukan maha kencang mengena pipi kanan dan kirinya sekali gus. Satu kena pipi kanan tepi bibir dan satu lagi telus ke rahang kiri. Rasa gelap sekejap pandangannya.

"Puhhh!" Aqeel meludah air liur bercampur darah dan menyapu perlahan bibirnya yang pecah. Sengal gusinya. Rasa nak tertanggal gigi. Nasib baik giginya kuat.

Aqeel kembali mengemaskan kuda-kudanya. Dia mesti fokus. Musuh di hadapannya kini bukan musuh biasa. Muka mereka merah, mata terbeliak, nafas macam kerbau laga nampak kain merah. Merengus-rengus tak tentu hala, seolah-olah boleh nampak asap berhembus-hembus keluar dari dua lubang hidung yang terbuka lebar.

'Ini semua kerja kaulah Leo. Tak pasal aku kena clean sepah kau. Semua hantu jadi naik hantu. Haishh...!' Aqeel menggerutu sendiri, geram juga kadang-kadang dengan mamat itu. 

Tapi, dia tidak boleh marah lebih-lebih. Saat dia menggeram sendiri, musuh terlebih dahulu melancarkan serangan dengan cuba membuat sikuan padu ke arah perutnya. Matanya laju menangkap pergerakan itu dan dengan menggunakan sebelah tangan, dia menangkis serangan tersebut. Musuh pertama terundur ke tepi.

Melihat rakannya tidak berjaya, musuh kedua pula melancarkan serangan dengan cuba menikam Aqeel. Gerakan hunusannya pantas, tapi pantas lagi mata tajam Aqeel melihat arah mata pisau yang ditujukan kepadanya. Tanpa berfikir panjang, dia bergerak ke hadapan musuh pertama dan sebelum sempat pisau itu dibenamkan ke tubuhnya, dia mengelak ke kiri.

Zuppp!

Mata pisau terbenam kukuh ke perut musuh pertama. Musuh kedua terbuntang biji mata melihat rakannya sendiri terkena tikaman tersebut. Kesempatan itu diambil oleh Aqeel dengan melompat ke belakang musuh kedua dan membuat cekikan kemas dari belakang. Langsung tidak memberi peluang kepada musuh untuk bernafas sampailah akhirnya, musuhnya terkulai.

"Phew!" Aqeel melepaskan lelah. Turun naik dadanya. Tapi, belum pun sempat dia menarik nafas lega, tiba-tiba kepalanya dihentam dengan sesuatu.

Dia rebah ke tanah. Saat itu, dia nampak seorang musuh yang entah dari mana datang cuba memukulnya sekali lagi. Tapi belum pun sempat batang kayu berdiameter 5 cm itu mencecah mukanya, tiba-tiba satu letupan kedengaran lagi namun kali ini, efeknya betul-betul kuat berbanding sebelum ini. Musuh tadi terpelanting entah ke mana dan angin letupan tadi turut menolak tubuhnya dari tanah.

"Allah...!" Aqeel menyeringai. Remuk tubuhnya dirasakan apabila tulang belakang menghentam batang pokok.

"Leftenan Zafran al-Haq, kau memang... gila!" Aqeel cuba bangkit. Terketar-ketar lututnya. Kepala dan tubuhnya juga sakit menyengat.

Dia melihat ke hadapan. Suasana menjadi putih. Asap, debu dan api membentuk kepulan tebal di hadapan mata.  Dedaun berguguran bagai hujan di tengah medan perang dan cahaya amber yang terhasil daripada jilatan api yang meranapkan seluruh kawasan kem musuh bagaikan neraka terbuka di tengah gelap malam.

Kem musuh musnah total. Tiada lagi bangunan yang wujud. Seluruh kawasan kelihatan seolah baru dilanggar garuda dan menjadi padang jarak padang tekukur. Tiada lagi bunyi tembakan, jeritan, dan apa jua bunyi menerjah kokleanya. Sunyi sesunyinya hinggalah satu saat, dia terbunyi derapan tapak kaki.

Aqeel memicingkan mata. Dari kejauhan, di sebalik asap yang berkepul-kepul memenuhi suasana, muncul bayang seorang lelaki. Gaya lelaki itu? Macam syaitan bertanduk yang baru selesai menurunkan bencana kepada dunia. Semakin lama semakin jelas dan akhirnya, figura itu berhenti melangkah di hadapan Aqeel.

Baju taktikal yang dipakai oleh lelaki itu koyak di bahagian lengan kanan dengan kesan hangus dan darah berkumpul di luka yang terdedah. Ada kesan luka di tepi kening kiri. Di bahu kirinya pula, tertanam satu objek nipis menyerupai kepingan zink. Jalannya agak tempang akibat luka di paha kanan. Darah pekat merah lencun membasahi seluar taktikalnya.

"Misi selesai. Jom balik, Sagitarius." Suaranya sedikit serak tapi lebih serak daripada biasa. Namun, Leo tetap Leo. Nafasnya sedikit terputus-putus tapi dia tetap mempamerkan sengihan penuh gaya seraya menghulurkan tangan kanannya kepada Aqeel.

Aqeel melihat lagak Leo dengan senyuman berterima kasih dan geram silih berganti. Terima kasih kerana menyelamatkannya, dan geram kerana tindakan lelaki itu lebih daripada sepatutnya. Pihak atasan suruh laksanakan misi recon, bukannya bom tempat ini. Aduh, Leo!

Namun, Aqeel tidak mahu menyalahkan Leo. Nyawanya selamat disebabkan lelaki itu dan Taurus berjaya menemuinya di dalam hutan tebal begini. Terus dia mengangkat tangan, ingin menyambut huluran Leo. Tapi, saat tangannya bertaut, tiba-tiba lelaki itu perlahan-lahan condong ke  depan.

"Leo!" Aqeel pantas bangun dan menyambut tubuh itu daripada tersungkur lalu membaringkannya ke dalam pangkuan. 

Senyuman Leo masih ada, tersangkut separuh di bibir saat tubuhnya rebah dalam pelukan Aqeel. Seolah dia tahu, dia tidak perlu tunjuk kuat lagi. Pangkuan lelaki itu adalah tempat selamat buatnya. 

"Leo." Taurus yang baru pulih turut bergegas mendapatkan Aqeel dan Leo. 

Risau dan geramnya bercampur menjadi satu. Dia berjalan ke arah mereka dengan senjata disandang kemas di tubuh dan wajah berkerut seribu. Badannya berpeluh, muka berhabuk, tapi suara dia jelas dan cukup kuat sampaikan burung di dalam hutan pun kena berkira-kira untuk pindah sarang.

"Peace." Leo tersengih dan menayangkan tanda peace dengan mata separuh terpejam.

"Peace kepala otak kau. Bodoh!" Taurus melemparkan marah-marah sayang.

"Apa nak kau jawab kat atasan nanti? Tugas kita buat recon aje, bukannya blow up satu kem musuh! Bukan misi spam mesej breakup! Bukan misi DJ siar suara awek minta putus! Kau ni kan, ishh! Aku report kat Panglima kan mampus kau." Sambil membebel, laju tangannya meneliti kecederaan Leo. Menggeleng lagi dia. Agak parah kecederaan lelaki itu.

Leo hanya melemparkan tawa tatkala mendengar bebelan itu tapi ketawanya perlahan. Matanya sekejap terpejam dan sekejap terbuka. Tatkala buka, matanya berkedip laju seolah menahan pandangan yang semakin kabur. Helaan nafasnya juga semakin berat seolah-olah setiap hela nafasnya datang dengan bayaran nyawa.

"Nanti kau pandai-pandailah jawab, bro. Kau kan Mejar. Ketua misi ni. Aku cuma... cuma... baby..." Leo terbatuk, tapi dia belum habis.

"... dalam team ni. Baby..." Senyap. 

Leo pengsan.

Aqeel dan Taurus saling berpandangan. Dengan satu hembusan nafas, serentak mereka melepaskan keluhan. Tiada rasa lain lagi sekarang ini melainkan rasa nak sepak buddy mereka itu biar sampai ke bulan terus. Buat kerja tak pakai otak.

"Woi, jangan mati lagilah. Kau ingat aku tak larat ke nak gali kubur kau?" Aqeel menepuk-nepuk perlahan pipi Leo.

"Kalau kau bukan Leo, dah lama aku terajang masuk gaung," bebelnya pula.

"Sabar ajelah aku dengan budak ni." Sekali lagi Taurus melepaskan keluhan lalu tanpa bersuara, dia mengangkat Leo ke atas belakang Aqeel.

"Dah, jalan." Dia menepuk perlahan bahu Aqeel lalu mereka berdua berjalan ke arah bunyi helikopter yang berderu di udara. Bantuan telah sampai setelah dia melepaskan flare ke udara saat Leo memulakan operasi menggempur kem musuh seorang diri.

******

"Aku cuma... cuma... baby... dalam team ni. Baby..."

Ayat itu menggema semula seiring degupan jantung yang menggila dalam dada. Itu suara Leo, yang tertinggal di belakang bersama debu dan darah pada lapan tahun lalu saat lelaki itu menyelamatkannya dengan cara paling gila yang pernah dia saksikan sepanjang hidupnya.

Sekarang, "baby" atau anggota komando paling muda dalam Team Shadow 404 yang pernah rebah dalam pelukannya itu sedang menjadi tawanan. Walaupun Leo bukan lagi menjadi sebahagian daripada mereka, semangat brotherhood mereka masih kukuh terjalin hingga kini. Tidak dapat tidak, dia mesti berusaha untuk menyelamatkan adiknya itu.

"Kau pernah selamatkan aku, Leo..." Aqeel berbisik perlahan. 

"Hari ni, biar aku pula jadi hero selamatkan kau." Dia mendongak. 

Wajahnya serius. Penuh fokus, tegas dan membara. Dia adalah Sagitarius, seorang komando tentera, anggota asal Team Shadow 404, dan lelaki yang bersumpah takkan biarkan dirinya kehilangan seorang lagi sahabat.

Aqeel berdiri. Perlahan tapi pasti. Nafasnya berat tapi bukan kerana letih, namun beban persaudaraan yang dibawa dalam setiap langkahnya yang jitu. Sekarang, sudah tiba masanya untuk dia turun dari langit. Tapi kali ini, dia tidak datang dengan amaran tapi hukuman terus kepada pesalah yang cuba menggugat keamanan negara. 

"Komander, izinkan saya ketuai pasukan insertion dari udara. Saya kenal Leo. Saya tahu taktiknya dan saya tahu kelemahannya. Dan saya tahu bila dia akan mula kalah, juga bila dia akan menang," kata Aqeel dengan penuh yakin.

Komander Alias tidak menjawab secara verbal. Tapi dengan sekali anggukan, Aqeel berasa sesuatu yang berat tetapi penuh kepercayaan serta-merta diletakkan di pundaknya. Dan saat ini, azamnya melingkar di hati dan menjerut kemas tubuhnya. Dia sudah bersedia untuk bertempur demi Leo.

"Team Shadow 404 akan turun. Saat bayang-bayang kami menyentuh bumi, neraka akan mula buka pintu." Tangan Aqeel menggigil, uratnya tegang.

Nadinya bergetar dahagakan balas, bukan belas. Darah dibalas darah, nyawa dibalas nyawa. Tunggu sajalah, Black Hawk. Tiada belas bagi mereka yang cuba menjarah negara ini!



Ps: Salam Jumaat. Maaf sangat2 lambat update. Busy amat. Tapi saya percaya untuk hasilkan naskhah terbaik, yang penting bukan kecepatan tapi kualiti karya. Terima kasih sabar menanti dan bagi saya masa untuk berkarya dengan tenang. Jauh di sudut hati, saya berharap semoga karya ini dibaca oleh komando/pasukan khas/badan keselamatan negara sebenar. Saya dambakan pandangan sebenar mereka untuk penambahbaikan karya. Terima kasih dan maaf atas segala kekurangan. Jika ada kesilapan atau perkongsian, mohon DM sy di Instagram "_angel_k20". 🥰

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro