Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 26

"Siapa kau?" tanya Komander Alias dengan tenang, namun nadanya menyimpan bara api yang marak menyala.

Tadi memang dia rasa jiwanya melayang tapi akalnya lebih pantas mencantas ilusi. Mana mungkin Ayyash yang sudah lima tahun terkubur di dalam tanah boleh hidup balik? Itu sangat mustahil. Dia pasti lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Libra ini ada muslihat lain.

"Libra," jawab pemanggil di talian.

"Apa kau nak?" balas Komander Alias. Suaranya mula menegang.

"Saja nak tanya khabar," kata pemanggil itu pula. Selamba seperti sengaja menambah nyalaan api di dada Komander Alias.

"Apa tujuan kau tawan hospital?" Komander Alias tidak melayan basa-basi daripada si pemanggil.

"Komander, negara ini dah terlalu lama dibuai mimpi indah. Jadi, tak salah kan aku kejutkan mereka dengan mimpi ngeri?" jawab lelaki itu dengan ketawa keras lalu serentak dengan itu, satu bunyi tembakan memecah suasana. 

Bang!

Selari dengan bunyi tembakan, real time video tawanan yang terpapar di skrin menunjukkan seorang jururawat rebah ke sisi dengan lehernya berlumuran darah. Darah segar memancut-mancut keluar dari lubang yang terhasil daripada benaman peluru di leher. 

"Kau nampak tak, komander? Sekejap lagi, pasti orang akan kecam kau berjemaah. Hahaha," gelak pemanggil. Suaranya penuh sindiran sebelum talian diputuskan.

"Tuan, mereka tayangkan secara LIVE tembakan tadi," kata Inspektor Hanif dengan tertekan.

"Tak guna..." Komander Alias menyumpah perlahan.

Rahangnya mengejang, urat-urat tegang di lehernya seperti mahu meletup. Amarah dalam hatinya menderu-deru, tapi disiplin bertahun-tahun menjadikan dia tetap kelihatan tenang. Dia tidak boleh tunjuk goyah kepada musuh, setidaknya buat masa sekarang.

Suasana di dalam trak turut diselubungi ketegangan. Baik Komander Alias mahupun semua yang berada di situ, masing-masing sedang menahan amarah yang menggunung. Sekarang, jelas lagi terang kumpulan pengganas itu bukan sekadar ingin menawan hospital dan menargetkan menteri pertahanan, bahkan mahu mencetuskan huru-hara berskala nasional.

Komander Alias menarik nafas panjang. Fikirannya berkecamuk. Dadanya ketat dengan semua yang berlaku. Nafasnya menjadi senafas dengan rakyat yang menonton kejatuhan maruah negara. Hampir jiwanya pecah tatkala kini, tebusan kedua pula dibunuh kejam dengan pengganas menyembelih pula tawanan mereka. Jeritan ketakutan dan tangisan memenuhi rooftop hospital.

"Allahuakbar..." Komander Alias meramas kepala, seolah mahu mencabut segala tekanan yang merantai mindanya. Marah, kecewa dan putus asa bersatu membadai jiwanya.

"Komander, Tuan Mejar Khosim dari Biro Risikan Negara (BRIN) ada kat luar." Tiba-tiba, seorang pegawai masuk ke dalam trak dan melaporkan kehadiran seseorang.

Komander Alias berhenti meramas kepala lalu mengangguk, isyarat supaya membenarkan mejar itu masuk ke dalam trak. Sebaik sahaja dia memberi kebenaran, satu susuk lelaki bertubuh tegap berusia dalam awal 50-an masuk ke situ. Mereka bersalaman tanda perkenalan lalu tanpa membuang masa, Mejar Khosim memulakan bicara.

"Aku yakin kau dah tahu yang Dr. Ariana dan Dr. Badrul tu anak buah aku. Sekarang, aku akan beritahu kenapa mereka undercover di sana. Status misi mereka adalah kes berprofil tinggi dan aku yakin serangan pengganas ke atas hospital tu ada kaitan dengan misi mereka," beritahu Mejar Khosim dengan panjang lebar.

Mendengar maklumat itu, Komander Alias semakin serius. Renungannya kini setajam sembilu. Tumpuan sepenuh perhatian diberi kepada butir bicara Mejar Khosim selanjutnya. Dia berharap semoga informasi yang diberikan oleh lelaki itu dapat membantu mereka mendapat kedudukan lebih jelas asbab penawanan hospital.

"Mereka undercover untuk misi Factor-XVirus. Berdasarkan maklumat risikan, terdapat ahli lembaga pengarah hospital yang dipercayai menyeludup masuk virus nNBRa ke fasiliti itu. Virus ini berasal dari Afrika Selatan dan disyaki dibawa masuk untuk dijadikan senjata biologi." Mejar Khosim berhenti seketika bagi mengambil nafas.

"Virus nNBRa atau nama saintifiknya Neo-Neurobiotic Respiratory Agent ni ialah virus yang akan serang paru-paru seperti pneumonia. Dalam masa 72 jam, ia akan naik ke sistem saraf otak dan menyebabkan kegagalan neurologi total seperti kelumpuhan otot yang akan buatkan seseorang tidak boleh bernafas, seterusnya jadi kejang, delusi, atau koma. Kalau tidak dirawat, seseorang boleh mati dalam masa seminggu," kata Mejar Khosim.

"Jika virus nNBRa berjaya dilepaskan, impaknya boleh menyebabkan pandemik tiga kali lebih ganas daripada Covid-19. Jadi untuk elak penularannya ke negara ini, kami hantar dua ejen perisikan elit yang turut memiliki kepakaran dalam bidang perubatan untuk undercover di sana. Mereka Dr. Ariana dan Dr. Badrul," jelas Mejar Khosim.

Mendengar penjelasan itu, Komander Alias mengerutkan muka. Perkataan "virus" dan "Afrika Selatan" menjentikkan idea dalam fikirannya. Dia seakan dapat mengagak tujuan sebenar kumpulan Black Hawk menawan hospital dan mencetuskan kekacauan di negara ini.

Pertama, ini tidak lain tidak bukan pastilah berkait dengan virus tersebut. Kedua, mereka mungkin mahu menuntut pembebasan Suweyh, ketua mereka yang telah ditahan baru-baru ini. Namun, satu persoalan masih belum terjawab iaitu apa kaitan musuh menggunakan kod nama "LEO" untuk menarik perhatian pasukan keselamatan negara?

"Nampaknya, aku tidak ada pilihan lain." Setelah satu minit berfikir panjang, Komander Alias mengangkat muka. Matanya merenung tajam ke skrin yang menayangkan siaran langsung para pengganas sedang terkinja-kinja menari sambil mengacah ingin membunuh tawanan.

"Panggil semua anggota Team Shadow 404. Kita akan guna cara kejam." Dengan mata menyala merah, Komander Alias memberi arahan.

"Baik, komander!" Taurus mengangkat tabik lalu bergegas keluar dari trak.

Perhatian Komander Alias terkunci kepada figura seorang lelaki yang merenung tepat ke arah kamera. Wajah bertopeng hitam berukiran syaitan kala jengking itu menampakkan ekspresi seolah-olah sedang tersenyum mengejek ke arahnya.

"Siapa kau sebenarnya, keparat?" bisik Komander Alias sambil mengetap gigi. Sungguh dia teramat ingin tahu identiti manusia yang memiliki susuk tubuh dan suara sama seperti arwah Ayyash itu!

*****

Kapt. Aqeel Zaydan, call sign: Sagitarius dari unit airborne tentera darat melompat turun dari superbike lalu berlari kencang menuju ke khemah yang dijadikan sebagai bilik mesyuarat sementara. Lariannya seperti kuda perang, cekap, pantas dan bertenaga.

Dia yang baru pulang dari kursus penerjunan udara bersama pasukan khas antarabangsa segera bergegas ke situ setelah mendapat arahan kecemasan supaya kembali ke pasukan. Langsung tidak sempat melepaskan lelah. Tapi dia tidak peduli kerana raganya lebih terasak mengenangkan keadaan Zafran yang kini menjadi tawanan di dalam hospital.

"Komander!" Aqeel muncul dengan nafas tercungap-cungap sambil mengangkat tabik hormat tegak ke arah Komander Alias.

"Sagitarius, duduk." Komander Alias mempersilakan anak buahnya dari Team Shadow 404 yang terakhir sampai ke situ duduk di tempat yang disediakan.

Aqeel mengangguk patuh. Tanpa berlengah, pantas dia melangkah ke kerusi kosong di belakang. Wajahnya serius, seiring dengan riak tegang 11 orang anggota komando pasukan khas elit yang terdiri daripada tentera darat, udara dan air serta polis yang berada di situ.

Di skrin hadapan, terpapar visual hospital yang ditawan. Manakala di skrin sisi, tertera siaran langsung yang disiarkan oleh kumpulan pengganas. Tiga tawanan dikawal ketat, dan mayat dua orang tawanan lagi dibiarkan berada di sisi tawanan-tawanan tersebut.

Beratus bahkan beribu-ribu komen daripada netizen membanjiri ruangan komen LIVE tersebut. Mata Kapt. Aqeel terpaku pada bait-bait desakan, makian dan tekanan yang dilemparkan kepada pasukan keselamatan negara. Nada-nada mereka bagaikan insan yang hilang arah, hanya tahu menghukum walaupun terdapat juga segelintir komen yang berbaur memahami kesulitan yang dihadapi oleh mereka.

"Mana askar negara ni? Tidur ke? Training bertahun kemain lagi tapi pengganas macam ni pun tak boleh settle."

"Buatlah sesuatu untuk sekat LIVE ni. Bodoh ke apa tentera kita? Polis mana polis? Ya Tuhan, tak sangka aku bayar cukai sia-sia aje kat kerajaan."

"Kalau setakat macam nilah anggota keselamatan negara kita, aku pun boleh. Baik bagi aku ajelah pakai uniform pastu tembak mampus pengganas-pengganas tu semua."

"Zaf..." Aqeel mengepal erat penumbuk, menahan gejolak emosi yang bila-bila saja akan meledak.

Fikirannya kembali ke lapan tahun yang lalu, iaitu ketika seteru merangkap sekutunya dalam pasukan komando tentera darat menyelamatkannya dalam OPS Helang di barat daya hutan tebal di wilayah timur. Ketika itu, dia dipilih dipilih untuk menjalankan misi penerjunan bagi mendapatkan maklumat lokasi markas musuh yang dikenal pasti berada di kawasan tersebut.

Tiga anggota Team Shadow 404 diturunkan malam itu untuk mencerap pergerakan musuh. Namun, nasib tidak menyebelahinya. Payung terjunnya gagal berfungsi meskipun sudah diperiksa berkali-kali sebelum menjalankan misi. Lebih malang, angin kencang tiba-tiba bertiup lalu menyebabkan dia melayang dan jatuh jauh dari lokasi pendaratan yang ditetapkan.

Syukur, nyawanya masih panjang. Payung terjunnya sempat tersangkut di dahan pokok sekali gus menyelamatkannya daripada hempasan maut ke tanah. Nasibnya juga baik kerana hanya sekadar mengalami luka ringan. Tiada tulang yang patah dan tiada sendi yang terseliuh. Namun, dia terputus hubungan dengan rakan-rakan seoperasi yang lain.

Sebagai seorang yang berjiwa panas dan tidak kenal erti mengalah, dia mengerah sepenuhnya segala ilmu survival hutan yang pernah dipelajarinya. Dengan hanya berbekalkan pisau taktikal dan kompas kecil, dia mula bergerak mencari bantuan. Dia tahu menyalakan api atau meninggalkan kesan asap hanya akan membuka ruang kepada untuk musuh mengesannya. Jadi, dia memilih cara kuno yang hanya difahami oleh komando sejati, iaitu penandaan dan peniruan bunyi.

Pada setiap jarak 300 meter, dia akan meninggalkan jejak dengan mengukir tanda anak panah di kulit pokok. Namun, bentuk ukirannya unik dan rumit serta sarat dengan maksud tersirat. Hanya anggota  yang pernah berlatih dalam modul Jungle Warfare yang direka khas untuk pasukan komando negara ini sahaja akan tahu cara membacanya. Selain itu, dia juga meniru bunyi burung tukang, iaitu satu spesies burung yang biasanya mengeluarkan dua siulan pendek dan satu siulan panjang. 

Bagi orang awam yang mendengar, siulan itu cuma bunyi burung. Tapi bagi pasukan komando yang faham isyarat akustik di hutan rimba, itu isyarat penting yang bermaksud "Aku masih hidup." Harapannya hanya satu iaitu semoga dua orang rakan seperjuangan yang turut melakukan terjunan pada malam itu dapat menangkap isyarat tersebut dan datang menyelamatkannya.

Dua hari dua malam dia bergerak meredah hutan tanpa bekalan makanan yang cukup. Bekalan makanan dan air di dalam begnya telah habis. Dia hanya bertahan dengan memakan buah-buahan hutan dan menghirup air dari batang pokok. Akhirnya pada hari ketiga, dia terjumpa sebatang sungai kecil. Dengan mengikut aliran anak sungai, akhirnya dia terjumpa satu kawasan lapang tetapi di situ, terdapat beberapa berek kecil. Beberapa orang askar sedang berjaga di situ.

Melihat itu, dia yakin dia telah sampai ke lokasi sebenar tugasannya. Di situlah tempat asal tugasnya sebagai unit peninjau dalam misi recon ini. Jadi, dia perlu bergerak dalam senyap. Di dalam hutan, bunyi sehelai daun pun boleh menjadi amaran maut. Tapi, dia tetap berusaha menyampaikan isyarat kepada pasukannya namun kali ini bukan untuk meminta agar diselamatkan bahkan maklumkan bahawa dia sudah tiba di kem musuh. 

Tapi malang, dia tersilap langkah kali ini.

Bunyi burung tukang yang dibuat olehnya tidak hanya difahami oleh rakan sepasukan sendiri bahkan pihak musuh turut memahaminya. Saat itu jugalah gerakan musuh bermula. Mereka mula menyisir kawasan hutan mencari sumber siulan. 

Dia yang sedang bergerak secara taktikal tiba-tiba terdengar desingan peluru memecah kesunyian. Sepantas kilat seketul kayu reput di sebelah kepalanya meletup dihentam peluru.

Musuh bertindak agresif. Bukan satu tetapi berbelas tembakan dilepaskan bertalu-talu ke arahnya. Dia segera meluru ke belakang, berlindung di sebalik batang pokok besar yang sempat dicapai untuk dijadikan perisai.

 Namun, ternyata musuh yang merupakan bekas tentera upahan yang pernah beroperasi di medan konflik luar negara itu juga cekap bertindak. Gerakan mereka pantas dan taktikal. Hampir saja kepalanya ditembusi peluru hidup jikalau tidak tiba-tiba satu tubuh melayang keluar dari semak lalu melepaskan beberapa tembakan rambang tepat ke arah musuh.

"Five down!" jerit lelaki itu. 

Leftenan Zafran al-Haq, call sign: Leo. Komando pasukan tentera darat, salah seorang anggota Team Shadow 404 sama sepertinya.

"Leo!" Satu lagi suara menyusul, diiringi tubuh kedua menerjah keluar dari semak. Lelaki itu menumbuk tepat ke batang tengkuk seorang musuh yang cuba menyasarkan Zafran dari arah belakang.

Mejar Hakim Mohamad, call sign: Taurus. Komando pasukan tentera udara, juga anggota Team Shadow 404.

"Sagi, cover aku!" Zafran bersiul panjang, isyarat kepada Aqeel supaya membantu memberi perlindungan kepadanya.

Namun, ada suatu kepelikan pada tindakan lelaki itu apabila Zafran dilihat menyusup masuk ke kem musuh, bukannya melepaskan tembakan seperti yang dilakukan oleh Taurus. Pergerakannya terlalu laju dan misteri, seolah-olah bayang-bayang yang bergerak pantas dalam kegelapan malam. 

Buat beberapa saat, Aqeel terpaku melihat tindakan berani rakan sepasukannya itu. Otaknya laju cuba menafsir maksud tindakan Zafran dan akhirnya, dia faham.

"Habislah satu kem tu..." Aqeel tertawa sinis sebelum turut membalas ganas serangan dengan penuh dendam kepada musuh yang cuba menjadikan kawasan tersebut sebagai teritori mereka di negara ini.

PS: Done. Bab kali ni lebih panjang daripada biasa. Awak rasa semakin best ke hambar? Lebih seminggu dah ni sy tak menulis. Huhu risauuu 💔 Btw selamat hari raya Aidilfitri semua. Maaf zahir dan batin.

5.4.25 | 11.59 malam.







Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro