Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 25

Separuh hari telah berlalu sejak hospital jatuh ke tangan pengganas. Pihak media semakin rancak membuat liputan dan turut tidak terkecuali, netizen yang lebih sudu daripada kuah sampaikan akhirnya, bibit-bibit selaran kepada pihak keselamatan negara mulai kedengaran.

"Setakat pengganas macam tu pun tak boleh settle, ada hati nak claim pasukan paling hebat?"

"Apa ni buat kerja lembab! Dahlah gaji rakyat yang bayar. Makan gaji buta ke apa?"

"Pasukan kita lemah! Hebat lagi pengganas tu."

"Kalau setakat tu aje skil, baik tak payah jadi tentera. Polis pun tak payah. Tak payah semua!"

"Kata hebat? Booo! Hebat tahi kucing. Sembang lebat makan tidur makan tidur lepas tu claim sibuk memanjang. Operasi konon? Poorah!"

Komander Alias mengetap bibir. Bahunya tegang, rahangnya mengeras. Kata-kata pedas daripada komen di video viral yang ditunjukkan oleh pegawainya tadi berulang dalam fikiran, menyemarakkan api kemarahan dalam dadanya. Buku limanya dikepal kemas. Kata nista dan tohmahan yang dilemparkan oleh masyarakat yang langsung tidak tahu hal ehwal sebenar dunia keselamatan negara sungguh membuatkan darahnya mendidih.

Kalau tak tahu, lebih baik diam. Tak payah nak berlagak pakar dalam segala benda. Selain dapat menutup kebodohan diri sendiri, dapat juga mengelak daripada terbuat dosa kering. Suka benar menuduh pasukan keselamatan hanya duduk berpeluk tubuh sedangkan mereka di sini bertaruh nyawa! 

Bip. Bip.

Isyarat radio kedengaran. Petugas yang mengawal sistem audio pantas menyambungkan panggilan tersebut ke pembesar suara. Terus semua mereka memfokuskan pendengaran kepada pembawa berita dari dalam hospital.

"Tuan, ini Badrul. Situasi buruk. Ariana dan seorang kanak-kanak lelaki telah ditawan. Zaf juga cedera dan dibawa ke bilik lain. Aku ulang, Zaf dan Ariana fall down. Over."

Mendengar berita itu, jantung Komander Alias seakan terhenti. Nafasnya tersekat di kerongkong. 

Leo... jatuh ke tangan musuh?

Sungguh perkhabaran itu juga bagaikan halilintar menyambar jantung seluruh mereka yang ada di dalam trak komunikasi tersebut. Keheningan tegang menyelubungi mereka. Kelu semuanya tatkala berita itu singgah di pendengaran, lebih-lebih lagi mereka yang mengenali Zafran. Rasa tidak percaya yang lelaki itu juga akhirnya jatuh ke tangan pihak musuh.

"Sial! Jahanam kau pengganas!" Taurus menyepak kerusi. Bunyi dentuman menggegarkan ruang sempit itu.

Leo yang dikenalinya sebagai hantu di medan perang, seorang yang licik dan mempunyai pelbagai taktik gerila untuk menewaskan musuh ternyata gagal jua dalam keadaan ini. Musnah satu-satunya orang harapannya. Sirna hasratnya untuk melihat Leo beraksi semula di medan tarung. 

"Mustahil..." Kapten Razak terduduk. Tangannya menggenggam lutut, renungannya kosong. Sebagai orang yang mengenali Leo, berita itu amat mengejutkan.

"Ya Allah... bala apa lagi kali ini?" Inspektor Hanif meraup muka. Tekanan yang dirasai semakin berat dengan tertangkapnya seorang Leo di dalam sana. Satu-satunya harapan pasukan mereka telah tumbang!

"Apa yang berlaku?" Sebagai seorang komander, Komander Alias berusaha untuk tidak goyah. Suaranya dibuat seperti sediakala malah lagi tegas.

"Seorang lelaki tembak Zaf dan seorang lagi knock down Ariana. Mereka langsung tak sempat mengelak. Tapi yang peliknya..." Suara Badrul terputus.

"Tapi apa?" Komander Alias tidak sabar.

"Zaf macam kenal lelaki yang tembak dia," beritahu Badrul.

Mendengar itu, terus muka Komander Alias berkerut. Zafran kenal orang yang menembaknya? Tatkala ini, semakin kuat sangkaannya bahawa motif penawanan hospital tersebut ada kaitan dengan Zafran. Adakah musuh lama Zafran ketika masih dalam pasukan komando kini datang untuk membalas dendam? 

Dia memang sedia tahu yang nyawa anak muda itu sentiasa diburu oleh mata-mata ghaib disebabkan setiap operasi yang disertainya selalu membuahkan hasil. Maka, ramailah orang yang tidak senang dengan lelaki itu. Tapi kalau ini tentang masa silam Zafran, kenapa serang hospital? Kenapa buat kacau sampai gempar satu negara? Sungguh dia buntu dengan motif sebenar penawanan hospital ini.

"Kau nampak ada apa-apa tak pada lelaki tu yang boleh kita deduct untuk buat pengecaman?" soal Komander Alias.

"Apa yang aku nampak dari ruang ventilasi ni, lelaki tu pakai rantai besi berukiran simbol zodiak Libra," jawab Badrul.

Komander Alias terkedu. Simbol Libra itu bukan sebarang ukiran. Ia tanda pengenalan khas yang hanya diperoleh oleh segelintir individu dalam dunia operasi khas. Ada 12 zodiak, ini bermakna hanya 12 orang sahaja daripada empat beradik komando mempunyai call sign seperti itu termasuklah Leo. Nampaknya, mungkin itulah penyebab utama kenapa Zafran boleh jatuh ke tangan musuh.

Lelaki itu masih belum mampu memaafkan dirinya sendiri atas kecuaiannya mendeteksi keabnormalan dalam operasi pada lima tahun lepas sehingga menyebabkan nyawa Ayyash, pemilik call sign Libra, juga manusia yang dianggap bagai abang kandungnya sendiri menjadi galang ganti. Tambah tragis, nyawa tiga orang rakan sepasukannya yang lain turut sama melayang.

Adakah... musuh yang sama kembali?

"Keparat." Komander Alias menggumam perlahan. Rahangnya mengeras.

'Siapa sebenarnya pengganas itu?' fikirnya.

Sebagai orang berpengalaman, dia semakin yakin dengan firasatnya yang menyatakan bahawa penawanan hospital ini ada kaitan dengan Menteri Pertahanan dan Zafran. Tapi atas alasan apa, dia gagal menebaknya. Apa yang dia tahu, kumpulan pengganas tersebut sangat licik dan mempunyai ketumbukan ketenteraan yang ampuh.

"Kau ada visual jumlah musuh?" tanya Komander Alias sambil mengusap dagu.

"Aku sekarang sedang ikut kumpulan yang bawa Ariana dan kanak-kanak tadi. Kat sini, ada enam orang yang berjaga. Zaf, maaf aku tak tahu keadaan dia. Tapi aku yakin dia selamat sebab tadi aku terdengar suara orang suruh rawat dia," jawab Badrul.

Mendengar jawapan itu, sekali lagi muka Komander Alias berkerut. Tembak, kemudian suruh rawat. Ini bukan SOP biasa pengganas. Kalau mereka mahu membunuh, mereka sudah lama buat. Tapi ini? Seolah-olah mereka mahu Zafran hidup. Apa yang pengganas-pengganas ini mahukan daripada lelaki itu sebenarnya? Sungguh otaknya tidak dapat menangkap maksud di sebalik tindakan tersebut.

Komander Alias diam seketika. Wajah anggota bawahannya dipandang  satu per satu dengan mata tajam menikam. Dia perlu cari jalan. Dia perlu berfikir lebih jauh cara untuk menyelamatkan tawanan.

"Kami akan perketatkan kepungan dan cari jalan masuk. Kau hati-hati dan pastikan jangan tertangkap. Over," arah Komander Alias kepada Badrul lalu memutuskan sementara talian.

Dia menekan skrin, menyorot titik merah satu per satu. Titik-titik itu mewakili lokasi pengganas yang berjaya dikesan melalui imbasan termal. Namun, ada ruang kosong yang masih menjadi blind spot. Itu satu masalah besar bagi mereka.

Saat ini, laju otaknya meneliti semula kemungkinan laluan masuk. Pintu utama dan semua akses darat semuanya mustahil. Hospital ditutup rapat. Jika mahu menggunakan terowong bawah tanah, juga tiada harapan kerana pihak mereka telah cuba tapi hampa. 

"Leo dan Ariana ditawan. Kita langsung tak boleh buat apa-apa?" Suaranya tiba-tiba meledak. Stres! Rasa kecewa kerana gagal bertindak membuatkan dadanya berasa ketat seketatnya.

"Kita ada pasukan lengkap, ada senjata, buat latihan bertahun-tahun sebagai persediaan untuk hari macam ni tapi sekarang? Kita hanya mampu duduk di sini, tengok orang kita kena tangkap satu demi satu!" Komander Alias menghempas tangan ke meja kawalan. Kecewa!

Tangannya mencengkam rambut. Rasa marah dan kecewa berselirat dalam dirinya. Sudah berapa tahun dia dalam pasukan khas,dan inilah antara operasi paling mencabar kerana mereka terpaksa bertindak dalam keadaan dikawal oleh musuh. Jiwanya sebagai perajurit tercabar!

Usai meledakkan rasa hati, Komander Alias menarik nafas dalam, cuba mengawal emosi. Kemudian, matanya kembali ke skrin. Akalnya tajam mengerah fikiran macam mana lagi mereka boleh tembus masuk ke dalam hospital disedari oleh musuh.

"Tak guna!" Dia menggumam perlahan, giginya diketap rapat.

Dia tahu, mereka perlu cari jalan masuk. Dan mereka perlu lakukannya sebelum keadaan menjadi lebih parah dan luar kawalan. Tapi macam mana, sungguh dia buntu. Dia bagaikan berada di hujung tembok tebal dan tinggi. Langsung tiada jalan untuk lepas keluar.

"Ya Allah..." Komander Alias meraup muka.

"Bravo, status pengimbas termal?" soalnya kepada pegawai teknikalnya.

"Kami dapat kesan 10 individu bersenjata. Ada tiga bilik yang kami syak digunakan untuk kumpulkan tahanan. Tapi... ada gangguan signal di bahagian utara hospital. Kemungkinan ada  jammer," jawab pegawai itu.

Alias menggenggam penumbuk. Semakin sukar untuk mereka menerobos masuk.

"Kita perlu cari jalan masuk alternatif. Kita dah tak boleh tunggu lama," katanya seraya menoleh kepada Inspektor Hanif.

"Disebabkan mereka tak buat apa-apa tuntutan pun sampai sekarang, itu bermaksud mereka tak berminat nak berunding.  Mungkin mereka ada agenda yang lebih besar. Jadi, kita akan buat rundingan palsu untuk alihkan perhatian mereka dan kumpul maklumat dalaman," kata Komander Alias.

Mendengar saranan itu, Inspektor Hanif mengangguk. Dia bersetuju dengan pelan sementara tersebut. Mereka akan buat rundingan seolah-olah mahu memberi laluan keluar selamat atau bekalan makanan, sambil-sambil cuba mencari kelemahan strategi musuh.

"Tapi bukan ke kalau kita menyusup masuk dan buat serangan kejutan lebih sesuai dalam situasi ni? Tapi ya, kita kena ada strategi yang minimumkan risiko kepada tawanan." Kapten Razak yang sedari tadi diam tiba-tiba bersuara.

Sangkalan itu membuatkan Komander Alias menarik nafas panjang. Kalau ikutkan memang itulah yang terbaik tapi dalam situasi ini, mereka tidak boleh bertindak terburu-buru. Silap sedikit, habis! Kerana itu dia mahu gunakan cara rundingan palsu sebagai taktik sementara sebelum pasukan mereka melancarkan serangan penyelamatan.

Dia kembali mengerling ke skrin yang memaparkan struktur hospital. Fikirannya kabut memikirkan setiap kemungkinan tapi hatinya yakin dengan pelan sementaranya tadi. Namun, belum sempat dia berkata apa-apa, tiba-tiba pegawai teknikal melaporkan berita terbaru.

"Komander! Ada pergerakan! Musuh mula bertindak!" 

Suasana dalam trak tiba-tiba semakin tegang. Komander Alias mengangkat kepala. Sinar matanya tajam meneliti skrin yang memaparkan situasi terkini yang diperoleh daripada dron berkuasa tinggi yang boleh menunjukkan visual dari jarak 500 meter. Nun di bumbung hospital, lima orang tebusan dikumpulkan sekelompok. Mereka adalah jururawat.

"Mereka nak buat apa sebenarnya ni?" Komander Alias berbisik, hampir kepada dirinya sendiri. Matanya tidak lepas daripada skrin, sedang jari jemarinya mengetap-ngetap meja kawalan.

"Komander, ada panggilan terus dari dalam hospital!" Pegawai teknikal memaklumkan lagi kepadanya dengan suara tegang.

"Siapa?" Pantas Komander Alias menoleh kepada pegawainya.

"Dia cakap dia... Libra," jawab pegawai itu seraya menelan air yang terasa kesat di kerongkong.

Komander Alias terdiam. Dadanya berombak. Siapa pula yang sesuka hati saja menggelarkan diri sendiri sebagai Libra? Libra sudah mati pada lima tahun lepas. Dia sendiri yang mengimamkan solat jenazah anak buahnya itu. Dia yang mengangkat jasad itu ke liang lahad dan menguburkan jenazah anak muda itu. Namun, dalam kesunyian yang mencengkam itu, tiba-tiba suara kasar tetapi penuh semangat dari talian berbunyi, "Sitrep, komander!"

Sebaik sahaja suara itu singgah di kokleanya, terus nyawanya terasa seakan hilang. 



Ps: Done! Terima kasih tau masih setia baca cerita ni walau saya lambat update. Lepas baik daripada tak sihat beberapa hari lepas, saya selalu jadi teramat letih tambah2 lagi kita kan sedang puasa. Ditambah dengan kerja hakiki yang kena hantar report setiap hari dan pengajian postgraduate ni, lagilah rasa tak larat nak paksa diri. Jadi saya minta maaf buatkan awak sekalian tertunggu-tunggu. Btw, enjoy your reading.



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro