BAB 24
Serangan Zafran begitu laju. Tanpa sempat si musuh berkelip mata, tahu-tahu dia muncul di depan lalu melepaskan tumbukan kencang ke rahang. Terus kepala lawannya tersentak ke belakang dan senjata di tangan yang belum sempat dihala ke arahnya juga terlepas dan terpelanting ke lantai.
Namun, si musuh juga bukan calang-calang lawan. Dengan pantas dia memusingkan tubuh dan cuba menendang perut Zafran. Tapi, nasib tidak menyebelahinya apabila Zafran lebih cepat mengelak malah dirinya pula terkena sepakan tajam daripada lelaki itu.
"Kan aku dah cakap yang bodohnya kau, bukannya aku." Zafran menarik senyuman sinis lalu kembali menyerang.
"Ariana!" Sempat dia melaung kepada Ariana, isyarat agar melepaskan segera kanak-kanak itu sementara dia mengalihkan perhatian musuh dengan membuat serangan.
"Leo!" Lelaki sasa itu cuba menghentam rahang Zafran yang sedikit teralih fokus ketika melaung.
Zafran mengelak ke tepi. Hampir saja rahangnya hancur jikalau tidak sempat mengelak. Keadaan itu membuatkan dia naik angin. Terus dengan dipacu rasa marah, dia memintas percubaan tumbukan kedua dengan menangkap, mengunci dan memulas tangan lelaki itu ke belakang.
Jeritan kesakitan bergema, namun Zafran tidak mengendahkannya malah menambah kesakitan itu dengan melepaskan sikuan tepat ke rusuk lawan. Terus lelaki sasa itu terhuyung-hayang dan hampir tersungkur. Nasib saja kuda-kudanya masih utuh dalam melawan singa di hadapan.
Serangan tersebut membuatkan pengganas itu tercabar. Sebagai orang yang dijanjikan bulan bintang oleh Reaper jika berjaya menumpaskan Leo, dia mesti membuktikan kebolehan dirinya. Lantas tanpa berputus asa, dia membalas serangan itu dengan membuat tendangan deras ke kepala Zafran.
Nasib baik menyebelahinya apabila walaupun Zafran berjaya mengelak, tendangan itu tetap menghentam keras bahagian bahu. Dia menyeringai puas melihat langkah lelaki itu mulai pincang dek efek tendangan tersebut.
"Sekarang, siapa lagi bodoh?" gelaknya seraya membuat isyarat tangan kepada Zafran agar meneruskan serangan.
Zafran menyambut ajakan itu dengan sengihan jahat. Kesakitan menjalar ke tangan, tetapi itu bukanlah masalah besar baginya. Pantas dia menyambut seruan itu dengan membuat berlari kencang dalam bentuk bulatan dan saat fokus musuhnya mulai goyah, dia merendahkan badan lalu menyapu kaki lawan dengan satu gerakan pantas. Pengganas itu jatuh terlentang.
"We'll see!" Pantas Zafran menekan lututnya ke dada musuh dan mengunci lengannya dengan cengkaman maut.
"Sial!" Si musuh meronta-ronta dengan wajah berkerut menahan sakit.
"Kau dah kalah!" sengih Zafran sambil semakin mengetatkan cengkaman.
"Aku tak kalah!" tempik si lawan lalu dengan menggunakan kaki, dia cuba melutut Zafran dari belakang.
Gerakannya begitu agresif dan pantas. Cubaan memboloskan diri daripada cengkaman Zafran bukan biasa-biasa. Lantas, dengan kekuatan terakhir, dia menyentap tangannya daripada cengkaman Zafran lalu melepaskan buku lima ke wajah lelaki itu.
Tumbukan tersebut tepat mengena tepi bibir Zafran. Saat lelaki itu terpinga-pinga akibat menerima tumbukan tidak terjangka, pantas dia menarik pisau dari sarung di pinggang lalu menghunusnya ke arah Zafran. Kelajuan hunusan pisaunya ke udara langsung tidak terjangkau di mata kasar dan mengakibatkan lelaki itu tidak sempat mengelak.
"Hahaha!" gelaknya sekuat hati tatkala melihat darah mulai mengalir keluar dari luka yang terdedah di lengan kiri Zafran.
"Hahaha!" Zafran menarik nafas dalam, cuba mengawal amarahnya. Waktu semakin suntuk dan dia tidak boleh berlengah lagi. Lantas, dia membalas gelakan itu dengan turut menghamburkan gelakan.
Sakit memang mencengkam tapi dia tidak boleh tunjuk lemah. Mata pisau pengganas itu merobek bahagian lengan baju sehingga menatijahkan luka bersaiz lima sentimeter terbentuk di lengan kirinya. Nasib baik dia sempat juga elak sedikit tadi. Kalau tidak, mungkin lengannya akan menerima luka lebih panjang dan dalam.
Gelakan itu membuatkan si musuh semakin sakit hati sampaikan kelibat perempuan yang cuba menyelamatkan kanak-kanak yang diikat di kerusi juga diabaikan. Targetnya sekarang adalah lelaki di hadapannya, bukannya orang lain. Dia tidak sanggup melepaskan imbuhan 1,000 USD yang ditawarkan jika berjaya memenggal kepala Leo!
"Ambil ni!" tempik si pengganas seraya melancarkan semula serangan dengan cuba menikam Zafran.
Kilauan bilah pisau menyambar ke arah perut lelaki itu. Tikaman itu hampir mengena tapi ternyata lawannya sangat licik. Tikaman tersebut hanya menghiris angin apabila Zafran terlebih dahulu mengelak dengan memusing tubuh.
Si pengganas tidak berputus asa. Dipacu oleh semangat membunuh yang berkobar-kobar, dia melibas ganas pisaunya ke dada Zafran. Asakannya begitu pantas sehingga membuatkan lelaki itu terdorong ke belakang dalam keadaan seperti pergerakan dikunci olehnya.
"Aku akan berjaya bunuh kau!" Dia menyeringai galak.
"Yakinnya kau," balas Zafran seraya pada libasan terakhir sebelum diasak ke dinding, dia membuat serangan balas.
"Kau yang akan mati dulu!" Pantas Zafran menepis pergelangan tangan lalu menukar arah tikaman sebelum memulas lengan lawannya dengan sekuat tenaga.
Jeritan bergema di dalam bilik itu. Pisau di dalam genggaman si musuh terlepas ke lantai. Terus dia menendang pisau itu jauh dari jangkauan bagi memastikan tiada ancaman berbahaya lagi boleh dilakukan oleh si musuh.
Tanpa memberi peluang kepada musuh untuk mengambil nafas, pantas dia menumbuk pula rusuk lelaki itu dengan tangan kanannya. Efeknya, si musuh terhumban ke belakang dengan nafas tercungap-cungap, terkapar-kapar ingin menggapai oksigen yang mulai enggan memasuki paru-parunya.
"Mana Ayden?" tanya Zafran seraya mencekak kolar uniform musuhnya.
"Tt... tak..." Nafas si musuh terputus-putus, namun masih kedengaran seperti enggan memberitahu di mana lokasi Ayden berada.
"Aku tanya elok-elok ni jahanam. Mana Ayden?" tanya Zafran lagi tapi kali ini, suaranya lebih keras.
"Ha... ha... ha..." Hanya gelakan perlahan menjadi jawapan kepada persoalannya. Pengganas itu ternyata enggan mendedahkan tempat mereka menyembunyikan Ayden.
Respons lelaki itu buat kesabaran Zafran runtuh. Tanpa berfikir panjang, pantas dia mengeluarkan pistol dari gun holster lalu menembak lutut kanan lelaki itu. Jeritan keras automatik memenuhi bilik sempit itu.
"Aku tanya sekali lagi." Zafran bangun lalu memijak luka tembakan itu dengan kasut but hitam militarinya. Darah serta merta membuak keluar membasahi lantai.
"Mana. Ayden?" Jeritan dan lolongan sakit si pengganas menjadi halwa telinganya saat dia memijak lagi keras ke tempat luka.
Pengganas itu menggigil, matanya terbeliak. Sakitnya dirasakan tidak tertanggung lagi. Azab tempat luka tembakan ditekan kuat membuatkan dia hampir hilang kesedaran. Tapi demi wang yang dijanjikan, dia tidak mahu menyerah kalah begitu sahaja. Dia takkan sesekali memecahkan pelan Reaper.
"Dah... terlambat. K... kau ta... takkan sempat..." Dia menghamburkan ketawa perlahan, sedang mukanya berkeringat menahan azab.
"Bangsat!" Kali ini, Zafran benar-benar hilang sabar. Terus dia mencabut pisau taktikal dari sarung di pinggangnya lalu dalam sekelip mata, bilah tajam itu meluncur dan...
Srppp!
Darah memercik ke mukanya. Mangsanya meraung melolong-lolong, sakit tidak terperi akibat tangan kanannya terputus daripada tubuh. Tidak dapat lagi dia menahan kesakitan menggila sampaikan kala ini, dia lebih rela nyawanya dicabut oleh malaikat pencabut nyawa.
"Ayden kat mana?" soal Zafran buat kali terakhir dengan nada penuh ancaman maut.
"B... bawah. Un... under... ground," jawab si musuh dengan suara terketar-ketar. Tapi, masih terbit senyuman sinis di hujung bibir walau mukanya semakin pucat akibat banyak kehilangan.
Mendengar jawapan itu, Zafran melepaskan keluhan kasar. Dia sudah fed up dengan lelaki itu. Agaknya si musuh ini sudah berikrar sumpah setia kepada organisasi bahawa mereka tidak akan sesekali mendedahkan sebarang rahsia kepada pihak luar. Peribahasa biar pecah di perut jangan pecah di mulut ternyata benar saat ini.
"Kau nak lepak underground? Nah, aku tunaikan." Zafran terus menghadiahkan sepakan kencang ke dada lelaki itu. Sepakan itu menatijahkan lawannya senyap terus dengan leher terkulai layu.
Masa kini berbaki dua minit.
Nampaknya, mereka mengambil masa terlalu lama di sini. Kini harapan untuk mencari Ayden setipis kulit bawang. Di mana mereka sembunyikan anak tunggal Ayyash itu? Ya Tuhan, sungguh dia berasa tertekan!
"Macam mana keadaan kat luar?" Zafran berpaling kepada Ariana yang sedang berjaga di muka pintu, dengan kanak-kanak tadi berada di sampingnya.
Luka di lengan kirinya terasa menyengat. Darah juga mengalir deras hingga menitik ke lantai. Tapi dia tiada masa untuk melayan kesakitannya. Sakit itu jika dilayan alamatnya semakin menjadi-jadi sakitnya. Jadi, dia tahan sahaja kesakitannya dengan ekspresi mukanya dibuat biasa sehabis baik.
"Setakat ni normal. Tapi..." Sorotan mata Ariana jatuh ke arah luka di lengan Zafran. Namun, dia diamkan sahaja kerana pada hematnya, lelaki itu masih boleh bertahan. Kecederaan itu tidak berapa parah.
"Tapi apa?" balas Zafran.
Pandangannya bertembung dengan Ariana. Tatkala itu, dia perasan sesuatu yang abnormal pada sinar mata perempuan itu. Anak mata perempuan itu bergerak-gerak tidak sekata, dengan bibirnya digerak perlahan seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu.
Saat itu, Zafran berasa ada sesuatu yang tidak kena. Jantungnya berdegup kencang seolah-olah otaknya dapat meneka apa sedang berlaku, tapi tubuhnya terlalu lambat untuk bertindak. Ada sesuatu yang berwarna hitam dihalakan ke belakang kepala Ariana.
"Surprise," kata satu suara lalu tanpa sempat Zafran bertindak...
Bang!
Bunyi tembakan memecah keheningan. Bau asap mesiu menerpa hidung. Pandangan Zafran kabur. Dia cuba bergerak tapi tubuhnya berat. Samar-samar di matanya bayangan seorang lelaki mendukung Ariana yang terkulai lemah dan kanak-kanak itu pergi dari situ. Dan lelaki itu adalah...
"Lib... ra?"
Dengan sisa kekuatan yang tinggal, Zafran cuba mengangkat tangan. Dia cuba mencapai Libra yang semakin menjauh. Hatinya menjerit, tapi suaranya tidak keluar. Matanya kabur, nafasnya semakin berat.
Perasaan kehilangan, dejavu, dan dikhianati silih berganti menghentam dada. Darah panas meresap ke bajunya, tapi kesakitan itu tenggelam dalam kekeliruan. Libra sepatutnya sudah mati lima tahun lepas… kan? Tapi sebelum sempat dia berfikir lebih, kesedarannya direnggut pergi.
Zafran rebah ke lantai.
Ps: Done! Semoga mimpi indah malam ni. 😬
Sabtu. 22.3.2025. 11.59 malam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro