BAB 20
Buat kesekian kalinya lagi hari ini kejutan menyapa atma. Zafran yang baru saja beransur pulih kini kembali dihenyak ganas oleh musuh yang tahu identitinya di sebalik topeng. Paparan perkataan "Leo" di skrin mengesahkan hal itu.
Challenge yang diberi juga membenarkan firasatnya sebelum ini bahawa perkataan Leo yang ditulis di badan mayat doktor yang dibawa keluar dari bangunan hospital adalah ancaman untuknya. Pengganas tahu dia ada di sini dan ini adalah perang psikologi untuknya.
'Jadi memang aku ke punca mereka targetkan hospital ni? Tapi kenapa?' tanyanya kepada diri sendiri.
Zafran cuba menarik nafas, tapi udara tersekat di kerongkong. Dadanya bagai diremuk hebat. Dia tersedak sedikit, sedang dirinya cuba mengawal tarikan nafas yang semakin pendek. Tangan dan seluruh tubuhnya masih menggigil dek efek serangan tadi. Otaknya juga terasa lambat mencerna situasi. Keadaannya tidak ubah seperti alat yang hampir kehabisan bateri.
"Zaf, hei! Kau okey tak ni?" Suara Ariana menyapa gegendang telinga.
Zafran mengangguk. Sedaya upaya dia cuba menstabilkan semula tubuhnya. Nafas ditarik panjang, ditahan dan dihembus perlahan. Dia perlu fokus kepada misi utama di depan mata. Jika dia gagal, nyawa puluhan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) bakal tergadai.
Sungguh dia takkan benarkan itu berlaku!
"Berapa minit lagi kita ada?" tanyanya seraya melihat countdown timer yang terpapar di skrin.
4 minit 10 saat.
Tak guna! Masa berdetik laju dan dia masih belum pulih sepenuhnya. Pengganas memang sengaja mengambil kesempatan ketika dia lemah. Ya Allah, sungguh dia terdesak. Apatah lagi ketika ini, dia berasa seperti diperhatikan. Dia yakin ada mata-mata yang memerhati, tetapi di mana? Pasti ada kamera tersembunyi atau perangkap lain tapi ketika ini, dia langsung tidak nampak sesuatu yang abnormal di sini.
"Apa aku perlu buat?" Ariana pula meramas kepala.
Senak otaknya berasa. Dia sudah berusaha sebaik mungkin dengan menekan setiap suis kecemasan di panel kawalan. Lampu-lampu berkedip, tapi tiada satu pun yang berfungsi. Seolah-olah control room itu hanyalah decoy. Mereka mungkin telah termasuk ke dalam perangkap pengganas!
Jujur dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi menghentikan rancangan pengganas itu. Hospital ini dikawal sepenuhnya dengan alat kawalan automatik jarak jauh. Sudahlah dia tidak tahu sangat pasal alatan elektronik. Apa saja dia boleh buat dalam keadaan ini?
Masa kini berbaki 3 minit 40 saat.
Zafran menggenggam tangannya erat, cuba menenangkan gegaran halus yang masih belum reda. Dia perlu berfikir dengan cepat. Perlu cari jalan. Tapi fikirannya semakin berkabut, terperangkap dalam jerat minda sendiri. Dia tidak dapat berfikir dengan baik!
"Zaf, lakukan sesuatu!" tekan Ariana.
Suara itu bagaikan renjatan elektrik. Terus kabus dalam kepalanya pecah dan beransur pergi. Tapi peningnya masih belum hilang. Terus dia memejam mata sesaat. Nafas ditarik dan dihembus perlahan. Dia perlu kuat untuk melawan perang ini!
Masa yang tinggal cuma tiga minit lagi. Tapi sayang, dia masih belum berjaya mengawal dirinya sendiri. Tekanan demi tekanan membuatkan jantungnya berdegup teramat kencang. Dada terasa begitu sempit dan hampir saja dia tersungkur sekali lagi. Nasib baik dia sempat berpegang di meja.
"Zaf, kau kan technician? Kau pasti tahu kan kut-kut kita boleh elak mereka matikan elektrik kat ICU?" desak Ariana.
Dia tahu tindakannya akan lebih mengucar-ngacirkan kondisi lelaki itu yang sedia berkecamuk hebat. Zaf masih belum pulih sepenuhnya. Tapi dia tiada pilihan. ICU tidak boleh kehilangan elektrik kerana kebanyakan pesakit bergantung kepada mesin ventilator dan peralatan perubatan elektronik lain untuk membantu memanjangkan hayat.
"Zaf, fokus! Kita kena selamatkan pesakit. Jangan biarkan mereka menang!" desak Ariana lagi.
Dua minit 30 saat. Suara Ariana berselang-seli masuk ke koklea. Zafran antara dengar dan tak dengar. Fokusnya berterabur. Apatah lagi bunyi countdown timer itu sama seperti timer bom yang didengarnya pada lima tahun lalu. Bunyi itu menyentak memorinya yang telah dikubur jauh ke relung masa.
"Leo!" jerkah Ariana sekuat hati.
Jerkahan itu pantas menyentak jantung Zafran hingga ke paras maksimum. Terus dia terkaku. Matanya terpaku pada imej Ariana yang melihatnya dengan pandangan penuh terdesak. Dan ternyata jerkahan itu berjaya membawa semula kesedarannya masuk ke fikiran.
Buat sekali lagi Zafran memejam mata seketika, sambil nafas pendek ditarik perlahan. Cukup untuk membuatkan dia berpijak di realiti dan sedar bahawa keadaan kini teramat bahaya. Dia tidak boleh tunjuk lemah kepada mata-mata yang memerhati. Ada sebab namanya Leo dan dia mesti terus kuat. Dia tidak boleh kalah!
Masa berbaki: Dua minit.
"Kita boleh akses tenaga backup," kata Zafran, akhirnya.
Suaranya masih sedikit bergetar. Dia benci keadaan ini tapi sekarang bukan masa untuk fikirkan tentang hal itu. Pantas dia bergerak ke pintu kecil yang terdapat di sudut dinding lalu membukanya. Kini, terpampang di matanya kotak suis utama dan fius dengan pelbagai jenis wayar yang bersambung dengannya.
Satu minit 30 saat.
Tangannya masih sedikit menggigil. Peluh membasahi pelipis. Nafasnya masih tersekat-sekat. Tapi dia perlu paksa diri. Pesakit di ICU bergantung harap kepadanya. Dia perlu lakukan sesuatu agar pesakit-pesakit itu dapat diselamatkan daripada kemelut ini.
Tanpa berfikir panjang, pantas Zafran menggenggam wayar kabel tanpa memakai sebarang alat perlindungan. Ada dua wayar berwarna di situ, merah dan biru. Cubaan menyambung wayar itu dengan tangan kosong memang berisiko menyebabkan terkena renjatan elektrik ringan tapi dia tiada pilihan.
Sekarang terbentang di hadapannya wayar merah yang bersambung ke sistem tenaga backup uninterruptible power supply (UPS). Wayar ini jika disambungkan dengan betul, tenaga elektrik dapat dihantar ke ICU. Tapi kalau tersilap sambung, letupan kecil bakal meletus akibat litar pintas atau voltan berlebihan.
Wayar biru pula bersambung ke sistem elektrik utama bangunan. Jika dia tersilap langkah, seluruh bangunan akan blackout kerana sistem ini mengawal arus elektrik utama. Jadi, mana satu pilihannya? Semuanya sangat berisiko bukan sahaja kepada pesakit bahkan dirinya sendiri.
"Fikir, Zaf." Zafran mengetap gigi.
Matanya fokus meneliti susunan kabel di panel utama. Sistem tenaga bangunan ini berasaskan sambungan selari. Ini bermakna jika dia menyambungkan wayar merah dengan betul, tenaga backup akan mengambil alih secara automatik sebelum bekalan utama diputuskan.
Masa berbaki: Tiga puluh saat.
Bukan masanya untuk berfikir lebih lagi. Keputusan jitu perlu dibuat. Risiko harus diambil. Dia tidak sanggup melihat kekacauan di ICU walaupun bekalan elektrik terputus buat sementara sebelum dia berjaya menyambungkan tenaga backup ke sana. Tidak dapat dia bayangkan betapa haru dan cemasnya ICU jika bekalan elektrik terputus. Nyawa pesakit paling kritikal yang betul-betul bergantung sepenuhnya pada mesin ventilator pasti seperti telur di hujung tanduk.
Pantas Zafran mencapai wayar merah. Tapi tangannya menggigil kuat. Jarinya hampir terlepas dari cengkaman wayar. Nafas tersekat-sekat. Jika tersilap, nyawanya mungkin melayang. Tapi dia cuba bertahan. Genggamannya kembali dikuatkan. Lalu dengan satu hembusan nafas, dia menyambungkan wayar itu ke terminal utama.
Sepuluh saat.
Jari-jemarinya pantas menekan suis pengaktifan, seiring dengan degupan jantungnya yang kian rancak. Lima... empat... tiga... dua... satu...
Skrin utama berkelip.
Akhirnya! Lampu di ICU tetap menyala. Mesin-mesin ventilator terus berfungsi seperti biasa. Tiada sebarang gangguan. Sistem tenaga sandaran berjaya diaktifkan lebih awal sebelum pihak pengganas memutuskan bekalan elektrik.
Misi berjaya. Dia berjaya hentikan ancaman itu buat sementara waktu.
Terus Zafran tersandar ke dinding. Bahunya naik turun dalam kepenatan. Darah mendesir deras. Seluruh badannya kuyup dengan peluh. Nafasnya laju. Degup jantungnya juga tetap kuat seperti baru lepas berlari di medan perang walaupun satu beban berat telah terlepas dari dadanya.
"ICU selamat." Suaranya lemah. Dia mengangkat tangan, cuba memberi isyarat okey kepada Ariana yang bergegas merapatinya apabila melihatnya lembik sebegitu rupa.
Dia Left. Zafran al-Haq. Call sign: Leo, si raja rimba. Seekor singa yang kuat di medan perang! Dia tidak boleh menunjukkan kelemahannya kepada siapa-siapa. Dia tidak boleh nampak lemah walaupun sekarang ini tubuhnya menidakkan kekuatan itu. Matanya berpinar-pinar, nafasnya tidak sekata dan dadanya terasa ketat. Dia kini berada dalam keadaan semi-collapse.
"Kau tak okey," pintas Ariana.
Dia Dr. Ariana Sofea. Seorang doktor. Dia kenal tanda-tanda yang dialami oleh lelaki di depannya itu sekarang. Andrenaline crash sedang menyerang rakus dan dia tidak boleh membiarkan lelaki itu berkeadaan seperti itu. Tindakan segera harus diambil!
"Zaf!" panggil Ariana. Kuat. Cukup untuk membuatkan lelaki itu membuka mata.
"Aku takkan matilah," bisik Zafran. Seulas senyuman lemah terukir di sebalik topeng mukanya.
"Better kau jangan mati. Aku tak larat nak gali kubur kau," balas Ariana.
Geram juga dia dengan seorang Zaf ini. Dalam keadaan begini pun boleh bergurau ke? Padahal orang bukan main lagi risau. Sumpah jiwa doktornya terus menjerit tatkala melihat lelaki itu tidak semena-mena pengsan. Sekarang, jadi tugasnya pula merawat lelaki itu.
Aduhai, Zaf. Janganlah pengsan lagi. Misi mereka belum selesailah!
"Sekarang, apa aku nak buat?" tanya Ariana kepada dirinya sendiri.
Laju otak Ariana mengingat rawatan sewajarnya untuk adrenaline crash, iaitu kondisi yang berlaku apabila badan tiba-tiba kehilangan hormon adrenaline selepas stres melampau. Dia perlu memberi rawatan segera sebelum keadaan lelaki itu bertambah teruk. Namun, pada saat itu, tiba-tiba seorang pengganas yang sedari tadi melihatnya dan Zaf tanpa berkata apa-apa terus mendekati mereka lalu berkata, "Perlukan bantuan?"
Saat itu, Ariana berasa darahnya mengering. Sekarang, otaknya mula memproses semua sekali segala yang berlaku di control room. Pada masa inilah baru dia sedar bahawa dalam kekalutan tadi, ada sesuatu yang dia terlepas pandang. Kenapa para pengganas di sini melihat saja kekalutan mereka tanpa ada seorang pun yang masuk campur? Dan... siapa sebenarnya Leo?
Ariana celaru.
Ps: Terima kasih masih setia baca cerita ni. Saya happy sangat2 bila kalian tekan ⭐ dan komen. Rasa macam penat lelah saya menulis dihargai. 🫂 Apa pun, sekali lagi terima kasih support saya. ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro