Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 19

Pandangan Reaper tumpah kepada skrin  yang memaparkan figura dua orang bawahannya di control room. Buat seketika, sengihan terukir di bibirnya sebelum perlahan-lahan, sengihan itu bertukar menjadi gelakan.

Kelakar! Tergeletek hatinya melihat salah seorang daripada mereka kelihatan seperti membeku, manakala yang seorang lagi pula nampak cemas. Berkali-kali memanggil sang kawan tapi tiada hasil. Si kawan seolah-olah kehilangan nyawa tatkala melihat isi di dalam kotak yang dipegang.

"Sumpah aku tak sangka kaulah tikus tu, Leo." Reaper menggeleng seraya ketawa keras.

Melengking ketawanya memenuhi atmosfera di bilik kawalan sementara yang baru dipasang olehnya tadi. Beberapa orang bawahannya yang turut berada di situ turut tertawa bersamanya, bangga kerana ternyata fikiran mereka lebih advance daripada tikus-tikus itu.

Tadi sebaik sahaja Reaper memaklumkan bahawa di hospital ini ada tikus, Dewi, pakar strategi mereka mencadangkan supaya tidak menggunakan control room sebagai pusat kawalan utama. Ada kemungkinan tikus itu akan bergerak ke control room untuk menghancurkan mereka.

Sebagai ketua yang berwibawa, dia setuju dengan saranan Dewi yang merupakan orang lama dalam organisasi Black Hawk. Baginya, tidak salah mengikut kata wanita selagi kata-kata itu tidak memudaratkan malah membawa keuntungan.

Tengoklah pasukan mereka sekarang! Berkat anjuran wanita itu, mereka dapat meminimumkan kehilangan ahli pasukan. Hanya satu persembilan daripada mereka yang tewas di tangan Leo dan kawannya.

Leo.

Nama itu sudah lama tidak meniti di bibirnya. Sejak insiden beberapa tahun lepas lagi. Sungguh dia tidak menyangka bahawa setelah beberapa tahun, dia akan berjumpa semula dengan rakannya dalam pasukan khas dahulu.

Sejujurnya, dia agak terkejut melihat Zafran muncul di hospital itu. Kenapa lelaki itu berada di situ tidaklah dia tahu tapi dia positif kehadirannya pasti berkait rapat dengan orang penting yang kini berada dalam tawanannya.

"Leo, Leo. Haha. Kau apa khabar sekarang? Lama betul tak jumpa. Tak sangka kita akan bertemu lagi tapi sayangnya, bukan sebagai teman," gumam Reaper seraya tertawa kecil.

Matanya tetap terpaku pada skrin. Zafran yang dikenalinya dahulu sebagai seorang yang sentiasa tenang ternyata sudah tidak setenang dulu. Benarlah, ternyata kehilangannya dahulu memberi impak maksimum kepada lelaki itu.

"Kau suka tak hadiah daripada aku, Leo?" gelak Reaper lagi.

Hadiah itu adalah cenderamata daripadanya sebagai tanda perjumpaan semula kawan sepasukan. Dia tiada hadiah lain yang boleh diberi, jadi benda di dalam kotak yang dipegang oleh Zafran itu sahaja benda yang boleh diberi dalam masa singkat.

"Aku yakin kau suka," gelaknya lagi.

Lagaknya kini bagai orang gila. Ketawa, ketawa dan ketawa sampai mengilai-ngilai dek geli hati dengan reaksi Zafran ketika ini. Wah, begitu sekali terkejutnya ya? Pasti sekejap lagi lelaki itu akan menggigil, menggeletar dan pengsan terus di situ.

"Reaper, kau memang genius!" Reaper memuji dirinya sendiri.

"Apa kita nak buat dengan mereka, bos?" tanya Grunt.

Sejak tadi dia memerhati dari jauh lagak Leo dan kawan perempuannya yang tidak diketahui nama. Segala pergerakan dua orang itu berada dalam radarnya. Baik secara fizikal atau monitor melalui CCTV, gerak-geri dua orang itu tidak terlepas daripada pandangannya.

Baginya, tidak susah pun untuk dia melihat tindakan dua orang itu walaupun tanpa CCTV yang terhubung di control room. Ini kerana pihak mereka sudah memasang siap-siap CCTV tersembunyi yang boleh diakses melalui rangkaian sendiri di bilik kawalan sementara.

Sejak sebulan sebelum menawan hospital ini lagi mereka telah membuat pelan strategik. Anggota mereka berpura-pura menjadi pesakit, tukang cuci, juruteknik, dan tukang kebun bagi melihat dengan lebih dekat selok belok bangunan hospital, memasang kamera rahsia, dan juga perangkap.

Pelan mereka cukup kukuh tanpa seorang pun sedar terdapat sesuatu yang abnormal di hospital itu. Kerana itu rancangan mereka boleh berjaya sebegini rupa dan target mereka turut berada dalam genggaman. Menteri Pertahanan negara ini telah selamat ditawan oleh mereka!

"Grunt, bagi hadiah lain pula kat dia. Aku nak tengok sejauh mana lagi dia boleh bertahan," arah Reaper seraya ketawa lagi.

Jelas di matanya kini Leo tersungkur di lantai. Kawannya nampak panik dan cuba memberi bantu mula. Sungguh keadaan itu membuatkan perasaannya teruja. Dia suka melihat lelaki itu sengsara dan sakit sebegitu rupa.

"Kau tak sepatutnya ambil hak aku dulu. Sekarang rasakan, Leo!" bisik Reaper dengan penuh dendam.

*****

Matanya masih terkunci pada lencana berbentuk zodiak Libra yang terkeluar dari dalam kotak sebaik sahaja dia rebah ke lantai. Saat ini, nafasnya semakin pendek dan tidak sekata. Tangannya menggigil. Seluruh tubuhnya terasa kebas.

Suara Ariana yang memanggil-manggil namanya seakan tenggelam, berganti dengan memori silamnya. Ingatan yang terlalu perit untuk diulang ingat sampai bila-bila.

Darah. Mayat. Lencana pegawai.

Sungguh dia adalah seorang yang gagal. Dia lewat mengesan bahaya tersembunyi dan dia juga tidak dapat menghalang Malik daripada meneruskan misi. Sungguh dia seorang tentera yang gagal menyelamatkan tawanan dan rakan sepasukan!

"Zaf, kau dengar aku tak?" Ariana yang melihat perubahan drastik Zafran sedaya upaya membawa lelaki itu kembali ke realiti.

Tanpa membuang masa, Ariana segera menggenggam bahu lelaki itu lalu menggoncangnya beberapa kali. Namun, mata Zafran masih kosong dengan deru nafasnya semakin laju sehingga hampir hyperventilate.

Melihat itu, Ariana tiada pilihan. Pantas dia menekan tapak tangan Zafran ke lantai sejuk bilik control room. Itu adalah teknik grounding untuk mengeluarkan Zafran daripada memori silam yang menyakitkan.

"Zaf, ini bukan masa dulu. Kau dengan aku sekarang. Sedar Zaf!" kata Ariana lagi.

Tiada respons. Zafran masih seperti tadi dan ini sangat tidak baik. Apatah lagi pengganas yang berada di sini mula melihat-lihat ke arah mereka. Mungkin pelik kenapa boleh collapse padahal semua yang orang dalam pasukan ini tiada masalah kesihatan.

Melihat itu, Ariana mengetap gigi. Dia perlu buat sesuatu agar lelaki itu dapat melawan panic attack yang menyerang. Zaf tidak boleh kalah dengan serangan psikologi itu!

Tanpa berfikir panjang, pantas dia mencapai lencana berukiran zodiak Libra yang terjatuh ke lantai dan menekannya ke tapak tangan Zafran. Kemudian, dengan tegas dia bersuara kepada lelaki itu.

"Zaf, ini hanya lencana. Yang kau pegang ni bukan masa lalu kau. Ini sekarang. Aku dengan kau di sini!" kata Ariana.

Jari Zafran sedikit bergerak. Ada respons. Namun, itu belum cukup untuk menyedarkan lelaki itu. Terus Ariana menekan lencana itu lebih kuat ke tangan Zafran.

"Zaf, aku tahu benda ni mungkin buatkan kau ingat balik benda yang menyakitkan. Tapi kau kena ingat satu benda..." Ariana berhenti seketika untuk mengambil nafas.

"Allah tak bebankan seseorang melebihi kemampuannya. Aku tak tahu apa masalah kau tapi aku tahu kau seorang yang kuat. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bangun, Zaf. Kau tak boleh collapse. Ada nyawa yang perlukan pertolongan kau sekarang ni," sambungnya pula dengan suara rendah tetapi tegas.

Kata-kata itu memberi kesan. Akhirnya, Zafran mula berkelip. Deru nafasnya yang tadi terputus-putus mulai perlahan. Sedikit demi sedikit, fikirannya kembali semula ke realiti.

"Zaf, aku tahu kau boleh lawan segala masalah kau," kata Ariana dengan disulami senyuman di sebalik topeng.

Setelah beberapa saat, Zafran menarik nafas dalam. Dia cuba bersuara namun suaranya tidak keluar. Seperti tersekat di kerongkong. Payah untuknya bersuara dalam keadaan lemah sebegini. Dayanya masih belum cukup kuat.

Ternyata PTSD berjaya menelannya tatkala melihat lencana Ayyash yang berada di dalam kotak. Lencana yang melambangkan persahabatan dalam perjuangan, juga seteru dalam mendapatkan ranking siapa paling hebat dalam badan ketenteraan.

"Ya Allah..." Zafran bangun daripada pembaringan.

Badannya masih berasa menggigil tapi tidaklah sekuat tadi. Terus Ariana yang berada di sisinya dipandang sekilas sebelum perlahan-lahan, pandangannya dialih kepada lencana yang masih kemas berada dalam genggamannya.

"Terima kasih," ucap Zafran, ikhlas.

Malu Ariana melihatnya berada dalam keadaan lemah sebegitu? Ya, malu jugalah kerana dia benci menunjukkan titik lemahnya kepada orang lebih-lebih lagi  perempuan.

Tapi saat ini, dia tidak melihat perempuan itu sebagai perempuan. Kerana itu malunya sedikit saja jika nak dibandingkan dengan malu kepada perempuan lain. Entah apa yang tidak kena dengan dirinya, dia pun tidak tahu. Apa yang dia tahu, Ariana ini memang lain daripada yang lain.

"Sama-sama. Kau dah okey kan? Jom gerak. Kita kena cari kunci tu sampai jumpa," balas Ariana.

Dia cuba membantu lelaki itu bangun tetapi bantuannya ditolak lembut. Namun, dia faham jantina mereka berlainan jadi mungkin lelaki itu mahu menjaga batas. Lagipun sepanjang kerjasama mereka berdua, dia perasan yang lelaki ini tidak pernah mengambil kesempatan atas kesempitan seperti yang dilakukan oleh rakan-rakan lelakinya yang lain.

"Okey," sahut Zafran.

Matanya diliarkan semula ke sekeliling. Misi mencari kunci masih belum menampakkan hasil. Namun, belum pun sempat dia mengorak langkah, tiba-tiba skrin besar di control room itu memaparkan video ruangan ICU dengan tulisan merah bertulis, "Bekalan elektrik ke ICU akan diputuskan dalam masa lima minit dari sekarang. Aku nantikan kejayaan kau hentikan aku, Leo."

Done: Maaf atas kelewatan. Hari ini saya teramat penat dengan kerja2 analisis data. Pening tengok nombor sampai tak larat dah nak perah otak sambung tulis Chapter 19. Huhu.




Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro