Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 18

Simbol kala jengking itu sama macam lukisan yang pernah dia lihat sebelum ini. Lukisan itu ada di dalam jurnal milik salah seorang pegawai tentera pasukan khas sama sepertinya. Tapi, pegawai itu sudah lama meninggal dunia. 

Zafran memejam mata sejenak. Sesuatu bergetar di dasar jiwanya, seolah-olah ada benang halus yang menghubungkan dia dengan pegawai yang telah kembali ke alam fana itu. Tapi ini bukan masanya untuk berteka-teki. 

'Kebetulan aje kut.' Dia menghela nafas, menolak rasa curiga jauh-jauh. 

Fokus kepada misi di hadapan ditajamkan. Pantas dia beriringan dengan Ariana menuju ke arah pintu control room yang terbentang di depan mata. Dua orang pengawal bersenjata yang melihat mereka menuju ke situ terus berada dalam mod siaga. Itu adalah prosedur tugas yang biasa dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Siapa kau?" sekat pengawal pertama. Pengawal kedua pula mengacukan senjata kepada mereka.

"Aku dari team IT. Kami disuruh troubleshoot sistem," jawab Ariana dengan tenang seraya menunjuk item pengenalan mereka, iaitu sekeping medal perak berukiran wajah Medusa, iaitu makhluk mitologi dari legenda Yunani kuno.

Baru tadi dia menyedari bahawa medal itu sebenarnya item pengenalan pengganas setelah berlawan dengan beberapa orang sebelum ini dan melihat persamaan yang ada. Jadi tadi sebelum datang ke sini, dia merampas medal itu daripada penjahat yang tewas disepak oleh Zafran.

"Arahan siapa?" Pengganas pertama mengerutkan wajah. Setahunya, tidak ada seorang pun orang atasannya memberitahu bahawa ada sistem yang perlu dibuat troubleshoot di control room.

Ariana menjeling Zafran di sisi sebelum kembali menatap pengawal itu. Dia menghela nafas, seolah-olah kesal kerana perlu membazirkan masa dengan berdebat tentang perkara yang tidak patut ditanya.

"Banyak tanya pula kau ni. Kau nak aku bagi tahu Grunt ke? Ke dah ready nak mampus?" Ariana berpura-pura marah. Suaranya dinaikkan sedikit.

Dua pengawal bersenjata di hadapan pintu saling berpandangan. Mereka tahu jika arahan itu datangnya daripada Grunt, itu bermakna tugas yang diberi amat penting. Mereka tidak mahu nyawa melayang di tangan lelaki itu, jadi terpaksalah mereka membenarkan dua orang itu masuk ke dalam.

"Tapi..." Pengganas pertama masih teragak-agak.

Melihat itu, Ariana cuba bersabar. Saat ini, ringan kakinya ingin menerajang kedua-dua orang itu jika tidak mengenangkan rancangannya dengan Zaf tadi. Kata Zaf, dia sudah penat berlawan jadi apa kata kali ini mereka tenang-tenang saja menghadapi musuh? Lawan secara fizikal sudah, kali ini lawanlah pula melalui teknik psikologi.

"Kau nak aku report kat Grunt atau nak selamat?" Ariana mendekat, hanya beberapa inci dari wajah pengganas itu. Kemudian, pantas dia menjauh lalu melancarkan lagi ugutan psikologinya.

"Tak nak bagi masuk? Okey, tak apa." Dia menyilangkan tangan di dada, ekspresinya yakin.

"Kambing, panggil Grunt. Biar dia settle sendiri dengan dua ekor ni," arah Ariana dengan  angkuh.

'Kambing minah ni panggil aku?' Ternganga Zafran tatkala mendengar Ariana memanggilnya kambing. 

Melampau gila! Mentang-mentang tadi dia tersasul menyebut "Sebab tu ke kita semua kena bau macam kambing" di depan Lizard, bukan main perempuan ini mengenakannya. Amboi, berani mengambil kesempatan nampak! Tapi Zafran tetap mengeluarkan walkie-talkie yang dirampas daripada pengganas tadi lalu berura-ura mahu menghubungi Grunt.

Walkie-talkie itu mempunyai talian khas untuk berhubung sesama pengganas. Dengan merampas alat itu, ia memberi kelebihan kepada mereka untuk mengetahui serba sedikit perancangan musuh. Dengan itu, dapatlah mereka membuat rancangan awal sekali gus mengelak daripada tertangkap. Jadi, dalam keadaan itu, dia menghidupkan seketika walkie-talkie tersebut bagi menimbulkan efek ingin memberitahu Grunt mengenai hal di sini. 

"Okey, masuklah." Dengan penuh rasa terpaksa, akhirnya pengawal pertama membenarkan mereka berdua masuk ke dalam control room.

Melihat pintu terbuka luas, Ariana dan Zafran saling berbalas senyuman dari sebalik topeng. Misi masuk ke sini selesai tanpa perlu membazirkan banyak tenaga. Lantas, tanpa membuang masa, pantas mereka melangkah masuk ke dalam dan pintu kembali ditutup oleh pengawal tadi.

Keadaan di dalam control room itu sunyi. Hanya bunyi ketukan jari pada papan kekunci sesekali memecah keheningan, diselangi batuk halus. Tiga pengganas tekun menghadap skrin, manakala dua lagi berjaga di muka pintu. Pada skrin besar dan kecil, paparan CCTV memenuhi ruang penglihatan mereka.

"Kau pandai IT?" bisik Zafran. Matanya meliar ke sekeliling bagi menganalisis keadaan.

"Mestilah pandai. Kau nak rasa Insane Trasher aku?" balas Ariana sambil mengusap penumbuk.

"Ceh," cebik Zafran. 

IT atau Insane Trasher, maksudnya menghancurkan lawan dengan kegilaan. Ariana memang gila dan dia sedia maklum akan kegilaan perempuan itu. Alahai, doktor! Orang maksudkan IT yang teknologi itulah, bukannya tumbuk terajang sampai KO orang.

"Tepi. Aku nak troubleshoot sistem." Ariana segera menyuruh pengganas yang tersengguk-sengguk di depan skrin beralih ke tepi. Namun, dalam pada itu, sempat dia mencucuk paha lelaki itu dengan ubat pelali dengan tindakannya dibuat sepantas mungkin.

Saat menyedari sesuatu menusuk pahanya, lelaki itu mengerutkan dahi. Mulutnya terbuka ingin bersuara tapi tidak sempat. Badannya longlai, terus terhumban ke meja dengan bunyi jatuhan perlahan. 

"Kambing, bawa mamat ni ke tepi. Ish kau nilah. Kalau nak tidur tu pergilah ke sana, bukannya lakar peta kat sini," bebel Ariana seraya menyuruh Zafran membawa pengganas itu ke tepi.

Mendengar Ariana memanggilnya "kambing", sekali lagi Zafran berasa geram kuasa 10. Sesuka hati saja minah itu melabel orang. Tunggulah keadaan reda dan semua selamat, pasti dia akan membalasnya dengan memberi nama panggilan lagi teruk daripada ini. Siap sedia sajalah, doktor cabuk!

Suruhan perempuan itu dilakukan jua tanpa banyak soal. Bukan masanya lagi untuk berbalas mulut. Apatah lagi, dia perasan yang mata-mata lain memandang mereka dengan pandangan curiga. Pasti pengganas-pengganas itu pelik kenapa mereka berdua datang ke situ.

"Aku nak troubleshoot sistem ni. Kejap lagi pasti kita dapat tengok apa pihak polis kat luar tu tengah buat," kata Ariana dengan kuat sambil tangannya pantas mencucuk pemacu USB ke komputer.

Troubleshoot? Hmm... janganlah percaya. Manalah dia reti sangat bab-bab teknologi. Ini kalau bukan sebab Badrul yang ajar dia cara memasukkan virus ke dalam sistem, sampai ke sudah dia tidak pandai cara untuk berlawan dengan musuh melalui skil teknologi. 

"Siap," kata Ariana sambil menyanyi kecil. 

Lapang hatinya tatkala melihat virus perlahan-lahan menjangkiti sistem komputer hospital tanpa disedari oleh siapa-siapa. Sekejap lagi, pasti virus ciptaan Badrul akan merebak ke keseluruhan sistem seterusnya membuatkan operasi teknologi hospital itu lumpuh sementara. Selagi Badrul tidak mematikan virus tersebut, selagi itulah hospital ini tidak dapat beroperasi.

'Kau tak boleh mati, Badrul. Kalau kau mati, dengan hospital ni sekali mati,' bisik hatinya pula.

"Dah settle?" bisik Zafran. 

"Jamin beres." Ariana menjawab dengan mengangkat ibu jari.

"Good." Sekarang, tugas Zafran pula bermula.

Di sini, di control room ini, tujuan utama mereka bukanlah untuk mencari gaduh dengan siapa-siapa. Mereka masuk ke sini untuk mencari kunci khas bagi membuka pintu jalan perhubungan kecemasan rahsia yang dikatakan disimpan di control room. Jika pintu itu dapat dibuka, bolehlah pasukan khas menyusup masuk tanpa disedari. 

Idea asal pembinaan pintu itu adalah buah fikiran arwah Ayyash. Saat semua pintu hospital direka dengan kunci kawalan automatik, pintu kecemasan rahsia ini sebaliknya. Kata arwah, kadang-kadang kita kena berfikir ke belakang. Kita perlu terima teknologi terkini yang serba canggih tetapi janganlah tinggalkan kesemua yang manual. Mungkin yang manual itulah akan membantu pada saat kecemasan. Dan ternyata kata-kata Ayyash terbukti ketika ini.

'Tapi kat mana Ayyash simpan benda tu?' Zafran menggaru kepalanya yang tidak gatal. 

Matanya liar memerhati sekeliling. Jenuh nak cari di tempat begini. Bilik ini penuh dengan segala wayar dan perkakas elekronik. Nak cari kunci itu ibarat mencari jarum dalam timbunan jerami padi. Aduh, kemain susah. Yang lebih mencabar, dia tidak boleh kelihatan seperti sedang mencari sesuatu. Setiap pergerakannya mesti nampak natural, seolah-olah dia sekadar menunggu masa berlalu. Jika ada pengganas yang mengesyaki niatnya, habis!

Akhirnya setelah beberapa ketika, matanya menangkap keberadaan satu kotak kecil berwarna hitam di dalam laci. Dia kenal kotak itu. Di dalam kotak itulah kunci pintu kecemasan yang dicarinya disimpan. Tanpa membuang masa, pantas dia mengambil lalu membuka kotak itu. Namun, sebaik sahaja kotak itu dibuka, bulu romanya meremang. Jantungnya serta-merta berentak tidak sekata. Urat darahnya dirasakan membeku.

"Tak ada pun kunci," komen Ariana dari sisi. 

Dia yang turut menjengulkan kepala bagi melihat isi kotak terus mengerutkan muka. Lantas, pandangannya beralih ke wajah Zafran. Namun, pada saat itu, kepelikan melanda dirinya. Kenapa dia melihat lelaki itu bagaikan membeku? 

"Zaf," panggil Ariana. 

Dipanggilnya lagi dengan suara perlahan apabila lelaki itu kekal tidak menyahut panggilannya. Deru nafas lelaki itu tidak sekata, suaranya seperti tersekat di kerongkong. Seolah-olah, sesuatu yang lain yang berada di dalam kotak itu bukan seperti yang dia jangkakan.

"Kau kenapa, Zaf? Hei!" panggil Ariana lagi tapi kali ini, nadanya terkandung cemas.


Ps: Done.  Maaf lambat. Hari ini saya terlajak busy dengan kerja. Kerja non-stop tanpa rehat sejak awal pagi masuk ofis. Jadi pukul 6.40 petang tadi baru sempat mengarang Bab 18. Maaf sekali lagi dan semoga enjoy dengan cerita ini.





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro