Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 17

"Saya tak faham. Kalau itu mesej daripada Leo, apa maksudnya? Dan kalau ini kerja pengganas, juga apa maksudnya?" tanya Inspektor Hanif. Matanya tajam memerhati skrin yang menunjukkan imej mayat yang ditulis LEO di dadanya.

Soalan itu bagaikan angin lalu. Tiada siapa yang boleh menjawab soalan itu dengan pasti. Masing-masing cuba menafsir makna di sebalik mesej itu, tetapi tiada siapa dapat memberikan jawapan yang pasti. Ia adalah satu misteri yang sukar dipecahkan klunya. Apa yang pastu, sekarang ini mereka benar-benar tersepit. Namun, dalam kesempitan itu, tiba-tiba unit pengintipan kembali menghubungi mereka.

"Bravo 2 di sini. Tuan, pengganas mula bergerak masuk semula ke dalam hospital. Mereka tinggalkan mayat di luar perkarangan hospital. Over."

Komander Alias mengerutkan dahi. Itu bermakna mayat itu bukan untuk dibawa pergi, tetapi sengaja ditinggalkan sebagai mesej. Pasti itu mesej untuk pasukan mereka yang sedang mengepung di luar. Tapi tetap saja misteri perkataan "LEO" masih belum dapat dirungkai.

"Saya rasa, tulisan tu bukan Leo yang tulis. Saya kenal dia. Dia takkan tinggalkan mesej begitu. Lagipun call sign tu..." Taurus yang sedari tadi diam akhirnya bersuara.

Mana mungkin Zafran mahu menggunakan lagi call sign itu. Leo bukan lagi sekadar nama, ia adalah luka. Sebuah memori pahit yang enggan diingat oleh empunya badan. Zafran hanya mahu dirinya dipanggil "Zaf". Kini dan pada depan, selama-lamanya "Zaf".

"Jadi, sah ini kerja pengganas. Mungkin untuk lemahkan semangat kita," balas Kapten Razak.

"LEO. Boleh jadi ini akronim bagi sesuatu," sahut Taurus. Dahinya berkerut.

"Leave Everyone Outside, Lethal Execution Order, Let Everyone Observe," kata Taurus seraya mengusap dagu.

Leave Everyone Outside, amaran kepada pihak keselamatan supaya tidak masuk ke hospital atau lebih banyak tawanan akan dibunuh. Lethal Execution Order, pembunuhan tawanan adalah perintah rasmi daripada pemimpin pengganas. Let Everyone Observe, amaran kepada pihak keselamatan dan media bahawa tindakan mereka sedang diperhatikan.

"Mungkin juga." Inspektor Hanif mengetap bibir.

"Yang penting, aku harap pengganas tu tak dapat tawan Leo," katanya pula.

Mendengar asumsi-asumsi tersebut, Komander Alias menarik nafas panjang. Ada betul dan ada tidak kata-kata itu sebenarnya. Terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana pihak pengganas belum membuat apa-apa tuntutan rasmi walaupun beberapa jam telah berlalu sejak hospital mula ditawan. Dan saat ini, dia juga berharap agar Zafran masih selamat di dalam sana.

"Kita tak boleh bertindak tanpa kepastian. Hantar pasukan untuk periksa mayat itu. Pastikan tiada perangkap," putus Komander Alias.

Sekali lagi, dia menghela nafas berat. Terasa beban di pundaknya begitu menggunung. Namun, belum pun sempat dia melepaskan helaan nafas, tiba-tiba seorang anggota bersuara cemas.

"Tuan, ada panggilan baru. Sumbernya dari dalam hospital!" lapor tentera itu.

Mendengar itu, pantas semua mereka memandang ke skrin yang memaparkan gelombang frekuensi. Beberapa saat kemudian, kedengaran suara yang tidak asing lagi pada pendengaran mereka. Suara itu serak dan sedikit bergetar tetapi masih tenang seperti biasa.

"Ini Zaf. Aku ulang, ini Zaf. Jika kau semua dengar mesej ni, jangan masuk. Aku ulang, jangan masuk. Ada perangkap. Aku akan selesaikan dari dalam. Ttt...!" Talian terputus.

Mata semua orang membulat. Komander Alias mengepal tangan. Taurus mendengus perlahan. Inspektor Hanif dan Kapten Razak saling berpandangan. Satu kesimpulan jelas telah diperoleh. Zafran sudah pun memulakan strateginya sendiri.

***

"Terputus pula." Zafran saling berpandangan dengan Ariana. Nampaknya, bukan mudah untuk mereka cuba berhubung dengan pihak luar.

Tadi, mereka mendapat perkhabaran daripada Badrul yang dia baru sahaja berhubung dengan pasukan khas di luar hospital dengan menggunakan walkie-talkie yang disambungkan dengan earphone. Kerana itu apabila sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan dan kemudian, melihat dua mayat doktor diusung keluar dari hospital, mereka cuba menghubungi sendiri pihak di luar.

Mereka khuatir ini adalah perangkap. Perkataan "LEO" yang ditulis dengan menggunakan darah di badan salah salah seorang mayat mangsa membuatkan Zafran berasa terdesak. Apa motif sebenar pengganas menulis perkataan itu? 

LEO. Adakah ia akronim bagi sesuatu? Boleh jadi. Banyak sebenarnya. Lured, Ensnared, Outnumbered yang menunjukkan perangkap telah dipasang dan pasukan penyelamat akan berdepan ancaman lebih besar jika mereka cuba masuk. Mungkin juga LEO itu maksudnya Loss of Every Option, iaitu mesej psikologi bahawa semua pilihan penyelamatan telah tertutup dan mereka sedang mengawal keadaan sepenuhnya. Namun harapnya, ia bukan Lion Eliminated Operation.

Lion Eliminated Operation, atau maksudnya operasi membunuh singa mempunyai dua maksud di sini. Pertama, pengganas sedang memburu target mereka yang masih bebas. Target itulah mungkin tujuan sebenar mereka menawan hospital ini. Kedua, mereka benar-benar memaksudkan ingin membunuh dia, si call sign Leo. Jika benar, maknanya dia adalah penyebab utama pembunuhan besar-besaran ini. Pengganas tahu identitinya dan ini adalah ancaman peribadi tetapi dilepaskan kepada orang awam yang tidak bersalah.

"Jadi, apa tindakan kita seterusnya?" tanya Ariana sekali gus memaksa Zafran berfikir lebih ligat.

"Tadi aku dah bagi warning kat mereka. Harapnya mereka ikut. Kita pula teruskan dengan pelan asal ke control room," jawab Zafran sambil mengemaskan uniform yang dipakainya. Sempat tangannya membelek senapang di tangan dan memastikan senjata itu berada dalam keadaan baik dan bekalan peluru juga mencukupi. 

Tanpa membuang masa, mereka berdua meneruskan langkah ke control room. Tujuan jitu mereka adalah untuk menghubungkan talian komunikasi hospital dengan pihak luar seterusnya mendapatkan kunci ke private control room bagi membuka laluan kecemasan rahsia kepada pihak pasukan khas.

Zafran melangkah pantas dan Ariana di sisinya juga berentak sama dengannya. Ketika ini, mereka sudah menghampiri koridor yang menghala ke control room. Namun, seperti yang dijangka, ada satu masalah besar iaitu dua pengganas sedang berkawal di hadapan pintu.

"Tunggu," bisik Zafran.

Terus langkah mereka dihentikan. Zafran, tajam matanya menganalisis keadaan keadaan. Ariana pula berpura-pura membetulkan senjata di bahu sambil menoleh ke arah dua pengganas yang masing-masing kelihatan sibuk menguruskan sesuatu.

Salah seorang daripada sedang bercakap melalui walkie-talkie dengan nada tegang. Seorang lagi pula sedang berdiri tegak tanpa bergerak walau seinci. Tubuhnya diam bagai patung cendana.

"Jadi...?" Ariana memandang Zafran.

Zafran mengangguk. Tiada orang lain di sini dan baginya, mudah saja untuk menumpaskan dua orang musuh itu. Dia boleh tumbangkan mereka dengan senyap tanpa disedari. Tapi tindakan itu akan dilaksanakan jika perlu sahaja.

Buat masa sekarang, dia tidak tahu berapa orang pengganas ada di dalam control room. Tapi itu tidak mengapa. Dia ada rancangan lain untuk mengucar-ngacirkan formasi musuh. Namun, belum pun sempat mereka mengorak langkah, tiba-tiba hasrat itu terpaksa dibatalkan.

"Hei, kau berdua!" laung seorang musuh sekali gus menyekat pergerakan mereka.

'Tak guna!' Zafran menyumpah dalam hati. Ada-ada saja halangannya!

"Kau dari unit mana?" tanya pengganas itu sambil menuding tangan ke arah mereka berdua.

Mendengar soalan itu, pantas Zafran berfikir. Nak jawab apa ya? Rasa beku pula kepala otaknya dek terlalu banyak berfikir tadi. Sejak dari awal dia terpaksa berfikir keras untuk menyelamatkan tawanan dan diri sendiri, yang kini bertambah pula dengan tanggungjawabnya kepada Ariana selaku partner.

"Unit Gamma." Tiba-tiba, Ariana menjawab tanpa ragu.

Sebaik sahaja jawapan itu meniti di bibir di Ariana, terus Zafran mengangguk kecil mengiakan jawapan tersebut. Memang nama unit itu wujud dalam unit-unit kumpulan pengganas ini. Dalam pada itu, matanya melirik kepada gerangan musuh di hadapan yang berpakaian sama sepertinya. Apa yang membezakan mereka cumalah topeng muka musuh berwarna biru.

Saat itu, matanya kemas memerhati lenggok tubuh musuh. Lelaki itu nampak seperti biasa-biasa saja tatkala bertanya tapi awas, tangannya diam-diam menghalakan muncung senapang ke arah Ariana.

"Unit Gamma? Mustahil! Kau penya..."

Tanpa sempat di pengganas menghabiskan ayat, dalam sekelip mata Zafran terlebih dahulu meluru ke hadapan dan menghentam tepat tenggoroknya dengan tujahan buku lima. Hentaman itu menatijahkan  pengganas tidak mampu bersuara dan terus rebah. Namun, sempat Zafran menyambut badannya daripada terhempas ke lantai sekali gus mengelak daripada menghasilkan bunyi yang kuat.

"Sorry geng, aku lagi cekap daripada kau." Zafran menghadiahkan dua sepakan tajam tepat ke tibia (tulang kering) pengganas yang terbaring di lantai dalam keadaan betis sedikit terangkat.

Bunyi "krak! krak!" menjadi halwa telinganya. Hentakan but tentera ditambah pula dengan kekuatan tendangannya menatijahkan tulang betis si lawan patah total kedua-duanya. Perfect!

"Selamat bermimpi empat hari." Ariana pula menikam paha pengganas itu picagari yang berisi ubat tidur.

"Seram gila aku dengan kau ni. Macam doktor psiko," komen Zafran kepada Ariana. Sambil menggeleng, pantas dia menyeret tubuh pengganas itu ke satu sudut gelap.

"Aku pun seram juga dengan kau. Brutal nak mampus," balas Ariana seraya membuat muka berkerut dua tiga empat kali.

Sejenak kedua-duanya diam. Satu detik, dua detik, terletus ketawa perlahan dari mulut masing-masing. Cik doktor psiko dan abang technician brutal? Wow, satu kombinasi yang unik!

"Jom," ajak Zafran.

Ariana menurut. Terus kedua-duanya melangkah dengan tenang ke control room. Mereka tidak mahu membuat sebarang keributan dengan pengawal berdua itu selagi mana penyamaran tidak terbongkar. Namun, saat itu, tiba-tiba Zafran ternampak sesuatu di dinding. 

'Simbol tu...' Denyut jantungnya terhenti. Dia kenal simbol kala jengking itu!

PS: Jujurnya, awak rasa cerita ni semakin best atau hambar? Ghisauuu... 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro