
BAB 16
"Leo?" Serentak Inspektor Hanif dan Kapten Razak memandang Komander Alias.
Leo. Nama itu sudah lama tidak meniti di bibir para anggota keselamatan negara empat beradik. Sejak kejadian lima tahun lepas, Leo sendiri mengharamkan call sign itu disebut. Baginya, nama itu hanya akan mendatangkan semula memori perit. Jadi, demi menghormati si perancang taktikal genius legenda tersebut, nama itu tidak lagi disebut-sebut hingga ke hari ini.
"Left. Zafran al-Haq, call sign Leo. Komando tentera darat terbaik pernah kita ada. Yang tugas terakhirnya dihantar masuk ke pasukan Team Shadow 404 bersama empat lagi komando tentera darat, udara, laut dan polis untuk memerangi pengganas di perairan negara," jelas Komander Alias dengan nada rendah tetapi tajam.
Fikirannya melayang kepada dua anak muda; Left. Zafran al-Haq dan Kapten Ayyash Zubair. Dua aset berharga unit antikeganasan. Kehilangan selama-lamanya Ayyash memberi kesan mendalam buatnya dan seluruh ahli pasukan. Namun, dia juga menghormati keputusan Zafran untuk keluar dari pasukan atas dasar kesihatan.
Post-traumatic Stress Disorder (PTSD).
Bukan mudah untuk anak muda itu pulih daripada trauma beratnya. Setahun, dua tahun, dan sehinggalah sekarang pun mungkin belum sembuh sepenuhnya walaupun luarannya nampak normal. Tapi, dia bersyukur kerana Zafran tidaklah sepenuhnya keluar dari bidang keselamatan.
Anak muda itu kini bekerja sebagai pengiring rapat bersenjata para VVIP yang terdiri daripada menteri dan orang kenamaan. Oleh kerana kepintarannya dalam merangka strategi pertahanan negara, selalu juga dia dijemput sebagai penasihat anggota tertinggi pihak pertahanan termasuklah Menteri Pertahanan sendiri.
"Tuan rasa berapa peratus peluang kita selamatkan tawanan?" tanya Kapten Razak. Walaupun yakin peluang mereka tinggi, tapi dia masih ingin mendengar jawapan komander itu.
"50-50. Leo seorang, pengganas ramai. Dia dibantu oleh ejen perempuan yang kita tak pasti skilnya macam mana. Jadi sementara Leo uruskan di dalam, kita kena cari jalan untuk bantu dia dari luar," jawab Komander Alias dengan penuh semangat.
"Baik!" Kapten Razak dan Inspektor Hanif serentak mengangguk, kemudian kedua-duanya kembali meneruskan tugas.
Tok tok tok!
Pintu trak komunikasi diketuk dari luar. Sebaik sahaja pintu dibuka, terjengul kepala seorang ahli pasukan khas dari unit antikeganasan. Taurus, itu nama yang tertera di jaket taktikalnya. Terus lelaki itu memberi tabik hormat kepada Komander Alias dengan wajah serius.
"Leo ada kat dalam hospital?" Itu soalan pertamanya kepada komander itu.
Komander Alias tidak menjawab dengan kata-kata. Hanya anggukan kecil diberi sebagai jawapan kepada soalan itu. Ada pun sebab sebenar kenapa anak muda itu boleh berada di dalam hospital, tidaklah dia ketahui lagi namun dia yakin dengan firasatnya yang mengatakan bahawa Zafran pasti ke hospital itu untuk memberi kata putus kepada Dato' Mutakhir.
"Alhamdulillah." Taurus meraut muka.
"Setidak-tidaknya, ada harapan untuk kita selamatkan tawanan," sambungnya pula.
Mendengar kata-kata itu, terus semua orang kecuali Komander Alias, Inspektor Hanif dan Kapten Razak menumpukan perhatian kepada Taurus. Sejujurnya mereka tidak kenal rapat siapa Leo yang disebut-sebut oleh orang-orang berpangkat tinggi tersebut sejak tadi. Siapa sebenarnya orang yang dipanggil Leo itu?
"Tuan, Leo tu siapa sebenarnya?" Seorang tentera bertanya kepada Taurus.
Perasan mata-mata tertumpu kepadanya, Taurus menoleh kepada Komander Alias. Sebelum menjelaskan identiti Leo, dia perlu mendapatkan kebenaran ketuanya. Lagipun, Leo itu anak buah kesayangan lelaki itu. Jangan siapa-siapa cuba kata apa-apa yang buruk kepada Leo.
"Orang gila," jawab Taurus setelah Komander Alias memberi kebenaran agar menjelaskan serba sedikit mengenai lelaki itu.
"Hah?" Serentak berkerut dahi orang yang mendengarnya. Tak faham.
"Cubalah cari pasal dengan dia, takkan aman punya hidup. Dan saat ini, aku harap pengganas-pengganas tu dah buat siap-siap surat wasiat masing-masing," jawab Taurus.
Jawapan itu semakin mengundang kerutan di wajah mereka yang mendengar. Akhirnya, salah seorang anggota melontarkan juga tuntutan penjelasan.
"Dulu dia pernah menyusup masuk ke pangkalan pengganas. Seorang diri ya. Terus pengganas fikir ada satu batalion yang serang mereka." Taurus menggeleng, lucu teringatkan hal lama.
"Apa maksud tuan?" Para anggota semakin berminat untuk mendengar.
"Dia spam mesej, 'Sayang, jom kita putus' kat semua orang penting dalam rangkaian musuh. Gila. Kucar-kacir satu kem." Taurus tertawa kecil.
Cerita itu membuatkan semua yang ada terus tergelak. Oh, jadi betullah cerita itu sebenarnya cerita benar. Sebelum ini, mereka cuma dengar dari mulut ke mulut tanpa tahu itu kisah betul atau sekadar rekaan semata.
"Kali ni, entah apalah agaknya si Leo tu akan buat? Tertanya-tanya pula," kata Taurus lagi dengan sengihan kekal terpamer.
Leo. Lelaki itu tidak boleh dijangka tindakannya. Sahabat sepasukannya sejak awal rekrut sampailah kini itu, lagaknya bagai tiada siapa boleh mengaturnya.
"Dr. Badrul, pastikan line anda sentiasa on. Kami perlukan anda untuk tahu situasi terkini di dalam sana. Jika mampu bergerak ke mana-mana, itu adalah kelebihan," kata Komander Alias kepada Dr. Badrul yang masih di talian.
"Roger," jawab Dr. Badrul lalu mematikan sementara talian.
"Dalam keadaan sekarang ni, kita hanya mampu standby dan perhati apa tindakan Leo seterusnya. Saya pasti dia ada cara terbaik untuk bawa masuk pasukan kita ke sana." Sebaik sahaja panggilan dengan Dr. Badrul sudah tidak bersambung, Komander Alias berkata dengan penuh optimis kepada semua yang ada di situ.
Kata-kata itu membuatkan sedikit sebanyak perasaan mereka yang mendengar berasa lega. Namun, perasaan lega itu tidak lama. Bunyi radio komunikasi daripada unit pengintipan (recon unit) tiba-tiba memecahkan ketenangan.
"Ini Bravo Ini Bravo 2... kami nampak pergerakan mencurigakan di pintu utama hospital. Over," lapor ketua unit.
Komander Alias mengangkat tangan, memberi isyarat agar semua diam. Melihat isyarat itu, masing-masing menumpukan perhatian kepada ketua unit yang ditugaskan untuk mengintip musuh dari jarak jauh.
"Terima, Bravo 2. Teruskan pemerhatian. Apa perkembangan? Over," balas Komander Alias.
"Pengganas sedang membawa sesuatu... tubuh manusia... mayat, tuan. Over," beritahu ketua unit.
Mendengar itu, mata semua orang membulat. Beberapa anggota mula kelihatan tegang. Nampaknya, pengganas mula terang-terangan cuba bermain kasar. Itu adalah provokasi kepada pihak keselamatan negara!
"Sahkan butiran. Over." Komander Alias kekal tenang.
"Dua mayat berpakaian biasa. Over," jelas ketua unit lagi.
"Diterima. Ada visual? Over," tanya Komander Alias.
"Ya. Daripada rakaman drone kompak, ada tulisan merah 'LEO' pada dada salah satu mayat. Over," lapor pelapor di talian.
"Roger. Kekalkan kedudukan. Tunggu arahan seterusnya. Over dan tamat." Komander Alias memutuskan talian lalu saling berpandangan dengan Taurus, Inspektor Hanif dan Kapten Razak.
Saat ini, masing-masing terdiam seribu bahasa. Mata mereka terus melekat pada skrin yang memaparkan mayat dengan tulisan merah di dada. LEO.
Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam sana?
"Tuan komander. Maksudnya..." Taurus meneguk liur. Jantungnya berdebar kencang.
Komander Alias menggeleng, tanda tidak tahu apa sebenarnya yang sedang terjadi. Sesak otaknya memikirkan laporan yang baru diterima. Perkataan "LEO" di dada mayat menimbulkan tanda tanya berlapis-lapis.
Soalan pertama, kenapa ada perkataan LEO di dada mayat? Kedua, siapa yang menulis perkataan itu? Ketiga, apa tujuan mayat itu dibawa keluar dari bangunan hospital? Ah, semua ini sangat memeningkan!
Untuk soalan pertama, jawapannya ada pada jawapan soalan kedua. Jadi, mereka perlu tahu siapa yang menulis perkataan itu. Jika Zafran sendiri yang menulis, itu adalah isyarat kepada pasukan keselamatan bahawa dia ada di situ, sedang merangka strategi lawan balas. Namun, jika perkataan Leo ditulis oleh pengganas, ini lagilah menimbulkan tanda tanya berat.
Adakah pengganas tahu yang Zafran adalah Leo? Jika ya, ia adalah bala. Boleh jadi insiden penawanan hospital ini adalah untuk membalas dendam kepada Zafran yang sebelum ini pernah menggagalkan percubaan mereka untuk menawan perbatasan negara.
Komander Alias memejam mata. Dadanya terasa menghimpit. Jika benar telahannya, mereka perlu bertindak segera. Tapi jika ini perangkap, mereka tidak boleh tersilap langkah!
Ps: Done! Maaf lambat. Sama macam semalam, hari ni saya teramat busy. Huhu happy reading & enjoy. ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro