
BAB 15
Berita terkini mengenai penawanan Hospital Elit Kubu Laut yang dahulunya berfungsi sebagai hospital tentera sebelum diubah menjadi pusat perubatan eksklusif untuk golongan elit kini tersebar ke seluruh negara. Para wartawan, pemberita, dan orang awam berlumba-lumba menyiarkan laporan mengenai pengeboman hospital tersebut.
Sekeliling hospital itu kini dikepung ketat oleh pasukan polis khas dan tentera. Trak-trak keselamatan berderet di perkarangan, sementara unit khas bersiap siaga mengawal setiap sudut. Keadaan semakin tegang kerana tebusan bukannya sekadar orang biasa bahkan Menteri Pertahanan sendiri yang sedang dirawat.
Dalam trak komunikasi, berkumpul satu unit pasukan khas. Mereka adalah kepala yang mengetahui misi menyelamat ini. Peta hospital terbentang di hadapan sekali dengan rakaman kamera drone dan data keselamatan bangunan. Semua mata tertumpu pada skrin, tajam meneliti setiap pergerakan di dalam hospital.
Namun, penglihatan mereka terbatas kerana pintu dan tingkap ditutup rapat dengan bidai besi. Mereka tidak boleh melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam sana. Lebih buruk lagi, komunikasi dengan sesiapa di dalam hospital turut terputus sepenuhnya. Situasi ini sangat buruk kerana tanpa maklumat yang jelas, mereka sukar menilai keadaan sebenar dan merangka pelan penyelamatan yang tepat.
Komander Alias, ketua operasi yang dipertanggungjawabkan untuk misi ini mengurut pelipis. Senak otaknya dengan keadaan yang berlaku sekarang. Misi menyelamat kali ini terlalu rumit. Tidak pernah-pernah lagi dia melalui situasi sebegini sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pegawai tentera. Lawan mereka bukan calang-calang pengganas!
"Komander, tengok ni." Seorang lelaki berpakaian taktikal menunjuk tabletnya kepada Komander Alias. Wajahnya kelihatan teramat bimbang dan berkerut seribu.
Perhatian Komander Alias segera beralih kepada Inspektor Hanif, iaitu polis dari unit risikan khas. Pantas matanya menyoroti isi kandungan yang terpapar di tablet pakar perisikan yang menguruskan teknologi dan analisis taktikal. Terus berkerut lagi dahinya dengan maklumat yang diperoleh. Sakit otak kuasa dua!
Di tablet itu, terpapar gerombolan pengganas yang kini bertindak menjadi perisai manusia. Mereka berada dalam posisi empat penjuru dengan setiap daripada mereka dilengkapi dengan senjata dan perisai pertahanan. Malah, mereka juga berada di bumbung hospital dan menawan helipad. Mana-mana drone yang cuba mendekat, serta merta mereka tembak jatuh. Ini menjadikan pasukan khas keselamatan negara tidak boleh masuk dekat.
"Daripada analisis, kita dapat kenal pasti yang mereka ni daripada kumpulan Black Hawk, iaitu mercenaries dari Afrika Selatan," kata Inspektor Hanif.
"Apa sebenarnya yang mereka nak daripada kita?" keluh Komander Alias sambil pelipisnya diurut lebih kuat.
Sakit jiwanya dengan tindakan pengganas itu. Tiada sebarang tuntutan, tiada apa-apa hubungan daripada kumpulan itu setakat ini. Keadaan ini menjadikan mereka berada dalam situasi menegangkan. Mereka terpaksa berfikir dengan lebih keras apa sebenarnya kemahuan kumpulan itu.
Berasa dadanya semakin berat, Komander Alias kembali melihat skrin yang memaparkan beberapa pengganas berkawal di tingkat utama dan koridor. Kemudian, perhatiannya beralih kepada titik posisi keberadaan penembak tepat dan anggota pasukan lain yang sedang mengelilingi hospital. Juga, pasukan pemusnah bom yang sedang bersedia di tempat yang ditetapkan.
"Memang tak ada jalan lain untuk kita menyusup masuk?" tanyanya pula.
"Tiada, komander. Kita dah periksa dari jarak jauh keseluruhan bangunan. Tak ada satu pun pintu masuk yang tidak ditutup dengan penghadang besi. Semua tingkap pula ditutup dengan bidai besi. Pengganas memang tahu yang kita akan cuba masuk dari luar," jawab Inspektor Hanif.
"Yang pastinya kalau kita cuba paksa masuk dengan letupkan pintu atau tingkap, mereka akan bunuh tawanan," sahut Kapten Razak, iaitu ketua operasi yang bertanggungjawab membereskan ancaman bom dan segala jenis letupan.
"Kita tak boleh bagi mereka peluang untuk bunuh lebih ramai tawanan. Kita kena cari cara untuk masuk ke dalam," balas Komander Alias.
Semua orang terdiam. Ketegangan kian menggila tatkala bunyi tembakan kedengaran di telinga. Bukan sekali bahkan berkali-kali. Setiap kali tembakan dilepaskan, setiap itulah tekanan menghimpit dada. Apatah lagi, Perdana Menteri turut menekan supaya menyelamatkan tebusan dengan segera.
"Hospital ni ada sistem pembetungan bawah tanah. Tapi ia terlalu kecil untuk kita masuk. Jadi..." Inspektor Hanif berjeda. Fikirannya memikirkan sesuatu.
"Mungkin kita boleh hantar drone untuk intip apa yang berlaku kat dalam hospital," sambungnya pula.
"Idea yang bagus! Kenapalah aku tak terfikir tadi?" Kapten Razak menarik senyuman lega. Terpancar sinar harapan pada wajahnya.
"Ini peluang terbaik kita. Buat sebaik mungkin supaya pengganas tak curiga." Komander Alias memberi kebenaran.
Ketika ini, perasaannya agak lega. Tanpa bertangguh, pantas dia memberi arahan kepada unit khas teknologi supaya menerbangkan drone senyap bersaiz kompak ke dalam saluran pembetung. Harapnya, mereka juga dapat mencari peluang komunikasi dengan orang dalam sekali gus membolehkan pihak mereka menyusup masuk tanpa disedari oleh sesiapa.
Dalam beberapa minit, pasukan penyusup drone mula menggerakkan operasi. Semua mata tertumpu pada skrin, menanti dengan harapan tinggi. Namun, hanya kekecewaan yang menyapa apabila setiap percubaan gagal menembusi pertahanan hospital. Pihak pengganas ternyata lebih licik daripada yang disangka apabila mereka juga mengunci saluran pembetung.
"Sia-sia." Komander Alias mengepal penumbuk. Apa lagi yang boleh dibuat untuk masuk ke dalam hospital? Sumpah dia lemas dengan keadaan sekarang!
Ketegangan memuncak. Di luar, kedengaran lagi beberapa das tembakan dilepaskan ke udara dari dalam hospital, bergema hingga ke luar. Jelas pihak musuh menyedari percubaan penyusupan drone tadi. Itu adalah amaran keras agar jangan bertindak bodoh. Tunggu saja tuntutan daripada mereka nanti.
Beberapa minit berlalu dengan masing-masing diam di tempat duduk. Otak ligat memikirkan strategi terbaik untuk menyelamatkan tawanan. Namun, pada satu saat, tiba-tiba alat komunikasi mereka berbunyi.
"Komander!" Inspektor Hanif pantas berpaling kepada Komander Alias.
"Ada orang cuba hubungi kita." Dia menunjuk kepada bunyi bip statik dalam sistem komunikasi.
"Siapa?" Laju Komander Alias mendapatkan Inspektor Hanif.
"Sekejap. Aku tengah trace sumber," jawab Inspektor Hanif.
"Frekuensi ni bukan milik pengganas. Ini frekuensi khas.... kod perisikan!" Cerah air muka Inspektor Hanif tatkala memberitahu hasilnya. Setelah mendapat kebenaran daripada Komander Alias, pantas dia menyambut panggilan tersebut.
Saat panggilan bersambung, satu suara bisikan daripada seorang lelaki kedengaran dari pembesar suara. Nadanya rendah dan penuh berhati-hati. Bunyi hembusan suara dan talian terputus-putus turut memenuhi pendengaran anggota pasukan khas di dalam trak utama tersebut.
"Aku Dr. Badrul, ejen perisikan dari Badan Inteligen Negara. Pengganas tak tahu aku ada di dalam hospital ini. Aku ulang, mereka tak tahu aku ada di sini," kata suara itu.
Mendengar kata-kata itu, semua mereka yang berada di situ saling berpandangan sesama sendiri. Ejen perisikan BIN terkandas di dalam hospital? Mereka buat apa di situ? Namun, sebagai langkah keselamatan, mereka perlu mengesahkan identiti lelaki itu. Pantas mereka menghubungi BIN bagi memaklumkan perkara itu dan meminta agar pihak BIN mengesahkan identiti lelaki yang mengaku sebagai ejen perisikan mereka.
"Ini Komander Alias dari Unit Khas Antikeganasan. Sebutkan kod identiti anda," kata Komander Alias.
"Five Eight Zero One Six Nine Zero," jawab pemanggil di talian.
Kod pengesahan identiti segera dimaklumkan kepada pihak BIN. Dalam beberapa saat, terpapar di skrin identiti pemanggil dari dalam hospital. Ternyata benar Dr. Badrul adalah ejen perisikan BIN dari unit data yang ditugaskan untuk misi undercover di hospital itu.
"Syukur, kita ada orang dalam." Riak lega jelas terpapar di wajah Komander Alias.
"Kau ada di mana sekarang?" tanyanya pula.
"Di dalam bilik janitor di tingkat dua. Aku seorang diri, tak boleh bergerak keluar," balas Dr. Badrul.
"Partner kau di mana?" Komander Alias tahu yang ejen BIN selalunya bergerak dengan partner. Jika Dr. Badrul bersendirian di sini, maknanya dia terpisah dengan partner.
"Kami sengaja berpisah. Tugas aku cari jalan untuk hubungi pihak tuan. Dr. Ariana pula beregu dengan Zaf untuk ke control room," beritahu Dr. Badrul.
"Zaf...?" Dahi Komander Alias berkerut. Sebaris singkatan nama itu membuatkan dia teringat kepada seseorang.
"Ya, Zaf. Aku tak pasti identiti dia. Tapi kalau tengok cara bergerak dan susun strategi... dia macam orang kita. Cekap, tangkas, dan terlatih macam komando," balas Dr. Badrul.
Mendengar kata-kata Dr. Badrul, semakin berkerut dahi Komander Alias. Adakah Zaf itu adalah Left. Zafran al-Haq, bekas anggota pasukan khas Team Shadow 404? Jika benarlah Zaf itu Zafran, harapan untuk mereka menyelamatkan tawanan agak tinggi. Anak muda itu bukan calang-calang anggota tentera!
"Komander?" Inspektor Hanif yang melihat Komander Alias berfikir dalam segera menegur.
"Kau pasti dia perkenalkan diri sebagai Zaf? Ada parut luka tembakan di kening kiri dia?" tanya Komander Alias tanpa mempedulikan panggilan Inspektor Hanif.
"Ya. Ada parut kecil di kening kiri dia," jawab Dr. Badrul dengan yakin.
Mendengar jawapan itu, terbit senyuman dari bibir Komander Alias. Perasaannya bertambah lega. Terasa bebannya terangkat sedikit ketika perkhabaran itu menyapa pendengarannya.
"Siapa Zaf, komander?" Inspektor Hanif yang sedari tadi pelik melihat senyuman Komander Alias tidak dapat menahan rasa ingin tahu. Siapa sebenarnya gerangan yang membuatkan komander yang sentiasa berwajah ketat itu tersenyum jua dalam situasi menegangkan ini?
"Leo," jawab Komander Alias penuh yakin.
Ps: Done. Maaf lambat. Saya teramat busy hari ni, hampir saja surrender nak mengarang. Harap awak semua enjoy cerita ni. ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro