Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 14

Terkejut mereka! Bila masa si cicak ini muncul di sini? Kemunculannya bagaikan magis, tahu-tahu muncul di depan orang tanpa bunyi.

"Err..." Ariana bungkam. Terkejutnya masih belum hilang.

"Grunt suruh ambil ubat dalam bilik ni." Pantas Zafran menjawab, cuba menyelamatkan keadaan.

"Ubat? Ubat apa?" Lizard tidak berpuas hati dengan jawapan anak buahnya yang seorang itu.

Sejujurnya, pergerakan kedua anak buahnya dari tadi sangat pelik. Lagak mereka kelihatan mencurigakan. Kerana itu dia melepaskan semua anak buahnya pergi makan tapi siapa tahu dia mengikut dengan senyap langkah mereka berdua. 

"Ubat sakit lutut. Lutut dia tercedera kan?" balas Zafran dengan tenang.

Tadi semasa berselisih dengan sekumpulan pengganas yang sedang berehat-rehat, dia terdengar perbualan mereka. Telinga lintahnya dapat mendengar dengan jelas setiap patah perkataan yang keluar dari mulut para pengganas itu. Dari situlah dia tahu pengganas yang bernama Grunt, juga yang disebut oleh Lizard tadi sedang sakit lutut kerana terjatuh tangga.

"A'ah." Lizard mengangguk, tapi senjatanya tidak dilepaskan. 

"Tapi Grunt suruh aku yang ambil ubat, bukannya kau. Kau penyamar tu kan?" sengih Lizard seraya terus melancarkan serangan. Senapangnya dirodok ganas ke kepala Zafran.

Namun, Lizard tidak tahu lawannya ini bukan calang-calang orang. Saat muncung senapang cuba dirodok kejam ke kepala, Zafran terlebih dahulu menangkap batang senapang itu lalu menghunjamnya ke dada pengganas itu. Itu adalah rodokan balas istimewa daripadanya.

Si penjahat terdorong ke belakang. Zafran tidak memberinya peluang untuk bernafas. Dengan sepantas kilat dia menyambar bahu lelaki itu lalu membuat headbutt ke mukanya. Efeknya, berderai darah keluar dari hidung si pengganas.

Zafran masih tidak berpuas hati. Dia menambah aksi ganasnya dengan membuat satu pukulan padu ke rusuk dengan disusuli sikuan tajam ke pelipis Lizard. Terus lelaki itu rebah dengan mulut ternganga-nganga.

"Kau nak cuba bagi tahu rakan-rakan kau? Dalam mimpi ajelah." Zafran menarik topeng muka lelaki itu. Terserlah wajahnya yang memar dan penuh kesan darah.

"Selamat bermimpi." Terus dia menumbuk muka itu berkali-kali sampailah musuhnya senyap tidak berkutik.

Ariana melihat sahaja tindakan Zafran dengan muka biasa-biasa. Setelah beberapa jam bersama lelaki itu, sedikit sebanyak dia mengerti perilaku seorang Zaf di depannya. Strategi dan jalan fikirnya mantap, aksi pertempurannya kemas dan brutal, tapi mulut lebih laju daripada otak.

'Zaf, Zaf. Confirm kau ni sebenarnya orang macam aku juga.' Ariana menarik nafas panjang lalu membuka pintu bilik pejabatnya.

"Cicak tu bawa masuk ke sinilah," suruhnya seraya mengambil beberapa jenis peralatan perubatan dan ubat-ubatan lalu memasukkannya ke dalam poket seluar dan baju uniform yang dipakainya.

Mendengar arahan itu, Zafran mengikut saja kehendak Ariana. Mereka berdua masih perlu bekerjasama dan setakat ini, masih tiada tanda-tanda kerjasama itu boleh dileraikan dalam masa terdekat.

"Dah," beritahu Zafran seraya menunjuk ke arah Lizard.

Ariana yang masih sibuk dengan tugasnya mengambil peralatan lain segera berpaling. Hampir terjolol matanya dek terkejut dengan keadaan Lizard. Zaf inilah, tak beragak! Ada ke patut digulungnya penjahat itu dengan langsir dan kemudian, digantungnya pula ke tingkap. Mulutnya ditampal dengan pita pelekat. Sudah seperti kepompong rompong jadinya.

"What?" Zafran mengangkat bahu, dengan kedua tangannya diangkat separa. Salah ke tindakannya?

"Brutal. Menyeramkan." Cepat-cepat Ariana menyudahkan kerjanya memasukkan segala benda yang dikehendaki ke dalam poket.

Usai kerja di situ, mereka berdua segera keluar lalu berjalan melepasi beberapa kawasan panas. Beberapa orang pengganas saling berjaga penuh waspada, menanti jika ada pergerakan mencurigakan. 

Jauh sungguh perjalanan dirasakan. Padahal kalau waktu biasa, jaraknya tidaklah terlalu jauh. Kalau berlari, tiga minit pun sudah sampai. Tapi mereka faham yang waktu biasanya dirasakan bergerak lambat ketika kecemasan begini. 

"Wanginya..." Tatkala berjalan melepasi sekumpulan pengganas yang sedang duduk sambil minum-minum di satu sudut, mereka terdengar kata-kata itu.

"Kuat betul bau minyak wangi kau," bisik Zafran. Lebih kepada geram sebenarnya. Perempuan ini tak tahu ke memakai perfume boleh mendatangkan perhatian musuh kepada mereka.

"Aku kan always wangi," balas Ariana, jengkel. Rasa nak korek aje biji mata pengganas-pengganas yang menoleh-noleh kepada mereka.

Jawapan perempuan itu membuatkan Zafran menarik nafas berat. Sebenarnya bau minyak wangi perempuan itu tidaklah terlalu kuat. Sedang-sedang saja sekadar menutupi bau uniform busuk yang dipakai sekarang. Itu pun tak adalah menutupi seratus peratus. Apabila angin menerjah tubuh, terbau juga bau busuk uniform. Tapi itulah, bahana pula jadinya apabila memakai wangian. Tak pasal-pasal penyamaran hampir terbongkar.

"Hei, kau. Girl, stop!" Seorang pengganas menyekat Ariana dan Zafran.

Pengganas itu tahu yang Ariana seorang perempuan walaupun memakai uniform dan topeng muka? Nampaknya, pengganas itu cerdik. Terus mereka berdua memberhentikan langkah, menanti tindakan yang akan dilakukan oleh pengganas itu dan dua orang rakannya yang mengelilingi mereka.

"Siapa benarkan kau pakai minyak wangi?" soal pengganas itu.

"Aku. Sebab bau dia macam sotong basi," jawab Zafran spontan. 

Dua saat selepas melontarkan jawapan, pantas dia menggigit bibir. Ya Tuhan, kenapalah susah sangat untuk dia jaga mulut? Terus dikerlingnya kepada Ariana di sisi. Gulp! Tajam nak mampus jelingan perempuan itu kepadanya!

"Bodoh! Ini kalau ketua kita tahu, mampus kau kena. Takkan kau tak tahu dia anti bau wangi?" geleng pengganas itu.

"Oh, jadi sebab tulah kita semua kena bau macam kambing?" Ya Tuhan, Zafran berasa ingin menampar mulutnya sendiri. Celupar amat!

"Kau ni mesti rekrut baru kan? Pelik kalau kau tak tahu pantang larang ni." Soalan dibalas dengan soalan. Pengganas itu menggeleng lagi melihat Zafran dan Ariana.

"Ya, orang baru. Sebab tu aku tak tahu sangat," jawab Zafran.

Pengganas itu mengangguk, faham dengan kata-kata orang baru di depannya. Terus dia memberi isyarat kepada kawan-kawannya agar kembali ke tempat tadi. Mereka terganggu dengan bau wangi. Itu sahaja. Jantina bukan menjadi masalah kerana dalam kalangan mereka juga ada wanita.

"Fuh, lega," bisik Ariana seraya mencium semula lengan bajunya yang tadi disembur sedikit dengan minyak wangi.

"Bluerk!" Automatik perutnya bergulung semula. Ini yang dikatakan wangi? Bau macam reban ayam.

Melihat Ariana, sekali lagi Zafran menggigit bibir. Sabar sajalah. Sudahnya, pantas dia menggamit perempuan itu, isyarat supaya meneruskan perjalanan yang tertangguh. Namun, sebelum itu, sempat diheretnya si Ariana ke tandas walaupun perempuan itu terpinga-pinga dengan tindakannya.

"Nak hilangkan bau wangi. Kang tak pasal kantoi," bisiknya sebelum perempuan itu berfikir yang bukan-bukan.

Sampai di depan singki, matanya meliar mencari sabun tangan yang biasanya ada di singki setiap tandas. Tapi tak adalah pula. Pasti acik cleaner lupa nak letak yang baru. Lantas, fikir punya fikir, akhirnya dia menjumpai solusi terbaik. 

"Pencuci jamban ni woi!" Bulat mata Ariana tatkala Zafran menghulurkan sebotol cairan pencuci tandas kepadanya.

"At least boleh cover bau perfume kau. Nah, cepat calit cleaning fluid ni kat uniform," gesa Zafran.

"Nak calit guna apa? Pakai bare hand? Oh no! Rosak tangan aku." Ariana tidak setuju. Mukanya berkerut-kerut, seram membayangkan tangannya yang cantik dan lembut akan menjadi keras dan kasar. Penat tahu nak jaga kulit tangan?

Mendengar jawapan perempuan itu, Zafran bertambah jengkel. Perempuan tetaplah perempuan. Kadang-kadang otak yang bijak itu tidak dapat berfungsi dengan baik juga. Keadaan tengah kritikal sekarang kan? Takkan tak boleh beralah dengan situasi? Aduh, perempuan!

"Kau tahu tak kau ni annoying? Tak padan dengan spy. Nah, guna tisu tandas ni. Celup dan calit kat uniform," kata Zafran seraya menghulurkan segulung tisu kepada Ariana.

Ariana menyambut huluran itu dengan teragak-agak. Pertama, rasanya dia tak salah dengar. Zafran kata dia ejen perisikan? Macam mana lelaki itu boleh tahu? Kedua, macam mana kalau ada bahan berbahaya dalam cairan pencuci itu? Nanti tak pasal-pasal kulitnya terkena iritasi.

"Jangan risau, ni cecair pencuci tandas yang ringan. Tak ada asid hidroklorik atau natrium hipoklorit yang boleh buatkan kulit kau menggelupas atau sakit hidung dan tekak kalau terhidu dalam masa yang lama." Bagai memahami riak muka teragak-agak perempuan itu, Zafran menjelaskan sifat cecair itu setelah menghidunya beberapa kali. Bau lemon, cuma agak kuat. Fungsinya untuk memberi kesegaran berpanjangan kepada tandas.

Mendengar penjelasan itu, barulah Ariana akur. Dihidunya sedikit cecair itu dan benar, baunya kuat tetapi lembut. Tapi sebagai langkah keselamatan, dia tidak menyentuh cecair itu terus dengan jari. Dia mencelupkan tisu di dalam cairan itu lalu mencalitnya di uniform yang dipakai.

"Dah? Kita kena gerak sekarang," tanya Zafran.

"Dah," jawab Ariana sambil menghidu-hidu lagi lengan bajunya. Okeylah, sudah tidak bau macam reban ayam. Bau minyak wanginya pun tidak sekuat tadi. Harapnya selepas ini, tiada masalah untuk mereka meneruskan perjalanan.

Ariana dan Zafran segera keluar dari tandas lalu kembali bertingkah seperti pengganas. Lagak mereka kelihatan bersahaja dengan gerak laku ditiru semirip mungkin seperti ahli kumpulan itu. Mereka kini bergabung dengan barisan pengganas yang bergerak menuju ke bahagian kiri. Namun, tanpa sedar, ada sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan penuh minat.

'Kau ingat kau bijak? Silap besar, kawan.' Sengihannya melebar dari sebalik topeng syaitan berwarna hitam.

Ps: Hari ni 8.3.25 genap 15 hari straight saya update Bulletproof Code. Terima kasih masih setia baca cerita ni. ♥️ 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro