Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13

Di sebalik topeng muka syaitan kelabu, Ariana dengan hati sebalnya dan Zafran pula dengan ketawanya masih tersisa segera menapak ke tempat musuhnya tadi berjaga. Elok sahaja mereka sampai di situ, dua orang pengganas lain tiba-tiba memunculkan diri.

"Giliran kau berdua pergi makan," kata pengganas pertama yang baru sampai.

Zafran dan Ariana pantas mengangguk. Wah, ini sesuatu yang tidak dijangka! Bagai orang mengantuk disorongkan bantal pula apabila keinginan senyap untuk pergi dari sini dimakbulkan oleh Tuhan dalam masa yang singkat. Syukur, jimat masa mereka.

Tanpa berlengah, mereka segera pergi dari situ dan bergabung di belakang para pengganas lain yang turut bertukar syif. Mereka berbaris dalam dua barisan, Zafran dan Ariana berada sebelah menyebelah di belakang sekali.

Sambil berjalan, tajam mata masing-masing memerhati keadaan sekeliling. Kini, mereka tiba di tingkat satu bahagian kaunter ubat. Ramai tawanan diikumpulkan di situ dengan semuanya terdiam di tempat masing-masing. Tiada siapa berani berbuat perkara yang bukan-bukan kerana contoh nasib yang bakal diterima ada di depan mata.

Seorang ahli farmasi kelihatan terbaring di lantai dengan biji mata terbeliak dan darah mengalir sekitar tempurung kepalanya yang berlubang. Butterfly headshot, darah turut berserakan di lantai akibat efek benaman peluru di tengah-tengah dahi.

'Kejam!' Sedih dan geram bersatu dalam diri Ariana.

"Pandang ke depan," tegur Zafran, perlahan.

Mereka perlu profesional dan berlagak seperti sebahagian daripada musuh jika tidak mahu penyamaran terbongkar awal. Dia khuatir penyamaran mereka akan terbongkar awal tatkala melihat perempuan itu seolah-olah bersimpati dengan nasib tahanan.

Ariana pula apabila mendengar teguran tersebut terus akur. Sabarlah duhai diri. Untuk menyelamatkan mangsa, terlebih dahulu dia yang perlu selamat.

"Berhenti! Kau, kau, ke depan." Tiba-tiba kedengaran suara tegas menyuruh kumpulan mereka berhenti.

Mendengar arahan itu, mereka semua segera memberhentikan langkah. Orang yang dipanggil ke depan pula keluar dari kumpulan lalu menghadap orang yang memanggil. Orang itu memakai topeng syaitan berwarna koko dengan corak cicak terlukis di topeng.

"Aku terima arahan untuk periksa kau semua. Ada tikus dalam kalangan kita. Beratur!" arah lelaki itu.

Arahan tersebut dipatuhi tanpa banyak soal. Semua mereka seramai enam orang segera berbaris dengan dada diangkat tinggi dan senjata kejap di tangan, membentuk postur tubuh yang tegap dan kelihatan sukar ditewaskan oleh siapa-siapa.

Pemeriksaan mengejut itu membuatkan jantung Ariana bagai hendak terloncat keluar dek betapa berdebarnya dia apabila orang yang dipanggil "Lizard" itu semakin mendekat. Macam mana kalau Lizard tahu yang dia perempuan? Memang sah-sahlah tahu sebab dia yang paling rendah dalam kalangan ahli kumpulan itu. Ah, mampus dia kali ini!

"Mesti kau kan?" Lizard menunjuk tepat ke muka Ariana.

Dang! Bala datang jua akhirnya. Tapi Ariana kekal berkelakuan biasa seolah-olah tidak terkesan dengan tuduhan itu. Jangan gentar, jangan takut. Itu yang perlu dia lakukan dalam keadaan ini kerana boleh jadi tuduhan itu hanyalah ujian dan provokasi daripada pihak musuh untuk memudahkan kerja mereka mendeteksi musuh dengan segera dan mudah.

"Kau pakai minyak wangi? Sejak bila pula askar kita dibenarkan pakai minyak wangi ni?" tanya Lizard lagi dengan mukanya didekatkan kepada Ariana, menghidu-hidu uniform yang dipakai olehnya.

Melihat kelakuan Lizard, semakin rancak jantungnya bergendang. Rasa kakinya macam sudah tidak boleh tahan untuk menendang mamat busuk di depannya sekarang. Bau macam bangkai! Perutnya yang sedia bergulung berasa semakin bergulung-gulung dan bila-bila masa saja akan memuntahkan isi perut.

"Dia pakai sebab tak sempat basuh berak," kata Zafran, spontan tanpa sempat berfikir apa-apa. Risaunya mencanak naik apabila melihat kaki Ariana terketar-ketar, geram nak lepaskan penyepak kepada Lizard di hadapan.

"Oh..." Lizard mengangguk, puas hati dengan jawapan yang diberi. Kemudian, dia bergerak pula kepada anggota pengganas lain untuk melakukan inspeksi.

Satu demi satu diperiksanya anggota bawahannya. Jika gagal menjawab dengan baik soalannya, penyepaklah yang menjadi makanan tengah hari mereka. Sesi soal jawab itu berakhir apabila Lizard menyoal anggota terakhir dan berpuas hati dengan jawapannya.

"Huh, dasar Grunt. Aku dah cakap anak buah aku semuanya original. Ada penyamar? Siapa berani menyamar jadi anak buah aku? Bodoh piang punya orang!" gerutu Lizard seraya melepaskan anak buahnya pergi makan.

Lega! Itu perasaaan Zafran ketika melihat Lizard sudah menjauh daripada mereka. Namun, leganya bertukar cuak ketika melihat Ariana memandangnya dengan pandangan mahu menelan orang. Ah, pasti sebab tadi. Ayatnya tak bertapis.

"Sorry." Zafran memulakan perbualan. Dia tahu dia salah jadi dia kena minta maaf.

Mendengar kata-kata itu, Ariana mencebik. Tak ada alasan lain ke selain mengatakan yang dia memakai minyak wangi kerana tak sempat basuh berak? Bila masa pula dia buang air besar? Tak pasal-pasal maruah sebagai perempuan pembersih tercemar! Sudahnya, dia menonong pergi meninggalkan lelaki itu terkulat-kulat di situ.

"Hei, aku tak sengaja okey? Aku minta maaf," kejar Zafran.

Ariana tidak mengendahkan panggilan Zafran yang sambil berlari-lari anak mengejar langkahnya. Sudahlah sakit hati dan sebalnya sebelum ini masih tersisa, kini bertambah pula dengan kes tadi.

Kini, dia sampai di lorong untuk ke wad kecemasan. Pejabatnya ada di tingkat satu. Dia berniat untuk naik ke situ sekejap untuk mengambil beberapa peralatan yang mungkin berguna untuk misi ini. Fikirnya, lebih baik ada pelbagai jenis senjata daripada berlawan dengan pistol, senapang atau secara bertangan kosong sahaja.

Zafran yang berada di belakangnya pula masih seperti tadi, dia abaikan dengan menjadikan lelaki itu bagaikan tidak wujud. Namun, jauh di sudut hati, dia berasa agak selamat apabila lelaki itu berada di sampingnya. Manakan tidak, lelaki itu mengawalnya dalam diam dengan memberi instruksi senyap jika ada sesuatu di hadapan.

Musuh dari arah pukul tiga, musuh dalam jarak lima meter, ada halangan di sebelah kiri, dan macam-macam lagilah. Sedikit sebanyak hatinya lembut sedikit demi sedikit dengan act of service lelaki itu. Tapi, egonya kan melangit. Tak adanya dia nak cakap "okey, aku maafkan kau" bahkan sifat dinginnya kekal terpamer.

'Perempuan memang macam ni ke? Mudah sangat merajuk.' Akhirnya setelah pelbagai cara dilakukan untuk meminta maaf tapi tidak dilayan, Zafran menarik nafas panjang. Lemah betul nak pujuk orang. Terus tangannya menggaru kepala yang tidak gatal.

"Cabul mulut kau, Zaf. Padan muka." Sempat mulutnya berdesis perlahan, kesal dengan kesalahan diri sendiri.

Kalau dosa dengan Allah, mohon ampun Allah akan ampunkan. Tapi kalau dengan manusia? Selagi manusia itu tidak memaafkan, Allah tidak akan ampunkan dosa kita kepada manusia itu. Kerana itulah dia mahu meminta maaf atas khilafnya terkata sesuatu yang tidak elok, yang jelas Ariana tidak suka kerana mencemarkan air mukanya.

Seseorang terutamanya perempuan walaupun secara umumnya nampak ganas dan tak tahu malu, pasti ada sesuatu dalam dirinya yang masih membuatkannya malu. Hal tadi pasti menyentuh sensitiviti perempuan itu disebabkan ayat itu secara langsung membayangkan sesuatu yang menjijikkan kerana berkaitan dengan kebersihan dan maruah peribadi.

'Tapi aku nak lindungi dia.' Zafran melepaskan keluhan kasar, sambil kakinya terus mengikut langkah perempuan yang masih melancarkan perang dingin dengannya.

Kini, mereka berdua sampai di depan pejabat Ariana. Ruang legar itu kosong tanpa sesiapa pun di situ. Keadaan itu membuatkan Ariana kelihatan agak lega dan postur tubuhnya yang sedari tadi berada dalam keadaan tegak dapat dilenturkan sedikit.

"Aduh, sakit betul pinggang aku." Ariana membongkok sedikit sedang tangannya mengurut belakang.

Dia tidak terbiasa dengan postur ketenteraan. Sudah lama dia tidak berlatih begini. Jadi apabila terpaksa berjalan dalam posisi tubuh tegak dengan tangan memegang senapang dalam tempoh masa yang lama,  sakit pinggang dan keletihan otot berlaku lebih cepat. Seksanya itu, alahai!

"Mari sini M-16 kau, aku pegang," tawar Zafran.

"Nah." Akhirnya Ariana berlembut hati. Dia tahu dia harus berterima kasih kepada lelaki itu kerana menyelamatkannya.

Huluran bersambut. Terus Zafran tersenyum lega di sebalik topeng. Pepatah ada mengatakan bahawa kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Lagi-lagi kalau tersalah kata kepada perempuan yang sejak azalinya keturunan singa. Mati kau!

"Kau nak ambil apa kat dalam tu?" tanya Zafran.

"Nak..." Ariana tidak sempat menjawab. Mereka terlebih dahulu disergah oleh satu suara garau.

"Kau dua buat apa kat sini? Ini kawasan larangan!" tanya Lizard sambil senapang diacu ke kepala Zafran.

Ps: Done. Maaf jika kesenduan kat sini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro