
BAB 12
Zafran perasan kening Ariana bagai bertaut tatkala mendengar tegahannya. Namun, sebelum perempuan itu melontarkan pertanyaan tuntutan jawapan balas, dia terlebih dahulu membuka mulut.
"Ini bilik kebal. Kalis bunyi dan kalis hubungan dengan pihak luar. Tiada alat komunikasi tidak berdaftar boleh tembus ke sini. Nak panggil Badrul? Sia-sia ajelah," jelas Zafran.
Mendengar itu, Ariana mengangguk. Sampai begitu sekali sekuriti bilik ini ya. Dia yakin ada rahsia lain yang disembunyikan di sini. Yalah, keadaan bilik ini terlalu biasa. Hanya ada satu set sofa dan meja kopi, televisyen, radio dan kelengkapan asas rumah seperti rak buku, almari, kabinet dapur dan tandas. Pelik, tapi dia memilih untuk diam. Sampai masanya pasti dia akan tahu juga.
Zafran pula tatkala ini, perasaaannya pilu. Di sofa itulah dia bersama Ayyash, Aries, dan Cancer selalu lepak-lepak sambil menonton televisyen setelah puas berlatih menembak di bilik rahsia yang pintunya terletak di sebalik almari. Aries suka memasak, jadi kabinet dapur itu dia buat khas untuk Aries. Cancer pula suka membaca, jadi rak buku pula khusus untuknya.
Sebak! Terbayang-bayang di matanya keakraban mereka berempat setiap kali bertemu. Bukan selalu mereka dapat berkumpul. Masing-masing ada komitmen tersendiri. Latihan demi latihan, misi demi misi, semuanya menuntut masa. Biasanya ketika ditugaskan dalam joint mission barulah mereka dapat berkumpul.
Dan... di sini jugalah tempat terakhir mereka bergelak ketawa sebelum semuanya kembali kepada Sang Pencipta.
"Jadi, apa kita nak buat dengan mereka semua ni?" tanya Ariana. Pelik berganda-ganda apabila melihat lelaki itu seolah-olah tenggelam dalam lautan fikiran.
"Bagi tahu mereka supaya duduk diam-diam di sini sampai kita datang balik. Kalau lapar, dalam kabinet dapur tu ada makanan. Aku rasa tak expired lagi. Last aku datang ke sini setahun yang lepas. Nak mandi, solat apa semua, tu tandas dan bilik air ada. Arah kiblat pun ada," jawab Zafran.
Ingatannya kepada Ayyash, Aries dan Cancer dibuang jauh-jauh. Dia ada misi penting dan sekarang bukan masanya untuk bersedih. Setelah melihat perempuan itu menyampaikan pesanannya dengan menambah sedikit kata-kata semangat dan pesanan agar menjaga batas kerana di sini bercampur antara lelaki dan perempuan, dia bergerak ke muka pintu.
"Jom," ajak Zafran.
Tanpa melengahkan masa, Ariana segera mengikuti lelaki itu. Keluar saja dari bilik kebal, mereka segera merangkak masuk ke jalan rahsia tadi. Sebaik sampai di muka pintu, Zafran berhenti seketika lalu mengintai di lubang yang terdapat pada pintu. Ada kanta intai di pintu itu.
"Tak ada orang kat luar," kata Zafran seraya perlahan-lahan membuka pintu.
Benar, tiada seorang musuh pun berada di situ. Keadaan itu membuatkan mereka sedikit lega. Setidak-tidaknya masa mereka untuk ke control room tidak terheret disebabkan kehadiran musuh.
Control room terletak di sayap kiri bangunan. Manakala kedudukan mereka pula di sayap kanan. Bentuk bangunan hospital yang direka seperti sayap burung jika dilihat dari sudut pandang atas ini membuatkan jarak perjalanan mereka untuk ke sana agak mengambil masa.
"Kita kena lepasi ruang legar untuk ke wing kiri. Tapi aku yakin kawasan tu penuh dengan musuh. Cadangan aku, kita menyamar sebagai orang mereka. On tak on?" tanya Zafran.
Untuk menyamar sebagai anggota pengganas, risikonya tinggi. Jadi, dia memilih untuk bertanya pendapat Ariana juga. Jika perempuan itu tidak setuju, dia tidak akan memaksa tapi tinggallah cik spy itu berseorangan di sini. Dia akan teruskan juga dengan pelannya walaupun terpaksa mengambil risiko seorang diri.
"Gila tak on. Cepatlah, aku excited ni," jawab Ariana sambil tersengih-sengih. Seolah tak sabar-sabar pula ingin menyamar.
Melihat itu, Zafran tertawa kecil. Saat ini, dia sedar yang perempuan ini bukan seperti perempuan yang biasa ditemuinya. Bahkan anggota tentera wanita, atau senang kata rakan wanitanya dalam militari juga tidak sebanding dengan perempuan ini.
Ariana yang ganas, tak reti takut, dan perangainya boleh dibawa mengucap.
"Okay, ready," kata Zafran.
Ariana menjawab suruhan itu dengan mengeluarkan dua batang picagari dari poket seluar. Jarum picagari dipandang tajam sebelum senyuman seram terlakar di wajahnya. Zafran yang melihat ekspresi itu automatik menelan air liur.
"Aku ingat kau nak lawan hand by hand," ujar Zafran, perlahan. Matanya tak lepas daripada terkunci ke picagari di tangan perempuan itu.
"Ni pun hand by hand juga. Cuma saja kali ni aku rasa nak dajalkan orang," gelak Ariana, juga perlahan. Nada ketawanya terkawal.
"Kau nak rasa?" Perasan Zafran merenung picagari di tangannya, Ariana menghalakan jarum picagari ke muka lelaki itu. Seronoklah pula melihat riak cuak itu.
"Kau ingat aku takut?" balas Zafran, saja cover seram sejuk. Suaranya dikawal agar kedengaran biasa-biasa saja.
Jujurnya, dia fobia dengan jarum. Cukuplah enam bulan terlantar di hospital, tubuhnya dicucuk dengan pelbagai jenis saiz jarum. Ada yang panjang, pendek, tebal, halus. Itu tak termasuk dengan pelbagai peralatan medikal lain yang tajam dan menyakitkan.
"Alah, cakap sajalah takut," gelak Ariana. Nadanya kedengaran mengejek.
Malas mahu melayan perempuan itu, Zafran kembali fokus ke muka pintu rintangan api di tangga kecemasan. Melalui intaian di cermin pintu, dalam jarak 50 meter, jelas pada pandangan matanya dua orang pengganas sedang berjaga. Masing-masing dilengkapi M-16 di tangan.
"Ready, target 50 meter," beritahu Zafran seraya bersedia membuka pintu.
"Okey." Dengan relaksnya Ariana berdiri di tepi pintu sambil tersenyum manis, sedang kedua-dua belah tangannya yang memegang picagari dibawa ke belakang.
Kreak...
Zafran menarik perlahan daun pintu, sengaja sebenarnya. Motifnya adalah menarik perhatian musuh agar mendekat. Ternyata helahnya berjaya apabila dua orang pengganas yang sedang berjaga terus berwaspada dan bergerak ke arahnya sambil muncung M-16 dihala pintu.
Seronok pula melihat lagak musuh-musuh. Semakin musuh mendekat, semakin kuat pula dia bermain pintu.
Dia sudah pun berada dalam mod bersedia. Siaganya setinggi langit. Nafasnya ditahan, menanti pintu ditendang keras oleh musuh. Sebaik sahaja musuh menerjah masuk, pantas dia keluar dengan gerakan lompatan tinggi di udara, kedua-dua belah kakinya direntangkan serentak dan...
DUSH!
Kaki kanannya menghentam pelipis musuh pertama dan kaki kirinya pula membantai tengkuk musuh kedua. Terus kedua-duanya hilang keseimbangan, badan berpusing liar sebelum terhempas jatuh dan tergolek-golek menuruni anak tangga. Sementara dia pula mendarat dengan kemas ke lantai.
"Kata mercenaries? Lemah!" Zafran yang membuat tornado double kick kepada musuhnya itu tadi terus mencebik.
Kesian, pengsan terus kedua-duanya.
"Tugas kau sekarang, cik doktor." Zafran berpaling kepada Ariana yang melihat saja aksinya tadi.
"Aku tahulah." Ariana mendekat lalu laju tangannya menyuntik anestesia dari jenis pentorbital kepada dua orang musuh di depannya.
"Mereka takkan bangun dalam masa tiga hingga empat hari," beritahu Ariana sambil tergelak kecil.
"Tak melampau ke?" Zafran mengerutkan kening. Lama sangatlah!
"Padan muka. Lagipun kita nak menyamar jadi mereka kan? Ini cara aku fikir terbaik untuk elakkan mereka tersedar awal," jawab Ariana, membela diri.
Memang agak keterlaluan pun sebenarnya menyuntik sedatif yang biasanya digunakan untuk induced coma dalam kes kecederaan otak teruk atau pembedahan kompleks. Dos yang diberi pula agak tinggi. Tapi kesah apa dia? Bukannya mati pun.
"Suka hati kaulah. Kau pendek, jadi kau ambil uniform mamat tu." Zafran memuncungkan bibir kepada musuh yang agak rendah.
"Mulut kau tu eii! Sejak bila aku pendek? Aku 168 cm tau!" marah Ariana. Geram tubuhnya dikata rendah. Dijelingnya lelaki itu dengan riak menyampah.
"Pendeklah tu," balas Zafran dengan bersahaja. Tergeletek hatinya melihat wajah protes perempuan itu. Wajah yang melakarkan riak jelas mengumpatnya dalam hati.
"Siap kau. Aku cucuk-cucuk juga kau nanti," gerutu Ariana. Tapi tangannya tetap laju membuka uniform penjahat di depannya.
"Uwerk, busuk!" Ariana menutup hidung.
"Ni pasti setahun tak mandi. Oh please, aku tak sanggup nak pakai baju dia." Berkali-kali tekaknya mengembang dan melugai. Hampir termuntah tapi ditahannya sebaik mungkin.
Zafran tertawa perlahan apabila melihat lagak Ariana. Tergeletek lagi hatinya melihat perempuan itu terkial-kial memakai uniform yang agak besar daripada badannya sambil mulut tak habis-habis "uwek uwek" beberapa kali. Sudah macam orang alahan mengandung.
"Kau diam. Jangan gelak. Kang bersepai gigi kau ke lantai nanti." Ariana yang perasan lelaki itu masih mentertawakannya terus memberi ugutan keras.
"Okey, doktor tengik. Busuk gila." Semakin kuat pula dia menahan ketawa, sampai bergegar-gegar tubuhnya.
Melihat Zafran tidak berhenti ketawa, semakin Ariana terasa kepalanya berasap. Malang betul dirinya. Tapi tak apa, ada ubi ada batas. Ada peluang nanti dia akan balas sampai merangkak mamat itu dikerjakannya.
'Kau tunggu, Zaf!' Ariana bercekak pinggang, dengan kini pakaian celoreng militari lengkap tersarung di tubuh dan topeng muka syaitan berwarna kelabu menutupi kepala.
Ps: Done. Jika rasa cerita ni best, tekanlah ⭐. Terima kasih baca ♥️.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro