BAB 11
Buat beberapa detik Zafran diam di tempatnya sebelum tiba-tiba, dia memetik jari. Dia sudah tahu tempat mana yang boleh digunakan untuk melindungi kanak-kanak itu dan ibu bapa mereka buat sementara waktu. Lantas tanpa membuang masa, dia segera berjalan ke wad biasa.
"Hei, tunggulah aku!" Terkocoh-kocoh Ariana membuntuti langkah Zafran.
Hailah pak cik ini, paling tak beritahulah sepatah mahu ke mana? Ininya tak. Menonong saja pergi tanpa memberitahunya apa-apa. Kalau tidak disebabkan lelaki itu sudi membantunya menyelamatkan orang, tak adanya dia terhegeh-hegeh mengikutnya!
"Kau nak pergi ke mana?" saing Ariana.
"Bilik kebal bawah tanah," balas Zafran.
Mendengar jawapan itu, Ariana terkesima. Bulat matanya. Bilik kebal bawah tanah? Hospital ini memang ada bilik kebal ke? Kenapa dia tidak pernah tahu pun sebelum ini? Jangan-jangan...
"Jangan cakap kau in charge aircond kat situ juga?" balas Ariana sambil menyaingi lagi langkah panjang Zafran. Semput!
Sebenarnya tadi dia nak cakap, "Kau ni siapa sebenarnya sampai tahu segala pasal hospital ni?" Tapi mujurlah otaknya lebih cepat berfungsi. Dalam keadaan kecemasan begini, dia hanya mengiakan saja informasi bahawa lelaki itu adalah juruteknik. Lebih kepada malas bergaduh sebenarnya.
"A'ah," jawab Zafran.
Mendengar jawapan balas lelaki itu, Ariana mengangguk kecil. Iakan saja balasan itu. Malas nak lanjutkan pertanyaan lain walaupun jujur, hatinya tidak yakin pun dengan jawapan itu. Baginya lelaki yang bernama Zaf itu terlalu banyak rahsia. Tengok saja skil berlawannya tadi, perghhh!
Ganas dan mantap.
Sampai di wad biasa, kehadiran mereka disambut dengan teriakan dan tangisan takut daripada kanak-kanak. Yang kanak-kanak semakin berhimpitan dan yang dewasa pula tak habis-habis merayu minta dilepaskan. Kecoh jadinya wad itu.
"Relaks, semua tenang. Kami bukan orang jahat. Saya doktor di hospital ni. Kami akan bawa adik-adik dan ibu ayah semua pergi dari sini," kata Ariana seraya menayang kad kerjanya ke udara.
"Doktor..." Para ibu bapa terketar-ketar bangun, pantas mendapatkan anak masing-masing.
Teriakan kedengaran lagi sampaikan keadaan menjadi tidak terkawal. Kanak-kanak yang ibu bapanya telah meninggal dunia kembali meraung sambil menggoncang dan memeluk jasad kaku ibu bapa mereka.
"Zaf." Ariana berpaling kepada Zafran, ingin mendapatkan pandangan bagi mengawal keadaan. Tapi ternyata pandangan yang menyapa matanya saat ini membuatkan naluri wanitanya tersentuh.
Lelaki itu dilihat sedang menenangkan seorang kanak-kanak perempuan yang kudung kakinya. Kanak-kanak itu menangis tersedu-sedu, lemah selemahnya dalam dakapan lelaki itu. Sudahlah kehilangan anggota tubuh, kini anggota keluarganya juga hilang daripadanya.
Sang ibu mati ketika cuba menyelamatkannya daripada ditembak. Jasad ibunya masih utuh melindunginya sehinggalah Zaf mengambilnya daripada pelukan tubuh kaku tidak bernyawa si ibu.
"Adik, adik ikut uncle ya. Uncle akan bawa kamu pergi dari sini," kata Zafran, perlahan.
"Adik nak ibu..." tangis kanak-kanak itu.
Tangisannya amat meruntun jiwa. Hampir saja air mata Ariana menitik tatkala ayat "nak ibu" diulang berkali-kali oleh kanak-kanak itu. Hatinya turut berasa seperti disiat-siat melihat kanak-kanak lain turut mengongoi sambil memeluk ibu bapa masing-masing.
"Zaf," panggil Ariana.
"Bawa mereka keluar. Ikut aku," arah Zafran tanpa menyahut panggilan Ariana. Lantas, dia segera mendukung kanak-kanak itu lalu membawanya keluar dari situ.
Melihat tindakan lelaki itu, Ariana mencebir. Dia ditinggalkan bersendirian untuk menguruskan 19 orang kanak-kanak dan 9 orang dewasa yang masih hidup. Sudahnya, terpaksalah dia meminta setiap seorang orang dewasa mendukung atau memimpin dua orang kanak-kanak.
"Ikut saya," arah Ariana kepada semua yang ada, sedang dia sendiri mendukung kanak-kanak perempuan yang cedera kedua-dua belah mata dan tidak boleh melihat.
Setelah memastikan semuanya berada dalam formasi yang betul, dia membawa mereka mengikut jejak Zaf yang sudah agak ke depan. Rupa-rupanya, lelaki iitu menghala ke pintu kecemasan dan setelah memastikan keadaan selamat, dia menyuruh mereka menuruni tangga hinggalah sampai di tingkat satu.
Nasib baik tiada CCTV di di sini. Kalau tak, haru!
Tiba di situ, terdapat satu pintu kecil di sebelah tempat penyimpanan gulungan wayar bomba. Tanpa bertangguh, Zafran segera membuka pintu itu. Kini, terpapar di mata mereka satu pintu besi yang lebih kecil di dalamnya, muat-muat saiz rangkakan orang dewasa.
"Apa tu?" Ariana mendekati Zafran.
"Jalan ke bilik kebal," jawab Zafran sambil menekan-nekan nombor pin keselamatan.
Rasanya dia masih ingat nombor itu. Harapnyalah. Itu pun kalau arwah Ayyash tidak menukar nombor itu tanpa memberitahunya. Memang sia-sia saja usahanya sekarang kalau pintu itu tidak dapat dibuka.
Satu kali cubaan, dua... dan berjaya!
Sebenarnya, bilik kebal itu adalah port rahsia antaranya dan Ayyash. Jika tiada kerja, di situlah mereka berdua akan lepak bersama Aries dan Cancer. Tidak menjadi masalah bagi mereka berempat kerana hospital itu dimiliki oleh keluarga Ayyash.
Bilik itu, Ayyashlah yang meminta secara personal kepada ayahnya yang merupakan pengerusi hospital ketika itu atas alasan senang mahu menjaga Ayden yang sejak kecil menghidap penyakit jantung berlubang. Kini, walaupun jawatan pengerusi diambil alih oleh abang sulungnya, tetap saja ruangan itu kekal di situ.
"Kau masuk dulu. Jangan risau, ruang jalan ni sehala saja. Ni nombor pin keselamatan pintu bilik kebal," suruh Zafran kepada Ariana seraya memberitahunya dua set nombor pin yang setiap satunya mengandungi enam digit.
"Jenuh aku nak ingat," protes Ariana. Dia bukannya suka matematik. Lemah betul kalau disuruh mengingat nombor.
"Kau nak ingat nombor pin ni atau nak ingat bilangan mayat?" cantas Zafran, tegas!
"Yalah, yalah!" Ariana melepaskan keluhan terpaksa. Malang betul nasibnya perlu menghafal dalam keadaan begini.
"Okey aku dah ingat. Kecohlah kau ni." Dengan muka cemberut terlakar di wajah, Ariana segera merangkak masuk ke ruang jalan ke bilik rahsia dengan sebelah tangannya memegang kejap kanak-kanak buta tadi.
Melihat Ariana sudah pun masuk ke dalam, Zafran mula mengatur giliran masuk para kanak-kanak dan ibu bapa. Dua orang kanak-kanak masuk dahulu diikuti seorang ibu dan begitulah seterusnya sehinggalah tiba giliran bapa. Formasinya; Ariana dan seorang kanak-kanak, kemudian dua orang kanak-kanak dan ibu, dan dua orang kanak-kanak dan bapa. Akhir sekali barulah dia bersama kanak-kanak yang kudung kaki tadi.
"Uncle, adik takut." Kanak-kanak yang kudung kaki mula teresak-esak, takut apabila melalui jalan gelap.
"Jangan risau. Insya-Allah kita akan selamat," tenang Zafran sambil tangannya menutup pintu laluan rahsia ke bilik kebal.
Sayang seribu kali sayang, sebenarnya bilik kebal ini tidak dibina dengan fungsi dapat berhubung dengan dunia luar. Ini kerana asalnya bilik ini selain dijadikan tempat lepak, ia adalah tempat latihan militari mereka empat sekawan. Dia dan Ayyash si mamba hijau, Aries si paus biru dan Cancer si helang putih selalu bersama di sini untuk mengasah skil masing-masing.
Namun, untuk mengelakkan kehadiran mereka berempat di sini kelihatan mencurigakan, semestinya ada lif khas untuk ke bilik kebal. Tapi itulah tak boleh guna pula. Untuk turun ke sini, mereka perlu mengimbas kad khas. Tapi macam mana mahu menggunakan elevator kalau bangunan hospital sedang ditawan? Memang rezekilah dulu Ayyash berfikir di luar kotak dengan menyuruh kontraktor membina satu laluan kecemasan untuk ke bilik kebal.
"Isk... isk..." Kanak-kanak itu semakin kuat menangis.
Melihat itu, Zafran tidak membuang masa lagi. Pantas dia merangkak, membawa kanak-kanak itu ke bilik kebal. Dia tidak boleh mambazirkan masa lagi kerana selepas ini, misi lain sedang menantinya. Ini baru mangsa di wad pediatrik. Wad lain pula?
Sebaik sahaja sampai di sana, dia melihat Ariana telah mengumpulkan semua yang terlibat dalam satu kelompok. Terus senyuman kecil terbit di hujung bibirnya. Tak perlu disuruh, perempuan itu mengerti tindakan seterusnya yang perlu dibuat dalam keadaan kecemasan sebegini.
"Aku akan hubungi Badrul untuk maklumkan hal ni," bisik Ariana kepadanya.
"Tak boleh," geleng Zafran.
Ternganga terus Ariana jadinya. Kenapa tak boleh? Kalau tak bagi tahu Badrul, macam mana nak bawa keluar mereka semua dari sini nanti? Si Zaf ini otaknya sudah tak center ke lepas buat headbutt ke kepala musuh tadi? Alah, janganlah!
Ps: Dengan ini... saya Angel_k20... dengan muka tak malu nak minta "⭐" daripada awak semua. Bolehlah ea? 🤭😂♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro