
BAB 10
Sambil berjalan, Ariana meregangkan bahunya. Bahunya bergerak sedikit ke belakang, dan ototnya menegang seketika sebelum kembali relaks. Gerakan itu kecil dan hampir tidak kelihatan, namun cukup untuk membuatkan aliran serangannya sebentar lagi bergerak lancar.
Nafasnya tenang. Langkahnya bersahaja. Jelas, dia sangat bersedia untuk menghentam musuhnya hingga menyembah bumi. Tangannya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menibai musuh.
Sampai sahaja di wad separa kritikal, dia segera masuk ke dalam, memunculkan diri di depan musuh tanpa sedikit pun ragu dan gentar. Malah, senyuman mesra pula diberikan kepada musuhnya, si lelaki bersut militari hitam yang sedang merokok di tepi tingkap.
"Hai!" Ariana memberi lambaian mesra kepada lelaki itu.
Kehadiran itu terlalu tiba-tiba! Terperanjat mungkin melihat kehadirannya, pantas lelaki itu mengangkat senapang dan mengacu ke arahnya. Jarinya cuba menekan picu tetapi sayang, terlambat sesaat.
Ariana terlebih dahulu membenamkan lutut kanannya ke muka musuhnya itu. Lariannya bermula dengan zigzag sebelum melompat tinggi di udara dan sebaik sahaja mencapai jarak lima meter, hentakan lutut segera dilepaskan tepat ke wajah si musuh. Luncuran tubuhnya bak peluru menghentam dengan ganas, membuatkan musuhnya terpelanting ke dinding.
Kepala musuh terhentak kuat ke tingkap, rokok terjatuh dari bibir dengan puntungnya bergolek di lantai. Darah mengalir laju keluar dari hidung, dan tulang hidungnya jelas berkeriut daripada impak benaman lutut di muka. Terus air mata lelaki itu juga keluar tidak henti-henti tanpa boleh dikawal.
"Fuh! Puas hati aku!" kata Ariana seraya melemparkan senyuman senget kepada si musuh yang tersandar ke dinding.
Kalau diikutkan hati, mahu saja dia menjerit riang tetapi tak apalah, nanti kehadirannya disedari oleh dua orang pengganas lain yang berada di wad biasa. Selain daripada merosakkan pelan asal, ada kemungkinan nyawanya pula akan tertanggal dari tubuh kalau Zaf gagal membereskan musuh mereka itu sekali gus.
"Jahanam kau..." Dengan terhuyung-hayang, si musuh itu cuba bangun.
Beberapa kali juga dia jatuh terduduk tetapi semangatnya untuk menghancurkan perempuan yang memakai baju skrub doktor itu setinggi gunung. Keadaannya begitu kasihan. Melihat itu, Ariana mengambil keputusan memberinya peluang untuk berdiri dengan stabil dan mereka akan kembali meneruskan perlawanan tanpa senjata yang tertangguh tadi. Namun, pergerakan lelaki di depannya itu terlalu lambat.
"Slow gila! Kalah siput babi." Ariana sudah tidak boleh bersabar.
Tangan kanannya segera menjambak rambut panjang lelaki itu, memaksanya mendongak ke atas. Si musuh terkial-kial ingin melepaskan diri. Senyuman geram diberi lalu dengan gerakan pantas, dia melingkarkan lengan kirinya ke leher lelaki itu sementara tangan kanannya pula terus menekan kuat tengkuk musuh.
Cengkaman itu seperti cengkaman helang. Ketat dan kejam! Lelaki itu terus menggelepar. Tangannya mencakar lantai dan kakinya menendang kosong di udara. Nafasnya tersekat, oksigen tidak boleh masuk ke dalam paru-paru. Matanya membulat, terbeliak dan tubuhnya menggeliat dalam panik.
"Have a good sleep..." Ariana mengetatkan lagi stranglehold dengan buku-buku jarinya menekan keras di bawah dagu lelaki itu hinggalah akhirnya pergerakan semakin lemah dan kaki tidak lagi menendang.
Satu saat. Dua saat. Tiga, dan okey. Tubuh itu terkulai.
"Kau tidur dulu elok-elok kat sini. Mimpi indah-indah tau," ejeknya pula seraya melepaskan cekikan dengan kasar.
Dia cuma mahu lelaki itu pengsan, bukannya mati. Lagipun, dia masih sedar akan etika kedoktorannya iaitu menyelamatkan nyawa, bukannya membawa orang bertemu Tuhan. Jika tidak keadaan terlalu terpaksa, dia tidak akan sesekali mencabut nyawa orang.
Tapi itulah, dek tersilap teknik melepaskan cekikan, kepala lelaki itu terhentak ke troli besi yang terletak di sebelahnya saat tubuh menyembah lantai. Efeknya, satu dentuman kasar kedengaran.
BAM!
"Alah..!" Ariana mengetap rahang. Bunyi itu terlalu kuat!
Saat ini, dia yakin seratus peratus para musuh di wad biasa sudah pun menyedari kehadirannya di sini akibat kecuaiannya tadi. Dan... dia juga yakin seratus peratus yang Zafran tengah bengang dengannya.
Manakan tidak, tadi sebelum melepaskannya pergi membelasah musuh, lelaki itu sudah berpesan kepadanya supaya buat kerja sesenyap mungkin. Namun, akibat terlampau excited sebab sudah lama tidak bergasak di lapangan, dia terlupa akan pesanan itu.
'Sorry abang technician celup a.k.a polis undercover yang entah betul entah tidak, nanti aku minta maaf dengan aiskrim eh.' Tiba-tiba saja bulu romanya menegak, seram membayangkan muka serius Zaf yang pasti akan berganda-ganda serius akibat marahkannya.
"Hoi!" Tiba-tiba, terdengar bunyi jerkahan kuat di muka pintu.
Bahu Ariana automatik terjongket. Terkejut bhai! Pihak musuh muncul di muka pintu wad sambil senapang dihala ke arahnya. Tapi sebelum sempat mereka menekan picu, salah seorang daripada mereka terus tergolek ke lantai akibat menerima tujahan jurus layang maha laju daripada seseorang.
'Zaf!' Ternganga Ariana melihatnya. Tangannya terus menutup mulut.
Ganas nak mampus!
Melihat rakannya tiba-tiba terluncur dan tergolek ke lantai sebelum terhempas keras ke dinding, pengganas kedua bertindak melibas senapangnya kepada penyerang yang menyerang. Namun, pergerakan penyerang itu terlalu cepat. Tahu-tahu, dia pula ditarik ke belakang tanpa amaran.
Lengan penyerang itu menyilang di bahunya dalam kunci rear naked choke yang kejap. Puas dia meronta cuba melepaskan diri namun semakin lama, dia mula kelemasan dan akhirnya tidak sampai lima saat, tubuhnya longlai. Kesedarannya hilang sepenuhnya.
"Zaf, belakang!" jerit Ariana. Terkejut dia apabila tiba-tiba saja musuh yang tadinya tumbang kembali bangun dan menyerang lelaki itu.
'Aku tahulah.' Zafran tidak menyahut bahkan segera mengelak ke tepi. Hentaman buntut senapang tidak mengenainya bahkan terkena kepala pengganas kedua yang sedang pengsan.
Tindakannya membuatkan si musuh teramat berang. Marah kerana rakannya tersungkur di tangan orang biasa. Bagaimana mungkin mereka para mercenaries, iaitu tentera upahan terlatih yang ditugaskan untuk menawan hospital ini boleh tewas sebegitu rupa. Ia sesuatu yang amat memalukan!
"Bangsat!" tempiknya lalu menyerang Zafran dengan lebih agresif.
Zafran pula masih seperti tadi, dia hanya kekal dalam posisi mengelak. Bukan masanya lagi untuk menyerang balas kerana menurut perhitungannya, serangan pada masa ini akan membuatkan tenaganya berkurangan. Lebih baik dia buatkan lembu naik minyak itu kehabisan stamina dan dia akan mengambil kesempatan itu untuk membereskannya dengan sekali jalan.
Satu... dua... tiga!
Inilah masanya!
Saat musuhnya berhenti menyerang bagi mengambil nafas, segera dia melepaskan libasan kencang ke batang tengkuk lelaki itu. Lelaki itu terdorong ke hadapan dengan mukanya terbenam ke dinding dengan bunyi hentaman keras.
Meraung terus si musuh tapi Zafran tidak menghiraukan raungan itu. Malah, dia sengaja menambah tahap kesakitan lelaki itu dengan menghadiahkan pula serangan terakhir.
Buku limanya dihentak bertalu-talu ke tulang rusuk pihak lawan sebelum dia menamatkan semuanya dengan memberi tendangan padu ke kedua-dua belah lutut. Pada saat itu, bunyi tulang patah dan tubuh terhempas ke lantai menjadi halwa telinganya. Namun, singa dalam dirinya masih belum puas membuas.
Dia mencangkung di sebelah tubuh yang longlai bak kain buruk, kemudian pantas tangannya mencengkam kolar lelaki itu lalu menarik kepalanya ke atas. Tanpa belas kasihan, dia menghentakkan kepalanya ke hidung lelaki itu dengan hentaman keras. Rasakan headbutt padu seorang Left. Zafran al-Haq!
Terus si musuh kembali terhentak ke lantai dengan hidungnya berdarah-darah dan air matanya berjejeran keluar tanpa kawalan, bercampur di lantai darah dan air matanya. Puas hatinya tatkala melihat lelaki itu tidak lagi mampu bangkit, bahkan terus berlayar ke alam gelap.
Misi menumpaskan empat orang pengganas di wad pediatrik; selesai!
"Hebat." Kedengaran suara Ariana disusuli tepukan tangan.
Zafran melepaskan nafas pendek, dan peluh di dahinya dikesat dengan belakang tangan. Sudah agak lama sebenarnya dia tidak berlawan begini dan saat ini nafasnya terasa semput. Wajahnya dipalingkan kepada Ariana dan matanya bertemu dengan perempuan itu. Ariana kelihatan memandangnya sambil tersengih-sengih.
"Apa aku patut buat dengan kau ni hah? Tak dengar arahan," kata Zafran, geram.
"Sorry. Tapi aku tak salah okey? Salahkan troli tu sebab ada kat situ," jawab Ariana seraya menunjuk ke arah troli yang menyebabkan kehadiran mereka di situ disedari oleh pihak musuh.
"Huh!" Zafran membalasnya dengan menggeleng perlahan.
Nafasnya dihela perlahan dan pandangannya dihala ke sekitar. Empat orang musuh di sini sudah tumbang tapi ini baru permulaan. Sikit masa lagi pasti ketumbukan musuh akan sampai di sini apabila CCTV mula menunjukkan video real time.
Masa 30 minit kini berbaki 15 minit sahaja lagi. Dalam masa ini, mereka perlu membawa kanak-kanak malang bersama ibu bapa mereka yang masih hidup ke tempat selamat. Tapi tempat selamat itu, di mana?
Ps: Suka dengan cerita ni? Hadiahkanlah ⭐ kat saya. Terima kasih ♥️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro