Bab 6
Hilani mahupun Erhan masing-masing terus mendiamkan diri. Pada saat ini, Erhan rela mengunci mulut daripada terus-menerus mengulang cerita yang sama. Yalah, apa lagi nak diceritakan bila berulang kali sudah diperdebatkan dalam bilik disiplin? Lebih baik kedua-duanya cuma jadi pendengar yang baik. Dari awal lagi, Erhan sudah dapat mengagak, di hujung-hujung cerita nanti, salah itu akan berpatah balik kena batang hidung sendiri.
Tak tahulah kat mana silapnya. Cerita mereka disulam dengan episod-episod cinta yang tak pernah wujud pun sebelum ni. Erhan sendiri kurang pasti bagaimana cerita itu sampai ke telinga guru-gurunya walhal itulah kali pertama dia dan Hilani bertentang mata! Dunia yang dipenuhi kata-kata fitnah memang kejam!
"Cikgu tak sangka perangai awak macam ni, Erhan. Cikgu kecewa sangat. Gatal sangat nak menikah dah ke?" Cikgu Muhazam menyindir. Mentang-mentanglah Erhan antara pemain ragbi sekolah yang menyerlah, gamaknya dia gunakan kelebihan itu untuk mengayat perempuan walaupun muka tak berapa hot.
"Erhan, awak nak mengaku ke tak ni? Mak awak pun dah ada di sini. Tak kesian ke kat dia?" Cikgu Faridah pula bersuara. Adoi, dah kenapa semua cikgu yang ada di dalam bilik ini, seakan-akan mengasak pelbagai soalan kepadanya dan paling tragis cuma nama dia yang dipetik dan dipersalahkan?
"Saya malu, cikgu. Saya kenal anak saya. Hilani bukan jenis budak liar. Dia memang tak pandai menipu. Dia tak pernah menipu kami pun. Semua benda dia akan cerita kepada saya dan suami." Salmi pula mula menutur bicara. Erhan mencuri pandang kepada wanita yang hampir sebaya dengan uminya. Wajah Hilani lebih mirip mengikut raut wajah ayahnya. Betulkah itu emaknya, atau Hilani sekadar mengupah wanita yang tidak dikenali tepi jalan berlakon sebagai ibunya semata-mata untuk melepaskan diri? Huh! Otak Erhan ligat mencari kaitan antara dua manusia yang nampak janggal hubungannya itu.
"Saya minta maaf bagi pihak anak saya, ya? Saya pun tak terjangka dia akan bertindak macam tu." Bicara Hazura seakan-akan mencipta alasan untuk segera menamatkan perbincangan. Erhan geleng kepala tidak bersetuju dengan uminya yang cepat menyerah.
Hazura pula mempunyai pendapatnya tersendiri. Walaupun dia percaya Erhan takkan melakukan perkara terkutuk itu, tapi keadaan macam tak memihak kepada anaknya. Semalam pun berkali-kali Erhan bersumpah yang dia tak bersalah, takkanlah dia pun nak tuding jari kepada anaknya? Sudahnya lagi empat jari tetap hala kepadanya. Itulah emak si polan si polan yang tak pandai mendidik anak! Bila membesarkan anak dengan status ibu tunggal, banyak mata-mata yang memandang serong. Bila wujud masalah, mereka yang berstatus tunggal itulah akan cepat menerima kecaman. Aduhai. Memang perit.
"Umi. E tak salah!" tegasnya.
"Habis, kamu nak tuduh dia yang salah?" Salmi mengherdik. Mata mereka bertaut dan dia cepat-cepat melarikan pandangan bila renungan budak lelaki itu sangat tajam menikam.
"Mujur suami saya tak ikut sekali, kalau tidak, saya tak taulah jadi apa dengan budak laki ni. Dah terang-terang buat salah, tak mau mengaku pula. Anak saya baru bertukar ke sini. Sebelum ni, dia tak ada masalah langsung di sekolah lama." Nada suara Salmi berubah rentak.
"Ayah dia malu sangat bila anak dia diperlakukan macam tu. Dia muda lagi. Kami sekeluarga menanggung malu. Jiran-jiran saya semua tau pasal hal ni. Sebab tulah, saya harap sangat kes ni dapat diselesaikan cepat," tambah Salmi lagi. Makin menyampah dia melihat wajah kelat anak muda itu.
Dia lebih percayakan cerita kawan-kawan Hilani. Dari dahulu anak gadisnya memang ramai peminat lelaki. Dia sendiri mengagak budak lelaki berwajah ketat yang duduk berhadapan dengannya mesti turut sama menyimpan perasaan terhadap Hilani. Tapi perlukah Erhan perangkap dan jatuhkan maruah seorang gadis sampai begitu sekali semata-mata cinta yang bertepuk sebelah tangan?
"Mak cik, dia yang melulu masuk dalam bilik sakit tu!" Erhan tinggikan suara.
"Hoi, hang ceritalah benda yang betul. Jangan duk diam saja." Erhan mula mendesak. Apa nak jadi pun, jadilah. Dia di sebelah pihak yang benar. Hilani tunduk senyap.
Hesy, mana boleh dia buka mulut, nanti lain pula jadinya. Dia tak sanggup berdepan dengan kemarahan dan sikap garang Iman. Cukuplah sekali dia dilibas dengan paip getah hanya kerana ponteng sekolah dan ditangkap oleh anggota polis yang membuat rondaan sekitar bandar dulu. Akibatnya, dia dan beberapa kawan diangkut naik trak hitam. Dia dah bertaubat dan takkan sesekali ikut kawan ponteng sekolah lagi! Kalaulah dia mengaku salah, silap-silap berbirat lagi belakang badannya. Tak boleh, tak boleh! Hilani gigit kuat bibir bawahnya.
"Erhan Zikri, awak jangan biadab sangat. Kita di sini bukan untuk bergaduh. Saya dah siasat kes ni. Awak memang dah lama suka Farah Hilani kan sejak dia masuk sekolah ni, sebab tu awak tarik dia masuk ke dalam bilik tu? Awak rasa tercabar dengan Hadif ke?" Cikgu Kamran mula membuat hujah sendiri. Itulah perangai cikgu yang kadang-kadang sibuk nak jadi 'polis' dan paling teruk bila sesuka hati jatuh hukum tanpa bukti sahih.
"Cikgu mana boleh tuduh saya macam tu? Kenapa tiba-tiba naik nama Hadif pula ni?" Erhan mula geram. Dia tersandar di kerusi kayu. Pandangannya terarah kepada Hilani yang dari tadi hanya diam membisu. Tolonglah cakap! Paling dia tak tahan, kenapa pula nama Si Hadif terseret sekali? Ada sesuatukah yang dia belum tahu? Konspirasi apakah ini? Apa kaitan kapten bola sepak itu dengan cerita seribu satu pagi antara dia dengan Hilani? Cikgu Muhazam terus laju menaip sesuatu di komputernya. Ah, mesti sudah tak sabar nak buang dia dari sekolah agaknya. Belum pun terbukti kebenaran, rasanya dirinya sudah dijatuhkan hukum. Ligat jari-jari itu mematuk keyboard. Tap, tap, tap!
"Bila masa saya tuduh awak? Saya ada saksi tau," balas Cikgu Kamran dalam nada yang tinggi.
"Macam nilah Erhan, awak boleh suka dia tapi kalau dia dah bagi tau tak sukakan awak, mana boleh awak buat dia sampai macam tu. Tak boleh fikir ke baik buruk perbuatan awak tu? Disebabkan perangai awak, sana sini orang bercerita pasal kamu berdua. Farah Hilani ni perempuan. Awak tak terfikir ke pasal maruah seorang perempuan? Cikgu rasa mak awak pun mesti kecewa dengan perangai awak." Cikgu Faridah selaku guru kaunseling pula mula berhujah.
Hah, yang ini sibuk nak jadi pakar sakit jiwa ke? Erhan menggaru bawah dagu. Sorang-sorang mula membebel dan yang pasti kata-kata itu semua dihumban atas kepalanya seorang!
"Gentlemanlah sikit. Bila dia dah tolak cinta awak, kenapa tiba-tiba rasa nak malukan dia sampai macam tu sekali, mana boleh buat kat orang lagu tu. Sekarang ni kamu berdua yang mendapat malu besar." Cikgu Kamran pula sibuk menambah hujah. Erhan dah rasa macam duduk di kandang orang bersalah. Tunggu masa saja hakim ketuk tukul kayu.
"Cikgu, saya tak faham apa yang cikgu nak sampaikan. Kenapa pula saya yang salah? Dia yang salah. Dia tu punca!" Erhan menumbuk meja. Suara tinggi Erhan membuatkan uminya terkejut. Perlahan-lahan dia menggosok belakang anaknya.
Terkejut Cikgu Faridah yang sedang sibuk mengisi borang. Erhan berdiri tegak bagaikan ayam jantan menunggu masa untuk bertarung. Lagi dia senyap, lagi sakan cerita kembang mekar dengan pelbagai saksi baru yang timbul padahal cuma mereka berdua yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam bilik sakit itu. Kali ini dia sudah hilang sabar.
"Awak jangan jadi kurang ajar!" herdik Cikgu Kamran. Kedua-duanya tidak mahu mengaku kalah. Berbalas renungan tajam sekadar melepaskan rasa amarah yang terbuku dalam hati. Jiwa mudanya mula membentak.
"Erhan duduk... Duduk!" paksa Hazura. Sesaat kemudian dia menarik tangannya memaksa anaknya duduk bertenang. Bibirnya itu nampak bergetar hendak memaki sesuatu dengan pandangannya tajam menikam kepada Hilani. Sumpah, dia memang rasa nak cekik budak perempuan itu.
"Hurm, makin bertambah masalah disiplin awak ni. Ponteng sekolah, ponteng kelas, berkhalwat dan yang terbaru mengancam keselamatan guru." Cikgu Faridah senyum sinis. Aduh, satu per satu diungkit. Jahat sangatkah dia?
"Errr... Dia ponteng sekolah ke cikgu, bila? Tapi dia hari-hari pergi sekolah. Siap pakai baju sekolah." Hazura menyangkal. Salmi mendengus geram. Hah, dah agak dah, budak lelaki berkepala botak ini memang spesies budak jahat. Memang ngam sangat muka dengan perangai dia.
"Umi," panggil Erhan perlahan. Saat ini dia terpaksa mengaku salah yang satu itu. Memang dia kerap ponteng sekolah tapi itu dulu ketika otaknya berserabut dan ketika hubungan mereka dua beranak sering berantakan bergaduh kerana Yusuf.
"Puan Hazura, anak puan memang kerap ponteng. Dia macam tak kesah pun nak menduduki peperiksaan SPM tahun ni. Semua tarikh yang dia ponteng tanpa sebab atau alasan, saya dah lampirkan dalam surat ni. Puan boleh tengok sendiri." Cikgu Faridah menghulurkan borang tadi. Hazura cepat-cepat menyambutnya.
"Ini surat apa pula?" Dia bertanya lagi. Bukan dia tak boleh baca, tapi tajuk surat itu menggusarkan hatinya, Erhan panjangkan leher mengintai isi kandungan surat.
"Demerit? Cikgu, takkan saya kena demerit sampai 50 mata? Minggu ni kan ada perlawanan. Cikgu jangan buat saya macam ni." Erhan tayang muka tak puas hati.
"Itulah hukuman untuk awak. Khalwat saja sudah tolak 50 mata. Itu belum saya kira kesalahan kecil yang lain," tukas Cikgu Kamran. Erhan mendengus kasar. Makin menyampah dia nak tunggu lagi. Erhan menyambar beg sekolah di atas lantai. Dia sudah tak sanggup nak dengar bebelan merapu Cikgu Kamran. Renungan Cikgu Kamran dari bawah kaca matanya lagilah membakar hatinya.
"Dia?" tanya Erhan menunjuk tepat ke batang hidung Hilani sebelum melangkah keluar. Takkan dia seorang saja dapat habuan? Ketika ditangkap, sah-sah mereka berdua. Hilani pun patut kena!
"Kesalahan dia tak macam kamu. Macam saya cakap tadi. Saya ada saksi..." Belum habis Cikgu Kamran berkata-kata, Erhan terus melangkah pergi.
Dummm! Pintu bilik disiplin ditutup kasar. Tak guna untuk terus menunggu di dalam 'ketuhar panas' itu. Silap hari bulan, mahu terbalik meja di bilik disiplin itu kalau kesabarannya tinggal senipis kulit bawang.
Hazura langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Apa lagi yang patut dia katakan? Melihat tingkah laku Erhan tadi sudah cukup membuatkan dia tertunduk sembunyikan malu. Erhan tak pernah bersikap seperti tadi. Dia sendiri terkejut. Jelas anaknya sedang memberontak.
"Mak cik nak tanya ni, betul ke anak mak cik buat kamu macam tu?" Hazura memandang tepat ke dalam mata hitam Hilani. Gadis itu diam. Dia mula cuak bila banyak mata memerhati dirinya.
"Cakap aje. Nak takut apa, mak kan ada?" Salmi mengusap lembut bahu anak gadisnya.
"Ya mak cik, dia tarik saya masuk dalam bilik tu masa saya nak pergi toilet," jawab Hilani sayup. Ah, nama pun menipu, dia sendiri rasa bimbang andai perkara ini terbongkar suatu hari. Kalaulah dia tak bersetuju dengan rancangan Hadif, mesti keadaan dah jadi lain. Pandai Hadif pusing cerita sampaikan semua orang percayakan kapten bola sepak sekolah yang kacak itu. Farah Hilani terhutang budi kepada Hadif Saffian selamanya.
Mendengar pengakuan daripada mulut Farah Hilani, hanya menambah luka dalam hati Hazura. Dia tahu Hilani berbohong sebab gadis itu tidak berani membalas pandangannya. Hilani hanya tunduk memandang permukaan meja. Yang rata. Namun dia menarik nafas lega selepas mendengar jawapan Hilani. Kira dah cukup baik, Erhan cuma diberikan amaran keras dan ditolak demerit daripada digantung sekolah. Adakala ujian yang datang akan mematangkan seseorang. Hazura cuba berfikiran positif.
"Errr... Puan, mulai esok sampai minggu depan, Erhan Zikri tak payah datang ke sekolah, ya? Dia digantung seminggu. Saya dah sertakan sekali surat dan tuan pengetua pun dah tandatangan," tutur Cikgu Faridah lembut.
"Hah?" Berpinar kepalanya saat mendengar perkara itu. Ini sangat-sangat tidak adil.
"Tapi kan cikgu, dia kan nak ambil SPM tahun ni?" Hazura tidak berpuas hati.
"Puan, jawatankuasa unit disiplin dah bermesyuarat dan mengambil kira semua perkara. Kami pun tak mahu dia tertinggal dalam pelajaran kalau digantung lama. Selepas seminggu, dia boleh datang semula ke sekolah," terang Cikgu Kamran lembut.
Hazura menghela nafas panjang. Dia membuang pandang membaca isi kandungan surat tanpa rasa. Semuanya nampak kabur bila tubir matanya mula rasa suam namun dia masih mampu mengawal emosi.
"Hurm... Eloklah tu. Anak saya Hilani pula macam mana, cikgu?" Salmi bertanya. Digosok-gosok bahu anak 'kesayangan' itu. Dia tahu Hilani anak yang baik cuma keadaan yang membuatkan Hilani terperangkap dalam situasi buruk itu. Ah, ini semua salah mamat muka ketat tu.
"Salah tetap salah juga ya, puan. Pihak sekolah akan tolak demerit 20 mata. Itu saja dan kami berharap kejadian macam tu tidak lagi berulang. Ini surat aku janji. Sila isi maklumat bahagian waris. Nanti kalau berulang lagi, pihak sekolah terpaksa ambil tindakan yang tegas. Ini sebagai amaran," beritahu Cikgu Kamran sepatah-sepatah. Salmi angguk tanda faham segala penerangan. Pen di atas meja dicapai dan dia segera melengkapkan pengakuan aku janji bagi pihak anaknya.
Hazura angkat wajah memandang kepada Cikgu Faridah. Antara rasa malu dengan tingkah laku Erhan dan rasa tak puas hati pun ada juga tetapi sudahnya dia hanya diamkan sahaja. Semuanya ditelan seorang diri. Alah, seminggu saja. Selepas itu semua akan kembali normal. Konon! Hazura memujuk hati sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro