Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Erhan melabuhkan punggung di atas pangkin kayu bawah pokok rambutan. Pandangannya menghala ke depan jalan raya. Petang yang mendamaikan walaupun hatinya masih libang-libu dan berserabut. Bunyi deruman motor yang lalu-lalang sikit pun tak diambil pusing. Dia berada dalam dunianya sendiri.

"Berikan aku... Cintamu... Cintamu... Agar aku terus bernafas... Sayangku... Jiwa ini memikirkanmu... Ooo..."

Hazreal tak habis-habis memetik gitar buruknya. Suara tak sedap mana pun. Itu pun ada hati nak masuk Malaysian Idol. Nafas dengan lidah sama-sama pendek, sekali tarik tinggi, terus hilang suara. Haha! Erhan menguis daun kering yang jatuh sehelai dua di atas pangkin. Kerengga yang meniti di tepi pangkin dijentik jatuh ke bawah.

"Adoi." Erhan meraba belakang tengkuk. Pantas jarinya menangkap seekor kerengga yang menggigitnya.

"Eleh, kena ketit sikit aje pun, jerit macam perempuan!" Hazreal ketawa mengejek.

"Aku tidoq sini tau," beritahu Erhan kepada Hazreal. Eh, macam tak biasa pula. Hazreal memang tak kesah sebab mak bapak dia kerap syif malam. Kakak dia pun berkurung dalam bilik melayan drama. Pendek cerita, dia pun kadang-kadang bosan duduk lama-lama dalam rumah sendiri.

"Beres, macam kau tak biasa." Hazreal tayang sengih.

"Kak long kau ada?" tanya Erhan lagi.

"Ada! Duk hidup lagi dalam bilik tu. Ah, dia bukan kacau kita pun," terang Hazreal. Erhan cuma segan sikit dengan kak long sebab selalu sangat bermalam di sini. Kadang-kadang macam dia tak ada rumah!

"E!" jerit Amir dari jauh. Syhhh, janganlah keloi kuat sangat. Erhan hanya angkat kening, hairan melihat kawannya itu kelihatan termengah-mengah berlari tadi.

"Weh, awat hang kalut sangat ni?" Hazreal menyandarkan gitar di tepi pangkin dan terus bangun menghampiri Amir. Kalau dia yang gendut sanggup datang berlari, mesti ada cerita penting nak disampaikan!

"Pak Cik Iman ada depan rumah hang," kata Amir. Aduh, lelah sungguh rasa selepas berlari tadi. Erhan dan Hazreal saling berpandangan. Siapa Iman tu, haram tak pernah dengar pun? Amir menggaru belakang kepala. Bodoh juga kawannya dua 'ekor' ni.

"Ayah budak perempuan tulah," terangnya lagi bila melihat mereka nampak bingung.

"Budak yang kena tangkap dengan hang tulah, weh. Awat pak dia pi cari hang sampai di rumah?" Hazreal mencelah. Laju tangannya menumbuk bahu Erhan. Hesy, ingatkan dah selesai di sekolah.

"Umi!" jerit Erhan separa kuat. Mesti umi dah dapat tahu. Aduh, memang masaklah dia! Hurm, tak payah nak tunggu minggu depan, belum sempat cikgu telefon, bapak Hilani dah datang mencarinya.

"Aku ingat hang dah settle di sekolah," kata Hazreal. Erhan laju geleng kepala. Ingat senang kes macam tu nak selesai awal?

"Minggu depan Cikgu Kamran kata nak panggil mak bapak kami berbincang kat sekolah, jadi aku pun tak buka mulut kat siapa pun. Ini kerja budak perempuan tu. Mesti dia mengarang cerita menipu lagi." Erhan tegak memandang wajah sahabatnya bersilih ganti.

"Habislah hang! Mak aku habaq, pak cik tu bekas tentera. Awatlah hang pi cari pasai dengan anak dia?" Amir duduk bersebelahan dengan Erhan. Bukanlah niat dia untuk menakutkan Erhan, tetapi itulah kenyataan.

"Bila masa aku cari pasal? Dia yang gatal masuk dalam bilik tu. Bukan aku yang tarik dia. Eee... Kurang ajar betul. Sebelum ni, aku tak pernah nampak pun dia di sekolah. Tadi tu first time aku tengok dia."

"Nama dia Hilani. Geng-geng dia panggil Hillie. Budak tu baru pindah masuk ke sekolah kita. Takkan hang tak perasan?" Amir bertanya. Pelik juga kalau Erhan tak pernah nampak. Comel kut budak perempuan tu.Wajahnya mixed Chinese dengan Melayu. Mata sedikit sepet tetapi mempunyai hidung mancung dan bibir mungil. Eh dia tahulah, sebab kerap meronda di blok pelajar tingkatan 3 semata-mata nak tengok Bibah Gebu.

"Hillie ke, hingus ke, aku tak peduli. Berani kerana benar. Aku tak buat salah," kata Erhan terus bangun dari duduknya. Dia menyapu kekotoran yang melekat di belakang punggung.

"Hoi, hang nak pi mana?" Hazreal sudah cuak. Erhan ni bukan boleh dibiarkan, kadang-kadang orangnya cepat baran walaupun bulu dada secoet pun tak ada.

"Balik tengok umi," jawabnya ringkas. Hazreal dan Amir terus terdiam. Gaya Erhan melangkah ke motor pun dah boleh agak, mood Erhan dah kembali berkecamuk.

"Kami ikut sekali wei!" jerit Hazreal dari belakang. Amir pun lompat sekali atas motor. Hesy, mana boleh biarkan Erhan sorang-sorang. Bahaya!

"Turun... Turun... Hang berat weh. Pi naik dengan Hazreal." Erhan menolak tubuh Amir yang sudah memeluk erat tubuhnya. Susah nak pecut balik rumah kalau motor bawa bebanan berat. Amir turun dengan wajah mencuka. Hazreal mengesot punggung ke belakang memberi peluang untuk Amir duduk di depan.

"Hang la bawak." Hazreal menongkat dagu di belakang bahu Amir. Selesa sangat memeluk 'teddy bear' besar.

Sampai di depan rumahnya, Pak Cik Iman masih tercongok di depan rumahnya. Orangnya berbadan tegap dan memiliki sepasang mata sepet seperti anaknya juga. Hurm, patutlah budak tu tersilap masuk bilik, mata celik tak luas sangat. Erhan yakin melangkah menghampiri Iman.

"Assalamualaikum. Pak cik cari saya ka?" Erhan memberanikan diri menegur. Kereta ibunya tiada di depan rumah, jadi kiranya dia masih selamat lagilah. Fuh, lega sangat!

"Hah, hang ka budak tu?!" jerkah Iman. Patutlah dari tadi bagi salam, sorang pun tak menyahut. Rupa-rupanya tiada orang di dalam rumah. Erhan angguk perlahan. Tak perlu berpura-pura sangatlah, sudah pasti Iman cari dia. Dialah budak lelaki yang kena tangkap berdua-duaan dalam bilik sakit dengan Hilani. Lelaki berkulit cerah itu tajam merenungnya dari atas hingga ke bawah. Ketinggian budak itu menyamainya. Budak lelaki itu nampak seperti aktif bersukan.

"Kalau pak cik datang sebab anak pak cik, eloklah pak cik balik," katanya mendatar. Iman tergamam. Ternyata budak lelaki ini sangat berani. Berani dan ada niat jahat terhadap anak gadisnya.

"Kurang ajar. Hang buat apa dalam bilik tu?" Iman meluru ke depan lalu mencekak kolar baju Erhan. Mentang-mentang dia baru 17 tahun, bukan main Iman menggertak. Eh, dia sikit pun tak takutlah. Yang salah bukan dia. Anak dara Iman yang gatal sangat nak bersembunyi dalam tu.

"Anak pak cik yang kurang ajar." Laju bibirnya menjawab.

Bukkk! Satu tumbukan singgah tepat di pipi kirinya. Terhuyung-hayang tubuhnya bila penumbuk ala M16 mendarat tadi. Pedih! Macam berlubang terus pipinya. Kepalanya mula rasa berpinar-pinar. Hazreal dan Amir cepat-cepat berlari menghampiri sahabat mereka itu. Mak aiii, tengok cincin berbatu besar di jari Iman sudah pastilah rasa sakitnya itu pun boleh tahan.

"Sabar, pak cik!" Hazreal mencelah. Niat cuma mahu menyabarkan hati kedua-dua yang tengah panas, alih-alih dia pula yang kena jegil. Mata Iman membulat. Iman merenung wajah ketiga-tiga mereka.

Lima jari diangkat tinggi lalu ditayang di depan muka Hazreal sebagai amaran jangan berani mencampuri urusannya. Hazreal dan Amir terus berundur ke belakang bersembunyi di belakang ketua.

"Mana bapak hang? Panggil dia mai!" Iman jerkah kuat. Kecik besar dia pandang budak lelaki yang berkulit gelap di depan dia itu. Hilani takkan jatuh suka dengan 'kucing' kampung seperti Erhan. Dia yakin sangat anaknya telah diperangkap oleh budak lelaki tak guna satu sen itu!

Mana dia nak letak muka kalau jirannya sendiri yang membuka cerita pasal kejadian di sekolah tadi? Hilani langsung tak buka mulut. Kalaulah aib tu tak riuh di surau, mesti sampai sudah dia tak tau apa budak jantan tu buat terhadap Hilani.

"Bapa saya dah meninggal," jawab Erhan tenang. Tangannya masih mengusap pipi kiri yang sakit. Mujur dia masih tahu tentang adab, kalau tak dah lama dia tumbuk balik walaupun tak sekencang tumbukan seorang bekas tentera. Amir dan Hazreal masih setia di belakangnya untuk berdepan dengan Iman.

"Mak hang mana?" Nada kemarahan Iman belum mereda. Misai hitam dan tebal itu bagai menyumpah-nyumpah Erhan sekeluarga. Sakit hatinya bila tahu anak bongsunya kena tangkap di sekolah. Hilani tu anak yang baik. Mesti budak jantan ni yang lebih-lebih dan tergilakan anaknya.

"Huh, tengok muka pun tau mesti budak jahat. Inilah jadinya kalau mak tak reti nak ajaq anak." Laju mulut Iman membuat tuduhan. Erhan masih cuba bersabar. Mujur ada member yang setia pegang kedua-dua belah tangannya. Dia mula menapak mendekati Iman. Mata mereka bersabung.

"Mujur bapa hang dah mati. Kalau dia hidup lagi pun, dia tak mengaku hang anak dia. Mak hang pun sama saja. Tak reti ajaq anak. Beranak saja pandai!" Iman terus menghamburkan kata-kata yang menggores hati Erhan. Kenapa mesti ungkit tentang mak bapak? Apa salah mak dan arwah bapanya?

"Hoi pak cik, sebelum pak cik mai serang anak orang lain... Elok pak cik balik ajar anak pak cik dulu. Jangan ingat saya tak ada bapa, yang jahat semua berpunca daripada saya. Kalau anak pak cik tu baik, takkanlah dia masuk dalam bilik tu masa saya tengah tidoq. Pi balik ajaq anak sendiri baru tegur anak orang lain! Kain sendiri terkoyak rabak tapi tak sedar." Erhan memulang paku buah keras. Peduli apa kalau orang nak cop dia budak kurang ajar. Tadi elok saja dia datang menyapa, tapi apa yang dia dapat selain tumbukan padu seorang askar pencen? Dia boleh telan kata-kata makian walaupun satu tempayan tetapi jangan hina mak bapak dia!

"Kurang ajar betoi budak ni. Hang nak kena sekali lagi ka?!" jerkah Iman kuat. Dia dah tak kesah kalau ada jiran tetangga yang pasang telinga. Sakit hatinya bila budak baru umur setahun jagung sudah pandai tunjuk lagak! Berkorban demi negara pun tidak, ada hati nak mengajar dia mendidik anak. Tangannya sudah diangkat tinggi. Hazreal cepat-cepat berdiri di depan untuk meleraikan pergaduhan.

Pang! Pipi kanannya terima habuan. Sob, sob, sob! Memang pedih! Bergenang air di tubir matanya. Iman terus terkedu. Hah, itulah makannya. Siapa suruh sibuk sangat? Kan dah mendapat habuan! Hazreal terus memegang pipinya yang rasa seperti mahu luruh. Dia kalih memandang Erhan dan Amir yang terlopong. Dia geleng perlahan menahan pedih.

"Sakit!" Hazreal terlompat-lompat bagai kera kena belacan.

"Sapa suruh hang pi duk depan-depan?" Amir menyindir sinis.

Iman pula terus melompat atas motor lalu terus memecut balik. Tak guna cakap lebih-lebih kalau mak Erhan tiada. Dia sendiri akan pastikan budak jahat itu dapat hukuman berat di sekolah nanti. Tahulah macam mana dia nak bagi pengajaran kepada budak 'bertuah' itu. Ceh!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro