Bonus III
Selepas majlis di rumah aku, minggu selepas itu kami buat di kampung pula. Di rumah Fakhri di KL, hanya buat kenduri doa selamat. Kat kampung, kami buat di rumah arwah Tok Hisham. Tentu-tentu saja rumah yang sudah ditukar nama ke nama Fakhri. Memang mengimbau kenangan betul bila balik semula ke sini. Rumah kampung sebelah ayah, tanahnya masih ada. Cuma, rumahnya sudah roboh.
"Bintang, kita pergi ban nak?"
Baru aku nak membalas, ibu sudah bersuara, "Acik jangan nak buat hal. Majlis belum selesai, kalau jadi apa-apa macam mana? Farisya jangan ikut sangat. Kalau rasa apa yang acik cadangkan tu perkara gila, jangan ikut. Apa benda nak pergi ban malam-malam. Tersampuk nanti..."
"Alaaa... bu. Acik dah besarlah. Dah kahwin pun! Dulu kecik-kecik elok je acik lepak kat sana dengan kawan-kawan acik. Siap kejar hantu lagi!"
"Tak boleh! Dengar cakap ibu. Tak kiralah acik dulu macam mana. Ibu tak tahu masa tu. Sekarang ni tak boleh. Kan, Farisya?"
"Ya, bu. Betul tu, bu," Aku menahan gelak dengan perangai Fakhri. Dah besar ya... dah kahwin... tapi... dia punya 'alaaa' tu...
"Hah, nak gelakkan abanglah tu!" Dia menarik pinggang aku tak beragak. Dan, dia geletek serata tempat. Tak peduli ibu dia yang tersengih melihat aksi kitaorang.
"Abang, nak bunuh orang ke... abang, janganlah... tak tahanlah. Gelilah!" Aku yang awalnya ketawa menahan kegelian, sudah mula mengalirkan air mata.
"Ya Allah, acik! Tak ada kerja lain, ke? Membuli isteri je..." Ibu menggeleng sebelum terus ke dapur.
Aku dah duduk bertinggung di tengah rumah. Menangis.
"Sorry... lain kali abang buat lagi!" Dia ketawa. Memang tak makan saman betul! Bukan nak rasa bersalah. Nak kena juga Encik Suami ni!
Dan, tanpa amaran, aku tumbuk bahu dia sekuat hati! Dia yang sedang bertinggung di hadapan aku terus terlentang.
"Farisya! Tumbuk abang macam nak membunuh!"
Aku melarikan diri, melangkah keluar dari rumah sambil ketawa. Aku tahu, memang tumbukan aku tu menyakitkan dia. Kalau tidak, takkanlah dia sampai menyebut nama aku, menggantikan gelaran bintang dan sayang. Rasakan!
Dan, aku tahu... dia merajuk. Sebab tu dia tak muncul pun mengekori aku dari belakang. Aku biarkan. Cuaca malam di kampung memang sejuk tak boleh bincang. Aku memang tak tanggal tudung memandangkan abang-abang Fakhri ada sekali. Mereka boleh muncul bila-bila masa sahaja di tengah malam buta ni walaupun aku tahu along dan keluarganya sudah masuk tidur. Keluarga aku hanya akan datang esok, sewaktu majlis. Tak ada sanding, tak ada tepung tawar. Hanya kenduri dan kami sebagai pasangan yang dirai akan turun tanah beramah mesra dengan orang kampung. Orang kampung yang memang kenal Muhammad Fakhri Amri, cucu kesayangan dan waris utama Tok Hisham. Sebagaimana datuknya, Fakhri atau lebih dikenali sebagai Am, amat disenangi dan disegani oleh penduduk di sini. Budak yang dulunya rajin bersolat di surau. Yang ringan tulang sewaktu kenduri-kendara.
"Mana acik?"
Aku yang sedang duduk di pangkin luar rumah, menoleh. Fakhrul alias angah, menegur.
"Ada kat atas. Merajuk."
Angah gelak. Menggeleng. Dia ambil tempat di atas bangku yang diperbuat daripada tunggul kayu, di hadapan pangkin.
"Okey ke?"
"Apa yang okey?" Aku membalas soalan random angah.
Dia ketawa lagi.
"Hidup dengan acik."
Aku gelak, "Okey sangat! Boleh main pukul-pukul. Angah buat apa kat luar ni? Dari mana tadi?" Terkejut juga aku bila tiba-tiba disapa.
Dia ketawa sebelum menjawab soalan aku, "Ibu suruh pusing kat bangsal belakang tu, tengok barang-barang kenduri. Tengok bangsal betul dah kunci ke. Takut kalau ada orang curi."
"Oh..."
"Farisya..."
"Ya?"
"Angah minta maaf."
"Eh, kenapa minta maaf bagai ni?" Aku melepas tawa. Tak selesa pula kalau serius sangat. Sedangkan dengan Fakhri, suami sendiri pun aku banyak main-main.
"Dulu... angah ingat, hubungan korang tak ke mana. Angah takut Farisya kecewa kalau betul jatuh pada acik. Dan, angah pun tak sangka acik dengan Farisya ni dah kenal sebelum ni lagi. Acik tak pernah cerita. Yang angah tahu, Farisya ni hanyalah supervisor yang acik baru kenal."
"Tak apa. Emmm... saya pun baru sedar yang Fakhri ni cucu Tok Hisham. Budak yang kacau saya dulu. Patutlah rasa tu kuat."
"Macam mana boleh terima dia? Kan kata tak akan..."
"Sikap dia yang bersungguh tu. Dan, keyakinan dia yang tinggi. Makin rapat dengan dia, makin... sayang." Masa ni, aku rasa muka aku dah panas. Aku alihkan, memandang tempat lain. Gila betul berterus terang kata sayangkan Fakhri depan Fakhrul.
Bila aku tak dengar suara Fakhrul, aku menoleh. Dia tengah pandang aku, "Tahu tak, yang acik beruntung sangat dapat Farisya?"
Aku tak bersuara. Hanya menggeleng. Aku tak tahu. Tang mana yang untungnya?
"Perangai sama macam acik. Ada masa matang, ada masa kebudak-budakan. Kalau matang, sikap tegas tu tak boleh gugat. Kalau kebudak-budakan, ceria selalu dan orang sekeliling pun rasa bahagia sama. Angah tak kenal adik angah sendiri rupanya selama ini. Angah selalu nampak acik tu tak matang dan tak akan mampu capai kehendaknya. Tak akan mampu buat ibu dan ayah setuju untuk terima calon isterinya yang lebih tua, selepas diri sendiri jatuh sakit berhari-hari sebab makan Maggie. SPM dia pun, teruk. Result kat poli pun teruk. Tapi, tak sangka dia ada segala-galanya yang angah tak ada. Termasuklah seorang wanita yang menepati citarasa keluarga."
Aku tak tahu kenapa angah cakap semua ni pada aku. Macam ada nada cemburu. Macam ada nada kecewa.
"Angah ikut jejak ayah yang pernah jadi gengster. Merambu malam. Berlumba. Terlibat dengan pergaduhan. Acik pun sama. Tapi, dalam gengster acik, dia ada kerjaya. Ada duit sendiri rupanya. Angah je yang bergantung pada duit ibu dan ayah. Dan, dia pandai pilih teman hidupnya. Dia matang dalam menilai seorang wanita. Yang kepandaian itu tak ada pada angah."
Aku termangu. Jadi lebih tak faham. Baru aku nak bertanya, tiba-tiba Fakhri datang.
"Oi, angah! Bini aku tu. Pergi masuk. Sembang malam-malam kat luar dengan bini orang."
Aku ketawa. Ingatkan merajuk sampai tak ingat isteri dia! Mencari juga rupanya!
"Hah, tak payah ketawa, yang! Jom, masuk bilik. Selesaikan tanggungjawab awak." Dia tarik tangan aku.
"Masuk dulu, ngah. Orang merajuk ni minta dipujuk." Aku cakap pada angah. Sekadar berbahasa. Takkanlah nak tinggalkan macam tu saja abang ipar seorang ni.
Angah ketawa. Tapi, aku lihat ada rasa kecewa pada muka angah. Mungkin sebab tak sempat habis cerita.
Fakhri tarik tangan aku masuk ke rumah. Lalu, terus masuk ke dalam bilik. Dia kunci pintu. Dia tarik aku duduk atas katil. Aku ikut je.
"Ibu mana?" Aku bertanya pada Fakhri. Tadi, memang ibu ada di ruang tamu membelek beberapa goodies. Masa tu aku dan Fakhri meneman ibu sebelum hal rajuk-merajuk tu berlaku.
"Dah masuk tidurlah, yang. Dah pukul berapa sekarang ni... Bintang abang je yang tak ingat suami. Sibuk bersembang dengan angah kat luar tu dah kenapa? Orang sakit ni, dia buat lupa..."
Aku gelak. Aku paut lengannya dan menjatuhkan kepala di bahunya. Dia tegakkan kepala aku.
"Bukalah tudung tu."
"Oh, lupa." Terus aku tanggalkan tudung. Lepas tu aku bangun, "Sekejap. Nak basuh kaki, gosok gigi, dan cuci muka."
"Abang pun." Dia ikut aku. Dalam bilik kami memang ada bilik air sendiri.
Selesai membersihkan diri, menyalin pakaian bersih, kami duduk bersandar di kepala katil.
"Sembang apa dengan angah?"
Aku melihat wajah Fakhri. Melayang senyum padanya, "Cemburu ke?" Saja menyakat.
"Cemburulah juga. Yalah. Umur angah tu beza dengan bintang tak jauh mana. Umur abang berjarak sangat. Macam batu kat tanah dan bintang kat langit. Jauh, tak tersukat." Ada rajuk dalam suaranya.
Aku capai tangan Fakhri. Aku salam dan cium, "Maaf. Orang tak bermaksud nak buat abang terasa. Orang saja duduk kat luar untuk ambil angin. Tak sangka angah datang duduk menyembang. Orang ingat abang yang akan keluar. Kenapa abang lambat? Sakit sangat, ya? Ampun..." Aku gosok bahu Fakhri yang aku tumbuk tadi. Aku selak lengan bajunya dan melihat jika ada kesan apa-apa. Ya Allah, sungguh! Memang ada setompok lebam!
"Abang! Ampun! Tak sangka. Terlebam!" Aku cium pada kesan lebam tu berkali-kali. Lepas tu aku gosok dengan tangan. Aku ambil hujung t-shirt aku, aku panaskan dengan nafas dan aku tuam.
Dia capai tangan aku dan letak kat dada dia, "Dahlah. Sikit je. Dah biasalah lebam-lebam ni. Lupa eh, siapa abang?" Dia tersenyum dan menjatuhkan bibirnya ke dahi aku.
"Risau..."
"Tak ada apa. Sambunglah. Tadi cerita apa dengan angah?"
"Emm... kena bagi tahu ke?" Aku risau juga kalau dia sound angah bila dia tahu yang angah pernah bagi amaran pada aku supaya jangan terima dia. Supaya jangan ada hati pada dia.
"Sayang..." Dia dah meleret kata. Renungannya dalam dan tajam.
"Jangan marah angah tau. Ini cerita lama."
Dia pandang aku dengan lebih tajam.
"Masa kat hospital dulu, angah pernah kata supaya jangan jatuh pada abang. Takut hubungan kita tak ke mana. Ibu dan ayah tentu menolak sebab umur orang kan lebih tua. Dan, abang pun masa tu masih belajar. Tak matang. Diri sendiri pun tak pandai jaga sampai jatuh sakit. Lepas tu pulak, abang kan join gengsterism ni. Angah takut orang tersakiti kalau betul jatuh pada abang. Tapi tadi, dia sendiri kata yang dia silap menilai kita. Silap menilai abang sebagai adik dia yang tak ada apa dan tak matang. Rupa-rupanya dia tak tahu yang abang ada kerja sendiri dan ada wang sendiri. Dah boleh pinang dan jaga anak dara orang. Dia kata, kita serasi. Dia kata, abang untung dapat kahwin dengan orang. Hah, setakat itu sajalah cerita angah dengan orang tadi sebelum abang datang."
Fakhri diam. Riaknya tak nampak macam marah. Dia tarik tubuh aku rapat padanya. Dia cium dahi aku.
"Ada cerita yang angah tak cerita. Kisah angah sendiri," Fakhri bersuara, perlahan.
"Kisah angah sendiri?"
Fakhri mengangguk.
"Dia macam nak sambung cerita tadi, tapi ada orang tu dah tarik kita masuk..."
"Eiii... tentulah! Awak tu isteri kita, kot! Dahlah susah nak dapat. Dah dapat, susah pula nak melekat. Sibuk merayap!" Dia tarik hidung aku dan digoyang-goyangkannya.
"Abang! Sakitlah..."
"Ssshh... jerit tu perlahan sikit, boleh tak? Nanti along, ibu ayah dengar... diaorang ingat apa..." Fakhri senyum.
"Abanglah punya fasal."
"Comel je isteri abang ni bila marah."
"Sambunglah cerita angah tu..."
"Okey... emmm... sebelum abang bawa sayang balik rumah dulu, angah juga pernah bawa balik awek dia, jumpa ibu dan ayah. Awek dia pun tua pada dia. Tua lima tahun rasanya. Tapi, ibu tak setuju. Ibu kata, perempuan tu terlebih matang untuk angah."
Aku terdiam. Habis aku ni?
"Angah betul-betul kecewa. Lepas tu, angah putus dengan perempuan tu. Dan... dia tak pernah nak bercinta lagi."
"Sebab umur ke ibu tak setuju? Habis orang ni..." Aku jadi pelik. Ibu elok je terima aku. Lagi jauh kot umur aku dengan Fakhri.
"Sayang lain. Sayang tak matang," Fakhri ketawa.
"Eiii... betul-betullah. Kenapa ibu tak setuju?" Aku cubit lengan Fakhri. Dia mengekek.
"Sebab perempuan tu bossy. Dia asyik nak control angah. Lawa memang lawa, tapi perangai tak cukup lawa. Tak respect kat angah. Tak respect kat ibu ayah. Masa datang rumah, bahasakan diri I You. Lepas tu suruh angah sendukkan makanan. Macam tak ada tangan! Dahlah asyik cakap dia selalu bayar duit makan setiap kali keluar dengan angah. Mengungkit. Pandang rendah pada angah. Memanglah dia kena bayar. Dah dia punya pilihan tempat makan tu jenis yang harga kayangan. Angah tu belajar lagi kot. Agak-agaklah juga. Mentang-mentang dia dah kerja, pegang jawatan tinggi, lepas tu nak berlagak macam semua orang kuli dia. Kekasih pun dia tak respect, kalau jadi suami entah macam mana. Banyak songeh, banyak rules! Sebab tu ibu tolak dia yang 'terlebih matang'. Bukan matang dari segi angka umur tu!"
"Abang pernah jumpa ke?"
"Pernahlah masa dia datang rumah. Tapi, malas nak campur. Muka cantik pun dah rupa tahi itik! Dia buat abang kesayangan kita macam apa je. Memang masa tu tahan tangan je nak bagi penumbuk. Sebab angah sayang sangat kat awek dia terpaling cantik tu je tangan ni tak cecah muka perempuan tu. Kalau tak..."
"Kesiannya kat angah..."
"Kesian boleh, yang... tapi kasih-an, jangan, eh! Angah tu dahlah macam jeles je dengan abang. Siap kata, kenapalah tok tak pilih dia untuk tinggal di kampung. Tentu dia yang jumpa ayang. Terbakar juga hati ni masa angah cakap macam tu. Macam ada hati je nak try bintang abang ni."
Aku ketawa, "Haih, dengan abang sendiri pun cemburu?"
"Tak kira!"
"Tapi, kita sayang awak je..." Aku eratkan pelukan pada lengan dia sambil memandang wajah dia.
Dia senyum, lebar.
2025 pp
31 Oct 2023
10.23 malam
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro