Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bonus I

"Nak tanya, boleh?"

"Tanya apa, bintang?"

"Masa zaman sekolah menengah, awak tak ada awek ke?"

Dia menoleh. Merapatkan muka dan tersengih, "Soalan duga akal ke, duga hati?"

"Tak nak jawab, tak apa..."

Terus dia gelak besar, "M&M ni kan... boleh tak jangan macam ni?"

"Okey, sorry. Kalau rasa soalan ni buat awak tak selesa, tak perlu jawab. Saya faham, past is past. Sebagai isteri, tak sepatutnya saya tanya, kan? Boleh cetus api perbalahan. Ada masa, tak tahu tu lagi bagus, kan? Lagipun, awak pun tak pernah tanya hal yang sama pada saya."

"Bintang..." Dia pusingkan tubuh aku yang sudah kembali membuka buku, acah tak nak pandang dia.

"Sayang salah faham ni. 'Jangan macam ni' yang abang maksudkan, bukan bermakna abang tak bagi sayang tanya masa silam abang. Bukan begitu, yang. Ingat tak, sebelum nikah abang dah kata, boleh tanya apa saja? So, tak ada masalah dengan pertanyaan sayang."

"Habis tu, 'jangan macam ni' tu maksudnya apa?"

Dia senyum, "Maksudnya... jangan buat muka comel, jangan buat suara manja, jangan nak merajuk macam tu... abang... tak boleh... tahan! Itu namanya, godaan. Faham? Sayang duga abang dengan soalan macam tu, buat abang rasa nak peluk sayang tak nak lepas. Faham tak? Rasa tu... macam... eiii... dia ni cemburu. Dia ni sayang kat aku sangat... comelnya, bestnya bila isteri aku sayang aku. Cemburu kat aku. Hah, macam tu!"

Terkebil-kebil aku memandang mukanya. Yang pelik-pelik juga Muhammad Fakhri Amri ni punya rasa.

"Untuk pengetahuan bintang abang, abang ni tak pernah ada perempuan lain yang abang suka. Nak pandang perempuan pun tak ada hati. Dua perempuan yang abang sayang, pernah tinggalkan abang. Sayang rasa? Dendam kat hati abang pada ibu, pada sayang tu tak pernah hilang. Setiap hari... rindu gila. Rasa nak tikam diri sendiri sebab tak mampu nak tanggung rasa yang kontra - dendam rindu. Sakit gila, sayang tahu!"

"Tak ada yang mengurat abang masa tu?" Jujur, aku cemburu. Dia hensem kot! Dengan muka penuh dendam dia tu, yang macam semua orang ada hutang darah dengan dia... cold hearted yang buat jiwa perempuan aku sendiri bergoncang. Tak mampu nak tipu perasaan... takkanlah tak ada.

"Emmm... malas nak ingat."

"Pernah dapat surat ke... ditegur ke... confession ke..."

"Berani? Kalau ada perempuan yang nak sakit hati, cubalah."

"Yakin amat. Cuba kalau ada yang try. Yang jenis cantik amat, tentu goyah juga. Nasib je tak ada yang cuba."

Dia diam seketika. Menarik nafas dalam dan melepaskan.

"Ada..."

"Hah?" Terus dada aku bergelombang tak tenteram.

"Ada sorang anak orang kaya tu... cantik memang cantik. Kata kawan-kawan abang, budak jenis tak pernah tak dapat apa yang dia nak. Dia datang jumpa abang. Cuba goda. Cuba mengada. Acah kalau confess depan ramai orang, abang akan jaga air muka dia, silaplah! Abang tak tahulah, abang ni memang baran. Perangai masa tu memang penuh dendam. Rasa nak belasah je sesiapa yang cari fasal. Hal cintan-cintun ni lagilah buat hati panas."

"Abang buat apa pada dia?" Aku risau juga. Memang tahu baran Fakhri ni tak terkawal. Kawan sendiri pun ditumbuk tak sempat kira satu dua tiga. Tahu-tahu... melayang badan.

"Tak buat apa. Cakap je."

"Cakap apa?"

"Blah sebelum aku tumbuk."

Telan air liur aku dibuatnya. Kalau aku ada di tempat perempuan tu, confirm malu. Haih, dia ni... aku rasa bersalah juga. Sebab aku dan ibu, Fakhri jadi liar dan panas selalu. Tapi itulah. Dia ni, semua perkara ekstrem. Jatuh cinta pun ekstrem. Sayang ibu dia pun ekstrem. Benci, dendam dan rindu pun ekstrem. Haih, bersyukurlah aku terbuka hati terima dia. Kalau aku pendam rasa, tolak perasaan dia... jadi lebih baran agaknya.

"Sayang."

"Hah?"

"Takut dengan abang, tak?"

"Tak."

"Sebab?"

"Dah kenal."

"Apa yang sayang dah kenal?" Dia buat muka miang. Senyum dan mendekat. Membiarkan pucuk hidung kami bertemu.

Terus aku tolak dia. Bukan tolak manja, tapi tolak sekuat tenaga sampai dia jatuh terlentang.

Dia gelak terbahak-bahak, "Okey, abang faham dah. Isteri abang ni lebih gengster. Mana takut apa, kan?"

Begitulah setiap hari. Aku dengan curiosity. Dia dengan jawapan awal menyakitkan hati.

Dan, dia masih dengan perangai gengster dia. Kadang-kadang risau nak bercerita hal kerja. Memang sebagai pegawai HR, aku terdedah dengan pelbagai manusia. Yang mengganggu tu jangan cakaplah. Kalau berhubung dengan orang luar, memang ada yang try. Even aku kata aku isteri orang.

"Sayang, kalau ada yang kacau sayang macam orang hotel hari tu, jangan simpan sorang. Apa benda sekali pun, cerita kat abang. Abang tahu isteri abang boleh handle apa jenis orang sekali pun. Tapi, please. Sayang dah ada abang. Share. Abang tak nak kesal di kemudian hari. Tak nak kalau ada sesuatu terjadi pada sayang, abang akan hilang sayang. Orang hotel tu kacau lagi tak?"

"Tak."

Fakhri senyum. Dia cium pipi aku, "Macam itulah isteri abang. Tapi, apa-apa, cerita. Faham?"

Aku menjulingkan mata ke atas. Kalau aku dah boleh handle, buat apa nak cerita. Aku yang risau kalau dia pergi belasah orang tu pula.

"Faham tak, yang?"

"Ya, abang. Faham. Tapi, kalau orang cerita, abang jangan pergi belasah orang tu pula."

"Tak janji. Tengok keadaan, ya yang." Dia senyum penuh makna. Haih, menakutkanlah!

Kejadian ni berlaku sewaktu aku menguruskan VVIP pada minggu selepas aku dan Fakhri bertunang. Selesai majlis risik dan tunang, Fakhri gerak balik ke Politeknik. Memang kami dah tak jumpa lagi masa tu. Family pun tak kasi kerap jumpa walaupun si dia nak balik setiap hujung minggu. Nak dating katanya. Rindu nak makan aiskrim sama-sama. Tapi, aku tegah. Risau kot kalau ke hulu ke hilir, aku yang gundah. Terbayang macam-macam jadi kat highway. Dia ingat, jarak Penang ke KL ni macam sebelah tanah? Nak makan aiskrim sama-sama, terus pecut balik. Lepas tu balik ke sana semula. Haih, jantung aku tentu-tentu mengepam kencang.

Terpaksa aku ugut kata, kalau dia tak hormat kerisauan aku, aku akan isytihar silent war. Dan, dia terpaksa bersetuju.

Dalam minggu-minggu menantikan hari nikah itulah aku menyiapkan segala kerja yang bertindan-tindan. Kerja ER, T&D dan handle VVIP.

Masa tu, VVIP aku tertinggal mafla dan beberapa helai sweat shirt di bilik hotel. Dan, VVIP aku tu pun dah flight back to Japan. Barang-barang dia pula, barang-barang yang bernilai bukan hanya dari segi harga, tapi sentimental value itu sendiri yang dia beria nakkan balik barang-barangnya. Barang-barang tu isteri dia bagi masa hari ulang tahun perkahwinan mereka.

Aku terpaksa berhubung dengan pihak hotel untuk mendapatkan semula barang-barang tersebut. Aku berurusan dengan head department L&F (Lost & Found) hotel. Seorang lelaki. Dikenali sebagai Mr. Adli. Aku tak pernah jumpa dia. Kami berhubung hanya melalui telefon. Daripada suaranya, aku menganggarkan usianya sekitar 30-an. Mungkin tua sikit pada aku. Mungkin dalam 35-36 tahun macam tu. Suaranya memang suara lelaki sejati. Garau dan sangat tegas.

Bukan mudah juga nak buat tuntutan ni. Banyak soalan yang dia tanya. Dan, alhamdulillah, aku dah bersedia dengan semua jawapan. Soalan mudah jangka pada aku. Tentu dia bertanya tempoh penginapan, dari bila ke bila. Bilik nombor berapa. Atas urusan apa menginap di hotel mereka. Berapa orang yang tinggal dalam bilik yang sama. Kemudian, dia minta aku jelaskan rupa bentuk setiap barang yang tertinggal dan lokasi terakhir yang guest aku ingat dia letak barang tu.

Mujur aku dah awal-awal minta Encik B dapatkan maklumat tu walaupun dia kata tak perlu. Dia kata, just bagi nombor bilik dan nama guest. Sepatutnya hotel tak ada masalah nak buat penyerahan semula. Tapi, aku jenis tak suka kerja ding-dong sini sana. Aku ada kerja lain, bukan hanya ini.

"Cik ke, puan?" Itu soalan Adli pada aku sewaktu di pertengahan perbualan.

Sebab masa tu, memang aku belum bernikah, jadi aku jujur, "Cik."

"Oh, okey. Dengar suara pun macam pegawai muda. Dah lama Cik Farisya kerja sana?"

"Dalam lima tahun," Aku menganggap, soalan ini soalan biasa. Soalan beramah mesra dengan pelanggan hotel mereka. Hospitality seorang hotelier.

Adli menerangkan prosedur tuntutan. Tak susah pun sebenarnya. Tapi entah kenapa mamat ni macam nak menyusahkan aku! Letak aku di talian lama. Kata nak check barang-barang tu dulu. Nak minta staff dia sahkan penginapan guest aku. Dan, nak tunggu cleaner yang jumpa barang-barang tu masuk kerja untuk tandatangan apa entah.

"Cik Farisya, saya rasa kalau cik nak tunggu di talian, agak lama. Saya akan call cik semula. Bagi kami masa untuk check barang dan selesaikan beberapa prosedur."

"Baik. Boleh call nombor pejabat saya." Aku bagi nombor direct line aku. Tak perlu melalui operator bertugas untuk sambungkan.

"Tak ada nombor handphone ke, Cik Farisya. Lecehlah pakai telefon office."

"Nombor ni direct ke meja saya."

"Nombor yang direct ke hati, tak ada ke Cik Farisya?" Dia ketawa, "Eh, jangan report saya pada pihak pengurusan. Saya sekadar bergurau."

Aku sekadar diam. Tak lawak.

"Sorry Farisya, saya hanya tak nak urusan ni terlalu formal. So, tak salah rasanya nak bergurau sekali sekala."

"Tak apa. Tapi, saya rasa nombor direct line saya ni dah cukup."

"Saya dah deal dengan ramai pegawai macam awak, Farisya. Memang nombor terus ke meja, tapi orangnya selalu tak ada kat tempat. Jadi satu kerja pula nak telefon banyak kali."

"Tak apa. Department HR ada je orang. Kalau saya tak ada, tinggalkan je pesan dengan colleague saya. Saya akan call Encik Adli balik. Encik tak payah call saya."

"Ini untuk memudahkan urusan kerja, Cik Farisya. Lebih mudah di hujung jari. Saya percaya, pada bussiness card awak tentu ada nombor handphone, kan? Jadi, apa bezanya?"

Malas aku nak memanjangkan cerita, aku bagi je.

Petangnya, aku dapat panggilan daripada nombor handphone yang tak kukenal. Nombor Adli. Dia maklumkan, segala prosedur tuntutan sudah selesai dan barang-barang tu sudah boleh diambil.

"Terima kasih, Encik Adli."

"Sama-sama, Farisya. Panggil Adli je."

"Okey, thanks, Adli. Nanti saya minta salah seorang pegawai syarikat kami datang collect barang-barang tu."

"Eh, bukan Farisya ke yang datang?"

"Oh, tak. Saya ada banyak kerja kat office ni."

"Saya harap dapat jumpa awak."

Aku diam.

"Tapi, tak apalah. Orang tu, orang berpangkat. Mana nak jumpa orang level kuli macam saya."

"Bukan begitu. Memang tugas saya setakat ini. Tugas luar yang berkait dengan collection macam ni, bahagian orang lain. Saya percaya awak faham."

"Baiklah. Saya akan call awak lain kali. Kita kawan, kan?"

"Okey Adli, saya ada kerja. Terima kasih. Assalamualaikum." Aku putuskan talian.

Tetapi, ia tak habis sebagaimana yang aku jangka. Adli kerap menelefon dan mengharapkan satu hubungan yang jauh.

"Adli, saya dah kahwin." Aku terpaksa berterus terang. Memang masa tu aku dah pun nikah dengan Fakhri. Even kalau belum nikah pun, belum tentu aku terbuka hati. Dengan Mohammad pun hati aku tak ada rasa, lagilah entah siapa-siapa.

"Awak tipu."

"Betul. Saya baru je nikah."

Dia gelak, "Terus mengaku baru nikah! Cik Farisya, kalau tak sudi nak berkawan, tak payah nak menipu. Perempuan berpangkat, memang tak pandang orang macam saya, kan?"

"Terserah. Saya tak tipu. Betul, saya isteri orang." Masa ni, aku bersyukur aku dah nikah dengan Fakhri. Senang aku nak menolak hal-hal begini. Dan, aku berharap, dia give up. Tapi, lain pula yang dia cakap.

"Isteri orang pun, kenapa? Hal kerja, kan? Kalau tak boleh nak berkawan atas urusan kerja, tak payah kerja, Farisya."

Aku abaikan manusia tak faham bahasa macam Adli. Dan, sebelum rumah tangga aku keruh, aku cerita setiap inci perkara pada Fakhri. Sekurang-kurangnya, dia tahu apa yang berlaku pada aku dan boleh bertoleransi. Taklah cemburu tak menentu.

Tapi, dalam diam dia pergi jumpa Adli.

"Farisya. Saya tak akan ganggu awak lagi. Suami awak datang cari saya tadi."

Terkejut aku. Tapi, baguslah.

"Abang... abang cakap apa dengan orang hotel tu? Abang tak buat benda yang mencederakan orang, kan? Abang jangan... orang tak nak abang masuk lokap."

Dia ketawa, "Abang rasional lagilah yang. Alaaa... budak macam tu tak payah angkat tangan, bagi amaran je dah cukup."

Dibudakkannya Si Adli tu! Orang tu jauh lebih tua pada dia.

"Abang cakap, '... suara perempuan tu fitnah. Jangan sampai awak punah. Kalau awak tetap ganggu isteri saya, kerana suara... hati-hati. Nama saya Muhammad Fakhri Amri. Saya cakap sekali dengan mulut. Lepas tu, saya guna penumbuk. Telinga awak tu, jaga. Faham maksud saya?' ... itu je abang cakap pada dia."

Aku tak tahu nak suka ke, nak apa. Dia buat macam tu bukan sebab dia gengster. Tapi sebab dia cinta.

Aku susah nak jatuh cinta. Tetapi, apabila Fakhri muncul, memang tak ada lelaki lain yang bertakhta di jiwa. Suami sendiri dah cukup sempurna. Ada agama, ada rupa, dan tahu tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Yang penting... ada cinta.

Pilihlah seseorang yang mencintaimu, dan cintailah dia. Lebih-lebih lagi apabila cintanya sudah dibuktikan dengan masa.

Jika ada yang kamu cinta sebelum dia, dan orang itu tidak pernah mencintaimu, anggaplah itu cinta yang harus dilupa. Kau tak akan pernah ingin merasa akan derita cinta yang lahir hanya di jiwamu, tapi bukan di jiwanya.

***
Fakhri ketuk pintu. Terus taip 2k pp 😂😂😂

2094 pp

18.10.2023

15.48

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern