Bab 8 - Termenangis
Sebaik keluar dari bilik mesyuarat, aku tersenyum, puas. Dah lama aku tunggu masa ini. Dah lama aku nak melepaskan tugas di bahagian Recruitment dan masuk ke bidang ER/IR (Employee Relation/Industrial Relation). Pada aku, bidang ER/IR lebih mencabar. Ia akan membuatkan aku belajar sesuatu yang baharu. Yang terkait hal undang-undang pekerjaan dan yang akan melibatkan kemanusiaan. Aku suka!
"Senyum sampai ke telinga!" Meena menepuk bahu aku.
"Aku happy, weh!"
"Kau tahu tak kau manusia paling pelik yang aku pernah jumpa?"
"Apa yang pelik?"
"Bidang ER dan IR tu boleh buat kita sakit jiwa tau! Bukannya syok nak hadap manusia yang melanggar undang-undang, lepas tu play victim bila dibuang kerja. Eii... tak kebulur ler aku nak hadap kerja ER ni!"
"Aku rasa, itu part paling menarik. Kenapa dia orang masih ada keberanian walaupun dah tertangkap buat salah? Bagaimana dia orang boleh yakinkan orang lain yang dia orang tu mangsa? Dan, macam mana kita nak betulkan balik pemikiran orang yang menganggap manusia macam tu tak bersalah sedangkan memang terbukti bersalah? Dan, macam mana kita nak educate staff lain agar tak buat benda yang sama?"
"Itu yang aku kata kau pelik. Susah kot nak jawab soalan-soalan macam tu. Lagi susah nak settlekan... Tapi kan... aku bersyukur aku ada kau. Tak adalah Encik Fuad serah kerja ER/IR tu pada aku. Mahu aku tender resignation!"
Aku menggeleng sambil tersenyum. Tak sabar nak belek fail kes. Kat kilang ni macam-macam kes ada. Tapi, tak semua pegawai HR dibenarkan menyentuh fail kes. Ia dianggap sebagai confidential file. Masa Kak Sakinah in-charge, hanya dia dan Encik Fuad je yang boleh access semua fail kes. Dua bulan lagi, Kak Kinah dah nak bersara. Itu yang Encik Fuad minta aku ambil alih tugas Kak Kinah. Dan, ya. Aku suka!
Kerja aku, Encik Fuad minta cari orang baharu. Tapi, hanya untuk part Recruitment. Untuk part T&D (Training and Development) dan Petty Cash, masih aku juga yang in-charge. Dan, aku tak kisah sangat.
"Nanti kau cari lelaki tau untuk buat recruitment."
Aku menjulingkan mata.
"Ala... bukan nak menggedik. Kau faham kan..."
"Yalah. Kalau ada. Kalau tak, sesiapa je yang bersesuaian dan available dalam tempoh terdekat."
Bukan senang sebenarnya nak cari orang bekerja. Walaupun ramai yang mencari kerja dan kerja pun mencari mereka, tetapi nak meletakkan seseorang pada satu-satu pekerjaan itu tak senang. Sama macam nak mismatch jodoh. Ramai yang single. Tapi, yang single itu tak semestinya dengan mudah berjodoh dengan orang single yang ada depan mata.
"Kau nak pergi QA department lagi ke? Banyak lagi ke kerja-kerja kau dengan budak Saifullah tu? Dah macam pak we- mak we je aku tengok korang berdua. Mana ada dia, kat situ ada kau. Mana ada kau, kat situ ada dia."
Pertanyaan dan kata-kata Meena itu menukar muka aku menjadi mendung. Teringat pada cerita Saifullah tentang Fakhri.
"Kenapa dengan Fakhri?" Aku bertanya pada Saifullah sebaik kami selesaikan kerja di maintenance department. Masa itu, Saifullah sibuk melihat semula video yang kami rakam. Aku sepatutnya menyusun data yang direkodkan oleh Saifullah. Tapi, aku tak sedap hati dan nak tahu sangat apa yang Saifullah tahu tentang Fakhri.
"Akak ingat tak masa hari orientasi saya? Masa akak masuk office tinggalkan kami berdua?"
Aku mengangguk laju.
"Fakhri tanya saya macam mana pakaian kita boleh tersama."
Berkerut dahi aku. Tapi aku biarkan sahaja Saifullah meneruskan cerita.
"Saya kata, tak tahu. Dan, saya cuba bergurau. Saya cakap, jodoh aku agaknya. Akak tahu apa dia buat pada saya?"
Aku diam. Otak aku kosong. Hanya merenung Saifullah dan menantikan bibit-bibit kata.
"Dia cekak leher baju saya. Dia angkat penumbuk."
"Jangan fitnah dia." Aku potong kata-kata Saifullah.
"Sumpah, kak. Memang itu yang dia buat. Saya sendiri terkejut. Dahlah hari pertama saya kat syarikat. Ingatkan sesama intern bolehlah nak bergurau. Kot boleh rapat. Lain pula jadinya."
"Lepas tu, apa jadi?" Aku pintas lagi kata-kata Saifullah.
"Saya tenangkan dia. Saya kata, relaks, bro. Aku gurau je. Mana aku tahu yang attirement kita orang tersama. Tak sengaja je tu. Kau relaks. Aku tak ada apa-apa dengan dia. Dia supervisor aku dan usia dia lebih tua pada kita. Aku respect dia. Aku tak pernah terfikir nak try dia. Baru dia lepaskan baju saya."
Aku diam. Tak memapar apa-apa riak. Hanya mendesis dalam hati, 'Dia budak. Budak yang tak tahu apa-apa.'
Bayangan perbualan itu bubar...
Aku melepas keluh.
"Kau dah kenapa?" Meena menegur. "Tadi kemain happy. Ini, tiba-tiba mengeluh."
"Tak ada apa, Na. Penat."
"Petang ni dengan Saifullah lagi?" Meena ulang soalannya yang tak kujawab tadi.
"Tak. Dengan Fakhri. Aku nak semak dan tandatangan laporan intern dia."
Meena mengangguk.
***
"Sihat?" Aku bertanya sebaik Fakhri duduk di hadapan aku. Hanya kami berdua di dalam bilik latihan kecil yang ada sebuah meja dengan enam bangku. Ada projector yang tergantung, whiteboard dan telefon.
Dia tak menjawab. Wajahnya muram.
"Fakhri, akak tanya ni."
Dia pandang aku. Tak beralih anak matanya. Mulut tu tertutup macam menyimpan berlian. Aku menahan sabar. Dia budak. Budak mentah yang perlukan bimbingan. Itu yang aku ulang-ulang dalam hati dan fikiran.
Aku capai buku laporan internship Fakhri. Aku biarkan dia merenung aku dalam kebisuan. Kalau ikutkan hati, memang budak ni dah kukenakan tindakan undang-undang. Dia bukan hanya tak respect aku sebagai supervisor intern dia dengan membisu seribu bahasa bila ditanya, tetapi dia merenung aku dengan pandangan ancaman!
Aku abaikan. Cuba bersabar dan bertenang. Budak cetek akal. Budak baru nak kenal kehidupan.
Aku fokus baca dan semak setiap proses dan lukisan yang Fakhri buat. Dia seorang pelajar yang terang hati. Laporannya sangat details. Tulisannya kemas. Dia bukan sekadar menulis laporan, tetapi mempersembahkannya dalam carta minda dan beberapa process flow. Lukisan gambar mesin dan peralatannya juga sangat kemas. Dia boleh melukis dengan baik. Jujur, aku kagum. Memang sesuai dia sebagai pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal.
Perangai je yang kurang mekanikal! Terlebih jiwa! Cubalah sesekali jadi mesin yang bergerak mengikut apa yang telah ditetapkan. Orang tanya, jawab! Ini tak. Nak memberontak pula! Dan, punca nak memberontak tu memang tak boleh brain! Agak-agaklah... hanya kerana satu rasa yang entah betul, entah tidak ada dalam jiwa.
Walau hati membebelkan perangai Fakhri, aku turunkan juga tandatangan pada setiap helaian laporannya yang telah kusemak. Aku tuliskan beberapa komen untuk penambahbaikan yang aku rasakan perlu. Tidak mahu hanya pujian semata. Aku tak nak dia hanyut dengan pujian yang berguni-guni. Dia ada talent yang perlu diangkat tinggi dengan cara yang terhormat. Bukan hanya pujian yang melekat, lalu menghambat rasa ingin melakukan yang lebih baik lagi.
"Akak suka cara Fakhri buat laporan ni," Aku jujur dengan setiap perkataan aku walaupun hati rasa sebu. Aku paksa untuk senyum padanya.
Dia masih beku dengan pandangan tak putus. Aku rasa macam cakap dengan batu. Kita cuba buat baik, dia macam tu pula! Baik. Nak lawan mata, sangat kan! Aku tunaikan. Aku balas balik pandangan Fakhri. Kali ini bukan hanya sekadar pandangan, tetapi bersekali dengan riak muka tak puas hati. Aku nak dia tahu yang aku bengang dengan dia. Tak boleh bertoleransi lagi dengan sikap kurang ajar mengabaikan pertanyaan aku yang berkait hal kerja.
Dia akhirnya dia melepas keluh. Mengalihkan pandangan. Ketegangan dan rasa pemberontakan pada wajahnya semakin berkurang. Aku hulurkan buku yang sudah kutanda. Aku juga menghela nafas. Beristighfar. Cuba menjernihkan rasa. Dah kenapa aku pun jadi macam dia!
"Kalau Fakhri tak nak bersuara, kita balik ke tempat kerja masing-masing. Akak dah tandatangan setiap helaian laporan Fakhri. Dan, akak nak beritahu, yang lepas ni Fakhri tak akan jumpa akak lagi untuk dapatkan tandatangan laporan. Akan ada pegawai baharu yang ambil alih kerja akak. Akak tak jaga budak-budak intern lagi. Akak akan in-charge employee relation dan industrial relation. Kerja-kerja yang melibatkan masalah dan disiplin pekerja."
"Akak saja tak nak jumpa saya."
"Itu tuduhan. Ini syarikat, Fakhri. Apa yang kita buat atas arahan orang atasan. Nanti kalau Fakhri dah kerja, Fakhri akan faham."
"Saya faham. Faham sangat. Susah kan jaga budak intern? Budaklah katakan.... Dapat kerja lain, kiranya satu kesyukuranlah, kan?"
Aku pandang dia, tajam. Lebih-lebih pulak budak seorang ni.
"Kita masih bekerja di bawah satu bumbung. Boleh je jumpa. Tapi, nak jumpa pun buat apa kan... Akak tanya, Fakhri simpan suara. Pandang muka akak pun lebih pada nak membunuh. Entah apa salah akak sampai akak tanya baik-baik, layan Fakhri baik-baik, tapi Fakhri buat akak macam ni."
Entah kenapa, aku luahkan semua tu pada dia. Mungkin sebab lepas ni aku tak berpeluang nak lepaskan rasa tak puas hati, rasa kecewa dengan sikap dia yang sekarang ni.... Dan tiba-tiba, rasa sebak tu datang. Rasa macam ada air mata yang mula bergenang. Sebelum aku kantoi, cepat-cepat aku bangun.
"Akak ke tandas sekejap. Emergency!" Terus aku keluar dari bilik tu. Sampai ke tandas, aku pilih tandas paling hujung. Aku menangis. Penatlah... penat nak jaga kata-kata. Nak jaga riak muka. Nak jaga perasaan pekerja... nak jaga profesionalisme sebagai pegawai HR yang acah tak terkesan dengan perangai macam-macam... penat...
Aku settlekan menangis cepat-cepat. Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku cuci muka. Tampal bedak tebal-tebal terutama bawah mata, tambah lips balm berwarna pink untuk elak nampak pucat, dan aku keluar menuju ke bilik tadi.
"Sorry, awak kena tunggu akak. Okey, ada apa-apa Fakhri nak tanya?" Aku kembali normal seolah tak ada apa-apa yang berlaku di antara aku dan dia. Profesionalisme aku sebagai pegawai HR, kembali. Aku senyum pada dia.
Dia pandang aku. Lama.
"Akak menangis," Selamba dia menuturkannya.
Aku senyum dan kata, "Sorry. Penat sangat kot... abaikan je." Tak guna aku menipu. "Okey, ada apa-apa lagi tak ni? Akak nak masuk office balik kalau Fakhri tak ada apa-apa soalan atau nak cakap apa-apa..." Aku senyum lebar lagi.
"Saya nak jumpa akak lagi. Berdua."
"Hmmm... kenapa?"
"Saja."
Jawapan yang aku tak jangka. Sangat selamba.
"Emm... apa-apa, paging akak. Kita balik ke pejabat masing-masing dulu. Boleh?"
Dia tak jawab. Aku terus bangun dan mengharapkan dia juga bangun. Aku nak tutup air-cond dan lampu bilik ni.
"Fakhri..."
Baru dia bangun. Dikemaskan buku laporannya.
"Saya serious nak jumpa akak lagi. Berdua." Dan dia pergi.
Aku melepas keluh.
1585 pp
08 Ogos 2023
11.01 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro