Bab 6 - Kemeja putih, jean biru
Hari ini mood aku sangat baik. Aku dah ready untuk bagi briefing pada dua budak intern, Muhammad Fakhri Amri dan Saifullah Sofa. Bilik latihan sudah kutempah awal. Peralatan, slide dan refreshment pun sudah aku sediakan. Aku dah maklumkan pada setiap pengurus jabatan tentang orientasi yang akan aku buat pada hari ini melalui e-mel. Mereka perlu dimaklumkan. Mana tahu, kot ada yang nak masukkan budak-budak mereka yang ada masalah dan terlupa perihal disiplin dan undang-undang syarikat...
"Lis, ada budak intern nak lapor diri. Saifullah Sofa," Pak Raymond paging aku.
"Pak cik tolong hantar dia ke bilik latihan 1, boleh? Sekejap lagi saya datang. Nak paging budak intern yang satu lagi tu."
"Bereh, Lis!"
"Maceh, pak cik!" Aku ketawa. Pak Cik Raymond dan pak cik-pak cik guard kat kilang ni memang baik. Dah macam bapak-bapak. Aku, kalau keluar ke mana-mana, rasa bersalah kalau tak belikan dia orang apa-apa. Dia orang pun sama. Kalau ada yang baru balik umrah ke, bercuti ke... mesti ada buah tangan untuk aku.
"Kak Sham, Fakhri ada datang tak, kak?" Aku paging Kak Shamsiah.
"Eh, dia tak pergi jumpa Lis ke? Akak dah suruh dia ke bilik latihan."
"Oh, saya dah balik office lepas setup laptop dan projector tadi. Mungkin dia dah ada kat sana. Saya pergi tengoklah kak. Terima kasih, Kak Sham!" Aku terus letak telefon.
"Meena, aku kat bilik latihan 1, tau! Kalau ada yang cari, paging je aku kat bilik tu. Handphone, aku silence."
"Bereh, sistur!"
Aku ketawa. Hati rasa ceria je. Lebih-lebih lagi bila apa yang aku rancang, berjalan dengan baik. Budak intern nama Saifullah tu ada menelefon Jumaat lepas. Tanya tentang prosedur lapor diri dan pakaian. Lega hati aku bila yang seorang ini tak 'macam-macam'. Cukuplah budak Fakhri tu dah macam tu. Tak larat nak hadap yang lain.
Masuk ke bilik latihan 1, aku nampak Fakhri sedang berbual dengan seseorang. Sedar dengan kehadiran aku, dua-dua menoleh.
"Akak!"
Ish, budak ni!
Aku senyum, "Assalamualaikum!"
"Waalaikumsalam." Dua-dua menjawab. Yang seorang tu, tentu Saifullah. Dia bangun. Senyum pada aku.
"Saifullah Sofa?"
"Ya, cik."
Aku senyum lagi. Memang behave budak ni. Dia pakai kemeja putih lengan panjang, dengan jean biru. Hmmm... smart! Kasut kulit warna coklat, jenama Timberland. Design yang simple dan tak berapa formal. Kemas dan sesuai dengan pakaian.
Masa dia telefon tu, aku berterus terang je tentang etika pakaian dalam kilang dan sewaktu lapor diri. Hari pertama ni, hanya dalam bilik latihan. Aku tak akan bawa dia factory tour lagi macam aku buat pada Fakhri. Fakhri tu special case. Terpaksa bawa dulu dan hantar terus. Dia, aku akan bawa esok dan terus buat penyerahan pada Cik Sheery.
"Duduklah."
Dia patuh. Matanya masih memandang aku yang dah bergerak ke bahagian depan bilik. Sebab hari ni tak ada factory tour, aku pakai skirt labuh jenis jean dan blouse putih. Kasut sneakers putih ada garis warna silver. Macam tersama dengan Saifullah. Tudung pula, aku pakai instant shawl warna cream. Aku rasa, dia pun perasan yang attirement kita orang tersama. Dan... Fakhri pun perasan nampaknya. Matanya sejak awal aku masuk tadi, liar macam helang. Memandang tanpa gagal.
"Senang jumpa tempat?" Aku bertanya pada Saifullah. Takkan nak terus bagi briefing, kan! Sembang-sembang dulu.
"Saya ikut panduan yang cik bagi, alhamdulillah senang."
"Bawa motor ke, kereta? Dapat parking?"
"Saya bawa kereta. Datang awal macam yang cik cadangkan. Alhamdulillah, ada parking."
"Awal pukul berapa?" Berkerut kening aku.
"Pukul 7."
"Awal betul tu!" Aku gelak.
Dia tergelak sama.
Dan... aku perasan wajah Fakhri yang masam mencuka. Dia pandang aku, dia pandang Saifullah. Dan sepanjang perbualan aku dengan Saifullah, matanya tak lari daripada kami. Ala... sekejap lagi aku tegurlah dia pula. Orang nak bagi budak intern yang satu lagi ni selesa. Kita pecahkan ice dulu.
"Fakhri? Sihat? Macam mana kerja? Okey? Boleh buat?"
Dia buat muka serius, "Alhamdulillah. Sihat. Okey je..." lirih je bunyi suara.
"Fakhri potong rambut, ya?" Aku dah perasan dari awal masa melangkah masuk ke bilik ni tadi. Dia kikis tepi. Di bahagian hadapan, dibiarkan terjurai sedikit. Tapi, masih kemas. Saja aku tak nak tegur awal.
Terus dia senyum, "A'ah. Okey tak, kak? Makin hensem tak saya?"
Aku dah tergelak. Dia dengan kesengalan dan macam-macam dia. Tak segan langsung pada Saifullah. Aku lihat, Saifullah pun dah tersenyum dengan gelagat budak seorang ni.
"Okey. Okey sangat. Lebih kemas."
"Hensem tak?"
Aku menggeleng sambil ketawa. Kebudak-budakan sungguh!
"Ya. Adik akak hensem sangat."
Dia tersenyum.
"Sorry, Saifullah. Dia ni memang macam ni."
"Adik ke?" Saifullah bertanya, santai.
"Adik intern kat sini je."
Dia mengangguk.
"Saifullah pun boleh panggil 'kakak'. Kita buang formality. Senang nanti nak bekerja."
Dia hanya mengangguk. Tak cakap apa. Tapi, muka memapar riak curiga.
"Baik, saya mulakan sesi orientasi. Kita buat santai-santai je. As a start, sekali lagi saya kenalkan diri saya, Farisya Melissa binti Sofwan. Pegawai HR yang menguruskan bahagian latihan dan pembangunan pekerja. Saya juga menguruskan hal-hal recruitment bagi pekerja dan pelajar internship. Degree holder dalam bidang komunikasi. Ini pekerjaan pertama saya. Dan, saya sudah bekerja selama lima tahun."
Sebaik aku selesai mengenalkan diri, Fakhri bersuara, "Umur akak 29 tahun, kan?"
Aku senyum. Tak ada lagi rahsia.
"Ya, jadi... boleh panggil 'akak'." Aku tujukan kata-kata ini kepada Saifullah. Aku tahu, dia ragu untuk memanggil aku kakak sebab saiz tubuh dan raut wajah. Umur dia pula hampir mencecah 24 tahun. Mungkin dia ingat aku baya-baya dia atau paling tidak tua setahun dua sahaja.
Aku meneruskan sesi orientasi pengenalan syarikat dengan segala misi, visi, sistem pengurusan dan so on bagi sesi pagi. Petang nanti baru aku sentuh perihal undang-undang, disiplin, terma dan syarat di antara employee dan employer.
"Saifullah pakai t-shirt saiz apa, ya? Akak ada sediakan kat sini dua saiz. Tak pasti sesuai tak. Boleh cuba dulu, kot."
Sesi orientasi aku hentikan selepas satu jam aku membebel hal syarikat. Aku serahkan dua helai t-shirt syarikat kepada Saifullah. Tubuhnya sama tinggi dengan Fakhri walaupun Fakhri tu muda padanya. Yang membezakan, Fakhri kurus tinggi dan Saifullah tinggi tegap. Wajah pun nampak matang. Memang sesuai jadi wakil pelajar di universiti.
"Tak perlu pakai hari ni, kan?"
"Tak. Untuk esok. Akak nak awak cuba je dulu. Just nak tengok saiz."
"Tandas kat mana... errr... kak?"
"Depan bilik ni je."
"Saya ke tandas sekejap."
Aku mengangguk.
Sebaik Saifullah keluar, Fakhri bersuara, "Kenapa saya lahir lambat, eh?"
"Dah kenapa?" Pelik pula aku dengan soalan Fakhri.
"Kenapa akak lahir awal sangat?"
Ah, sudah! Macam-macam betul budak sorang ni. Ada je ayat-ayat pelik yang dia merepek.
"Budak tu umur berapa, kak?"
"Budak? Dia tua pada awaklah. Selamba je budakkan orang." Aku menggeleng. Ketawa sikit dengan sikap Fakhri.
Dia diam seketika. Aku pula membaca slide yang seterusnya sebagai persediaan supaya presentation aku tak ke laut. Buat orientasi ni kadang-kadang je. Bila ada orang baharu. Jadi, ada beberapa perkara tentang syarikat yang aku tak ingat semua. Terutamanya klausa yang terkait hal disiplin. Setiap kali nak buat presentation, aku kena study balik supaya lancar dan yakin. Keyakinan itu yang paling penting. Kalau apa yang aku sebut tu betul pun, tapi dengan keadaan yang tak yakin, orang yang mendengar pun akan jadi tak yakin. Silap haribulan, dia orang ingat aku 'palato'.
"Kak... kerja jadi pensyarah kat poli sayalah."
"Dah kenapa?"
"Boleh saya tengok akak hari-hari. Confirm saya tak bangun lewat, tak tidur dalam kelas."
"Selama ni bangun lewat ke? Tidur dalam bilik kuliah?" Aku menggeleng. Tak senonoh betul budak seorang ni.
Perbualan aku dan Fakhri mati di situ sebaik Saifullah menolak pintu. Dia senyum pada aku.
Terus aku bertanya, "Muat? Saiz apa?"
"Emm... tak pasti. Saiz L ni memang boleh masuk. Tapi, agak fit. Bahaya pula kalau saya pakai." Dia ketawa. "XL, kot!"
Aku turut ketawa, "Sekejap, akak pergi ambilkan saiz XL. Sini akak lipat baju tu. Nak simpan balik."
"Awak lipat satu, saya lipat satu. Cepat sikit." Dia hulur sehelai pada aku.
Aku sambut dan terus bangun, "Akak masuk office sekejap. Makanan dan minuman tu boleh makan. Memang sedia untuk korang." Aku tinggalkan kedua-duanya. Dan aku harap mereka boleh berbual sesama mereka macam mula-mula jumpa sebelum aku masuk ke bilik ini tadi.
1256 pp
07 Ogos 2023
11.35 pagi
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro