Bab 41 - Cerita Fakhri
Malam itu, aku dan dia seolah-olah baru nak berkenalan dan bercinta macam budak remaja. Dia sememangnya kategori remaja. Masih belum cecah 20 tahun. Tetapi berani untuk melangkauinya dengan membuat keputusan berkahwin.
"Nak panggil apa, eh?" Aku bertanya.
Dia dah gelak. Cis, buat aku rasa lebih janggal!
"Bintang, sini kat... abang."
Abang. Sedih pula dengar suara Fakhri yang macam teragak-agak nak menyebut perkataan yang satu tu. Kalau dia tak suruh pun, insya-Allah, sebagai isteri yang menghormati suami, aku akan memanggilnya begitu. Cuma... pertanyaan aku itu sebagai satu penghormatan buat dia dalam memilih panggilan yang dia inginkan. Mana tahu kot dia nak aku panggil dia 'habib' ke, 'sayang' ke... Dahlah dia gelar aku macam-macam. Kejap 'sayang', kejap 'bintang'...
Aku mendekat, "Abang..."
Dan, berguguran manik jernih daripada birai mata seorang suami. Buat aku pun rasa sebak.
"Terima kasih..."
"Kasih diterima..."
Dia ketawa, sambil mengesat air mata. Dia paut bahu aku lalu dengan lembut menarik perlahan kepala aku untuk dilabuhkan di dadanya. Terasa ada ciuman di atas kepala diikuti elusan lembut jemarinya pada juraian rambut.
"Nak tahu kenapa abang panggil sayang, bintang?"
Aku mendongak, mata kami bertaut. Lalu, aku mengangguk.
"Sebab, sayang penting untuk kehidupan abang. Macam bintang yang diciptakan sebegitu penting untuk seluruh alam.
Bintang jadi panduan buat para pelayar di lautan dan pengembara di padang pasir yang lapang.
Bintang terbesar sang mentari pula memberi cahaya di siang hari kepada penduduk bumi. Memanaskan bumi sehingga tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalamnya juga mampu hidup dan tumbuh baik. Malah, menjadi paksi utama galaksi.
Bintang juga jadi perhiasan langit malam. Ibarat butiran kerongsang yang berkerlipan. Sangat cantik. Dan, Farisya Mellisa macam bintang untuk Muhammad Fakhri Amri. Sebab Farisya Mellisa, Muhammad Fakhri Amri ada matlamat untuk diperjuangkan."
Cerita Fakhri buat aku sebak. Dia meletakkan kedudukan aku sebagai seorang yang penting dalam hidupnya. Tangan kirinya yang memeluk bahuku, aku tarik lalu kupeluk rapat ke dada. Dia menyatukan jemari kami. Menggenggamnya erat. Ya Allah, kuatkan tautan hati kami sebagaimana bertautnya jemari ini.
"Sewaktu arwah tok masih ada, abang selalu mengadu pada tok yang bintang abang ni tak layan abang. Abang tanya pada tok, perasaan abang pada bintang abang ni satu perasaan yang salah ke? Kenapa sayang tak boleh terima, malah tak percaya bila budak baya abang kata suka pada sayang? Jujur abang keliru. Tahu tok kata apa?"
"Tak tahu. Tapi serius, tak sangka abang cerita perasaan abang pada tok."
"Muhammad Fakhri Amri. Macam sayang tak kenal abang." Dia ketawa.
Aku senyum. Dia memang, random! Tangannya terus mengelus juraian rambutku sambil bercerita.
"Tok kata, perasaan tak pernah salah. Lagilah perasaan yang apabila cuba dibuang, tapi tak mahu hilang. Tok kata, kalau betul abang nak kat sayang, abang perlu jadi dewasa. Sayang tak mungkin akan turun level jadi budak-budak. Abanglah yang kena berusaha untuk mencapai setara dengan usia sayang.
Dan, tok kata... jadi dewasa itu tak mudah. Lebih-lebih lagi dewasa yang bakal memimpin keluarga. Dewasa yang mendahului usia. Tok ajar abang cara nak jadi dewasa."
Aku agak terkejut mendengar cerita Fakhri. Tak sangka Tok Hisham bersikap sangat terbuka dengan cucunya. Boleh pula Tok Hisham melayan Fakhri yang berusia sembilan tahun yang keinginannya sangat berbeza dengan budak-budak sebaya. Nak jadi dewasa dan mengurat anak gadis yang jauh lebih berusia!
"Tok kata, mulakan dengan menjadi pemimpin untuk diri sendiri. Pergi surau. Jadi imam. Jadi bilal. Belajar menguruskan kematian. Belajar berbicara dengan orang yang lebih tua. Cari sebanyak mana ilmu. Terutamanya ilmu hidup. Ilmu hidup yang arwah ajarkan pada abang, bukan setara umur abang. Tapi, setara orang dewasa yang benar-benar dah matang. Memang penat. Memang sakit. Tapi, sebab nak kejar bintang abang, abang ikut segala yang tok mahu abang lakukan.
Pagi, seawal jam 5 sudah ke dapur menjerang air, mandi dan bersiap ke surau. Masa tu, abang berlatih menjadi bilal. Lepas tu, perlahan-lahan jadi imam. Setiap hari kena buka Quran, baca surah al-Waqiah dan surah al-Kahfi. Al-Waqiah baca penuh. Al-Kahfi kalau selain hari Jumaat, baca 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir. Hari Jumaat, seluruh ayat surah al-Kahfi yang sebanyak 110 tu perlu dilengkapkan bacaan. Sepuluh ayat pertama surah al-Kahfi, perlu dihafal. Balik dari surau, perlu memasak bersama-sama dengan tok.
Tengah hari, bersiap untuk ke sekolah. Sampai rumah, ulang balik rutin ke surau. Malam, selepas isyak, fokus pada pelajaran sekolah. Kalau bukan hari sekolah, waktu malam, tok ajar silat. Kadang-kadang, Muay Thai. Siangnya, ikut tok kerjakan sawah dan kebun. Sayang tengok tangan abang." Dia berhenti mengelus rambutku dan menghulur tangannya untuk aku lihat, "Kasar, kan? Sebab, abang mencangkul dan buat kerja-kerja kasar sejak usia sembilan tahun."
Betul. Memang aku dah rasa kekasaran tangan Fakhri masa bersalam dengan dia sewaktu upacara batal air sembahyang. Tangan abang-abang aku pun tak sekasar tangan Fakhri. Telapak tangan yang kasar itu, aku gosok-gosok sebelum aku cium dan kubawa menyentuh pipi.
"Bintang..."
"Hmmm..."Aku mendongak. Aku nampak dia senyum. Suka agaknya aku letak telapak tangan dia di mukaku. Aku senyum balik.
Dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan, "Abang terhutang budi dengan arwah tok. Didikan kedewasaan tok, benar-benar buat abang percaya diri. Dan, yakin untuk melakukan apa-apa pun termasuk memulakan perniagaan. Repair kenderaan semua ni, arwah yang ajarkan. Arwah bekas tentera berpangkat tinggi dan telah melalui banyak cabaran. Di bumi Malaysia semasa latihan, dan di negara lain dunia sewaktu berada di medan pertempuran sebenar. Survival di hutan dan di tandus padang pasir buat ilmu hidup arwah tak terbilang.
Dan, arwah turunkan pada abang sebelum arwah pergi. Arwah tak pernah halang perasaan abang pada sayang. Dia selalu kata, kalau betul inginkan sesuatu, usaha. Usaha sampai dapat. Dan, usaha perlu ada doa dan kebergantungan harapan pada Yang Memiliki segala keputusan."
Susahnya hidup Fakhri. Ingatkan, jadi cucu hartawan senang-lenang. Dimanja dan tak buat apa. Tapi, didikan Tok Hisham tak begitu rupanya. Lagilah dengan Muhammad Fakhri Amri yang dia dah nampak awal kedegilan. Nak sesuatu, mesti dapat! Walaupun sesuatu itu sebenarnya agak mustahil pada keadaan biasa.
Patutlah dia begitu dewasa berbanding usia. Arwah Tok Hisham mendidik dia dengan tegas dan kejam. Kekejaman yang dia tahu cucunya yang keras hati, keras kepala dan tak takut mati ini mampu menghadapi.
"Bintang..."
"Hmm..."
"Ingat tak masa mula-mula kita jumpa?"
Aku menggeleng. Sungguh aku tak ingat kali pertama tu bila. Kalau ikut cerita ibu Fakhri, Fakhri diambil dan dibawa tinggal di kampung masa usianya enam tahun. Masa tu isteri Tok Hisham baru meninggal. Masa tu, usia aku 16 tahun. Masih di tingkatan empat. Tapi, aku tak berapa beri perhatian pada cucu Tok Hisham walaupun aku tahu kewujudannya.
Dia pun tak beri perhatian pada aku sebab dia pun masih terlalu kecil. Pada aku, dia masih tak tahu apa. Tetapi, aku silap. Walaupun pada usia itu dia tak kenal aku, tapi jiwa dia terhadap kehidupan selepas ditinggalkan oleh ibu, sudah membesar. Dalam jiwanya, dia menternak dendam. Dia dewasa dengan caranya. Dia berusaha menjadi seorang yang tak memerlukan sesiapa.
"Abang kenal dengan Faris dulu. Masa tu, memang tak ramai orang besar yang hiraukan abang. Mereka lihat abang sebagai budak. Hanya Faris yang nampak abang berbeza. Malah, Faris mengiktiraf kemahiran yang ada pada abang walaupun masa tu belum bermula pelajaran kedewasaan abang. Dia banyak bertanya tentang motor, part dan segala hal berkaitan. Malah, dia kata nak jadi murid abang. Masa tu, motivasi hidup abang meningkat.
Hidup ni, kalau ada yang menghargai, akan membakar lagi semangat untuk melakukan yang lebih baik.
Dan... masa itulah abang nampak sayang. Masa sayang datang cari Faris, suruh Faris balik. Masa tu, kami sedang repair motor. Sayang garang macam singa. Sombong sampai langsung tak pandang kita. Yalah, kita budak kecik, comot dengan minyak motor kat muka... Dia gadis remaja. Budak universiti..."
Aku ketawa. Suara Fakhri yang macam berjauh hati tu buat aku bertambah sayang. Dia cuit hidung aku.
"Abang tanya Faris, siapa tu? Dia kata, adik dia. So, abang ingat, sayang adik yang umurnya lebih rendah pada Faris. Tapi, tak sangka kalian kembar. Abang tak tahu nama sayang. Bila Faris panggil 'adik', abang pun rasa seronok nak panggil macam tu. Tapi tak sangka dapat jelingan tajam!" Fakhri gelak.
"Tapi, abang tak takut pun, kan? Makin galak kejar orang. Sibuk ikut mana orang pergi."
"Jodoh. Tak kejar, tak dapat. Lagilah bila jodoh tu asyik nak lari. Tahu kan, Muhammad Fakhri Amri ni tak boleh kalau tak dapat sesuatu yang dia dah suka separuh mati. Dan, lebih tak boleh nak lepas bila orang tu menyombong. Satu cabaran tau nak dapatkan wanita sombong ni. Dan, abang memang pantang dicabar. Makin sayang lari, makin abang kejar."
"Sayang abang ni sebenarnya lembut hati juga. Ingat masa ada satu hari tu kita kerja sama-sama cuci periuk belanga kat kenduri Nek Jah. Masa tu, sayang ambilkan Faris air tapi tak ambilkan abang. Tapi, bila sayang pandang abang dan abang menunduk, sayang pergi ambilkan juga. Sayang ni kalau orang kejar dia, dia lari. Tak layan. Bila orang ambil satu tapak mengundur ke belakang, mengalah, dia pula seakan-akan buka ruang. Kebaikan yang sedikit tu dengan kesombongan yang membukit, lagilah buat abang nak takluk hati sayang."
"Abang..."
"Hmmm..."
"Tahu kan masa lepas orang lemas dan abang selamatkan tu, orang memang akan berpindah. Tak duduk kat kampung tu lagi?"
"Tahu... tapi tak tahu hari tu adalah hari terakhir sayang kat kampung. Ingatkan, esok ada lagi."
"Tak... memang hari tu hari last. Sebab tu pergi merayap sekitar kampung nak tangkap gambar buat kenangan. Tak sangka jatuh dalam ban."
"Salah abang, kan? Mendesak sampai sayang terundur dan jatuh. Jujur, abang rasa macam hilang nyawa masa tu. Tak fikir apa kecuali nak dapatkan sayang yang jatuh dan mula hanyut."
"Terima kasih. Kalau tak, memang dah tak ada kat dunia ni."
"Masa tu, dalam hati abang nekad. Apa-apa jadi pada bintang abang ni, abang ikut sekali. Abang tak akan keluar dari ban tu tanpa sayang. Abang punca sayang jatuh. Abang rasa bersalah dan abang anggap diri abang kalah. Muhammad Fakhri Amri, tak boleh kalah."
"Memang cucu Tok Hisham sungguh abang ni."
"Ya. Dan, abang nak ikut macam arwah tok. Mencintai hanya seorang wanita sehingga akhir nyawa."
Bermula malam pertama sehingga ke hari-hari seterusnya, dia buat aku jatuh cinta pada dia berkali-kali. Dia bukan sahaja pandai bercakap ayat-ayat manis, tetapi ayat-ayat yang menghidupkan jiwa. Motivasi seorang Muhammad Fakhri Amri sukar dicabar. Dia kata, dia kota. Dan, dia berusaha menyambung belajar. Ambil degree, ambil master. Dia tak nak kalah dengan isterinya.
Kadang-kadang kasihan aku tengok dia. Masanya terlalu ketat. Bila aku suruh rehat, dia kata, rehat hanya untuk budak-budak yang tak ada tanggungjawab. Dia seorang dewasa yang harus bertanggungjawab. Bukan hanya pada diri dia, tapi isteri, keluarga dan masyarakat.
Dia hebat, tetapi seorang Muhammad Fakhri Amri juga punya cela. Hari-hari aku jatuh cinta, dan hari-hari aku menangis disebabkan perangainya. Dia suka buat aku risau. Dia suka menyakat yang bukan-bukan. Dia suka buli aku untuk dengar setiap arahan. Dan, dia seorang pencinta yang punya cemburu tahap tak ada ukuran!
Dan, dia suami aku. Pernah jadi budak intern aku yang 'macam-macam', yang nampak seperti tak pandai jaga diri, tetapi selepas kenal keseluruhan peribadi, dia adalah sebaliknya. Dia, Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam yang sengal, dan aku sayang.
Dia begitu rajin bercerita pada aku hampir setiap malam. Seolah-olah, melunas masa yang hilang. Terlalu banyak cerita Fakhri tentang masa silam kami yang aku sendiri tak sangka peristiwa itu ada. Ia hilang dalam lipatan fikiran aku, tetapi tidak di ingatan Fakhri.
"Bintang, jangan tinggalkan abang, tau."
"Hidup untuk mati, kan? Itu kata-kata yang abang pegang. Dan, bintang juga akan mati. Jelas dan nyata di dalam al-Quran."
"Sayang... mati untuk dihidupkan kembali di hari kemudian. Itu kata-kata sayang, kan? Demi Allah, tiada yang lebih indah dengan setiap ciptaan-Nya. Dan, ciptaan rasa cinta itu yang paling halus, yang paling agung. Cinta pada-Nya. Pada rasul-Nya... kita akan rasa cinta yang lain. Yang dikejar, sukar tetapi dihadirkan kemudian, bertepatan masa. Kita doa sama-sama untuk kekal mencintai sampai ke dunia hakiki, tau yang!"
"Dengan izin-Nya."
Tamat.
2028 pp
17 Oct 2023
10.35 pagi
Okey, cukup sampai sini cerita Budak Intern. Terima kasih kepada yang setia mengikuti. Sorrylah kalau tak best. Sebab, tulis saja-saja je sementara menyiapkan manuskrip lain.
Apa pun, thanks kepada active reader yang vote, komen dan chat dengan saya. ❤️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro