Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 40 - Risau

Malam itu, tengah malam buta abang kembar aku, call.

"Kau kenapa, bang? Tahulah kau cuti esok. Aku ni nak kena pergi kerja. Call pun tak beragak. Dah dekat pukul 1 pagi."

"Alah! Masa Fakhri admitted kat hospital satu pagi tu, boleh je kau pergi hospital tengok dia. Sembang kejap dengan aku, banyak pula merungutnya!"

"Yalah, yalah... hah cakaplah!"

"Aku dah bincang dengan bakal suami kau tentang perkahwinan korang. Esok, aku gerak balik Johor. Sampai je, aku akan cerita pada mak apa yang aku dan Fakhri dah bincangkan. Lepas tu, aku akan call kau, kau sendiri pula cakap dengan mak yang..."

"Kau jangan call masa aku tengah kerja," Aku potong cakap Faris.

"Ish, tahulah. Aku pun gerak balik Johor, petang. Lepas zuhur macam tu. Sampai mungkin lepas asar ke, maghrib ke..."

"Oh, okey. Hah, sambung!"

"Jangan potong cakap orang tua. Hilang dah apa aku nak cakap tadi."

Aku gelak. Belum masuk 30 tahun dah short-term memory. Haih kembar aku ni!

"Cukup. Jangan mengilai tengah pagi ni weh! Seram. Dahlah aku tinggal sorang kat rumah ni."

"Eh, mana Fakhri? Bukan dia tidur situ ke?"

"Dah balik sepuluh minit sebelum aku call kau tadi."

Aku terdiam. Risau pula hati aku. Memanglah kalau pukul 12 tengah malam ke pukul 1 tu bagi warga Kuala Lumpur macam tak ada apa. Kira awal. KL masih belum tidur. Tapi, risau dah mula menjalar dalam dada aku. Tak tahulah kenapa. Sedangkan, aku tahu yang Fakhri tu macam burung hantu. Malam memang masa dia segar-bugar. Melepak sampai subuh pun tentu tahan. Budak muda. Budak gengster. Budak yang berkawan dengan kutu malam walaupun 'kutu-kutu malam' tu semua sudah ditarbiah jadi orang. Dah diberi tanggungjawab berupa pekerjaan.

Adakah risau ini muncul sebab aku dah terima dia sebagai sebahagian daripada nyawa? Dan kerana itu, aku mula menanam gusar di jiwa? Takut untuk kehilangan dia? Ya Allah, janganlah jadi apa-apa pada budak sorang tu. Susahnyalah hati aku. Ini yang payah kalau dah bertanam sayang.

"Weh, dik... kenapa diam? Kau tidur ke?"

"Err... tak. Aku dengar je."

"Kau risaukan dia, eh?" Faris gelak.

"Risaulah!"

"Fuh, sangat luar biasa! Betul di alam percintaan adik aku ni. Jangan risau sangat. Doa yang baik-baik je. Insya-Allah. Aku pun dah pesan kat dia, drive elok-elok. Dah bersungguh tawan hati adik aku, jangan nak buat hal!"

"Dia jawab apa?"

"Kau rasa?"

Aku diam. Muhammad Fakhri Amri yang aku kenal, memang sengal. Tapi, jawapan dia tentu berkait dengan ketuhanan. Dan, ini menambahkan lagi kerisauan.

"Dik..." Bila aku diam terlalu lama, Faris menegur. Dia tahu aku ada jawapan yang tepat, yang Fakhri berikan padanya. Dan jawapan itu memang menakutkan bukan sahaja dia, tapi aku walaupun aku sebenarnya reda jika itu takdirnya.

"Abang, kau cerita je lah rancangan yang korang dah bincang. Lepas ni, baru aku WhatsApp dia."

Kami dua-dua senyap seketika. Aku tahu, Faris tu, risau juga. Dia dan aku punya jiwa kembar yang tak boleh nak disorokkan rasa itu. Kalau aku risaukan sesuatu atau seseorang, perasaan Faris juga akan berdetik rasa yang sama.

"Hujung minggu ni, keluarga Fakhri akan datang ke rumah. Kau pastikan kau balik. Sebab, nak sarung cincin terus. Risik dan bertunang. Kalau ikut budak tu, dia nak nikah terus. Tapi aku tak rasa mak, kak long dan abang ngah setuju. Macam tiba-tiba sangat. Nanti apa orang kata."

Aku mengangguk walaupun abang aku ni tak nampak.

"Fakhri setuju. Dia pun tak lama nak habiskan pengajian sijil dia, kan?"

"A'ah. Hujung bulan ni last dia kat politeknik tu."

"Intern dia, bila last?"

"Jumaat ni."

"Dia masuk sana balik, bila?"

"Sepatutnya, minggu ni dia balik sana. Selasa kalau tak silap aku dia dah start kuliah balik."

"Heh, buat gila betul budak sorang ni! Patut dia suruh aku datang KL nak uruskan semua ni. Kau tahu, dik... dia dah beli semua barang hantaran. Belah pihak dia dan belah pihak kita. Aku ni, disuruh datang sebab nak angkut barang-barang ni balik Johor. Dia kata tak nak keluarga kita kelam-kabut. Dia bagi sekali duit belanja. Baju yang dia nak kau pakai masa majlis risik dan tunang tu pun dah ada."

"Hah? Mana dia tahu saiz badan aku? Weh, biar betul! Abang, esok kau datang office aku bawa baju tu. Fakhri ni kan... aduh, pening kepala aku."

Faris gelak, "Hadaplah kau dengan perangai dia... tak sampai sebulan pun lagi korang nak jadi suami isteri."

Selepas 15 ke 20 minit Faris bercerita perancangan perkahwinan tu, kita orang off. Terus aku WhatsApp Fakhri. Dia sepatutnya dah sampai rumah. Rumah ibu ayah dia bukannya jauh sangat dari rumah dia yang Faris duduk tu. Kalau ikut cerita Faris, dalam setengah jam paling lama kalau drive.

+Salam. Dah sampai rumah ibu ke?

Satu tick. Double tick. Tapi, selepas 5 minit, masih belum blue tick. Balas, memang taklah! Hati aku dah risau. Tadi, masa abang call, aku mengantuk sangat. Dah fikir nak sambung tidur selepas berbual dengan abang. Tapi dengan hati yang tak tenang ni, mengantuk pun hilang.

Aku nak call Fakhri terus, tapi takut kalau dia masih atas jalan. Risau pula kalau disebabkan dia sambut call aku, dia kemalangan.

Aku menunggu. Pandang skrin telefon tak lepas. Aku hantar satu lagi WhatsApp.

+Kalau dah sampai rumah, mesej saya, ya.

Lepas tu aku tunggu lagi. Lima minit tak ada balasan. Sepuluh minit, pun tak ada balasan. Fakhri, awak bukan sahaja dah curi hati saya, tapi jantung, darah, urat nadi... nyawa dan segala apa yang menghidupkan saya! Awak tahu tak saya risau! Aku tak kira. Aku terus WhatsApp Fakhrul. Angah dia.

+Sorry, kacau. Farisya ni. Nak tanya, Fakhrul kat mana? Kat rumah ke, kat kampus?

Fakhrul (angah Fakhri) is typing...

+Kat kampus. Kenapa, Farisya?

Aku tak tahu, patut ke aku buat Fakhrul risau sama.

+Tak ada apa. Saja tanya.

Lepas aku balas macam tu, Fakhrul terus call aku.

"Risaukan acik? Tak dapat call dia?"

Memang tak boleh nak tipulah. Terus aku mengaku.

"Jap. Saya try call kawan-kawan dia. Kadang-kadang dia kalau melepak waktu ni memang lupa handphone."

"Errr... angah. Nanti kalau dah ada berita, call saya, boleh?" Sejak aku dan Fakhri dah declare dan dah nak ikat, Fakhrul tak panggil aku 'kakak'. Panggil nama je. Dan, dia pun dah biasa menyebut Fakhri sebagai acik je bila berbual dengan aku. Aku je yang sedang cuba membiasakan diri dengan panggilan-panggilan tu.

"Okey. Awak jangan risau sangat. Insya-Allah, dia okey. Pergilah tidur dulu."

"Okey."

Aku putuskan talian. Ya Allah, risaulah! Jantung aku tak duduk diam dah. Nak menangis pun ada. Tak lama lepas tu telefon aku berbunyi.

Fakhri!

Terus aku jawab.

"Farisya..."

"Awak pergi mana?" Dan-dan aku menangis. "Awak, kenapa tak balas mesej saya? Kenapa tak balik lagi? Esok kan awak pun kena masuk kerja? Awak jangan buat saya risau boleh tak? Awak nak bunuh saya ke apa!" Tak fasal-fasal, aku melepas tangisan. Tak cover-cover perasaan dah!

Mulanya dia diam. Terkejut agaknya tiba-tiba kena sembur. Tapi, tak lama lepas tu dia berbisik, "Sayang... sorry..."

Aku tak balas apa. Hanya teresak-esak di hujung talian. Ini yang aku tak suka bila aku dah start serah hati kat orang dan orang tu buat macam ni.

"Sayang..."

Aku masih menahan sendu. Sesak dada dengan Muhammad Fakhri Amri ni.

"Sayang..."

"Fakhri pergi mana sebenarnya?" Bila aku dah berjaya tenangkan diri, aku tanya pada dia.

"Saya singgah kat bengkel yang kat kat litar hari tu. Saya tak sangka awak nak call. Saya buat silent mode. Saya tak nak diganggu masa saya buat kerja."

"Kerja apa pukul satu pagi ni?"

"Check kerja budak-budak saya. Dia orang buat service dan repair kereta client. Hujung minggu ni saya tak ada, kan?"

"Awak ke yang kena check? Kalau awak balik Penang, macam mana?"

"Ada partner saya yang check. Minggu ni dia off. Saja bagi dia off sebab lepas ni dia banyak nak tanggung kerja saya. Lagi-lagi masa hari kita nikah."

"Esok kan awak kerja. Tak penat ke malam ni balik lewat?"

"Dah siap. Dah sampai rumah ibu pun. Masa angah call tu, saya baru sampai."

"Okeylah kalau dah sampai. Pergilah rehat."

"Bintang..."

Aku terdiam.

"Terima kasih, sebab risaukan saya. Saya sayang awak. Tidur lena. Assalamualaikum."

Aku jawab salam dan terus putuskan talian. Hati sedikit lapang tetapi kemudian aku menangis. Melepaskan rasa takut yang tertahan. Aku kenal sangat dengan Fakhri. Tahu sangat jawapannya kepada abang aku. Aku pasti dia jawab, "Hidup untuk mati, Ris. Kalau ajal dah tersurat, apa je yang aku boleh buat walaupun dah berhajat."

Fakhri dengan pegangan katanya, memang tak lari.

Kalau dulu sebelum aku tahu dia si budak kecil itu, dan sebelum hati aku terbuka menerima dia, aku tak berapa takut sangat. Memang setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Tak bertangguh walau sesaat. Dan, pegangan kata aku, 'mati untuk hidup' melengkapi pegangan kata Fakhri sendiri. Andai nyawa diambil kembali oleh Pemiliknya, siapa kita untuk membantah apatah lagi menyesali. Reda.

Tetapi, setelah hati dimiliki oleh dia, ketakutan melebihi keredaan. Sungguh aku takut kehilangan dia walaupun sebelum itu aku percaya, yang aku dan dia (dengan izin Allah) akan bersama di sana andai tiada jodoh di dunia. Dah beri hati, jadi susah hati yang menjadi-jadi.

Esoknya, pagi-pagi lagi aku dah buka sistem HR. Aku tengok clock-in Muhammad Fakhri Amri. Ya Allah, leganya bila nampak dia dah masuk kerja.

"Kau dah kenapa, buat muka macam tu? Kejap nampak macam risau. Lepas tu senyum. Dah kenapa?" Meena menegur.

Aku tak terus jawab, hanya senyum pada Meena.

"Haih, tak normal kawan aku ni! Apa dah jadi buat muka macam-macam pagi hari?"

"Na... Sabtu ni keluarga Fakhri akan datang merisik dan kami akan bertunang sekali. Hujung bulan pula, selepas dia selesai pengajian di politeknik, terus nikah."

Besar mata Meena, sebesar mulut dia yang menganga.

"Doakan kita orang, Na."

Dan, air mata Meena tiba-tiba mengalir. Dalam tangis, dia senyum, gembira. Aku bangun dan menggosok-gosok bahu Meena. Haih, kawan aku ni!

Dan, petang itu selepas zuhur, abang kembar aku sampai di pejabat. Dia hantar baju bertunang aku. Aku pun tak faham kenapa Fakhri tak serahkan pada aku sahaja. Mungkin dia takut aku akan lupa bawa agaknya. Dan, dia berharap yang aku akan pakai baju yang dia belikan.

"Kau drive balik Johor baik-baik, bang," Aku jumpa Faris di pondok pengawal. Dan, sebelum dia gerak, Mohammad tiba di situ. Memang aku yang call Mohammad bagi tahu Faris datang. Dia orang kenal dan pernah berkawan. Tentu nak jumpa.

"Lama tak jumpa kau. Apa hal datang KL?" Mohammad bertanya pada Faris sambil mereka bersalam dan berpelukan.

"Urus hal budak ni." Faris macam teragak nak cakap. Matanya mengerling pada aku.

Mohammad pandang aku, "Hal apa?" Suaranya bergetar.

Aku diam. Tak sampai hati nak cakap. Aku pandang Faris.

"Dia nak bertunang," Faris berterus-terang.

Mohammad pandang Faris sebelum memandang pada aku semula.

Aku mengangguk. Dan, air muka dia berubah sebelum dia menghela nafas, "Tahniah. Bila majlis?" Dia tanya aku. Tak tanya Faris.

"Insya-Allah hujung bulan ni. Nanti saya bagi jemputan."

"Cepatnya. Tak sampai sebulan bertunang. Kenapa?" Dia dah tak hiraukan Faris. Pandangan dan pertanyaannya hanya pada aku.

Melihatkan situasi itu, Faris sentuh bahu Mohammad, "Mat. Aku kena gerak dulu. Insya-Allah, jumpa lain kali."

Faris bagi isyarat mata pada aku suruh slow talk. Berterus-terang. Jangan simpan apa-apa rahsia. Aku salam dan cium tangan Faris. Dia tepuk bahu Mohammad sekali lagi sebelum keluar dari pagar syarikat.

Aku mula bergerak masuk ke pejabat dan Mohammad menyaingi langkah aku.

"Siapa?" Dia bertanya.

Aku berhenti di hadapan lobi, melihat ke wajahnya sebelum menjawab dengan tenang, "Fakhri."

Awalnya dia terkejut. Tetapi kemudian, dia mengangguk-angguk. Dia memaksa senyum, "Tak sangka..."

"Apanya?"

"Berani dia lamar awak. Dan, tak sangka awak terima. Mudahnya..."

"Dah jodoh."

Dia ketawa, dalam sebak, "Ya, jodoh. Rahsia Tuhan yang ada masanya sukar saya nak faham. Dia, budak intern. Awak baru je kenal... dan..." Dia menggeleng. Tertawa kecil lagi. "Tak apalah. Mungkin... saya cuma layak jadi seorang abang pada awak walaupun kita sebaya. Sedangkan kelayakan dia, tidak hanya sebagai seorang budak intern, tetapi mencecah level suami. Hanya Farisya Mellisa yang tahu kenapa. Hati orang, susah nak teroka. Saya doakan yang baik-baik je buat awak, Lis."

"Terima kasih. Kita tetap kawan. Kalau awak nak saya anggap awak sebagai abang pun, okey."

"Tak apa. Kawan. Kalau abang nanti, kena panggil abang. Ada orang cemburu pula walaupun dia dah memiliki apa yang sepatutnya jadi milik saya."

"Saya masuk dulu, Mohammad." Aku tak rasa nak memanjangkan perbualan.

Dia mengangguk. Dan, aku berlalu.

Maaf. Soal hati memang susah untuk dimengerti. Dan, Fakhri mendahului kerana aku kenal dia dan usahanya bukan tiga empat bulan terkini, tetapi lebih awal lagi. Mohammad tak pernah tahu kisah kami. Dan, tak perlu pun dia tahu.

Minggu-minggu terakhir Fakhri sebagai budak intern, kami jarang bertembung. Meena sahaja yang melaporkan pada aku apabila dia terserempak dengan Fakhri di mana-mana. Terutamanya di surau. Aku dan dia hanya berbicara di telefon. Setiap malam. Tapi, tak lama. Dia sibuk. Ada sahaja kerjanya. Kalau tak di litar, akan ke tempat lain. Menguruskan kerja-kerja berkait bengkel dan kereta pelanggan. Bukan hanya di KL, tapi yang di Penang dan Johor juga. Komunikasi secara online.

Baju yang Fakhri tempah, memang sedang elok di tubuh aku. Tak ketat, tak longgar sangat. Tak melampau rekaan dan warnanya. Serba sederhana. Kurung pesak Pahang daripada kain jenis polyster crepe, dengan lace di kaki baju. Dia memilih warna hijau epal untuk tema risik dan tunang. Aku tahu, dia juga akan datang walaupun tak ada keperluan.

Masa bergerak begitu cepat. Dan, hari nikah datang tak menyempat. Satin putih gading dengan sulaman benang silver pula jadi pilihan. Kali ini kami sama-sama memilih dan sekata. Fakhri dah pesan, jangan bersolek berlebihan. Dia suka wajah natural aku. Aku pun tak berkenan dengan solekan tebal. Biarlah kalau orang kata sekali-sekala nak nampak lain, tapi tidak pada aku.

Melihat susuk Fakhri yang duduk di hadapan tok kadi membuatkan aku tak lepas pandang. Segak yang menggegar perasaan. Benarlah. Hati kita, bukan milik kita. Hari ini benci, esok-esok belum tentu benci selamanya. Macam kisah aku yang tak pernah menyangka hati bertukar rentak dengan kemunculan semula si dia.

Hati yang dipinjamkan oleh Allah, selamanya milik Allah. Tuhan Yang Maha Mencipta. Ia hanya dipinjamkan pada kita untuk kehidupan yang sementara.

Kadangkala, kita tak tahu pun apa yang ada di hati kita. Tak tahu pun rasa yang tersembunyi di celahannya. Hanya apabila rasa itu dicuit, dicungkil oleh seseorang yang tepat, dengan izin Pencipta barulah ia terlihat. Tercuit rasa. Terbuka untuk menerima.

"Aku terima nikah, Farisya Mellisa binti Sofwan dengan mas kahwin RM22.50, tunai."

Dengan lafaz akad daripada Muhammad Fakhri Amri bin Khairulnizam, dan lafaz sah daripada saksi pernikahan, terlerai status bujang seorang Farisya Mellisa. Rasa itu bercampur. Berbaur. Tak percaya. Tak rasa jejak di dunia nyata. Blur! Fakhri menjeling sekilas sebelum meninggalkan tempat akad. Dia menuju ke sudut masjid untuk solat sunat. Solat sunat nikah atau solat az-Zawaj, tanda syukur dengan izin Allah, telah melalui fasa pernikahan. Mengharapkan rahmat Allah dalam melayari baitul Muslim.

Mata, tak lepas melihat susuk itu berjalan. Mengangkat takbir dan melunas setiap rukun sebelum berakhir dengan salam. Dan, apabila susuk itu kembali, mata aku masih tak beralih lagi. Seakan tergam kuat, tak mampu nak tanggal pandangan pada seorang Fakhri. Besar dah budak kecik ni. Dulu, sibuk cakap, "Nak kahwin dengan awak." Kecil-kecil dah menggedik. Faham entah tidak kahwin tu apa masa tu. Sekarang ni, dah betul-betul kahwin.

Jarak masa dan kejauhan rupa-rupanya tak menafikan takdir. Kalau dah jodoh, jauh mana tinggal pun akan kembali pada satu titik pertemuan yang ditulis Tuhan.

"Dik!" Suara Faris mengejutkan aku.

Putus terus pandangan aku, "Hah?"

Tawa halus Fakhri menyedarkan aku. Dia dah ada depan muka tapi aku masih memandang dalam khayal. Sempat jarinya mencuit hidung aku. Ish dia ni. Sabar dulu. Baru nak salam batal air sembahyang, melengkap adat Melayu. Main cuit-cuit dah kenapa? Terus aku sambut tangan yang dihulur selepas cuitan tanpa segan. Bukan dipeduli mata-mata yang memandang. Sebaik tangan kami bersentuhan, yang kedua-duanya sejuk macam baru direndam dalam air batu... mata bertaut pandang.

Dia senyum. Aku membalas.

"Bintang saya, khayal," Sempat dia berbisik sebelum aku menunduk, mencium tangannya. Air mata dah bergenang. Dia jodoh aku rupanya. Terima kasih sebab setia dan berusaha tanpa putus asa dan putus doa.

Fakhri kalungkan aku seutas rantai emas dengan loket berukir dua huruf F.

Simbolik kepada nama kami, Fakhri Farisya.

"Terima kasih, sayang. Tak sabar nak bercinta dengan bintang saya ni. Bercinta dalam ikatan halal."


2721 pp

16 Oct 2023
21.30

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: #budakintern